Kawan: Teman vs Lawan

Bangun pagi hari ini terasa kenikmatan berehat semalaman. Tidur yang lena. Sebelum ke sekolah pula, mak sudah siap menyediakan sarapan pagi nasi goreng kampung beserta secawan teh o panas. Senyum lebarlah jawabnya. Jimat belanja. Mak memang kerap bangun awal untuk menyediakan sarapan buat anak-anaknya yang kebanyakannya keluar bekerja sebelum pukul 7 pagi. Kasih sayang mak, tidak pernah luntur. Sehingga kami sudah berhijarah ke alam kerjaya pun mak masih menjaga makan minum kami sebaiknya. Anak-anaknya ini sahaja yang acapkali alpa menilai dan membalas kasih sayang mak.

Tiga tahun di alam kerjaya, tahun ini aku sedikit berbeza berbanding tahun sebelumnya. Awal-awal dahulu, aku terlalu "enjoy" dengan duniaku. Dengan dunia kawan-kawan. Tahun ini, aku sudah sedar, hakikat hidup, keluargalah yang paling harus kita utamakan. Sakit pening, susah payah hanya dengan merekalah bakal kita kongsi dan rasai bersama. Kawan ini, belum tentu sanggup bersama dengan kita dalam apa jua keadaan. Kebanyakannya masa senang sahaja hendak bersama. Bila kita susah, hilang entah ke mana. Meninggalkan kita begitu sahaja.

Ramai yang buta menilai kasih sayang keluarga. Terutama anak muda remaja. Lebih mementingkan dan mengutamakan kawan. Lebih malang, bertemu dan bersahabat dengan kawan yang layak di buat lawan bukannya teman. Kawan yang mendorong ke neraka jahanam bukan ke syurga impian. Kalau mengajak ke syurgapun, syurga mimpi minda kesan khayalan penangan dadah, ganja atau apa-apa yang seumpama dengannya.

Tidak dinafikan, ramai yang terjebak dalam gejala tidak sihat kesan keluarga yang tidak bahagia. Lantas mencari kebahagiaan bersama rakan sebaya atau rakan di luar sana. Masalahnya, kenapa keluar kandang harimau masuk ke kandang singa. Sepatutnya, merawat "jiwa kacau" kesan ketidakharmonian di rumah, carilah kawan yang layak di gelar sahabat. Sahabat yang mampu mendidik jiwa, membangun rohani dan memandu akhlak agar menjadi mukmin sejati. Ini barulah merawat luka jiwa yang sakit. Bukannya menambah menjadi parah.

Akur, krisis moral dan barah jiwa masyarakat ini bukan mudah untuk pulih. Hanya kepada DIA yang menguasai hati hamba-hambaNya, kita terus bermohon agar selamatkan ummah ini dari terus hanyut di buai nikmat sementara di dunia ini. Tempat yang kita impi bukan di sini. Di sini hanya sebentar tidak kekal...


Comments

Popular posts from this blog

Zon Selesa

Kisah Kita

Pendam