Friday, July 31, 2009

BERITA TERGEMPAR

PENGUMUMAN DAN MAKLUMAN

Dengan rasminya SMK JAMBATAN PUTIH, TAWAU

akan DITUTUP daripada beroperasi bermula

JUMAAT [ 31/JULAI/2009] hingga KHAMIS [6 OGOS 2009]

akibat HINI @ SELESMA BABI @ INFLUENZA A


[anak-anak didik semua jangan pula ambil kesempatan ni "berfoya-foya" di bandar ya..takda maknanya kuarantin kalau kalian berkeliaran juga di bandar Tawau yang indah pada "highway"nya jak tu..selamat mengulangkaji untuk ujian topikal yang terpaksa ditunda hingga sekolah kembali beroperasi..lagi satu, jangan pula rindu-rindukan cikgu sepanjang kita dikuarantin ni.. :-) ]

Thursday, July 30, 2009

Maafkan aku..

Astaghfirullah..semoga Allah ampunkan dosa..

Benar-benar terkesima hari ini. Hari yang menjawab segala persoalan yang mengacau rasa dan jiwa mengganggu fikir dan hati. Mahu juga sebulan menanggung rasa tidak enak akibat tindakan seorang sahabat yang memilih jalan yang "tidak bijak" dalam menghadapi krisis jiwanya.

Tindakan yang tidak pernah terfikir akan di ambil oleh dia. Kalau orang lain mungkin boleh ku terima, tetapi ini dia..sungguh..sungguh aku tidak mempercayainya.Sepanjang tempoh "hibernasinya" itu, aku juga hampir tiap detik menyiasat mencari asbab dan puncanya. Mengapa dia bertindak sedemikian rupa.

Dalam keasyikan mencari sebab musababnya, bagai tertampar aku dibuat dengan hasil pencariaanku. Sungguh tidak aku sangka dan menyangka, bahawalah AKULAH punca dia mengambil tindakan "tidak bijak" itu. Saat mengetahuinya, terasa bersalah dan berdosanya diri ini. Sungguh tidak menyangka..sekali lagi tak perasan terlebih perasaan. Bermati-matian menganggap dan menyangka diri memberikan yang terbaik untuk dia. Berkongsi rasa hati dan celik minda mahu perjuangan terus subur di bumi peladang yang tandus roh iman ini. Bumi peladang yang sekadar subur tanahnya tapi tandus kefahaman syariat Islam sebagai ad-deen. Rupa-rupannya segalanya hanyalah tekanan dan himpitan perasaan buatnya. Kasihannya dia, terpaksa menanggung segalanya bertahun lamanya.

Ya Allah..bagai mati kata-kata menerima berita dan perkhabaran ini. Tiada lain selain mengharapkan ampunan Allah dan kemaafan dari dia. Dalam masa yang sama berdoa dan berharap sangat, dia segera pulih dan kembali ke posisinya. Semoga dia masih menyedari bahawa peranan dan komitmen cemerlang yang ditunjukan sebelum ini, sangat-sangat diperlukan oleh perjuanga.

Buat sahabat-sahabat yang lain, kesekian kalinya, aku memohon sejuta kemaafan dari kalian. Atas segala tekanan yang kalian terima dari insan yang tidak sedar diri ini. Aku berjanji pada diri, tiada lagi tekanan dari AMIRAH IZZATI selepas ini...

Wednesday, July 29, 2009

Lepas rindu

Alhamdulillah..streamyx di Tawau sudah kembali beroperasi. Empat hari pengguna streamyx di Tawau terpaksa ber"puasa" dari mengakses internet akibat kebakaran pejabat Telekom di Sandakan. Empat hari itu juga terasa kesunyiaan, kebosanan dan kesepian yang teramat. Baru mengaku betapa dekatnya internet dengan diri ini..huhu

Sepanjang tempoh "ber"puasa" ini, masa banyak diisi dengan bermain-main bersama adobe photoshop. Cuba-cuba meneroka bidang grafik pula. Pasti saja bicara_sufi lebih padat terisi dengan kehadiran gamabr-gambar yang kekadang lebih cepat mesejnya sampai berbanding madah-madah kata. Tetapi mengaku sendiri, masih berada di tahap "beginner" untuk bidang ini.

Banyak lagi cerita mahu dikongsi namun terpaksa menahannya dahulu. Inipun mencuri ruang waktu sementara masuk ke kelas pukul 7.50 ini. :D



Friday, July 24, 2009

Lakaran kehidupan


Lain sedikit perasaan bangun pagi hari ini. Satu kesan tidur lewat semalam. Dua kesan perbincangan tengah malam semalam. Sedikit mamai lah ke sekolah. Memandu pun macam tak betul saja. Lagi pula, "mata keduaku" tertinggal. Berbalam-balam pandangan. Syukur selamat sampai ke sekolah.


Hampir 2 jam lamanya bersembang dengan dia. Dia yang penting di dalam hidup. Banyak meninggalkan cerita dan kenangan dalam kanvas kehidupan. Lama tidak berbual bicara, banyaklah cerita-cerita baru dan lama dikongsi bersama. Syukur dengan perkembangan terbarunya. Benar culaan sebelum ini. Dia sedang meniti sesuatu yang manis dan bererti. Hidupnya semakin baik dan menuju kebahagiaan.


Apa yang masih bersisa di kotak fikiran. Satu perkataan yang dikaitkan dengan diri.


HIPOKRIT!


Terkesima juga bila dilabel dengan kata ini. Walau hakikatnya dia tidak memaksudkan yang diri ini bersikap sebegini dalam semua perkara. Tidak sesekali menyalahkan dia. Sebaliknya menghukum diri sendiri. Cuma masih terfikir, susahnya mahu memahamkan manusia apa yang kita faham dan rasa.

Bertambah terfikir, apabila dia yang sudah berjaya menjuarai hati sebagai sahabat yang paling memahami diri, masih juga gagal mentafsir isi hati. Apatah lagi insan lain. Tidak hairan acapkali gerak dan tingkah laku di salah erti oleh insan-insan disekeliling. Aku ingin memberi madu, rupanya ditafsir hempedu. Aduh..aku juga yang pilu!


Inilah kehidupan. Pelbagai rencah dan rasanya. Pelbagai corak dan warnanya. Semua insan punya cerita tersendiri dalam kehidupan ini. Bezanya pada sejauh mana kita melakar dan mentafsir kehidupan ini. Kita bebas mahu melakar dan mencorakannya. Bebas yang masih dalam kawalan syariat. Namun, semua perlu akur dan sedar, setiap lakaran dan corak ini akan kita persembahkan kepadaNYA..PENILAI AGUNG di suatu hari yang telah dijanjikan.

Masa yang dijanjikan itu belum tiba, dan tidak pasti bila akan tiba. Kita masih punya waktu membetulkan corak dan lakaran kehidupan kita. Perhatikannya dengan teliti. Mana-mana corak dan lakaran yang tersilap, padam dengan istighfar dan taubat. Mana yang tepat mengikut syariat teruskan dengan syukur.

Wednesday, July 22, 2009

Mengakhiratkan Dunia

"Kenapa sekarang ni dah jarang dengar suara. Kalau dulu ada lah jugak gurau-gurau mesra..dengar jugaklah bising-bising" Tegur seorang rakan sekerja usai kami bersolat zuhur di bilik kesihatan merangkap surau guru perempuan.

Seperti biasa, teguran-teguran sebegini hanyaku balas dengan senyuman lebar dan memulangkan kembali persoalan buat yang bertanya "Iya ka?"

"Iyalah..duk bilik guru menghadap laptop je. Tak bunyi apapun" balasnya lagi


Aku tersenyum saja...

Aku akui, memang sikapku agak berubah sedikit tahun ni. Kurang bunyi suaraku kedengaran di bilik guru. Mungkin ramai yang membuat kesimpulan, sebab sahabat baikku dunia-akhirat merangkap teman sebelah semeja telah berkahwin. Bahkan sedang sarat mengandung nak sulungnya. Perubahan statusnya mungkin menjadi mangkin aku menjadi agak pendiam.

Hipotesis ini tidak aku terima sepenuhnya. Aku sendiri mahu merubah diri. Dari dahulu lagi aku sering meminta padanNya yang Maha Mengatur agar aku kurang berkata-kata apatah lagi yang sia-sia. Selain itu, tahun ini rasanya kerja terlalu banyak di sekolah. Sangat berbeza dengan tahun lepas. Seawal Januari lalu hinggalah hujung Julai ini, bagai tiada hentinya tugasan sampingan disekolah. Satu persatu. Kalau setakat tugas mengajar dan mendidik pelajar, rasanya tiada masalah sangat. Sukarnya apabila kerja-kerja pengkeranian terlalu banyak dibebankan. Hingga kekadang hilang fokus pada tugas utama.

Semakin dihimpit dengan bebanan kerja, semakin hati juga dihimpit rasa bersalah. Rasa hina dan zalimnya diri. Apa tidaknya, apabila berkejar dengan masa, yang sering menjadi korbannya "urusan-urusan rasmi" dengan Allah. Solat sekadarnya. Zikir seringkasnya. Itulah kekadang rasa malas sangat mahu buka mulut di sekolah. Berusaha mencari ruang dicelah kesempitan waktu untuk menambah informasi. Melayari internet dengan singgah ziarah dari satu blog ke satu blog ilmiah lebih afdhal rasanya dari bertepuk tampar dan bergurau mesra dengan rakan sekerja. Bila sudah mula berkumpul-kumpul, berklik-klik mulalah syaitan main peranan. Tak pasal-pasal masuk dalam halaqah mengumpat ataupun kutuk mengutuk. Tak kutuk pentadbir, kutuk rakan sekerja lain tak pun kutuk pelajar sendiri. Aduh..guru oh guru..

Realiti persekitaran yang sangat melemaskan dan merimaskan iman setipis kulit bawang. Lebih meresahkan keperitan ini harus dihadapi hari ke hari selagi masih bergelar manusia. Inilah kesan kepincangan sahsiah dan rapuhn
ya iman insan bergelar muslim. Saat dan tika jiwa meronta-ronta mahu bebas dari belenggu rantaian kejahilan ini, hati hanya mampu berdoa moga Allah terus memelihara diri dan iman. Biarlah manusia memandang serong jangan kasih Allah berkurang.

Tidak mudah : Mengakhiratkan dunia


Tuesday, July 21, 2009

Berdiri seorang perindu


masa kian menjauh
jarak telah memisah
jiwa masih merindu
resah terus membelenggu
mengcengkam sukma dan kalbu
kasih takkan jua bersatu

mengingati hati yang mati
menanti kasih yang layu
mengharap sesuatu yang tidak pasti
menjadikan diri hanyut terbuang
lemas di pukul ombak
lautan kenangan silam

menanti bila akhirnya
rasa-rasa ini menyisih
sirna dari kamar hati
pergi dari kotak minda

menanti dan menanti
mengharap tanpa henti
diri terdampar, berlabuh dan bermukim
di pulau perubahan
membina semula diri
dengan kaki sendiri
tanpa terus dihantui
kisah dan kenangan ini
aku mahu..sungguh aku mahu!!!

[aku hilang khabarmu..aku kabur keadaanmu..namun..hati berbisik pasti..kau semakin baik..hidupmu terarah lurus..kau sudah tidak menoleh..kau telah berjaya meninggalkan kenangan dan kisah kita..jika ini akhir sebuah ceritera..aku terima seadanya..cuma beriku ruang dan waktu..menjadi sepertimu...]

Sunday, July 19, 2009

Mohon dimengerti..

"Tahniah..Amirah..berjaya menghidupkan majlis."

"Ish..taklah kak..

"Tidak-tidak..memang kamu berjaya..dulu-dulu pun ada yang macam kamu ni. Kami dah lalui semua ni..cuma nanti jangan terus senyap. Ini latihan untuk kamu sebelum jadi pimpinan"

Dialog ringkasku dengan ketua DMPKT usai majlis Munaqasyah.


"Tahniah..semoga makin perkasa..sama-sama kita jadi insan solehah"


Satu mesej ku terima lebih kurang setengah jam berakhirnya Munaqasyah.

Dialog dan mesej yang membuatku tidak selesa dan menjadikanku ligat berfikir. Allah..apa yang telah aku lakukan hari ini. Sungguh aku tidak mahu lagi di"kenali" dengan gelaran "talkative" ataupun petah berkata-kata.

Hari ini, takdir menentukan aku terpaksa menjadi pengerusi / moderator munaqasyah "ad-hock". Silap faham penganjur dan pengerusi sepatutnya, menjadikan aku mangsa keadaan. Dengan nawaitu tidak mahu majlis ini rosak, aku terima jua tugas dan amanah ini. Inilah mula cerita yang menjadikan aku tidak ceria selepasnya.

Aku berdoa sangat, janganlah aku dinilai dan di beri penilaian berdasarkan kebolehanku mengendalikan majlis semata-mata. Jangan kerana kefasihan lidahku sahaja. Itu luaran semuanya. Andai kerana itu, aku dirasakan menjadi harapan generasi pelapis memimpin muslimat di bumi peladang ini, keputusan itu tidak tepat.

Sejak di alam kampus, aku sangat tidak suka berada di posisi "pimpinan". Akur dengan kemampuan diri yang tidak seberapa. Setakat pandai cakap sahaja, buatnya belum tentu. Masih ramai sahabat yang diamnya berisi. Bukan seperti aku ibarat tin kosong, bunyi sahaja yang lebih.

Aku akan pastikan sahabat-sahabat yang berpotensi ini akan dilihat, dinilai dan dijadikan aset penting DMPKT. Aku akan berusaha.. :)

Paling mengembirakanku tatkala menjadi tulang belakang ataupun tukang "support" utama sahabat-sahabat yang berada di baris hadapan. Baru terasa semua orang memaksimakan potensi diri. Lagipun, aku jenis insan yang mudah hanyut dengan persekitaran. Kalau aku dihadapan, nanti syok sendiri. Tak perasan tertinggal atau meninggalkan orang-orang lain. Biar kita hayun langkah perjuangan seiring dan sejalan.

Entry kali ini di"publish"kan walau bersifat sangat peribadi. Dengan niat dan harapan dibaca oleh sahabat-sahabat seperjuangan di bumi peladang. Ku ulangi sekali lagi, dengan nada merayu dan memohon, jangan nilai diri ini berdasarkan luaran semata-mata. Tolong dan bantu memberi informasi kepada barisan pimpinan kita, AMIRAH IZZATI memang boleh bercakap di hadapan, tetapi kualiti kerjanya masih perlu ditimbangkan.

Sentiasa berusaha mengingatkan diri dan hati

Maka demi Allah yang tiada Tuhan selain daripadaNya, sesungguhnya sesaorang kamu itu tetap akan beramal dengan amalan ahli syurga sehinggalah di antaranya dengan syurga itu jaraknya cuma sehasta sahaja. Tiba-tiba dia telah didahului oleh tulisannya ( suratan takdir ) sehingga dia beramal dengan amalan ahli neraka, maka masuklah ia ke dalam neraka. Dan sesungguhnya sesaorang kamu tetap akan beramal dengan amalan ahli neraka sehinggalah di antara dirinya dengan neraka cuma sehasta saja. Tiba-tiba dia telah didahului oleh tulisannya sehingga dia beramal dengan amalan ahli syurga, maka akhirnya masuklah dia ke dalam syurga itu.

Tiada ruang, tempat dan masa untuk berasa selesa dan berbangga dengan amal kebaikan yang dilakukan semalam, hari ini dan esok.




Wednesday, July 15, 2009

Mimpi yang tak sudah


Satu dua hari tidak menulis. Berkejar dengan waktu. Memenuhi tuntutan beberapa tugasan yang memerlukan perhatian lebih. Dalam kesibukan melaksanakan amanah dan tanggungjawab, hati tidak pernah sunyi dan sepi dari terus berbahasa jiwa. Namun semuanya tidak terzahir dengan kata-kata. Tidak dapat dilafaz dengan madah indah. Benar-benar sekadar mahu bermukim di hati..
Biarlah sekadar sekeping potret menjadi rakan kongsi hati dengan insan-insan yang sudi singgah ziarah bicara_sufi.

Sunday, July 12, 2009

Mata yang berat

Aduh..kenapa tetiba diserang MENGANTUK sangat ni. Sudahlah hari ini kelas banyak, guru bertugas lagi, buku bertimbun minta disemak, mesyuarat sana sini..arghhhh!!!! [jeritan batin je pun..]

Bertambah mata menjadi
berat..minda sudah mula sarat..badan semakin tak larat..ada sesiapa nak bantu menyelamat?

[entry saja-saja..cuba-cuba mengusir ngantuk yang menyengat!]

Friday, July 10, 2009

Sendiri itu mandiri

Penulisan lewat malam. Ikut rasa badan, mahu sudah berehat-rehat. Malangnya mata pula belum mahu lena. Agaknya kesan tidur siang yang banyak tadi. Kebetulan usrah bersama adik perpis hari ini tiada. Giliran Ustazah Mardiana untuk slot Al-Quran. Sepetanglah aku berlumba siapa "tidur paling lama" dengan anak buahku. :)


Banyak juga isu sem
asa berlaku dalam minggu ini. Bermula dengan berita gembira bagi seorang guru Sains seperti aku iaitu pemansuhan PPSMI. Bukan menolak kewajaran penguasaan Bahasa Inggeris, tetapi hakikatnya, PPSMI bukan langkah ampuh meningkatkan penguasaan bahasa asing itu di kalangan pelajar. Kemudian beberapa isu menyedihkan umat Islam sedunia. Antaranya, pergaduhan dan rusuhan yang membunuh ummat islam di XinJiang dan pembunuhan Wanita Muslimah Berhijab di Jerman. Krisis dunia yang cukup meruntun jiwa pencinta agama suci lagi benar ini. Perit melihatnya diperlakukan sesuka hati.


Itu isu diluar tirai bumi Malaysia. Dalam
negara yang dikatakan aman ini hakikatnya tidak pernah juga aman damai dalam erti kata yang sebenarnya. Rakyat sebenarnya terpedaya dengan segala nikmat kemewahan duniawi yang sangat sementara sifatnya ini. Hingga acapkali tegar melakukan dosa dan kemungkaran kepada pemberi segala nikmat yang dikecapi ini. Buktinya, di bumi Malaysia yang kononnya negara Islam ini, tanpa sebarang ancaman dan ugutan untuk berhijab yang sememangnya kewajipan bukan sunat ataupun harus hukumnya, masih terlalu ramai muslimah yang enggan melaksanakan syariat ini. Berbeza benar dengan seorang muslimah yang sanggup bertempur maut dibunuh kejam di bumi Jerman yang tidak mahu menerima Islam sebagai addin.


Melihat keadaan sebegini, diri sering diingatkan oleh mata hati yang celik, masih mahu berehat dan sekadar hidup seadanya? Andai semua yang sedar realiti perit ini sekadar berpeluk tubuh, bagaimana mungkin keadaan boleh berubah? Justeru, terpaksa menguatkan diri yang kerap lemah daripada gagah, kerap culas daripada bersungguh untuk meneruskan langkah perjuangan. Walau kekadang bahkan semakin kerap kini, terpaksa berfikir sendiri, bertindak sendiri bagi memastikan hasrat hati merubah kebathilan kepada kebenaran menjadi manifestasi janji.


Dalam keadaan sahabat-sahabat punya urusan diri yang tersendiri, terasa benar keikhlasan berada di jalan juang ini teruji. Membisikan kata hati pada minda yang merencana, berada di jalan juang ini kerana dia? kerana mereka? atau kerana Allah? Jika keranaNYA semata, kenapa perlu gundah dan gulana tatkala sendiri. Biarkanlah mereka..jangan diganggu urusan mereka. Pastinya mereka sudah merangka jawapan untuk dipersembahkan di hadapan PENILAI AGUNG dihari perhitungan kelak. Uruslah diri sendiri yang masih jauh daripada taraf mukmin muttaqin dan masih belum layak dipanggil mujahidah solehah atau serikandi sejati. Lagipun diri tiada jawapan atau alasan untuk diam seketika atau berehat sebentar di jalan juang ini. Tiada pilihan lain melainkan terus dan terus mengorak langkah perjuangan!! Takbir!


[entry motivasi diri di malam yang sedang dibasahi hujan renyai-bukti jiwa terkesan dengan status "baru" iaitu belajar dan berusaha bergerak dengan kaki sendiri]

Wednesday, July 8, 2009

Tidak perasan terlebih perasaan..

"tadi saya baca blog..macam sedih jak"

"ya ka..ntahlah..akak terlalu mengikut rasa kot"

Antara bicara petang ku dengan salah seorang adindaku yang diharap-harapkan menjadi mata rantai perjuangan di bumi Tawau ini.

Tidak dinafikan, bicara_sufi seakan menjadi diari mayaku. Semasa berhajat membina blog ini, aku sudah berkira-kira apa isi kandungannya. Hajat di hati sememangnya mahu menulis apa saja yang di rasa. Asal masih menjaga adab dan tatasusila penulisan. Tidak membuka aib sesiapapun. Itu yang harus dipatuhi. Lagipun blog ini adalah blog peribadi. Kalau mahu bicara-bicara rasmi, sila kunjungi blog DMPKT. Disitu aku cuba menulis dengan lebih ilmiah dan topik yang lebih berat. Walaupun penulisannya masih terlalu mentah dan baru mahu merangkak. Mencuba lebih baik dari sekadar duduk diam kan?

Semalam juga bersembang dengan sangat panjang dan "panas" dengan seorang sahabat seperjuangan. Berkali-kali beristighfar dan menahan genangan air mata dari terus tumpah. Membina rasa "ego" diri. Jangan mudah sangat kalah pada airmata. Ada ketikanya, mahu sahaja terus "sign out" tatkala terasa bahang jiwa sudah memuncak. Cepat-cepat mengawal diri. Menafikan label "emosi" yang diberikan oleh dia dan mereka.

Konklusi dari perbincangan itu, aku sedar dari lamunan. Apa yang kita lakukan dan berikan pada orang lain, belum tentu akan diterima dan ditafsir mengikut acuan kita. Kekadang kita rasa, kita sedang melakukan sesuatu yang terbaik untuk orang lain, rupa-rupanya kita sekadar menadi beban yang terpaksa digalas oleh orang lain.

Inilah kehidupan. Penuh dengan warna-warnanya. Hari ini kebetulan, pelangi tidak menzahirkan dirinnya. Membiarkan seketika hati dan jiwa bersinarkan cahaya kesuraman. Bukan tanda Allah tidak mahu memberikan sejalur sinar kebahagiaan, tetapi Allah mahu mengajar, menyentak lamunan palsu, merasakan diri sudah hebat dan baik. Walhal, masih terlalu banyak kekurangan diri. Berusaha dengan gigih, lebih menjaga diri dari menjadi duri hati..semoga keterlanjuran selama ini dimaafkan oleh mereka yang disakiti dan diampunkan oleh Dia yang memiliki diri.


Monday, July 6, 2009

Hilang arah

"kurang awak bercakap kalau awk puasa"

"sambil tersenyum [senyuman tidak semanis biasa]..taklah..saya ada banyak masalah ni"

"masalah apa?"


"tak apalah..rahsia"


Dialogku dengan teman sebelah meja, disekolah awal pagi ini. Dialog yang membuatku termenung-menung sendirian. "Banyak masalah". Ayat yang tak kurancang pun tuk dipaculkan. Sekadar ayat bela diri, puasa penyebab aku kurang bercakap. Walau hakikatnya memang benar. Itulah sebabnya orang yang banyak sangat cakap macam aku ni kena puasa. Sambil tahan lapar dan dahaga, tahan lisan dari terus berbicara. Apatah lagi yang sia-sia.

Betulkah aku ada banyak masalah? Cuma yang pasti, aku semacam memikirkan sesuatu. Bagai ada yang tidak menyenangkan diri. Dan pastinya bukan hal keluarga. Ahli keluargaku semua dalam keadaan biasa-biasa saja. Kalau ada yang berkelakuan luar biasa pun, aku sudah boleh menganggapnya biasa. Pasti saja hal perjuangan. Bisik minda pada hati. Hati seakan akur pada telahan minda. Aku rasa bagai tidak "puas" berada di laluan perjuangan ini.

Rasa diri bagai nak memecut laju. Tetapi terpaksa menahan rasa-rasa itu kerana hakikatnya tak mampu berlari berseorangan. Jenguk kanan dan kiri, bagai tiada yang boleh ditarik, diajak atau dipaksa berlari bersama. Semua punya hal peribadi yang tidak boleh dicampuri.

Bila dalam zon "hilang arah" begini..keadaan sangat bahaya sebenarnya. Bila-bila masa langkah yang mahu dihayun gagah, berhenti atau diam seketika. Masa itu, pasti saja label [futur] paling sesuai diberikan. Sungguh, aku tidak mahu sesekali memakai label itu. Maka tiada lain, berpautlah pada dahan keikhlasan. Biar langkah terus maju walau tersekat-sekat.

Dalam masa yang sama, aku juga merindukan sesuatu yang hilang. Kemeriahan berfikir, merencana dan bergerak bersama-sama mereka-mereka yang pernah sama-sama berbaiah mahu terus berada di dalam juang ini. Acapkali berfikir dan terfikir, siapa yang tersilap dalam kekusutan dan keserabutan ukhuwwah ini. Menanti dengan harap..semuanya kembali pulih!





Saturday, July 4, 2009

Luahan senja

Sabtu yang menyenangkan! Hari ini tidak perlu hadir ke sekolah. Punya ruang untuk memanjakan mata. Hobi lama yang terpaksa di buang jauh-jauh dek kesibukan tugas rasmi mahupun urusan perjuangan. Tidak mengapa terpaksa membuang hobi ini kerana urusan akhirat yang lebih utama. Dunia ini nimatnya kan sekadar sementara cuma. Carilah nikmat yang lebih kekal dan jauh lebih lazat. Akhiratkan semua urusan dunia.

Semalam sempat bermesyuarat bersama adik-adik JPP/M [ Jabatan Pembangunan Pelajar/Mahasiswa]. Membincangkan dan mengemaskini hala tuju serta perancangan aktiviti gerakan pelajar di bumi peladang ini. Walaupun jabatan ini di bawah dewan pemuda, aku "menebalkan" muka mengambil posisi di dalam organisasinya. lagipun telah mendapat restu dan persetujuan ketua pemuda yang lama. Rasanya ketua pemuda yang baru juga tidak ada halangan dengan kehadiran bbrapa orang muslimat dalam organisasi ini.

Membicarakan tentang gerakan pelajar, bumi Tawau memang bertuah. Generasi pelapis perjuangan kebanyakan dilahirkan oleh PERPPIS[Persatuan Pelajar Islam], di bawah asuhan Penasihat Amnya, Cikgu Mohd. Nasir Ali. Disnilah kami diajar mengenal perjuangan. Arif membezakan adat jahiliah dan amalan taqwa. Sedar dan tahu peranan serta tanggungjawab bergelar khalifah di alam buana ini. Tidak sekadar menghabiskan usia remaja yang bermakna ini dengan buku-buku akademik, berseronok bersama rakan dan teman sebaya ataupun meluangkan masa bersama keluarga tercinta. Tidak sekadar itu! Tetapi memaknakan hidup dan kehidupan dengan menimba pengalaman berorganisasi, menjadi da'ie agar mampu dicontohi oleh rakan sebaya yang lain dan daalm masa yang sama cemerlang akademik serta sahsiah diri.

Seharusnya gerakan pelajar perlu terus hidup dan subur. Bahkan semakin progresif dan proaktif. Apatah lagi dalam dunia semasa kini, graf peningkatan krisis moral remaja muslim tidak pernah menunjukan penurunan. Bahkan meningkat saban tahun. Kes-kes yang timbulkan pula, bukan alang-alang. Bagai tidak terfikir akal rasional kita seteruk itu akhlak remaja hari ini. Bekerjaya sebagai guru, lebih mendedahkan diri ini dengan dunia remaja. Melihat tingkah remaja-remaja yang bermasalah ini, sememangnya cukup memedihkan jiwa. Bertambah pilu, apabila ibu bapanya tidak memainkan peranan sewajarnya. Bahkan kekadang menjadi punca si anak terus liar dan memberontak.

Selepas mesyuarat unit disiplin Khamis lepas, aku jadi banyak termenung dibuatnya. Apa tidaknya, kes-kes disiplin yang kami bincangkan semuanya dahsyat dan kebanyakannya melibatkan remaja muslim. Ada satu kes, ibu-bapa pelajar tersebut hanya mampu berkata

"Kami pun sudah tidak mampu mengawal anak kami, cikgu. Biarkan lah dia. Yang penting dia boleh ambil PMR."

Bayangkan, ibu-bapa yang sepatutnya pelindung, pendidik dan pembimbing si anak, juga sudah surrender. Tentu saja si anak akan menjadi liar dan lebih bebas. Setakat mana sajalah kuasa yang guru ada untuk mengawal "anak" orang lain. Mahu dirotan jika keterlaluan, terpaksa berfikir 1000 kali. Tak pasal-pasal, disaman nanti. Itulah dilema guru zaman kini. Sudahnya, nasihat lah. Mujur kalau hendak didengar. Paling tidak kena jeling dan dijawab :

"Bapa saya pun tak pernah nasihat dan tegur saya, cikgu pula pandai-pandai ya."

Faktor-faktor beginilah antara penyebab krisis moral semakin meruncing. Anak muda sudah hilang rasa hormat pada insan yang sepatutnya dihormati. Sudah lupa jati dirinya melayu-muslim yang kaya dengan akhlak mahmudah.

Cabaran semakin kuat, dugaan semakin bertambah. Insan-insan yang sedar diri dan akur punya tanggungjawab mendepani cabaran dan dugaan ini, perkemaskan langkah, perkayakan strategi. Mereka lancarkan perang, dayusnya diri kita andai lari meninggalkan gelanggang. Dakwah satu kewajipan, bukan pilihan!!!!

Wednesday, July 1, 2009

Santai-santai

Seawal maghrib, aku menerima satu sms daripada seorang sahabat yang sedang berkursus di Sandakan sambil melupakan seketika bumi Tawau [katanya padaku].

white = silent
blue = honest
red = helpful
pink = naughty
violet = luvly
brown = cool
orange = smart
grey = talkative
yellow = gorgeous
black = cute

Which colour/s suite me?


Memerah otak beberapa minit, aku membalas " yellow" kerana itu "trademark"nya semasa di matirkulasi dulu. Tapi sesuai juga warna itu dengan karektornya. Walau kekadang "orange" lebih kerap ditonjolkannya.

Usai memberi respon sms sahabat itu, aku menghantar kembali sms ini kepada beberapa orang responden. 2 lelaki dan 8 perempuan. Daripada 10, hanya 6 yang memberi respon. 4 orang tidak menjawab pertanyaanku ini. Mungkin tidak memahami soalan. Atau lewat malam baru mendapat jawapan. Sebab mahu dikata tiada kredit, mereka mengguunakan postpaid bukannya prepaid.

Dapatan yang aku perolehi, undi terbanyak melabel aku sebagai talktive dan honest. Pandangan minoriti mengatakan aku luvly, naughty, smart dan cool. Sorang mengatakan aku "cute". Tetapi pandangannya ditolak kerana dia mengatakan tidak mengenaliku. Aku sengaja meng"sms"nya menggunakan nombor sabahku. Mahu melihat reaksinya. Ternyata dia tidak dapat membaca maksud tersirat yang cuba disampaikan. Tidak mengapalah...

Rumusan daripada "kajian personaliti diri" ringkas ini, manusia melihat kita dengan pelbagai sudut dan perspektif. Namun pandangan itu lahir kesan sikap dan perlakuan yang kita pertontonkan kepada mereka. Apapun jua label yang kita terima, suka atau tidak perlu direnung bukan difikir-fikirkan dengan keterlaluan. Kalau kita selesa dengan sikap kita, ya..teruskan. Asal saja masih dibawah landasan akhlak mahmudah dan terikat dengan rantai syariat yang mengawal gerak laku agar jangan diluar keterbatasan agama.


[sebenarnya diusia yang sedang bertambah ini, mahu membuang label "talktive"..penat sudah di"cop" outspoken..lagi penat asyik menjadi mangsa membentang, menjadi wakil memberi pandangan atau sasaran mata apabila sesi soalan dibuka dalam mana-mana majlis ceramah/kuliah..huhu..serius..penat! mahu lebih banyak menulis daripada berkata-kata]

Pelangi Indah

  P agi ini seperti kelmarin. Hujan gerimis membasahi bumi. Mentari seakan malu keluar menyinar alam. Kabus tebal masih kelihatan di puncak ...