Monday, August 31, 2009

Kreatifnya Insan Bernama Manusia
































Sunday, August 30, 2009

Hilang dan pergi...


Salam Ramadhan..

Hari ini mengisi cuti yang terakhir. Memang terlalu "malas" bila memikirkan esok perlu ke sekolah. Bertambah beban di minda bila mengingati kerja-kerja yang menanti disempurnakan. Untuk tidak terus mematikan "mood" baki cuti ini, harus mengarah minda supaya berhenti memikirkan hari esok. Sebaliknya menghayati dan menghargai sepenuhnya hari ini. :-)


Seharusnya begitu..hargai hidup yang sedang dilalui. Optimumkan sepenuhnya penggunaan masa untuk sesuatu yang berkualiti. Corak kehidupan hari ini adalah kenangan untuk esok hari. Mahu sentiasa punya memori yang manis untuk dikenang di esok hari, pastikan yang terbaik untuk hari ini. Antara tips menjadikan hidup lebih manis dan bermakna, ikat diri dengan jalan perjuangan dengan erat dan utuh. Jom..terus berjuang!


Friday, August 28, 2009

Terima Kasih Mak..


Salam Ramadhan

Semakin pulih..itu rasa hati tika ini. Fizikal pun bermula hari ini, sudah kurang sakitnya. Sakit yang "dideritai" seawal usia 9 tahun. Puas sudah menelan pelbagai pil, menyapu pelbagai ubat. Tidak juga hilang untuk selama-lamanya. Kekadang muncul dan memberi peringatan pada diri yang kekadang terlupa apa itu "sakit". Inilah hikmahnya "sakit misteri" ini. Peringatan buat diri!

Esok ada satu program akan berlangsung. Sejenak di Kg Pasir Putih. Kampungku sendiri. Tugas sebagai ajk perhubungan dan promosi diamanahkan pada ku kali ini. Buat pertama kali program, aku terasa bergerak "sendiri". Tidak terasa amal jama'ie nya kali ini. Agaknya kerana tugasan kali ini memang tidak memerlukan keterlibatan sahabat-sahabat yang lain. Syukur sangat kerana mak yang tersayang sangat banyak membantu. Aku langsung tidak membuka mulut mempromosikan program ini. Memang aku jenis berat mulut. Apatah lagi dengan orang-orang kampung. Walhal hampir saban senja membawa anak buah , Nabilah, berusia 1 tahun 10 bulan itu keliling sekitar rumah. Kalau bertembung mana-mana makcik atau pakcik yang mengusik Nabilah, aku hanya menguntum senyum. Tidak ringan mulut untuk menyapa mesra. Macam manalah nak jadi da'ie berjaya ni. Huhu..

Emak lah selama seminggu ini setiap petang menjenguk ziarah memaklumkan jiran-jiran yang layak mendapat sumbangan untuk hadir program ini. Mak langsung tidak kisah yang program ini adalah program PAS. Sebuah parti politik ISLAM yang masih asing di kalangan penduduk kampung seperti kampungku ini. Kalau program parti cap Keris yang dah"tumpul" atau parti lambang dacing yang memang "berat sebelah", tidak menghairankan mereka. Apatah lagi di kampungku turut menetap seorang YB yang rumahnya besar dan kereta-keretanya juga besar. Mereka memang cukup sinonim dengan parti kerajaan 1Malaysia ini.

Parti Islam Semalaysia belum lagi jelas di mata dan telinga mereka. Masih samar-samar. Harapnya usaha mak mengumpulkan 20 orang jiran-jiranku esok akan membantu mencelikan mereka apa itu Parti Islam Semalaysia. Yang lambangnya sangat mudah. Bulan bulat penuh berwarna putih dilatari warna hijau yang mengamankan.

Keterbukaan emak memahami perjuangan yang kudokongi ini satu anugerah yang cukup besar nikmatnya bagi diri. Mudah benar hati mak menerima perjuangan ini. Tidak perlu kusyarahkan panjang lebar. Cukup sekadar membawa contoh di depan matanya. Contoh jalan kampung yang tidak pernah dalam sejarah sejak ku diaminya, elok tanpa lubang walau hanya seminggu cuma. Apa tidaknya diturap cantik hanya menjelang pilihanraya. Itupun turap macam mahu tidak mahu saja. Kekadang, untuk menambah bukti, aku sengaja membawa mak lalu pusing-pusing sekitar di rumah YB. Meminta mak membanding sendiri jalan di sekitar rumah YB dengan jalan di sekitar rumah kami, atau jalan-jalan di tempat lain di kampung ini. Tidak payah membuka mulut, mak sendiri akan berkata. "Bilalah orang mahu sedar ini..masih lagi mahu undi BeEnd."

Alangkah indahnya kalau semudah ini juga mak bisa memahami bahawa adat-adat yang diwarisinya tu tidak semuanya boleh diguna pakai. Benarlah kata pepatah "biar mati anak jangan mati adat". Keadaan ini, sekali lagi membuka minda hati, dakwah bukan sekadar membawa manusia untuk bantu membina sebuah daulah islamiah di bumi Malaysia dengan satu undi semasa pilihanraya. Tidak memadai. Dakwah harus mampu mengeluarkan manusia-manusia dari segenap aspek jahiliah dan membawa kepada taqwa sepenuhnya. Membawa manusia hanya berada dalam manhaj Lailahaillallah.

Merealisasikannya tidak semudah mengatakannya. Namun, buat masa ini, hingga ke hari ini, aku masih tidak dapat menafikan Parti Islam Semalaysia, sebuah harakah islamiah berkonsepkan dakwah-siasah platform terbaik untuk aku melaksanakan kewajipan menyeru yang hak dan menentang yang bathil. Semoga aku terus terpilih..terus ada rezeki..hingga biarlah aku mati bersama jalan perjuangan..doaku buat kesekian kalinya..aku mohon Ya Rabb..


Wednesday, August 26, 2009

Format Minda & Jiwa

Salam Ramadhan..

Memang pantas benar masa berlalu. Meninggal pergi kisah semalam, menyelam apa yang berlaku kini dan memburu sesuatu yang tidak pasti esok. Cuti persekolahan penggal kedua, cuma berbaki 3 hari. Ramadhan pula sudah masuk hari keenam. Semuanya bagai sekelip mata. Terus berlalu namun kehidupan masih jua tetap dan kaku begini.

Sepanjang cuti sekolah ini, langsung tidak mahu memikirkan hal-hal persekolahan. Sememangnya mahu melupakan tugas-tugas itu. Namapun cuti. Kalau cuti pun nak fikir hal sekolah, baik tak payah cuti kan. Biarlah kerja-kerja sekolah itu diselesaikan di sekolah juga. Barulah kena dengan tempat dan masanya.[helah bela diri orang yang agak malas]

Sejak Ramadhan membuka lembarannya, masa lebih banyak dihabiskan bersendiri di bilik. Samada bilik "tumpangan" di Taman Daya Maju [rumah kakak] ataupun bilik "tumpangan" di Kg. Pasir Putih [rumah mak]. Kalau berteman pun berteman dengan laptop pinjaman ini. Kalau bercerita pun, bercerita dengan sahabat-sahabat yang sudi menyapa di YM. Pokoknya butir suara jarang kedengaran. Tidak pasti samada keadaan ini sesuatu yang positif atau tidak. Pasti ada pro-kontranya.

"Awak kan memang selalu tak normal., tak macam orang lain" Pandangan seorang sahabat yang aku kira sangat mengenali diri ini.

Semasa dia membuat tafsiran diri itu, mulanya tidak mengambil kisah sangat. Tetapi apabila memikirkannya semula, tidak senang duduk juga dibuatnya. Biar betul tak normal..tak normal tu macam dah dekat-dekat dengan "@#%$"...Na'uzubillah..

Tetapi ada ketikanya, kerap sendiri begini terasa bahagia dan tenang. Ada ketikanya, sunyi dan sepi. Kalau diikutkan sangat rasa-rasa hati, mainan-mainan jiwa ni, memang tak ke mana lah jawabnya. Dalam memuhasabah diri, bersyukur sangat..sangat-sangat-sangat [jangan tiru ayat ini..salah dari hukum tatabahasanya]..di lahirkan ke dunia sebagai muslim. Mudah-mudahan mampu menjadi mukmin-muttaqin. Sentiasa ada tujuan dan matlamat hidup. Tidaklah membiar masa berlalu begitu sahaja. Dalam mood "jiwa tidak menentu" ini, bersukur sekali lagi, hadirnya Ramadhan Kareem. Tidaklah bertambah celaru jiwa. Bahkan bisa dilentur dan diasuh, lebih tenang dan tetap pada agama dan ketaatan pada Dia Sang Pencipta.

Kesimpulan entry ntahapapa ni, sentiasalah rasa bertuhan. Rasa ada yang mengawasi. Macam mana sekalipun mood jiwa kita, tidak lah sampai tega melakukan sesuatu diluar batas seorang muslim. Paling baik, cepat-cepat keluar dari mood jiwa kacau..jangan di layan sangat bah..

[tetapi pengalaman diri..tidak mudah nak lepas lari..apatah lagi kalau sentiasa dihantui bayangan kenangan silam yang kini tinggal memori..bestnya kalau dapat format tanpa buat backup semula minda dan jiwa ni..lepas format semuanya data-data lama hilang..mudahlah nak mulakan sesuatu yang baru..angan-angan..huhu]

Taman Daya Maju @ 2.00p.m

Tuesday, August 25, 2009

Sufi-Haraki-Ilmi

Semalam 4 Ramadhan, tidak sempat menukilkan sesuatu. Keletihan yang menerpa suluruh tubuh tidak memungkinkan jemari gagah mengatur kata menyusun bicara. Hanya mampu menyelesaikan amanah mengemaskini blog kawasan dan DMPKT. Syukur atas kemenangan di Permatang Pasir. Kemenangan Parti Islam yang pastinya adala kemenangan Islam sebenarnya. Pelbagai ulasan telah diberika oleh pelbagai pihak atas kejayaan ini dan kegagalan "parti satu lagi". Aku yang sememangnya kerap mengikuti perkembangan politik tanahair melalui pembacaan di pelbagai sumber media, adakalanya membaca dengan pelbagai emosi. Kekadang marah dengan sikap manusia yang sanggup melakukan apa saja demi sebuah kuasa, harta dan takhta. Kekadang menangis gembira kerana masih ada manusia yang sanggup mengorbankan harta, jiwa dan raga demi sebuah agama dan negara.

Naluri jiwa ini sebenarnya kurang gemar dengan "kisah-kisah politik" .Tetapi terpaksa dibelai dan dipujuk agar jangan terus membutakan minda dan jiwa dengan ceritera politik ini. Seperti yang banyak terjadi kepada golongan-golongan anak muda kini. Terutamanya yang bergelar wanita. Bukan apa perlu terus celik politik ini, ada banyak sebabnya. Antaranya yang sering disyarahkan dalam usrah dan juga tamrin-tamrin semasa di kampus dulu, politik ini adalah sebahagian daripada agama. Tidak dinafikan, ramai yang mengotorkan politik. Hingga politik sinonim dengan kezaliman, penindasan, rasuah dan apa jua istilah yang menjijikan pemikiran. Atas sebab itulah, seharusnya kita memilih parti politik Islam. Dapatlah kita menjaga diri dari turut mencemarkan kesucian diri dengan "najis-najis" kekotoran politik. Bukankah dengan Islam kita pasti selamat?

Semalam juga selesai mengkhatam sebuah buku yang dipinjam dari seorang teman. Buku berjudul Jatuhnya Sebuah Tamadun dan Khalifah Islam. Buku yang menceritakan dengan ringkas namun komprehensif kronologi pembinaan sebuah tamadun Islam yang dipelopori oleh Nabi Muhammad s.a.w ini hingga berakhirnya pada zaman kahlifah Uthmaniah. Kesimpulan yang aku buat daripada pembacaan ku, semaju mana pun satu-satu tamadun itu dari aspek perkembangan ilmunya, penjajahan kuasanya, kemantapan ekonominya, tapi jika ditadbir dengan politik yang jauh dan lari dari apa yang telah digariskan oleh syariat Islam, tamadun itu tidak akan bertahan. Politik itu diwarnai oleh sistem ataupun dasarnya dan juga pemain-pemainnya [pemimpin-pemimpin]. Dua unsur ini harus diikat ketat dan dirantai dengan kuat bersama syariat Islam. Barulah tidak goyah dan mudah dicerai beraikan oleh anasir-anasir kuffar dan taghut yang sejak azali diciptakan untuk menjatuhkan Islam.

Menyedari hakikat dan realiti ini, mahu tidak mahu, dalam usaha menanam kesufian di dalam diri agar mudah dan dekat dengan Allah Rabbul Jalil, harus juga punya minda dan jiwa yang haraki. Sedar kewajipan dan tuntutan diri sebagai individu yang punya peranan dan tanggungjawab membantu mendaulatkan Islam di bumi ini. Biarlah usaha itu tidak seberapa kesannya. Seperti beburung dalam kisah Nabi Ibrahim dan api. Kita tidak dinilai pada kejayaan ataupun hasil akhirnya, tetapi kita dinilai pada usaha yang kita lakukan dalam membantu agama suci ini. Dalam masa yang sama, perlu terus meneroka khazanah ilmu yang sangat luas ini. Jangan membunuh diri dengan kejahilan dan kebodohan. Barat maju kerana mereka sedar pentingnya ilmu. Hingga mengaut rakus khazanah ilmu milik umat Islam. Akhirnya umat Islam tingal apa? Tinggal sejarah dan kenangan sahaja...

Rindu Terhenti

TELAH KU TINGGALKAN
MEMORI SILAMKU ITU
TIDAK KU BIARKAN
HIDUPKU DIBELIT PILU
WALAU DUKA MENAMPAR DADA
WALAU SEPI MENCALAR HATI
RINDUKU TERHENTI

KU PINGGIRKAN SAYU
YANG MERUNDUNG KALBUKU
KASIH DULU KU BIAR BERLALU
KU PINGGIRKAN LARA
YANG BERPAUT DI JIWA
KU TERUSKAN HIDUP TANPA DIA

PADAM NYALA PATAH TUMBUH,
HILANG KAN BERGANTI
CINTA TIBA CINTA PERGI,
YANG AZALI KU NANTI

KU LUPAKAN MU JUA DISINI
RINDUKU TERHENTI
SEJAK KAU PERGI MENJAUHI
RINDUKU TERHENTI

[ketika mendengar lagu ini..terasa sesuatu yang mendalam di sudut jiwa..mencari dan menafsir apa kaitannya dengan diri..sesuatu akan berlaku 2 Syawal 1423 H..semoga rindu ini benar-benar terhenti..selamanya pun aku rela..]

Monday, August 24, 2009

Sahabat Bloggers


Salam Ramadhan...

Sejak 3 hari Ramadhan membuka tirainya, jadual cuba di atur agar berhadapan dengan laptop dan mengakses internet hanya apabila urusan-urusan "Ramadhan" selesai disempurnakan. Kebiasaannya waktu yang agak panjang untuk berlama-lamaan dengan bicara_sufi seusai tarawih dan moreh bersama keluarga tersayang.

Sejak kewujudan bicara_sufi beberapa bulan ini, ada beberapa bloggers yang dahulunya merupakan adik-adik junior dan anak murid sendiri singgah kunjung di sini. Alhamdulillah keberadaan mereka di menara gading turut membuka minda mereka untuk tidak "buta" dunia tanpa sempadan ini. Blog-blog mereka juga sangat bagus. Punya "trademark" tersendiri. Lebih menyenangkan hati, daripada blog mereka jelas terpamer fikrah yang mereka dukungi kini. Kalau semasa di bumi peladang, tidak terzahir sejauh mana kefahaman mereka terhadap tuntutan perjuangan. Apatah lagi mereka bukan daripada generasi PERPPIS yang memang tidak dapat di sangkal sumbangan dan perngorbanan mereka pada perjuangan.

Situasi positif begini, diharapkan dapat berterusan sehingga mereka selesai melaksanakan amanah di menara gading sana. Paling penting merealisasikan aspirasi perjuangan yang mereka manifestasikan dalam blog masing-,asing dalam benetuk pengamalian bersama wadah perjuangan di kawasan Tawau atau di mana-mana tem;at mereka berada kelak.

Dalam perancangan di minda, insyaAllah akan diusulkan kepada individu-individu berwajib untuk menyegerakan kelahiran komniti "sahabat bloggers" kawasan Tawau. Walau ramai juga yang memandang dunia ICT ini belum terlalu berkembang dan diguna pakai dibumi Tawau ini. Tidak mengapalah, kami para bloggers dan pengguna internet mahu juga memastikan wujudnya komuniti bloggers di alam maya ini. Biar satu dunia tahu, kami mahu turut serta mewarnai wadah penyebaran dakwah dan fikrah menerusi dunia maya ini.

Justeru, saya menyeru kepada semua bloggers supaya terus aktif berkarya. Terus aktif menyampai sesuatu. Jangan biarkan blog kita seperti rumah usang tidak berpenghuni. Blog Anda Tanggungjawab Anda!!

Sunday, August 23, 2009

Usrah Panjang

Salam Ramadhan..

Berakhir lagi 2 Ramadhan..hari ini masa terisi dengan usrah "panjang" bersama pimpinan DMPKT dan DMPNS. Memang lama sangat usrah hari ini. Mahu hampir 4 jam. Berkelapangan semuanya.Tidak perlu kalut bergegas ke rumah untuk menyediakan hidangan tengah hari. Seperti kebiasaan aku lewat sejam kerana perlu ke SK Kem Kabota untuk sesi "mencari duit tambahan" [tuisyen].

Dan seperti kebiasaan juga, sepanjang sesi usrah aku sekadar menjadi pendengar setia. Tidak kedengaran butir suara ku bertanya atau menambah fakta. Entah kenapa..tapi aku perasan, memang begini tingkahku tika berada dalam kelompok yang usianya jauh lebih tua dan matang dari aku. Menjadi hobi untuk aku sekadar menjadi pemerhati. Belajar dari pengalaman mereka. Secara tidak langsung, aku yang paling muda dalam kumpulan usrah ini juga menjadi ahli usrah yang paling pendiam. Tidak mengapa, aku suka keadaan ini. :-)

Hari ini, isu yang masih berbekas di minda isu ukhuwwah dan kebajikan sesama ahli. Dua isu yang agak panas dibincangkan. Andai kita baca mana-mana buku perjuangan, nilai ukhuwwah ini tidak boleh dipandang sebelah mata. Aku juga akur keadaan ini.

"Ceritalah macam mana Amirah jaga ukhuwwah Nisa'. Susahnya nak bertaut hati ni kan." Tegur seorang kakak yang duduk di sebelahku.

"Hmm..ukhuwwah Nisa' pun tak lah mantap sangat kak.." Balasku dengan senyuman kelat.

Tidak mahu terus dia meminta aku menambah perasa pada perbincangan. Seusai dia bertanya, ligat aku berfikir, inikah pandangan "orang luar" pada ukhuwwah Nisa'? Termenung-menung aku dibuatnya.....

Kebajikan juga satu komponen berjemaah yang perlu dititikberatkan. Faktor individu boleh tercicir dari jalan dakwah juga boleh disebabkan kebajikannya yang tidak terbela. Cuma kekadang simpati juga pada jemaah, dalam serba kedhaifan dan kekurangan, pastinya tidak mampu memuaskan hati dan menjaga semua perjuang-pejuangnya. Isu ini, bagi aku terpulang pada "rezeki" individu itu dengan jalan juang. Kalau rezekinya ada, apa jua kondisi diri pasti tetap terikat dengan perjuangan. Betapa ramai, yang kebajikan kurang terbela, hati diguris pedih tetapi masih tetap utuh bersama perjuangan. Segalanya adalah aturan Allah. Justeru sebagai hambaNya, wajib untuk kita terus meminta dan berdoa tetapkan kita di jalam juang ini. Walau apa jua keadaan kita. Susah-senang, bahagia-terluka, gembira-sedih atau apa sahaja.



Saturday, August 22, 2009

Kasih kian sirna

Alhamdulillah..berakhir juga 1 Ramadhan 1430 H. Banyak juga sms ucapan ramadhan yang kuterima. Walau tidak berbalas semuanya. Kurakamkan ucapan terima kasih sebanyak-banyaknya. Ingatan tanda kasih ukhwah yang menjadi sinar penyeri alam kehidupan. Walau sinar itu kurang sedikit serinya. Ada seseorang yang ku nanti sms nya tapi tidak jua kunjung tiba. Pastinya kesibukan mengurus hari bersejarahnya menyebabkan insan jauh nun di bumi bawah bayu ini tidak termasuk dalam minda dan jiwanya. Aku pula kekal dengan sikap "ego" tidak mahu memulakan bicara. Biarlah..membaja rajuk yang tidak dimengerti pun oleh dia. Dalam masa yang sama mahu mengurangkan perasaan hati pada makhluk bergelar manusia. Belajar mengeraskan hati!

Pagi ini memenuhi "on call" meeting program pertama Ramadhan. Sepetang di Kg. Pasir Putih. Anjuran Lujnah Kebajikan DMPKT dan Nisa' Kawasan Tawau. Seusai "meeting" bukan intipati "meeting" yang berbekas di minda dan jiwa, tetapi sikap "sahabat-sahabat" yang semakin sukar dimengerti. Komunikasi dua hala antara mereka dan aku bagai "panas" sahaja nadanya. Apa jua lontaran idea dan kata-kata yang aku lisankan semuanya bagai tidak kena pada mereka. Serius, aku cukup penat dengan keadaan ini. Sedangkan jauh disudut hati, aku hanya mahu sesuatu yang terbaik pada organisasi dan perjuangan.

Muhasabah juga diri, agaknya aku yang terlalu sensitif dan mengikut kata hati. Berusaha memadamkan dari kotak minda dan jangan terkesan di jiwa. Namun ternyata sedikit sukar. Apa tidaknya, sepanjang berada dalam laluan perjuangan di bumi peladang ini, mereka lah insan-insan yang akan sering aku berhadapan. Pasti sedikir sulit melalui hari mendatang. Kasih sudah tidak utuh, bahkan bisa lerai bila-bila masa. Hakikatnya, untuk terus "survive" dalam laluan perjuangan yang beronak duri ini, aku harus sedayanya mengeraskan hati dan lebih bersikap tidak ambil kisah pada soal hati dan perasaan. Perlu akur pada realiti, keadaan dan nilai ukhuwwah ini sudah tidak seperti dulu. Sejauh mana aku berusaha mengembalikannya pada paksi asalnya, ternyata semuanya sia-sia sahaja. Dia sudah mengikrarkan "ukhuwah" ini sudah berbeza dan tidak seperti dulu. Perit dan pedih, namun perlu ku telan jua. Aku seorang tidak mampu menjulang ukhuwah ini.

Hikmah dan ibrah yang perlu kuhadam sebaiknya dari semua kisah tidak ceria ini, tiket untuk terus kekal dalam laluan perjuangan ini hanya satu. Ikhlas semata kerana Allah. Sesuatu yang sukar, tidak statik sifatnya dan perlu sentiasa diperbaharui. Inilah cabaran sebenar yang perlu ditangani hingga berjaya. Andai gagal, gagal jugalah jawapannya komitmen dan pengorbanan yang difokuskan disepanjang jalan perjuangan ini.

Jauh disudut hati, terus mengharap, andai kasih sudah tidak bersemi, jangan sampai ada benci. Aku akur, aku punya 1001 kekurangan diri. Mohon untuk bisa dimaafi!!!

[entry yang bersifat peribadi-maaflah kepada yang singgah ziarah namun tidak peroleh apa-apa..sesekali rasanya perlu juga meluah rasa yang terpendam lama dijiwa..khuatir menjadi barah menggugat rasa pada sebuah perjuangan..]

Wednesday, August 19, 2009

Cuti Rehat Khas

Hari ini sengaja mengambil cuti. Memang teringin benar untuk merehatkan diri di waktu sepatutnya perlu bekerja. Lama sudah merancang mahu cuti. Baru terkabul hari ini. Mahu melupakan seketika dunia SMKJPT. Menyiapkan urusan-urusan perjuangan yang tertunggak. Bangun subuh hari ini, peti mesej handset ada satu pesanan dari setiausaha kawasan.

"Harap dapat update blog kawasan dengan kadar segera"

Mesej ingatan ingatan pertama untuk bidang tugas ku dalam penerangan kawasan. "Tukang Update Blog". Itu label bidang kerja yang aku berikan untuk diri. Terasa tidak seronok sebenarnya apabila mendapat mesej ingatan seperti ini. Terzahir benar kecuaian melaksanakan tugas yang diamanahkan sebaik mungkin. Namun, apakan daya, minggu ini benar-benar berperang dengan masa. Hingga aku tidak sedar, hari ini sudah masuk hari Khamis. Macam baru sahaja rasanya munaqasyah di Sg. Imam.

Mujur aku cuti hari ini. Selesai sahaja urusan-urusan dengan DIA, segera aku membuka laptop "pinjaman" ini. Menyegerakan tugasan yang diminta. Alhamdulillah..berjaya juga. Selebihnya cuti aku isi benar-benar dengan berehat dan merehatkan mata. :-D

Semoga dengan kadar rehat yang mencukupi ini, menjadi bekal untuk diri menyambut bulan pesta ibadah dengan sebaiknya.

Monday, August 17, 2009

Hari yang memeritkan...


"Cikgu kelas sekarang.." Terjah pertama dari Sufi..pelajar kelas 5G

Terbantut seleraku yang tengah menjamu nasi lalap di kantin pagi-pagi ini.. Dup-dap jantungku..ish..macam mana aku boleh silap jadual ni..Memang selera sudah mati..namun meneruskan juga suapan-suapan terahir..tidak mahu kelihatan gabrah dihadapan rakan sekerja yang juga tengah sama menjamu selera.


"Ada Cikgu Kasma [baca Amirah Izzati ] ? Terjah kedua dari Penolong Kanan Pentadbiran.

Muka sudah kelat pucat..semua guru dikantin menumpukan pandangan pada Penolong Kanan.

"Cikgu ada kelas kan sekarang? Tanyanya padaku dengan wajah yang cukup serius

"Maaf cikgu, saya terlupa" Jawabku dengan nada getar.

"Macam mana boleh silap? Dah lama guna jadual tu." Bahasnya lagi

"Tak tahu lah cikgu..saya silap tengok." Hanya ini yang mampu kujawab.

Tanpa banyak berkata, sempat lagi aku meneguk teh tarik dan menyuap beberapa suapan ayam lalap yang pertama kali ku cuba dikantin tahun ini. Aku perasan, rakan sekerjaku memandang aku dengan pandangan cukup simpati. Aku pantas meninggalkan mereka dengan kuntuman senyuman pahit.

Pengalaman pertama diterjah dan dimarah dihadapan khayalak ramai. Punca dari kecuaian diri juga. Memang tidak menyeronokan. Sekembalinya aku ke bilik guru, kisah ku masih heboh dibincangkan rakan sekerja. Rasa bersalah pula aku. Tak pasal-pasal aku menjadi asbab "kutukan" percuma kepada PK Pentadbiranku. Walau hakikatnya dia tak bersalah pun. Dia hanya menjalankan tugas. Cuma mungkinlah caranya menegur anak-anak buahnya kurang berhikmah. Inilah pula yang menjadi hujah guru-guru menghentamnya. Nampaknya aku kena bersua muka lah dengan bos ku ini. Wajib aku meminta maaf kepadanya atas "umpatan-umpatan" yang keluar dan terkeluar dari mulut kami, anak-anak buahnya.


Keperitan hari ini ditambah dengan kekalutan menyiapkan tugasan-tugasan akhir data SMM. Memang memenatkan mengurus data guru-guru kelas yang cacat cela ini. Tiada kelas yang sempurna datanya. Bayangkan saja, ada 24 kelas perlu diselesaikan. 1 kelas pun sudah cukup membuatkan guru-guru kelas bising dan mengomel-ngomel, inikan pula aku kena menghadap 24 kelas. Aduh...inilah nasib guru smm. Seawal 6.40 pagi denga kadar rehat hanya 1 jam, aku hanya selesai mengurus data ini pada pukul 2.31 p.m Sengal-sengal bahu, sakit belakang dan pening kepala menjadi habuanku dek kesibukan ini. Terimalah semuanya..nama pun kerja, pasti lah ada susahnya. Kalau senang saja, makan gaji buta namanya..betul tak?

"Kak cikgu Rahman suruh kakak masukan munaqasyah dan ceramah Salahuddin Ayub dalam blog kawasan" Satu pesanan ku terima melalui YM semasa aku sedang kalut dengan data SMM
.


"InsyaAllah..boleh..tapi bukan sekarang" Hanya ini yang mampu ku balas.

Aku hanya mampu beristighfar dan berdoa di dalam hati, Allah mudahkan urusan dan beri kekuatan. Semua ini pasti dinilai disisinya andai aku mampu mempastikan ikhlas hadir dihati dan diri. Kekadang "jealous" juga melihat sahabat-sahabat yang lain. Senang dan mudah saja urusan dan laluan hidup mereka. Namun, tiada gunanya aku terus melayan monolog diri ini. Semua ini adalah bisikan-bisikan syaitan dan nafsu mahu menjauhkan diri dari rasa dan sifat kehambaan. Dari rasa sabar dan syukur yang harus menjadi pakaian seorang mukmin. Tatkala lemah dan lesu, segera berbalik kepada Dia..mengingati segala janji-janji yang ditawarkan buat hamba-hambaNya yang bersabar..



“Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan dapat masuk ke dalam syurga, padahal belum kamu mengalami duka derita yang pernah dialami dan menimpa orang terdahulu sebelum kamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 214)

Sunday, August 16, 2009

Mood yang Sihat

Letih..lenguh..lemah. 3L yang sesuai menafsir keadaan diri tika ini. Pasti 3L ini turut dirasai sahabat-sahabat yang lain. Bermula hari Jumaat lagi jadual padat terisi dengan pelbagai aktiviti. Samada semasa di sekolah hatta selepas sesi persekolahan. Bermula dengan Quranic Qroup (Jumaat), ceramah Umum Salahuddin Ayub (Sabtu) dan berakhir dengan Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden (Ahad). Ini program-program perjuangan yang wajib dihadiri. Ditambah lagi pengurusan data SMM yang kalut minta dihantar dan juga kewajiban memenuhi keperluan mak dan adik-adik yang juga tidak boleh dicuaikan.

Syukur kesihatan mengizinkan. Mampu terus memandu ST7909K yang tengah bersalut debu tebal.Tidak ada ruang dan kesempatan mencucinya minggu ini. Kalau ada sedikit masapun, kudrat tidak mampu digerakan melakukan kerja "berat" mencuci kereta itu. :-D [ada siapa-siapa nak offer tolong cuci?]

Tetapi bila direnung kesibukan ini, masih terlalu jauh dari perngorbanan yang telah dan sedang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin dan insan-insan yang benar-benar menyumbang sepenuh jiwa raga untuk jalan perjuangan ini. Ramai yang kesihatan tidak mengizinkan, namun menguatkan diri agar tetap kelihatan sihat. Ramai yang tidak cukup masa, tetapi mencari juga ruang masa demi memenuhi tuntutan perjuangan.

Mood dan motivasi berjuang tengah berada pada tahap yang "sihat" tika ini. Maklum sahaja seharian berbengkel dalam munaqasyah. Menerima sebanyak mungkin input yang harus diproses sebaiknya demi menghasilkan output yang berkualiti. Semoga rasa-rasa "sihat" ini akan turut dirasai oleh sahabat-sahabat seperjuangan yang lain.

InsyaAllah..garapan minda dan wacana pemikiran yang berjaya disatukan dalam munaqasyah ini akan di terjemahkan dalam penulisan yang lebih ilmiah nanti. Semoga ada kekuatan untuk menulis..doakan semua.. :)

p/s - laporan rasmi program-program ini akan dimuatkan di blog-blog rasmi..tapi bukan hari ini ya..belum punya kekuatan..insyaAllah..sehari dua ini..

Thursday, August 13, 2009

Perginya Tak Kembali


Pasti ramai yang sudah maklum akan berita "pergi tak kembalinya" seorang insan bernama Asri Bin Ibrahim. Lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Asri Rabbani. Tatkala mengetahui kehilangan beliau menerusi blog episodesebuahperjuangan yang menjadi tatapan wajibku setiap hari, bagai tidak percaya rasanya. Terngiang-ngiang ditelinga lagu-lagunya yang menjadi santapan halwa telinga samada dirumah, sekolah ataupun semasa memandu. Aku sudah biasa mendengar alunan merdu suaranya seawal usia 9 tahun lagi. Kakak yang belajar di tanah semenanjung tika itu, kerap membawa kaset-kaset nadamurni. Dari situlah aku mula meminati irama nasyid hingga ke hari ini. Lagu-lagu yang masih segar ke hari ini seperti sunnah orang berjuang, ulama pewaris nabi dan pelbagai lagi lagu-lagu perjuangan sememangnya mampu menyuntik motivasi diri.


Pergi secara mengejut begini pasti perit dirasai terutamanya insan-insan yang dekat disisi beliau. Aku pernah merasakan pengalaman ini. Kehilangan insan bergelar bapa juga akibat serangan jantung sangat memberi kesan seumur hidup mungkin.


Hakikatnya inilah suratan yang sudah tercatat sejak azali lagi. Kita yang masih diberi ruang merasai apa itu kehidupan juga sedang menuju ke arah destinasi itu. Tempat perhentian jasmani sementara menanti hari perhitungan akan setiap yang kita lakukan di dunia fana ini.

Al-Fatihah untuk Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim..

Wednesday, August 12, 2009

Pengalaman Guru Terbaik

"Terbakar kan Kg. Vietnam.." cerita adikku di meja makan sedang kami menjamu mangga cicah sambal kicap.
Aku, emak dan adik bongsuku terkejut mendengar khabar buruk itu. Dari sumber yang aku baca dalam blog matbulan, kejadiaan berlaku dalam pukul 10.30 pagi. Sepanjang disekolah tiada langsung berita ini kedengaran. Balik sekolah sepetang pula aku memersp di rumah kakakku menyiapkan promo-promo program minggu ini sambil tolong menjaga anak buahku. Memang tidak melihat dunia luar lah aku seharian ini.

Mendengar khabar mangsa kebakaran ini, memang kami sekeluarga agak sensitif jadinya. Kesan kami juga pernah mengalami kisah hitam dan perit tinggal sehelai sepinggan. Peristiwa Foker 15 masih segar diminda kami sekeluarga. Walau mungkin ramai warga Tawau sudah melupakan peristiwa yang belaku pada 15 September 1995 pukul 1.00 tengah hari itu.

Keluarga memang teruji benar tika dan waktu itu. Aku yang berusia 12 tahun, dapat merasakan keperitan kedua orang tua dan juga kakak sulungku. Hampir setahun terpaksa menumpang teduh di rumah pakcik. Sesungguhnya segala yang berlaku ini adalah sesuatu yang telah ditentukan oleh Dia Yang Mentadbir alam ini. Kita diajar supaya bersabar dan tabah tatkala menghadapi ujian dariNya. Hanya ini yang mampu kami sandarkan menguatkan diri dan hati menempuh hari-hari yang sangat mencabar.

Semoga semua mangsa kebakaran yang diuji oleh Allah s.w.t akan terus sabar dan tabah. Yakinlah, ada hikmah atas semua ketentuan ini. Hikmah yang belum terzahir hari ini, tapi pasti dirasai suatu hari nanti.








Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: (Innalillahi wa inna ilahirajiun) "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya. – al-Baqarah : 157

PROGRAM MINGGU INI!!




Monday, August 10, 2009

Tuntutan waktu..

Bermula esok, dapat kubayangkan betapa kelam kabutnya aku dengan sistem maklumat murid (SMM) yang baru. Biasalah sistem baru pastinya banyak benda baru. Setakat nak "explore" sistem tiada masalah sangat. Masalah pastinya untuk mengisi data-datanya nanti. Hampir 600 pelajar perlu diselesaikan sebelum 15hb ini. AllahuAkbar..mahu juga tersembul biji mata menatap laptop tajaan KPM ni. :-) Kuranglah ruang dan masa "bermain-main" dengan internet..huhu

Tidak mengapalah. Berehat seketika. Lagipun bermula bangun pagi hari ini, jiwa terasa tenang sedikit. Agaknya kesan telah berjaya mendapat beberapa jawapan pada persoalan yang tertangguh beberapa bulan lamanya. Syukur sangat atas petunjuk dan bimbinganNya. Moga aku nekad dengan pilihan ini. Usah lagi ragu dan mahu berpatah kembali. InsyaAllah..

Sering berpesan pada diri, usia sudah lanjut. Sudah cukup dewasa. Sudah-sudahlah bermain-main dengan dunia. Sudah tiba masanya bahkan agak terlewat sudah, perlu fokus 100% pada perjuangan. Bila betul-betul duduk dan berada bersama pimpinan DMPKT, sesekali bermesyuarat bersama "bapa dan ibu" dalam kawasan atau bertukar-tukar fikiran dengan adik-adik DPPKT minda semakin terbuka hati semakin terarah, jalan perjuangan ini masih jauh, panjang dan berliku. Tidak ada jaminan mana-mana individu akan terus kekal bersama jalan juang ini. Segalanya adalah rahsia Dia Sang Pencipta. Maka harus dilalui jalan juang ini dengan penuh teliti dan hati-hati. Jangan sampai tersilap tingkah dan langkah. Langkah perlu kemas dan terarah. Ditambah lagi selaku muslimat yang banyak pantang larangnya. Maruah dan adab tatasusila harus DIUTAMAKAN sepanjang mengorak langkah di medan perjuangan. Jangan sampai mendatangkan fitnah dan memancing kontroversi. InsyaAllah..

Buat semua sahabat seperjuangan, andai kalian mengetahui, mendengar atau menyaksikan sendiri langkah-langkah pincang yang ku persembahkan dijalan juang ini, mohon dengan rendah hati, tegurlah insan kerdil ini...

Saturday, August 8, 2009

Masih samar

Tidak berniat dan merancang pun untuk menulis malam ini. Lagipun malam sudah agak lewat. Penyakit sukar melelapkan mata menyerang lagi minggu ini...Tetapi tiba-tiba pula rasa mahu menukilkan sesuatu. Desakan hati dan "mood" yang datang.Layan lah kejap.. :-)


Petang sabtu dalam sebulan dua kali, jadual terisi dengan usrah DMPKT. Alhamdulillah, masih mampu hadir walau acapkali lewat dalam sejam lebih. Usrah mula pukul dua, tuisyen habis pukul 3. Hendak berhenti tuisyen pun tidak boleh. Sudah mengikat kontrak hingga bulan 10. Selesai sahaja tuisyen, terus memecut laju ST7909K yang hanya berkuasa 1.0 cc itu. Syukur juga punya kereta kan. Ada yang hanya naik motor ataupun berkenderaan awam sahaja.


Macam biasalah, bila sudah lambat, banyak yang tertinggal. Sempatlah slot hadith dan muasabah pimpinan. Masih berbekas diminda slot muhasabah pimpinan hari ini. Walaupun diri belum mengalaminya lagi. Isu rumahtangga dan status sebagai isteri. Aku yang bujang, tetapi yang paling senyum lebar tatkala isu ini dibincangkan. "Ya lah..senyum je lah yang boleh..nak hurai panjang, pengalaman tiada lagi.." Cuma mengambil ikhtibar, menempuh alam perkahwinan sesuatu yang sangat mencabar dan rumit. Memerlukan persediaan segenap segi. Kekadang terfikir juga, mungkin sebab itulah agaknya, serunya belum sampai. Persediaan diri belum cukup dan sempurna. Masih banyak yang perlu dipelajari.

Terlalu ramai yang mengingatkan:

"masa bujang ni, boleh lah nak lantang-lantang cakap pasal perjuangan, pasal komitmen.nanti dah kahwin baru tahu keadaaan sebenar"


"harap dapat istiqamah seperti ini (masa bujang) walaupun dah kahwin nanti"


Apabila di"sergah" minda dan jiwa dengan ayat-ayat sebegini, memang kecut perut juga dibuatnya. Siapa yang mahu prestasi perjuangan merosot seusai berumahtangga. Pasti yang sudah melalui proses pentarbiyyahan tidak mahu sesekali menjadikan rumahtangga yang dibina untuk mencapai redha dan maghfirahNya sebagai perencat prestasi cemerlang dalam perjuangan. Bahkan pastinya mengharapkan bahawa rumahtangga yang dibina adalah baitul dakwah yang menjadikan diri lebih dekat dengan Khaliq dan memudahkan urusan dakwah-perjuangan.


Semuanya masih kabur dan samar. Masa depan yang tidak dapat diramal dan dijangkakan. Hanya mampu berdoa dan terus memohon, agar dianugerahkan suami, anak-anak dan rumahtangga yang menjadikan diri ini dekat disisiNya. Matlamat hidup ini hanya redha dan keampunanNya..hanya ini..

Friday, August 7, 2009

Menanti akhirnya..



senja melambai sepi
membiar sunyi hati
berteman jawapan tak pasti
masih kabur dan sangsi
pada sebuah janji
mampukah menjadi satu realiti

masih duduk mencengkam rasa
bagai kaku dan terpaku
hilang arah dan punca
laluan mana harus ditempuh

sukar meramal dan mentafsir
memilih tingkah terbaik
agar tidak berulang sesal
membekas diminda
berparut dijiwa

harus bagaimana menoktahkan
dua pilihan yang serupa dan seiras
namun tidak mungkin bersatu

Bila akan akhirnya
Keliru pada satu keputusan
hingga tidak perlu menoleh dan berpaling
mampu terus dan meneruskan
mencorak dan melakarkan
kanvas hidup berteman keyakinan
jalan dan laluan ini
pasti dan pasti menuju
DIA yang sejati lagi hakiki!



Wednesday, August 5, 2009

Terimalah aku seadanya..


Bermanfaat benar cuti H1N1 ini. Banyak perkara boleh diselesaikan. Sememangnya berkira-kira mahu meminta cuti rehat 1-2 hari sebelum ini. Mahu fokus membantu pengurusan kedai "Dr. Call Communication. Kedai adik lelakiku. Tanda sokongan padu padanya yang mahu berjinak dengan dunia perniagaan. Bagus juga ada usahanya ini. Kalau setakat mengharap gaji "office boynya" itu, hasrat hatinya untuk segera berumah tangga pasti sukar dipenuhi. Semoga langkah beraninya ini diteruskan dengan kesungguhan.

Permulaan pagi yang ceria ini dibuka dengan berdua-duan bersama bonda tercinta. Berkelapangan aku untuk membawa mak bersarapan roti canai di restoran yang digemarinya. Sempat lagi dia menyatakan hasratnya teringin makan laksa di "warung jawa". Jarang benar mak meluahkan permintaan sebegini. InsyaAllah...akan ku tunaikan sesegera mungkin. Apatah lagi mak jenis tidak suka makan diluar. Dia hanya akan makan roti canai dan kopi o panas di Restoran Keningau, laksa dan cendol di Warung Jawa dan tomyam ayam, nasi putih dan air suam di Utama Tom Yam. Hanya 3 tempat makan dan menu-menu ini yang boleh melepasi tekak mak. [hmm..siapa-siapa yang ada hati nak jadi menantu mak..ni antara tips memikat mak..hahaha..iklan lagi..]

Hari ini juga beresempatan bertemu dua orang anak muda, penerus perjuangan di bumi peladang. Bersembang sambil menjamu nasi beriyani di Yassin Curry House memang membuka minda. Jauh disudut hati, aku terharu bercampur bangga dengan kesedaran diri yang ada pada kedua-duannya. Sedar status dan peranan yang perlu mereka mainkan dalam meneruskan agenda perjuangan. Semoga kalian tetap istiqamah. Terima kasih juga atas belanja nasi beriyani tadi. Berbaloi menunggu lama!

Esok pula ada satu lagi temujanji. Dengan seorang adik yang pernah bertungkus lumus meneruskan gerak kerja cemerlang PERPPIS [selaku badan pelajar yang berwibawa dan disegani] di Tawau ini. Keadaan dirinya kini dalam ujian Allah. Aku sudah lama memikul rasa bersalah kerana gagal menziarahinya. Walaupun tugas itu sepatutnya tidak aku pandang sebelah mata. Apatah lagi dia pernah mengutus surat mengkhabarkan keadaannya yang tidak sihat. Aduh..sungguh rasa bersalahnya aku. Inilah kelemahan diri. Mudah terlepas pandang perkara-perkara "kemanusiaan/ukhuwwah". Agaknya faktor ini yang menjadikan insan lain melabel diri ini "serius-tegas". Label terbaru, "suka memberi tekanan". Sukar ya mahu menjadi yang terbaik di mata manusia. Semasa menerima panggilan telefon adik ini, aku tanpa berfikir panjang terus bersetuju untuk berjumpanya Khamis pagi. Aku kosongkan jadual ku demi memenuhi tuntutannya. Semoga pertemuan ku dengannya nanti dapat memberi sedikit kelapangan pada masalah dan derita yang dialaminya.

Semoga keperluan manusia pada diri ini dapat kulaksanakan dengan sebaiknya. Semoga semua yang mempunyai kepentingan pada diri ini mendapat apa yang diingini dengan secukupnya. Sesungguhnya aku insan yang penuh dengan kekurangan dan kelemahan. Namun sentiasa punya kemahuan dan azam untuk menjadi yang terbaik di mata kalian. Ku perbaharui salam kemaafanku atas segala khilaf dan kekurangan yang pernah aku zahirkan, fikirkan atau lisankan...

Monday, August 3, 2009

Kita yang kini JAUH

[KLIK SINI] untuk dengar lagu ini...


Sepi jiwaku sepi kerna kau tiada di sisi
Sunyi hatiku sunyi tanpa kehadiranmu kasih
Doaku semoga dirimu bahagia
Aku yang kini jauh
Damba keampunanmu
Khilaf antara kita
Kan terlerai akhirnya
Bersama ka
sih kita dan cinta
Moga berbahagia meniti harimu yang indah
Setia kunanti tiba saatnya kitakan bersua
Doaku semoga dirimu sejahtera

[sekadar lagu...sekadar gambar..namun lebih bermakna andai dimengerti dengan setulus hati..moga bertemu sinar kasih suci]




Generasi Penerus Perjuangan : Satu pemerhatian

SABAH masih terlalu jauh daripada roh Islam dan pendaulatan amal islami. Ini realiti yang harus diterima oleh semua pejuang agama suci ini. Berwadahkan PAS sebagai wasilah perjuangan, generasi penerus perjuangan perlu menyedari bahawa kefahaman kepada politik islam hanya akan lahir setelah memahami dengan baik dan sempurna asas-asas Islam.

Tiada "short-cut" ataupun jalan ringkas untuk memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai kesyumulan Islam ini melainkan melalui gerak kerja dakwah yang tersusun, konsisten dan berhikmah. Para pejuang perlu hadam situasi masyarakat. Kenal mereka sedalamnya. Baru mudah mengatur kaedah dan pendekatan terbaik. Apatah lagi masyarakat Sabah, Tawau khususnya yang terdiri daripada pelbagai etnik dan suku kaum. Adat dan budayanya berbeza antara satu sama lain.


Namun, kondisi ini tidaklah menyukarkan sebenarnya. Berdasarkan statistik keahlian pendokong gerakan Islam di bumi Tawau ini, generasi pejuangnya terutama generasi mudanya 70% adalah daripada anak tempatan. Pastinya kumpulan generasi pejuang ini sudah arif dan mahir adat budaya kaumnya sendiri. Seharusnya sudah kenal dan tahu kaedah pendekatan yang hars diambil.


Sedikit mengecewakan, faktor tidak mengenali mad'u ini bukanlah satu isu besar yang menghalang kepada pemacuan gerak kerja dakwah. Antara faktor yang memungkinkan merencatkan gerak kerja dakwah di bumi Tawau khususnya adalah:


  • Kesediaan para pejuang untuk terjun ke dalam masyarakat.

Generasi muda terutamanya kurang kemahiran komunikasi untuk menonjolkan diri dalam kelompok masyarakat. Masyarakat memandang kita dengan pandangan mata "segan". Segan dengan status kita yang bergelar golongan terpelajar dan segan dengan identiti ustaz/ustazah yang kita bawa. Tidak bermakna kita tidak perlu menjadi golongan terpelajar atau beridentitikan ustaz/usazah, tetapi bagaimana kita perlu mengeksploitasi kelebihan yang ada ini untuk membantu mereka. Membimbing minda mereka untuk menjadi terpelajar dan mengasuh rohani mereka agar seperti ustaz/ustazah juga.

  • Sindrom tidak mahu berfikir semakin berakar umbi.

Sindrom ini semakin merebak dikalangan pendokong gerakan perjuangan. Lebih mengharapkan kepada individu-individu yang dirasakan berautoriti untuk berfikir dan merancang. Lantas membiarkan diri sekadar diam dan memerhati. Menanti dipanggil mesyuarat,menerima tugas dan arahan selanjutnya. Situasi ini sangat merugikan organisasi. Awal-awal lagi para pendokong perjuangan yang sebelum ini bukan calang-calang orang semasa di kampus mematikan potensi diri. Membiarkan pengalaman-pengalaman berharga semasa di alam kampus dulu tersorok di peti besi kenangan. Masih beranggapan, memadailah sekadar hadir program. Itu lebih baik daripada tidak datang langsung. Andainya mentaliti ini masih mengawal minda, bayangkan apa akan jadi pada perjuangan. Siapa yang akan memikir, mengatur dan melaksanakan program-program dakwah?


  • Simptom sukar akur arahan

Simptom tidak sihat ini juga sudah mula kelihatan dikalangan generasi penerus perjuangan. Seakan pejuang-pejuang ini tidak pernah belajar dan mengetahui asas-asas dalam berorganisasi. Kabur kefahaman mengenai kepentingan hieraki kepimpinan. Seakan lupa keharusan wala' dan thiqah pada pimpinan. Tidak rasa malu, segan dan bersalah andai gagal melaksanakan arahan yang diberikan. Apabila dianalisis punca dan sebabnya adalah kegagalan mengimplementasi fiqh aulawiyat dan larut dalam masalah peribadi. Masih gagal memahami letak duduknya dakwah dan perjuangan dalam kehidupan. Kewajipan ini masih menjadi tempat kedua, ketiga atau entah yang keberapa di dalam prioriti kehidupan.


Tiga faktor ini adalah di antara pelbagai faktor yang membelenggu generasi muda penerus perjuangan di bumi peladang ini. Dalam kemudahan mengakses dunia tanpa sempadan ini, sewajarnya kesedaran kepada perlunya usaha berlipat ganda mendaulatkan amal islami di bumi Tawau semakin bertambah. Perkembangan ledakan politik di tanah semenanjung seharusnya membahang di jiwa para pejuang. Bahang yang mampu memanaskan diri untuk tidak diam dan statik. Jangan mudah merasa cukup atas apa yang kita lakukan sekarang ini. Perlu diingat, program-program kita lebih banyak berkisar dikalangan kita. Tidak percaya, ambil takwim buat lah analisis! Jangan syok sendiri!

Sunday, August 2, 2009

Bicara akhir malam

Hari sudah lewat malam. Hembusan angin malam sangat mendamaikan. Apatah lagi hujan baru selesai membasahi bumi. Memandangkan esok cuti beriku ruang berjaga sedikit lewat malam ini. Cuti yang tidak dinikmati oleh semua. Hanya untuk 9 sekolah menengah di daerah Tawau. Penangan H1N1.
Baru juga sebenarnya 1/2 jam berada di rumah. Seharian hari ini memenuhi masa dengan urusan perjuangan. Alhamdulillah..ruang dan peluang masih menjadi milik diri dan masih dihargai oleh jasad dan hati. Diari hari ini diakhiri dengan sesi dialog Tn Guru Haji Hadi bersama barisan pendokong perjuangan di bumi peladang.

Tidak mahu menghurai panjang perkongsian sesi lawatan ini. Sekadar mahu merakamkan:

  • Kesusahan yang dilalui hari ini tidaklah sesusah penderitaan dan keperitan yang telah dilalui oleh Rasulullah, para nabi dan pejuang Islam sebelum ini
  • Allah tidak akan bertanya mengapa masih tidak mencapai kemenangan..tetapi akan ditanya apa yang telah dilakukan untuk mencapai kejayaan...

Cukuplah 2 frasa kata ini membaluti lenaku malam ini. Moga sinar esok ku sahut dengan senyuman untuk meneruskan langkah yang telah tercipta ini..

[esok akan ku teruskan langkah menjejak laluan TGHH di bumi peladang. Peluang yang jarang ada..hikmah H1N1 menyerang SMKJPT :-)]

Saturday, August 1, 2009

Kasih tercipta


"Awak dah ok? Ambillah masa..hibernasi.." "Usah berduka walau dilanda badai..teguhkan pendirian..hanya Allah menjadi penilai.."

Antara kata-kata yang kuterima melalui panggilan telefon dan juga sms tika jiwa gelisah dan berteman airmata. Terima kasih tidak terhingga buat 2 sahabat yang telah teruji dan terbukti ketulusan mereka sepanjang berada di layar persahabatan denganku.

Melalui bicara YM juga ada 2 orang sahabat memberi kata perangsang dan memintaku tabah menghadapi ujian perasaan ini. Juga ucapan terima kasih tidak terhingga kurakamkan di ruang bicaraku ini.

Inilah kehidupan. Tidak pernah statik coraknya. Tidak pernah tenang badainya. Bohong andai aku bisa berdiam saja tanpa sebarang kecewa dan gelisah atas apa yang telah berlaku. Apatah lagi hal dan keadaan ini melibatkan komitmen kepada perjuangan. Perjuangan yang sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan. Pasti tidurku tidak lena, makan ku kurang berselera memikirkannya.

Namun, bak kata sahabat semuanya, jangan pula aku lagi yang akan memilih jalan "beruzlah" selepas ini. Aku sahut kata kalian. InsyaAllah..doakan aku sentiasa memilih jalan yang bijak. Aku juga tersangat takut sebenarnya. Kalau ikut kata hati memang mahu saja membawa diri dan jiwa luka ini. Mahu saja diam dan berehat seketika. Mencari ruang bernafas dan ketenangan diri.

Syukur tidak terhingga atas aturan Allah buat diri ini. Rasa-rasa "songsang" untuk beruzlah itu padam sendiri. Dek pukulan dan kata-kata sendiri tatkala membacakan kepada adik-adik usrah buku "golongan tercicir" karangan Ust. Fathi Yakan. Sepanjang menjadi nakibah mereka, terlalu kerap lisan ini menuturkan
"jika ada masalah, apa jua masalah, tolong jangan korbankan jemaah dan perujuangan..ingatlah, kita ni, yang di Tawau ini, bukan dari kalangan pelajar agama. Ilmu kita tidak banyak untuk kita curahkan, harta kita tidak bertimbun untuk kita sedekahkan, ibadah kita tidak sempurna untuk kita persembahkan akhlak kita masih jauh untuk menjadi qudwah hasanah. Komitmen dengan jemaahlah antara harapan untuk kita memburu mukmin sejati bahkan syahid yang diimpi."

Terasa gerun jiwa bila mengingat kembali kata-kata ini. Benar-benar malu jika masih punya rasa untuk diam dan berehat. Apatah lagi dalam kondisi gerakan dakwah perlu dipacu selaju mungkin. Orang lain tengah berhempas pulas fikrah, tenaga, harta bahkan jiwa raga untuk mendaulat Islam. Wajarkah aku mengundur diri?

Cuma, kesan ujian perasaan ini, membuatkan diri berfikir sejenak. Perlu berubah pendekatan dan kaedah berkomunikasi dengan manusia. Terutama sahabat seperjuangan. Permintaan mereka agar jangan terlalu ditekan dan menekan. Nampaknya terpaksa akur. Hipotesis terpaksa begerak sendiri nampaknya sudah hampir menjadi teori. Iya bergerak sendiri tetapi masih dalam laluan yang sama. Bergerak sejalan tetapi tidak seiring. Hari ini mungkin aku agak laju, aku pasti esok kalian pula akan meninggalka aku. Hidup ini kan persis putaran roda.

Buat semua sahabat, aku tlah mengisytiharkan di ruang bicaraku ini, dengan keizinan dan restu redhaNYA, aku tidak akan mengundur langkah dari jalan kita ini. Walau hati dan jiwa masih luka dan berdarah. Akan ku rawatnya serapi mungkin tanpa perlu diam dan di tahan di "wad uzlah". Ayuh..kita teruskan langkah perjuangan..terlalu banyak yang menanti selepas ini

  • Ihtifal
  • Munaqasyah
  • HELWA
  • IT
  • JPP
  • Tarbiyyah
  • Nisa' [oppsss..ini tak sangat lah kan..yang ni "tender" kalian... haha ]
Semoga nama-nama kita masih dan akan sentiasa tercatat sebagai generasi penerus perjuangan..amin Ya Rabb..