Ada apa pada ukhuwwah?

Ternyata agak kurang penumpuan masa untuk mengakses internet dengan tekun dan teliti 2-3 hari kebelakangan ini. Malam ini, "mood" untuk menulis yang sekian lama ditahan dek kekangan pada tugas dan tuntutan lain yang lebih utama disempurnakan jua.

Hujung minggu lepas agak padat terisi. Sebelah pagi sabtu-ahad diisi dengan aktiviti di sekolah dan beberapa mesyuarat mengurus perjuangan. Sebelah petang sibuk dengan kelas tuisyen buat bekal menambah pendapatan memenuhi keperluan hidup menyara ahli keluarga dan diri sendiri. Malam ahad, berkesempatan hadir dan memeriahkan qiamullail bulanan di Pasti Taman Ria.

Qiamullail kali ini agak suram dan hambar. Kedatangan sekadar 20 orang sahaja. Berbanding bilangan yang sepatutnya hadir dalam 50 orang. Sempat juga menghantar sms kepada beberapa orang sahabat karib, seperti biasa, pelbagai sebab dan musabab diberikan. Dalam keluluhan hati, berusaha mengukir kuntuman senyuman. Semua ini urusan Allah. Bukan rezeki mereka kali ini. Aku yang terpilih patut perbanyakan syukur agar terus terpilih. Bukankan Allah akan menambah nikmat bagi hambaNya yang bersyukur.

Laluan perjuangan memang tidak dapat dipisahkan dengan mehnah dan ujian. Agar mampu terus gagah melangkah memacu perjuangan, elemen ukhuwwah perlu dipandang berat oleh ahli dan para penggerak perjuangan. Tatkala diri semangat dan berkobar-kobar untuk menghadiri program perjuangan, tiba-tiba kita mendapat mesej daripada sahabat-sahabat yang akrab (kamcheng)

"salam..maaf, tak dapat datang qiam malam ni, ada hal famili" "salam..maaf ya. Tak dapat datang malam ni, tak sihat lah badan."

Pasti semangat dan keinginan yang membuak-buak untuk hadir program, bertemu dengan sahabat-sahabat, jatuh merudum. Hanya bertaut pada nawaitu asal sambil mengusap dada menteramkan hati..

"Ya Allah..aku lakukan semua ini hanya keranMu. Betulkan niatku, terimalah semua ini sebagai ibadah yang hanya ku persembahkan untukMu.."

Tidak dinafikan, alasan-alasan yang diberikan untuk tidak hadir mana-mana program perjuangan adalah hak individu. Memandangkan program-program perjuangan tidak ada mana-mana manusia yang menjadi panel penilai. Tidak ada sebarang surat tunjuk sebab perlu diberikan seandainya tidak hadir. Kalaupun diminta oleh pimpinan, belum tentu ahli akan memberi, bahkan mungkin cabut lari!

Bilamana yang "ponteng" atau tidak dipilih Allah untuk hadir adalah dari kalangan pimpinan perjuangan ataupun pendokong perjuangan, agak keliru juga dibuatnya. Tertanya diri sendiri, tak hadam lagi kah teori-teori perjuangan hingga gagal dimanifestasikan. Iya, akur yang keadaan diri tidak sama situasi dengan orang lain. Namun, menghadapi kehidupan yang penuh dengan ujian untuk melambatkan dan membantutkan intima' kita dalam perjuangan, garis panduan yang harus dikuasai dengan bijaksana ialah fiqh aulawiyat yang telah disyarahkan dengan panjang lebar oleh ustaz-ustaz yang bertauliah dan terbukti iltizam mereka di jaaln juang ini. Selain itu, madah dan kata :

"kerja-kerja perjuangan adalah kewajipan, bukan pilihan"

harus tersemat kukuh di jiwa dan minda. Barulah perjuangan tidak menjadi "anak tiri" dalam kita meletakan priority agenda kehidupan seharian kita. Contoh mudah yang ditunjukan oleh Timbalan Ketua DMPKT, semasa program qiamullail baru-baru ini. Beliau mempunyai program sekolah pada malam tersebut, dan hanya selesai pada pukul 10 malam. Beliau tidak menjadikannya sebagai alasan untuk ponteng program. Beliau menggagahkan diri yang keletihan dan mengorbankan waktu bersama anak-anak dan suami tercinta, hadir qiamullail walaupun lewat. Inilah satu contoh teladan yang perlu direnung oleh pendokong perjuangan terutamanya generasi muda yang kekadang tidak terlalu banyak kekangan tetapi lebih kerap beralasan.

Perlu disedari, bukti komited kita dalam perjuangan bukan sekadar menjadi ahli atau memegang jawatan semata-mata. Tetapi adalah berusaha untuk hadir sebarang program yang diatur hatta program itu sekadar kuliah yang kita rasakan kita sudah arif tentang topik yang dibincangkan. Ini kerana, kehadiran kita dalam program-program sebenarnya adalah suntikan motivasi buat pelaksana program dan audien yang hadir.

Semoga yang sakit segera sembuh, yang berhalangan segera lapang, yang kusut mindanya kecamuk jiwanya segera tenang agar semuanya dapat kembali berada dalam satu saf beregrak seiring dan sejalan menongkah arus membelah badai yang ingin memesongkan laluan kita di jalan juang ini!


Semoga ukhuwwah yang kita bina bukan sekadar ini dan begini....

Comments

Popular posts from this blog

Zon Selesa

Kisah Kita

Pendam