Dunia semakin tua

Kes 1

"Semalam ada budak perempuan bergaduh kan di dalam kelas..bertumbuk sampai berdarah-darah, habis koyak baju dengan tudung."

Kes 2

"Cikgu bukan 2 kes jak bertumbuk kelmarin. Ada satu lagi. Perempuan sama perempuan. Fuyyo bergasak. Menyambung lagi dorang di bandar lepas itu."

Dua kes pergaduhan yang aku dengar dibicarakan hangat. Berlaku dalam jarak terdekat. Melibatkan PELAJARKU. [pelajar kelas Tasawwur Islamku]. Sedikit kaget aku mendengar laporan-laporan ini.

"Kamu ada di kelas, masa bergaduh kelmarin?" Tanyaku kepada sahabat 'pelakon utama drama aksi di dalam kelas'.

"Ada.." Jawabnya teragak-agak.

Aku menghulurkan kerusi plastik berwarna merah meminta dia duduk dekat dengan ku. Suasana yang sunyi daripada guru-guru, memberi peluang aku menyiasat lanjut kes semalam. Siasatan bukan atas dasar aku guru disiplin atau siasatan untuk merekod kesalahan itu dan di masukan ke dalam SSDM. Siasatan atas dasar insani. Naluriku mendesak ingin tahu apa punca dan sebabnya. Lebih-lebih lagi pelajar yang bergaduh ini antara pelajar yang aku kira karektornya "unik". Unik yang aku definisikan punya naluri baik dan sifat kepimpinan yang tinggi. Tetapi menzahirkan dirinya dengan karektor pelajar "gedik". Hingga kerap benar aku dengar namanya menjadi sebutan di kalangan guru-guru. Tidak puas hati dengan sikap yang ditunjukan semasa di dalam kelas.

"Apa puncanya tu?" Tanyaku ringkas.

"Hmm...dendam mungkin. Lama bah sudah tu cikgu, kakak tu yang datang serang ke kelas kami." Jawabnya bersemangat

"Kenapa kamu tidak halang?" Tanyaku lanjut.

"Kami pun tidak berani." Jawabnya.

"Sarimah [bukan nama sebenar] tu tinggal dengan siapa? " Aku menyelidik pelajarku yang terlibat dengan pergaduhan.

"Bapanya kerja di kem. Mamanya tiada sudah. Meninggal tahun lepas. Dia saja di rumah dengan adik-adiknya 4 orang." Ceritanya lanjut dengan air mata bergenang. Syahdu menceritakan kisah hidup sahabatnya.

Benar jangkaanku. Pelajarku ini [Sarimah] punya "sesuatu" dengan kisah hidupnya. Bayangkan anak gadis seusia 16 tahun harus memainkan peranan sebagai ibu, bapa dan kakak kepada adik-adiknya. Bapa yang hanya balik sekali sekala pasti punya kekangan menjalankan tanggungjawab sebagai bapa sebaiknya.

Satu lagi daripada beribu sampel keluarga yang tidak "sempurna". Namun tidak punya pilihan melainkan meneruskan kehidupan seperti biasa.Namun apapun jua kondisi hidupnya, atau hidup kita, bukan tiket untuk kita memilih jalan salah, jalan gelap atau jalan hitam. Ibarat kita telah terjatuh ke dalam lubang, adakah kita mahu terus membiarkan diri di dalam lubang itu, atau membiarkan kita jatuh sekali lagi? Sebaliknya perlu memikir jalan keluar atau kaedah supaya tidak jatuh kali kedua.

Jalan keluar dari segala kegelapan atau kejahilan hanya satu..ISLAM. Bukan sekadar bergelar muslim pada nama. Tidak sama sekali! Melainkan masuk ke dalam Islam itu secara menyeluruh. Tanpa membuat pilihan dengan mengambil yang digemari dan membuang yang tidak di sukai. Islam adalah sebuah cara hidup yang lengkap dengan tatacara dan kaedah menjalani kehidupan (syariat). Agar kehidupan itu sebuah persinggahan yang baik sementara kembali ke alam yang kekal abadi.

"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara menyeluruh dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan.
[Al-Baqarah :208]

Kembali kepada Islam bukan hanya saranan kepada pelajar tetapi juga kepada para guru. Malang juga, apabila guru gagal menjalankan tugas sebagai pendidik. Sekadar pengajar akademik. Mengejar silibus dan berhempas pulas memprojekkan pelajar agar mampu meraih A sebanyak mungkin. Bersalahkah guru dalam konteks ini? Tidak adil langsung menyalahkan guru. Guru melakukannya kerana itulah sistem yang telah diacukan kepada seluruh rakyat jelata. Hatta mengajar subjek pendidikan Islam atau Tasawwur Islam [fokus pelajar sekolah harian biasa..bukan sekolah agama], tidak berkeupayaan ustaz dan ustazah menyerapkan content subjek berkenaan kepada pelajar agar diterjemahkan dalam bentuk peribadi dan sakhsiah. Kenapa masih ada pelajar tidak tahu solat, mengucap dua kalimah syahadah atau apa-apa perkara fardhu ain yang lain? Walhal seawal sekolah rendah lagi, pelajar di Malaysia wajib menduduki PAFA [Penilaian Asas Fardhu Ain]. Antara sebabnya, ilmu ini tidak dihayati sebagai satu kewajiban untuk bergelar muslim sejati.
Sekadar dipelajari agar mampu lulus dan memperolehi sijil.

Allahu Akbar..semakin di fikir masalah ummah ini..semakin gerun di buatnya. Ini baru kes-kes pelajar. "Orang luar". Bagaimana keadaan adik-adik kita, anak-anak saudara kita, dan suatu hari nanti anak-anak kita? Dunia semakin tua..dunia semakin tua..kita bagaimana??????

Comments

Ibnu Saif said…
Salamualaikum Kak.. Semoga sentiasa diberi kekuatan untuk mendidik anak-anak Sabahan agar menjadi muslim yang lebih cemerlang.. Ameen.. Saya suka ngan Cikgu-cikgu nih.. Mulia amalan.. Pahala berkekalan.. :-)

Popular posts from this blog

Zon Selesa

Kisah Kita

Pendam