Lakaran kehidupan


Lain sedikit perasaan bangun pagi hari ini. Satu kesan tidur lewat semalam. Dua kesan perbincangan tengah malam semalam. Sedikit mamai lah ke sekolah. Memandu pun macam tak betul saja. Lagi pula, "mata keduaku" tertinggal. Berbalam-balam pandangan. Syukur selamat sampai ke sekolah.


Hampir 2 jam lamanya bersembang dengan dia. Dia yang penting di dalam hidup. Banyak meninggalkan cerita dan kenangan dalam kanvas kehidupan. Lama tidak berbual bicara, banyaklah cerita-cerita baru dan lama dikongsi bersama. Syukur dengan perkembangan terbarunya. Benar culaan sebelum ini. Dia sedang meniti sesuatu yang manis dan bererti. Hidupnya semakin baik dan menuju kebahagiaan.


Apa yang masih bersisa di kotak fikiran. Satu perkataan yang dikaitkan dengan diri.


HIPOKRIT!


Terkesima juga bila dilabel dengan kata ini. Walau hakikatnya dia tidak memaksudkan yang diri ini bersikap sebegini dalam semua perkara. Tidak sesekali menyalahkan dia. Sebaliknya menghukum diri sendiri. Cuma masih terfikir, susahnya mahu memahamkan manusia apa yang kita faham dan rasa.

Bertambah terfikir, apabila dia yang sudah berjaya menjuarai hati sebagai sahabat yang paling memahami diri, masih juga gagal mentafsir isi hati. Apatah lagi insan lain. Tidak hairan acapkali gerak dan tingkah laku di salah erti oleh insan-insan disekeliling. Aku ingin memberi madu, rupanya ditafsir hempedu. Aduh..aku juga yang pilu!


Inilah kehidupan. Pelbagai rencah dan rasanya. Pelbagai corak dan warnanya. Semua insan punya cerita tersendiri dalam kehidupan ini. Bezanya pada sejauh mana kita melakar dan mentafsir kehidupan ini. Kita bebas mahu melakar dan mencorakannya. Bebas yang masih dalam kawalan syariat. Namun, semua perlu akur dan sedar, setiap lakaran dan corak ini akan kita persembahkan kepadaNYA..PENILAI AGUNG di suatu hari yang telah dijanjikan.

Masa yang dijanjikan itu belum tiba, dan tidak pasti bila akan tiba. Kita masih punya waktu membetulkan corak dan lakaran kehidupan kita. Perhatikannya dengan teliti. Mana-mana corak dan lakaran yang tersilap, padam dengan istighfar dan taubat. Mana yang tepat mengikut syariat teruskan dengan syukur.

Comments

Popular posts from this blog

Zon Selesa

Kisah Kita

Pendam