Friday, October 30, 2009

Tidak mudah

"Esok sekolah?" tanyaku

Sekolah.." Jawabnya mengangguk

Ada apa? Keningku berkerut [aktiviti ko-kurikulum September lagi berakhir]

Bukanlah sekolah, kami ada latihan poco-poco berkumpulan? Jawabnya jujur.

Aku maklum mereka sedang sibuk dengan aktiviti yang pelbagai sempena "bebas" daripada PMR.

"Tak payah lah turun..poco-poco tu bukannya boleh dalam Islam. Cuba cari internet pasal poco-poco." Jawabku tegas dan keras.

Tidak ada suara lagi aku dengar selepas ayat penamatku itu. Semalaman aku lihat "mood"nya muram dan malamnya bertambah kelat.

"Bolehkah pegi sekolah? Bukan untuk poco-poco. Tapi bincang pasal masakan dan gubahan" Pintanya di pagi hari.

Tidak banyak bicara..aku sekadar memberi isyarat yang tafsirannya hanya satu TIDAK BOLEH!

Aku dengar dengusan "bengang"nya meninggalkan kamarku.

Aku sedar bersikap keras begini, bukan metod terbaik untuk mengajarnya. Mendidik dan membentuk orang menjadi orang bukan mudah. Pendekatan perlu berhikmah. Frasa berhikmah ini terlalu umum dan subjektif sifatnya. Mahu dispesifikasikan dalam bentuk perbuatan satu cabaran.

Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk. [An-Nahl :125]

Anak remaja hari ini bukan seperti kita di zaman dulu. Berbeza sudah. Zaman kita mana terdedah dengan kecanggihan teknologi. SMS, MMS, 3G, Facebook, Friendster dan seribu macam lagi. Akur atau tidak, kecanggihan teknologi ini turut membantu perubahan perkembangan anak remaja.

Sekarang ini, gejala sosial pelakunya bukan lagi remaja berusia 16-19 tahun [tingkatan empat ke atas]. Tetapi seawal darjah 6 pun sudah ramai pelaku-pelaku gejala songsang dan tidak sihat. Badan kecil bukan main [agaknya "mimpi" pun belum lagi]. Tetapi selamba badak hisap rokok sebagai sarapan pagi ke sekolah. Bukan dengar cerita orang, tetapi ku saksikan sendiri dengan 4 pasang mata [mata + cermin mata..hehe]. Itu yang dizahirkan dengan orang ramai, orang kampung, yang disorok dari pengetahuan manusia, tidak dapat kita bayangkan.

Punya adik-adik yang diamanahkan oleh bonda, satu tanggungjawab berat. Apatah lagi sejak arwah bapa tidak lagi dapat memainkan peranan sebagai ketua keluarga. Banyak keputusan berkaitan adik-adik terletak di tangan ku. Memastikan mereka kekal bersahksiah dan berperibadi muslim perlu kekuatan dan kesabaran yang tinggi. Terutama menajga aurat, solat dan pergaulannya. Kalau mahu menegur pening memikir ayat terbaik. Agar hati tidak terguris. Jangan sampai merajuk panjang.

Tidak dinafikan ilmu dan kepekaan kepada persekitaran akan membantu menunaikan amanah ini. Jiwa muda mereka perlu diselami dan difahami. Adakalanya, kita harus meraikan minat mereka untuk membolehkan adanya "bonding" [ikatan] kita dengan mereka. Berimejlah seperti rakan di mata mereka. Mereka lebih mudah mesra dan selesa dengan "rakan". Jangan biarkan mereka memilih orang lain menjadi rakan baik mereka.Takut tersilap pilih rakan, susah mahu mendidik nanti.

Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui lagi Maha Penyayang. Diberikan latihan kepada diri untuk membentuk orang menjadi orang. Latihan sebelum punya cahaya mata sendiri yang harus dicorakan. Terima kasih ya Allah..atas aturanMu ini..


Tuesday, October 27, 2009

Tiada jaminan

9.30 am waktu yang tertera di skrin laptopku. Kalau di tempatnya, kini sudah dalam pukul 12.30. Katanya waktu di Tawau lewat 2 jam dari tempatnya. Segera aku membuka Facebook. Ada bunga-bunga harapan berputik di hati agar dia juga turut online. Sedikit kecewa, dia tiada. Pasti dia punya urusan lain. Sejak semalam, sewaktu aku mula melihatnya pertama kali setelah 9 tahun tidak pernah berjumpa, mindaku banyak dikuasai oleh dia. Bayangannya sering mengisi kotak mindaku. Membuat aku berputar dan menganalisis dirinya kini.

"sejak bila berubah begini?" tanyaku sewaktu kami "chating" di Facebook semalam.

"3 tahun lepas. Tapi dari dulu kan aku memang macam ni. Cuma sekarang berubah pakaian je. Aku still macam dulu, nakal. sekarang aku menzahirkan kenakalanku. Orang selalunya buat jahat ni sorok-sorok. Tapi sebenarnya dorang tu lebih "setan" dari aku." Jawabnya jujur.

Semua jawapannya masih segar di kotak fikiranku. Aku tidak mahu mengulas panjang atas apa yang telah dia lakukan. Semua itu dia buat dengan kehendak dirinya. Tanpa paksaan sesiapa. Dia juga berkata dia gembira dengan dirinya kini.

Apa yang berlaku ke atasnya, menyedarkan aku, siapa dan bagaimana keadaan kita hari ini, belum tentu itulah juga di masa akan datang. Tidak ada jaminan untuk kita kekal seperti hari ini. Tiada lain, mintalah pada DIA yang maha berkuasa untuk terus memilih diri dalam kebaikan. Bergantung dan berharap hanya pada Dia..jangan selainNya.

[buat "dia" andai kau terbaca coretan ini, aku harap kau masih tetap menganggap aku kawanmu..apapun keadaan mu kini, itu kehendakmu..namun, aku masih berharap dan akan terus berdoa, sejalur sinar hidayah menyuluh hatimu untuk kau kembali ke fitrah suci..aku sedia di sisi andai kau merasakan perlunya seorang teman..]

Monday, October 26, 2009

Mencari Konklusi

Sejujurnya emosi tidak berada di paksi ketenangan. Macam-macam bermain di minda dan fikiran. Akhirnya membibit celaru dan keliru. Sekali lagi saf perjuangan yang aku dokongi diuji oleh Dia yang maha menilai. Menguji untuk memilih dan membuat tapisan. Menguji untuk membezakan pejuang sebenar atau pejuang celupan. Jauh di sudut hati, aku yakin dan pasti saf yang sedikit "bengkok" ini akan kembali lurus. Selaku ahli biasa yang tidak punya kelayakan untuk mengulas bicara, aku hanya bisa berdoa dan bermunajat, pemeliharaan Allah sentiasa bersama kami. Kasih sayangNya terus menyatu hati kami. Apa yang berlaku ini adalah laluan dan pimpinanNya untuk kami lebih utuh dan kukuh di masa mendatang. Aku juga sangat yakin, barisan pemimpin perjuangan ini, yang telah kami baiahkan memimpin kami akan menyelesaikan kekusutan ini dengan sebaiknya. Apa jua keputusan yang akan diputuskan Rabu ini, InsyAllah akan diterima dengan lapang dada.

Tidak dinafikan, kelahiran ruang media maya seperti blog antara faktor kocakan ini. Petang tadi aku juga baru ditegur oleh seseorang. Kesan entry Kelainan Perlu Penyesuaian. Aku terima teguran itu dengan hati terbuka. Walau aku masih mempertahankan tindakan ku meletakan entry itu masih di dalam adab dan tatasusila berjemaah. Tanpa ada niat "menelanjangkan" jemaah dihadapan umum. Sebelum mem"publish"kannya, sudah terfikir akan risikonya. Namun, berkeyakinan bahawa tulisan itu masih "waras" hajat diteruskan juga.

Apapun terima kasih banyak-banyak atas kritikan dan komen yang diberi. Setidak-tidaknya menyedarkan diri yang blog ini punya pengunjung. Maka harus waspada akan setiap butir katanya. InsyaAllah..bersama kita manfaatkan teknologi ini untuk terus menulis dan moga tulisan ini diganjar pahala disisiNya.

Sunday, October 25, 2009

Cuti-cuti Malaysia..

Alhamdulillah..selesai dan selamat sudah percutian ringkas aku dan adik-adikku yang banyak ragam itu. Tiket "murah" yang dibeli seawal Januari lalu, menjadi percutian yang ringkas dan padat buat kami semua. Walau sedikit sesal kerana percutian ini "clash" dengan Konvensyen IT di Kundasang. Program yang sepatutnya aku hadiri. Ya..aku akur, aku masih belum layak dikategorikan "pejuang sejati". Masih tewas memilih jemaah dan keluarga..Namun, masih menagih kasih dan simpati Ilahi agar terus memberi aku peluang dan ruang untuk berada dalam jalan perjuangan yang berliku ini...

Balik kepada cerita bercuti, kali ini sedikit kelainan, aku memandu sepanjang berada di bandaraya Kota Kinabalu. Pengalaman baru yang menyeronokan. Percutian banyak diisi dengan menjelajah satu "shoping complex" ke satu "shoping comlplex". Berada di pusat bandar, tempat manalah lagi yang boleh dilawati. Hanya ada "hutan bangunan".

Petangnya pula masa dihabiskan menyaksikan keindahan dan keriuhan pengunjung Pantai Tanjung Aru. Melihat panorama laut yang membiru dan mendengar desiran ombak sudah mampu menghijab pandangan daripada memerhati gelagat manusia-manusia yang hadir di pantai itu. Hilang letih dan lenguh kaki kesan berjalan seharian.

Walaupun percutian ini sekjap cuma, tetapi hati terasa puas kerana dapat menunaikan janji kepada adik-adik. Selagi boleh memberikan kebahagiaan dan kegembiraan buat mereka, akan aku laksanakan dengan sebaiknya..

Diruang maya ini, aku rakamkan ucapan terima kasih kepada insan-insan yang banyak memudahkan percutianku ini :

1) Kak Ngah a.k.a Kasmawati Senawing - sudi tumpangkan kami (kuaters Politeknik Sepanggar) untuk berteduh di malam hari.."jangan risau ti, aku bukan pegi kk untuk beli hantaran..aku jalan-jalan jak..macam mana mau beli hantaran yang datang meminang pun belum ada..hahaha

2) Adry Sabri dan Kak Nana - tolong carikan kereta sewa..dapatlah merasa memandu wira..



suka gambar ni..rasa ada nilai "seni"..haha [bukti aku memandu di KK...hihi]



khusuyk melihat laut..[kononnya lah..]



paling best sepanjang bercuti..jamuan durian di pantai Tg. Aru



kenyangnya makan jagung besar ni..best!



ahli rombongan 1-pemandu pelancong



ahli rombongan 2- paling banyak shoping



ahli rombongan 3 - tukang angkat barang



ahli rombongan 4- apasal serius sangat ni? [tengah memikir lepas ni nak bawa jalan mana lagi..hehe]


Thursday, October 22, 2009

Kelainan perlu penyesuaian..

Konsert Kesenian Islam dengan tema Berhibur Cara Islam anjuran Jabatan Pasti di bawah DPPKT telah berkahir semalam. Sebagai penonton dan bukan penganjur, aku punya interpretasi tersendiri tentang konsert semalam. Sempat juga pagi ini sembang-sembang mengulas konsert semalam dengan rakan sekerja yang turut membeli tiket dan hadir ke Dewan Masyarakat Tawau.

Secara keseluruhannya, tidak dinafikan konsert semalam masih banyak kekurangan yang perlu dibaiki. Waktu yang terlewat setengah jam daripada waktu yang tertera di tiket sudah mula merimaskan audiens. Mukaddimah konsert dengan ucapan perasmiaan oleh YDP PAS Kawasan menambah keresahan penonton yang hadir. Agaknya tidak menjangkakan konsert ini diselitkan dengan ucapan perasmiaan. Mujur YDP bijak membaca keadaan dengan meringkaskan ucapan beliau. Tidaklah resah penonton berlanjutan.

Persembahan dimulakan dengan nasyid daripada johan Alam Ria Pasti kali ke 9 iaitu Pasti Merotai. Lagu yang meleret panjang masih tidak memberi aura "konsert" kepada yang hadir. Persembahan selingan kedua daripada kumpulan Unit Amal Tawau. Persembahan yang mantap namun menjadi sedikit cacat dengan masalah teknikal. Konsep persembahan puisi dan lagu bertemakan Palestin kembali mengimbau memori penonton akan derita rakyat Palestine yang menjadi isu umat Islam seluruh dunia. Persembahan selingan ketiga kumpulan nasyid The Mind, Johan Nasyid MTQ peringkat negeri sebanyak 4 kali. Dua buah lagu yang dibawakan mereka terasa "lama" kerana penonton tidak sabar melihat dan menyaksikan persembahan artis jemputan Nazrey Johani. Setelah sejam dipenuhi dengan persembahan selingan, barulah Nazrey Johani memegang mikrofon. Mukaddimah persembahan beliau dengan 2 buah lagu daripada album solonya sudah mula memberi aura konsert kepada yang hadir. Nama pun artis yang pernah mengadakan persembahan di peringkat antarabangsa, ternyata beliau memang seorang "performer" yang baik. Walau masih terdapat masalah audio yang mengganggu kosentrasi persembahan beliau. Kualiti vokal dan gaya persembahannya masih memukau.

Suasana yang baru mula membahang, kembali sejuk dengan "aktivit selingan" daripada Nazrey Johani pula. Rupa-rupanya, telah disepakati dengan pihak penganjur yang kedatangan beliau sebagai jemputan pada konsert ini turut dijadikan platform mempromosikan produk beliau yang terbaru. Penonton yang tidak menjangkakan adanya aktiviti "selingan" sebegini sudah mula "panas punggung". Apatah lagi malam sudah semakin lewat. Kelihatan ramai yang beransur pulang walau konsert belum berakhir sepenuhnya.

Itu suasana konsert dari kacamataku selaku penonton. Secara peribadinya, aku tidada masalah dengan "kelainan" konsert kali ini. Atas faktor aku memahami kepentingannya dan keperluan perkara ini dimaklumi oleh masyarakat. Contohnya ucapan perasmiaan adalah satu ruang untuk penganjur menjelaskan objektif dan matlamat program ini diadakan. Promosi produk artis jemputan pula, sebagai satu usaha mengkomersialkan produk orang Islam yang diusahakan dengan niat menampung dana pembinaan sebuah sekolah tahfiz. Tidak ada salahnya kedua-dua aktiviti selingan ini. Cumanya, penonton yang hadir bukan semuanya memahami dan boleh menerima "kelaianan" ini. Tetapi bacaan doa sebagai pembuka majlis dan alunan Asmaul Husna sudah cukup memberi ingatan kepada yang hadir bahawa konsert ini adalah konsert "islamik" bukan seperti konsert-konsert lainnya. Perlu dikekalkan dan diteruskan keadaan ini. Biar menjadi "trade mark"!

Akan datang penganjur perlu lebih peka dan berhati-hati terutamanya dengan masa. Sebaiknya program semalam dmulakan tepat pukul 8 memandangkan terlalu banyak "aktiviti selingan" sebelum persembahan utama. Selain itu, tidak salah rasanya dalam promosi dinyatakan sedikit gambaran perjalanan program apatah lagi bila ada 'kejutan-kejutan" yang tidak terjangka sebegini. Sekurang-kurangnya penonton tidak rasa "tertipu". Tema telah dipromosikan berhibur cara islam. Penonton memang hadir dengan mentaliti untuk berhibur semata-mata.

Apapun jua, keberanian pihak penganjur mengadakan konsert ini sesuatu yang harus diberi pujian. InsyaAllah..segala yang berlaku semalam akan menjadi pedoman dan ikhtibar di masa mendatang. Secara peribadinya, konsert semalam masih berbaloi dengan harga tiketnya yang hanya bernilai RM3.00 sahaja.



Ucapan ringkas penuh makna daripada YDP PAS Kawasan Tawau



Persembahan adik-adik comel daripada PASTI Merotai



Persembahan menyentuh hati daripada Unit Amal

/>

The Mind 4 kali mewakili Sabah



Nazrey Johani artis undangan yang dinanti

Wednesday, October 21, 2009

Beri ruang dan masa

Hari Rabu memang kurang digemari oleh para pendidik di SMKJPT. Rabu sinonim dengan Taklimat Rabu atau nama glamournya Hari Profesionalisme. Para pendidik sekolah dalam taman ini [gelaran yang aku bagi untuk sekolahku yang tercinta ini..] kena mengahadiri taklimat selama sejam lebih dari pentadbir. Bermula pukul 12.30 hingga hampir ke pukul 2.00. Walapun mulut mengomel-ngomel malas nak hadir, tapi kami tetap juga hadir. Masih memberi komitmen semasa taklimat. Itulah kelebihan barisan pendidik sekolahku ini. Mulut saja "nakal" sikit, tapi kerja jalan. Cuma lambat cepat sahaja. Standard lah tu kan.. :-P

Taklimat selesai dalam pukul 1.30. Perut sudah mula berkeroncong. Aku pun macam biasa singgah "Hotel Daya Maju" [rumah kakak sulungku]. Aku panggil hotel sebab memang aku selalu buat rumah ni macam hotel. Datang dan pergi sesuka hati. Mujur kakak ku sangat "sporting" orangnya. Tak pernah kisah dengan "feel" adiknya ini. Agak malang sedikit hari ini, kakakku belum sempat masak makan tengah hari. Letrik tiada. Nasi pun tak boleh di masa. Ada lauk sahaja. Aku pun mengalas perut dengan secawan kopi susu panas dan meratah seekor ikan goreng yang kecil. Oklah untuk menghentikan keroncong perut yang dari tadi minta diisi.

Meneruskan agenda hari ini, aku bergerak santai ke bandar. Memandu dengan kelajuan yang sederhana. Tetiba pulak dapat idea, best juga ni lepak-lepak di"highway". Berbekalkan "makanan segera" berharga RM 10 [mahalnya makan kat luar kan..] aku pun melayan perasaan bertemankan hembusan angin laut dan pemandangan yang mengasyikan. Tenang betul melihat laut yang membiru.

Sejak setahun ini, menjadi kebiasaan, untuk menunaikan hak diri untuk rehat dan rileks. Caranya, tengok laut, tengok awan atau tengok alam. Memang best! Sambil-sambil boleh muhasabah diri. Lihat keagungan pencipta alam terasa kekerdilan diri. Kalau dulu, masa banyak dihabiskan dengan kawan-kawan. Sekarang kena belajar tidak berteman. Kawan-kawan satu persatu meninggalkan "kumpulan bujang". Tapi alah bisa tegal biasa. Mula-mula memang susah juga nak hidup sendiri-sendiri. Sekarang dah semakin ok. Sampai kadang-kadang tak selesa bila ramai-ramai...hehe..

Kesimpulan coretan yang tiada "halatuju" ini..bagi masa pada diri. Sesekali kena ambil ruang untuk me"refreshkan" diri yang kerap stress kesan kerja-kerja yang tidak berkesudahan. Barulah ada motivasi diri untuk meneruskan kerja-kerja seterusnya..

Aktiviti hilangkan "stress" yang kedua, masuk ke dapur. Tadi singgah pasar ikan, ikan murah sangat-sangat. Kembung yang kecil dan best untuk buat laksa, hanya berharga RM1.50 sekilo. Aku borong 4 kilo untuk jamuan laksa malam ini. Makanan kegemaran mak aku tu..Ini yang aku sayang TAWAU ni..seafoodnya murah! Tawau bandar Protein..[nama baru Tawau..haha]

Sunday, October 18, 2009

Kawan: Teman vs Lawan

Bangun pagi hari ini terasa kenikmatan berehat semalaman. Tidur yang lena. Sebelum ke sekolah pula, mak sudah siap menyediakan sarapan pagi nasi goreng kampung beserta secawan teh o panas. Senyum lebarlah jawabnya. Jimat belanja. Mak memang kerap bangun awal untuk menyediakan sarapan buat anak-anaknya yang kebanyakannya keluar bekerja sebelum pukul 7 pagi. Kasih sayang mak, tidak pernah luntur. Sehingga kami sudah berhijarah ke alam kerjaya pun mak masih menjaga makan minum kami sebaiknya. Anak-anaknya ini sahaja yang acapkali alpa menilai dan membalas kasih sayang mak.

Tiga tahun di alam kerjaya, tahun ini aku sedikit berbeza berbanding tahun sebelumnya. Awal-awal dahulu, aku terlalu "enjoy" dengan duniaku. Dengan dunia kawan-kawan. Tahun ini, aku sudah sedar, hakikat hidup, keluargalah yang paling harus kita utamakan. Sakit pening, susah payah hanya dengan merekalah bakal kita kongsi dan rasai bersama. Kawan ini, belum tentu sanggup bersama dengan kita dalam apa jua keadaan. Kebanyakannya masa senang sahaja hendak bersama. Bila kita susah, hilang entah ke mana. Meninggalkan kita begitu sahaja.

Ramai yang buta menilai kasih sayang keluarga. Terutama anak muda remaja. Lebih mementingkan dan mengutamakan kawan. Lebih malang, bertemu dan bersahabat dengan kawan yang layak di buat lawan bukannya teman. Kawan yang mendorong ke neraka jahanam bukan ke syurga impian. Kalau mengajak ke syurgapun, syurga mimpi minda kesan khayalan penangan dadah, ganja atau apa-apa yang seumpama dengannya.

Tidak dinafikan, ramai yang terjebak dalam gejala tidak sihat kesan keluarga yang tidak bahagia. Lantas mencari kebahagiaan bersama rakan sebaya atau rakan di luar sana. Masalahnya, kenapa keluar kandang harimau masuk ke kandang singa. Sepatutnya, merawat "jiwa kacau" kesan ketidakharmonian di rumah, carilah kawan yang layak di gelar sahabat. Sahabat yang mampu mendidik jiwa, membangun rohani dan memandu akhlak agar menjadi mukmin sejati. Ini barulah merawat luka jiwa yang sakit. Bukannya menambah menjadi parah.

Akur, krisis moral dan barah jiwa masyarakat ini bukan mudah untuk pulih. Hanya kepada DIA yang menguasai hati hamba-hambaNya, kita terus bermohon agar selamatkan ummah ini dari terus hanyut di buai nikmat sementara di dunia ini. Tempat yang kita impi bukan di sini. Di sini hanya sebentar tidak kekal...


Thursday, October 15, 2009

Respond bila perlu


"Kalau nak cakap pasal keadilan sekarang ni..susah. Bukan setakat di sekolah sahaja, di mana-mana pun. YB kepada rakyat, Bos kepada pekerja ataupun pengetua kepada cikgu..sama sahaja. Namanya pun manusia. Sebab tu akak, buat kerja niatkan ikhlas sahaja. Jangan fikir sangat pasal anugerah-anugerah ni."

Antara butir bicara semasa aku bersembang-sembang dengan seorang cikgu berpangkat kakak di sekolah pagi tadi. Topik asalnya, berkaitan dengan APC [anugerah perkhidmatan cemerlang] yang saban tahun menjadi topik hangat. Adatlah, pasti ada suara-suara kurang berpuas hati dengan penerima-penerima anugerah. Ada yang kata pentadbir "bias" lah, pilih kroni lah. Tidak kurang juga yang bersetuju dengan rakan sejawat yang berezeki kali ini.

Aku turut bersetuju dengan pandangan rakan sekerjaku, kerja ikhlaskan hati..insyaAllah pahala menanti. Namun, mengikhlaskan diri dalam bekerja, tidak harus dijadikan peluang oleh individu lain untuk berlaku zalim dan menindas insan-insan yang berusaha mensucikan diri.


Dalam berusaha memupuk sifat mahmudah di dalam diri, jangan dilupa mencegah mazmumah yang berlegar di sekeliling. Dalam Al-Quran, banyak ayat menyentuh tentang menegakkan yang ma'ruf disusuli dengan mencegah yang mungkar. Kiasan dan pengajaran buat insan yang celik mata hati, disamping bersifat sabar dan redha harus juga bersifat berani dan benar. Barulah tercetus kedamaian dan keharmonian yang pastinya harus wujud terlebih dahulu keadilan.
Jadi jangan takut untuk marah jika perlu kerana menegakan yang benar. Hatta ianya pahit sekalipun. Marah kerana benar juga satu ibadah. Sama seperti sabar kerana diduga.

Kalau anda seorang rakyat, yang dinafikan hak, atau ditutup peluang, atau ditindas dalam diam, oleh seorang YB yang anda sendiri pilih semasa pilihanraya, jangan takut untuk bertindak balas. Tidak perlu mengambil senjata tajam atau berarak liar menunjukan protes diri. Memadai menghukumnya pada sekeping kertas undi pada pilihanraya akan datang. Untuk lebih memberi pengajaran, ajak dan seru orang lain untuk sama-sama menghukumnya. Ini kisah contoh seorang YB dan seorang rakyat. Kekadang harus juga berkias kiasan politik. Bukan kecil peranan politik dalam kehidupan. Apatah lagi, hidup di dalam sebuah negara demokrasi, wajar kita manfaatkan ruang kebebasan bersuara ini. Lagi pula, bidang politik ini satu medan yang kerap dijadikan landasan untuk menindas dan menzalimi. Semasa berkempen janji itu dan ini. Sudah menang, bagai hilang ingatan dengan segala yang telah di kata. Rakyat juga yang terkebil mata.


Hakikatnya situasi menekan dan tertekan ini juga berlaku dalam bidang-bidang lain. Hatta di bidang pendidikan. Hingga seorang guru berani dan nekad menyaman pengetuanya sendiri. Bukan hak saya untuk menentukan siapa benar dan siapa salah. Cuma harus diteladani, sebelum kita bertindak dan melakukan sesuatu, fikir sedalamnya kerana kesannya akan berbalik kepada diri kita sendiri. Kesekian kalinya saya ingatkan anda dan diri saya..ikutilah jalan yang lurus yakni Islam yang syumul..anda, saya, dia, dan mereka pasti selamat..

Tuesday, October 13, 2009

Tiada cerita

Hari ini kembali bertugas di sekolah. Setelah seminggu bertugas di sekolah orang lain. SMK Wakuba Tawau. Sekolah yang cukup mendamaikan dan menenangkan perasaan. Di kelilingi dengan alam yang menghijau dan bilangan calon yang sekadar 62 orang sangat mudah tugas mengawas PMR kali ini. Ditambah lagi dengan rakan-rakan pengawas yang mudah serasi. Segalanya mudah ceria dan menyeronokan.

Itu kisah seminggu lepas. Semuanya sudah berlalu. Hari ini hari baru. Baru tapi statik saja coraknya. Pagi bangun awal ke sekolah. 12.15 tengah hari, bergegas balik ke rumah. Macam ada hal penting saja di rumah..hehe..Walhal sampai rumah bukan ada apa-apa pun. Paling tidak, ambil "remote" astro, tekan "channel" yang rasa mahu dijamah oleh mata. Selalunya mata tidak mahu menjamah mana-mana siaran..sebaliknya mata mahu dipejam dan direhatkan..Kalau ikut rasa, memang tidurlah jawabnya. Bila ingat padahnya tidur siang masa malam hari nanti, terus cepat-cepat "on" laptop. Hasilnya merapulah dalam blog ni..hahahaha

Banyak juga kerja ni sebenarnya. Sepatutnya isu Warta Tawau terbitan penerangan PAS sudah di"submit" kepada PICnya. Aku pula masih memikir-mikir isu apa yang hendak dikupas kali ini. Asyik memikir sampai dah tak terfikir pula. Mujur OUM rehat minggu ini. Kurang sikit beban yang sangat membebankan. InsyaAllah..malam ini dan esok kena gagahkan juga diri. Sempurnakan amanah yang tidak sempurna lagi..InsyaAllah..doa-doakan lah ya.. :-)

Sunday, October 11, 2009

Kejayaan yang masih tertunda

Hari ini benar-benar terisi penuh. Dari awal pagi hingga ke petang ada saja aktiviti yang dilakukan. Awal hari ini diisi dengan tugasan di OUM, tanpa rehat berkejar ke meeting LPP DMPKT. Selesai menunaikan zohor yang ringkas, memecut laju ke Yassin Curry House untuk meeting penerangan kawasan pula. Mujur meeting bersama adik-adik pemuda ini santai sahaja. Sambil melayan "mee mamak" dan segelas horliks ais, berjaya juga kami menyediakan dan melengkapkan draf buletin sulung PAS kawasan Tawau. InsyaAllah..mudah-mudahan perancangan akan memudahkan perlaksanaannya nanti.

Selesai urusan rasmi perjuangan, aku memenuhi jemputan rumah terbuka sahabat-sahabat SMKJPT. Menu nasi kerabu dijamah seadanya kerana masih kenyang dengan "mee mamak". Semuanya "full". Perut "full", masa pun "full". Kalau setiap hari macam ini pun tidak mengapa. Mengisi masa lebih menggembirakan daripada sekadar duduk rumah tidak tahu hendak buat apa-apa. :-)

Malam ini, seperti yang kita maklumi, kejayaan untuk ISLAM meraih kemenangan di Bagan Pinang masih tertunda. Kejayaan masih belum menjadi milik kita. Memang keputusan ini tidak menggembirakan, tetapi tidak harus untuk kita berputus asa, lemah dan berdukacita. Dengan kemenangan-kemenangan yang telah kita perolehi sebelum ini, kekalahan ini wajar kita muhasabahkan sebagai peringatan daripada Allah, agar jangan terus hanyut dan terleka. Siapa tahu, kekalahan di Bagan Pinang ini adalah persediaan untuk kita lebih bekerja keras menawan satu Malaysia kelak..InsyaAllah

Walaupun kita kalah dari sudut kiraan mata undi, tetapi kita telah menang dari sudut redha dan penilaian Allah. Nilai kemenangan ini jauh lebih bermakna. Berbanding UBN, walaupun mereka menang dari sudut majoritinya, hakikatnya mereka telah kalah dari awal lagi. Mereka kalah dalam menampilkan calon yang benar-benar berintegriti dan berkredibiliti. Memberi gambaran, UBN ketandusan calon yang layak memimpin.

Sikap pengundi yang masih memilih UBN walau hakikatnya penuh dengan palitan rasuah, kebathilan dan kezaliman, harus dimuhasabahkan oleh semua pejuang-pejuang PR. Kerja keras harus diteruskan untuk membantu membuka mata dan minda pengundi bahawa segala janji manis daripada UBN hanyalah sekadar auta bukannya fakta yang akan dikota. Janji-janji berbentuk pembangunan material ini hanyalah bersifat sementara dan akan musnah jua. Apa yang kekal adalah kebahagiaan yang hanya akan diperolehi dengan memilih ISLAM sebagai acuan kehidupan.

Dakwah perlu diteruskan dengan konsisten dan berhikmah. Kepada pengundi melayu-Islam, wajib kita jelaskan, agar keluar dari kepompong jahiliah kepada taqwa semata. Kepada pengundi bukan Islam, kita terangkan dengan penuh hikmah, Islam adalah sebuah agama keadilan dan kedamaian. Menjaga seluruh alam agar damai dan sejahtera sentiasa. Kepada pengundi muda, kita sedarkan mereka, masa depan mereka akan lebih bermakna dan cemerlang dengan ISLAM. Kepada pengundi tua pula, kita seru mereka melakukan perubahan. Berani membuat perubahan. Demi masa depan anak cucu mereka yang lebih terjamin. Bukan sekadar jaminan pembangunan material, tetapi yang jauh lebih penting adalah pembangunan jiwa dan sakhsiah diri. Jangan risau atau khuatir, pilihlah ISLAM, pasti bahkan sangat pasti, semuanya akan selamat dan sejahtera.

Moga dukacita kita sekadar malam ini sahaja. Esok kita mulakan kembali langkah gagah membelah badai dan arus perjuangan. Kepada pejuang dan pecinta keadilan di bumi peladang ini, kerja kita masih banyak. Jelajah dakwah, Program PAS Prihatin, Konvensyen IT, Nisa' Team Building antara yang menanti untuk kita realisasikan dengan jayanya. Kumpul kekuatan, kukuhkan ikatan bersama kita terus melayar bahtera perjuangan....

Friday, October 9, 2009

Menuju Puncak

Hari ini hajat untuk panjat bukit tercapai juga akhirnya. Ajakan spontan kepada adikku bersahut dan kami realisasikannya walau tanpa perancangan awal.

"Jom kita pergi daki bukit" Ajakku tiba-tiba.

"Jom..jomlah k.mirah..tenangkan fikiran sebelum baca sejarah." Sahut adik bongsuku yang tengah "berperang" dengan PMRnya.

Melihat dia bersemangat, dalam masa 15 minit kami pun siap sedia untuk menuju ke destinasi. Kasut yang sudah bertahun tidak di guna, barulah hari ini berbakti semula. Terakhir aku menggunakan kasut jenama "power" bata ini, Mac 2008 semasa ekspedisi mendaki gunung kinabalu.

Dengan senyuman dan perasaan tidak percaya kami memulakan pendakian. Dengan stamina yang tiada, memang terasa "berat" sangat hendak menuju ke puncak. Lebih mencabar, kami nyaris-nyaris tersesat. Apa tidaknya, ini adalah kali pertama kami ke sini, tetapi macam dah berpuluh kali pula naik. Selamba "badak" saja meneruskan langkah. Sudahlah telefon tertinggal, mujur tidak jadi apa-apa. Alhamdulillah, dimudahkanNYA urusan kami. Perasaan sedikit cemas hanya dalam 5 minit sahaja. Dalam penuh ketenangan memikir arah jalan untuk ke puncak, kami terlihat seorang pendaki berbangsa cina. Kami dengan pantas berlari menuju ke arah laluannya. Risau kehilangan arah lagi. Selepas itu, kami sudah perasan, sebenarnya telah ada orang meletakkan petunjuk jalan berbentuk bintang-bintang yang diperbuat daripada kertas di tabur di atas jalan. Akhirnya, kami pun sampai lah juga ke puncaknya. Kebetulan pula berjumpa dengan pelajar SMKJPT.

"Ustazah, sendiri jak" Tegurnya selamba.

"Ndaklah dengan adik" Jawabku dengan senyuman.

"Ustazah, naiklah ke atas." Laungnya semasa dia telah sampai ke puncak.

Selamba betul pelajarku ini. Tapi aku pun tidak kisah. Lebih selesa di"layan" begitu. Di luar kawasan sekolah, pelajar adalah "kawan". Asal saja dia masih tahu membataskan pergaulannya. Masih punya hormat dengan orang yang lebih tua darinya.

Sampai di puncak, memang hilang segala keletihan. Semasa mendaki tadi, kekadang mahu juga terasa hilang nafas seketika. Sudah lama tidak bersukan. Tiba-tiba diasak dengan aktiviti berat. Mahu tidak anggota badan ini terkejut. Mujur tidak kekejangan otot-otot ini.

Melihat panorama bandar Tawau dari atas, memang sangat mendamaikan. Nun di hujung pandangan, terbentang laut yang membiru. Menoleh ke atas pula, terasa hampir benar dengan awan gemawan. Disamping sekali sekala kelihatan sang burung terbang rendah di atas kepala. Indah..sangat mendamaikan. Matahari senja sahaja tidak kelihatan. Tersorok di balik awan yang agak tebal petang ini. Azam kami, lain kali akan ke mari lagi. Mudah-mudahan dapat bersapa dengan sang matahari pula.

Berbaloi benar susah payah memanjat bukit ini. Bukit yang tidak ku ketahui namanya. Yang pasti, sepanjang pendakianku, hanya aku dan adikku pendaki wanita melayu. Lelaki melayu pula hanya pelajarku dan 2 orang rakannya. Selebihnya orang-orang cina. Entah kenapa kawasan ini tidak ramai orang melayu. Agaknya ramai di padang bola ataupun di kompleks sukan.

InsyaAllah..azam kami, akan datang lagi. Melihat kembali keagungan Allah melalui alam ciptaanNya yang sangat indah dan hebat. Antara muhasabah diri yang disepanjang aktiviti "outdoor" petang ini..

1. Kalau buat kerja..buat sampai habis. Jangan berhenti tengah jalan atau cepat puas hati [mula-mula tak mau dah naik sampai puncak..sebab rasa sama jak pemandangannya..adik desak juga naik..bila dah sampai puncak..memang berbeza..anginnya lebih nyaman dan pemandangannya lebih cantik..mujur naik]

2. Apabila berada dalam saat genting / kecemasan..bersikap "rileks" dan "cool". Cari jalan bukan sesakkan perasaan [masa sesat sekejap tu, dah mula gabrah. Tapi bila tengok adik tenang jak..terasa juga. Then buat-buat rileks juga. Walhal dah risau, lagi bila dengar bunyi anjing menyalak..hehe..penakut kan]

3. Hendak rasa kehebatan, kebesaran dan kekuasaan Allah..mudah sangat. Sentiasa ada bukti di depan mata. Tinggal saja kita mahu membuka mata dan hati untuk merasai dan menyaksikannya. [Tengok pokok, awan, burung, laut dan segala isi alam..ternyata Maha Gagah pencipta semua ini..berani nak lawan?]


Wednesday, October 7, 2009

Gempur Sampai Hancur!

Memang pantas benar masa berlalu. Rasa baru sangat aku menjaga PMR di SM Convent St. Ursula. Hari ini aku mengulang peristiwa lama. Bezanya, kini di SMK Wakuba. Maknanya sudah setahun berlalu. Tidak sedar masa meninggalkan kita bersama kenangan dan peristiwa semalam yang tidak mungkin mampu diulang lagi. Pasti ada bezanya.

Dalam setahun yang telah ditinggalkan, kalau dihitung secara analitikal, berapalah agaknya peratus kebaikan yang telah dilakukan. Lebih banyak, kurang atau sama sahaja dengan kerja-kerja yang tidak mendatangkan redha Allah. Perubahan diri rasanya tidak banyak yang berubah. Sedikit perbezaan, tahun ini, aku memang "berabis" untuk famili. Lebih banyak menumpu masa, tenaga dan harta buat mereka. Sebolehnya, kesal tidak sempat berbakti dengan sebaiknya buat arwah bapa dapat ku tebus. Kalau orang lain sibuk mengurus diri untuk menempuh alam baru yang bernama alam rumahtangga..aku pula sibuk mengurus rumah mak yang memang dah ada tangga ni..hehe.. Rumahtangga aku, nanti-nantilah."slow and steady". Sampai serunya..InsyaAllah.. :-)

Sebut pasal perubahan ini, semua pencinta kedamaian dan keamanan, jangan lupa kita sama-sama doa dan munajat ISLAM beroleh kejayaan pada 10hb ini. Andai kita kalah diatas kiraan undi, jangan berdukacita. Kita masih menang dalam penilaian Allah. Kenapa? Kerana dalam peperangan pilihanraya ini, kita telah berusaha memastikan hanya redha Allah yang mengiringi usaha-usaha kita. Kita telah memastikan calon yang kita wakilkan adalah seorang yang benar-benar layak menjadi pemimpin. Seorang yang kenal halal dan haram serta tahu hukum hakam. Dalam proses berkempen ini juga, kita pastikan kita tidak keluar dari batasan syariat Islam yang suci, seperti menipu, menuduh dan memfitnah. Ruang kempen kita manfaatkan untuk mendedahkan kezaliman yang sering diselindungkan, kita terangkan penglihatan mata hati dan minda masyarakat yang sering dikaburkan oleh mereka-mereka yang hanya pandai menabur janji tanpa gigih mengotakannya. Jangan berhenti menyerang..kita gempur sampai mereka hancur!! Allahu Akbar!

~ ISLAM SENTIASA MENANG ~


Sunday, October 4, 2009

Adakalanya..

Masih di sekolah. Sesi perekolahan untuk sidang pagi sudah berakhir. Kebiasaannya waktu-waktu begini aku sudah lama memecut ST7909K balik ke rumah berehat-rehat. Hari ini, rasa malas mahu balik awal dan mahu menikmati kesejukan penghawa dingin di bilik guru. [rumah tiada aircond bah..hehe]

Hanya ada dua kelas hari ini. Tetapi dua-dua kelas dilayan dengan mood yang satu. Mood marah dan mengomel. Muka yang manis awalnya berubah menjadi kelat. Lama sangat sudah aku tidak membebel. Biasanya apabila mereka tidak membawa buku latihan atau tidak menyiapkan kerja, aku hanya akan menasihati dan bermurah hati memberi mereka kertas untuk digunakan. Hari ini, aku masih bermurah hati. Bermurah hati memberikan mereka libasan rotan di tangan. Sebagai pengajaran, tidak setiap hari cikgu mereka ini punya mood sabar dan baik hati. Kekadang akan datang juga rasa marah apatah lagi bila kerap sangat makan hati.

InsyaAllah..marah ini tidak berpanjangan..dah "cool" dah ni..tarik nafas..hembus..lega..senang kan.. :)





Malam yang sepi

Malam sudah lewat dan semakin pekat. Angin malam dari tingkap yang menghembus lembut cukup menyamankan. Wajarnya tika begini, aku sudah lena diulit mimpi. Merehatkan diri dan minda. Esok Isnin InsyaAllah akan membuka tirainya lagi. Menandakan perlu bekerja. Perlu hadir ke sekolah.

Mata malam ini entah apa masalahnya. Tidak mahu lelap. Adik pula baru sebentar tadi menghantar masuk secawan teh o panas. Dia yang sedang berhempas pulas untuk PMRnya sememangnya "tukang bancuh teh o panas" saban malam. Moga-moga teh ini tidak menambah luasnya mata yang perlu untuk lelap ini.

Sunyi sedikit malam ini. Tiada teman bicara di ruangan YM. Sahabat-sahabat "Tawau" kebanyakan "offline" awal malam ini. Kesan kepenatan mengurus dan menjayakan Alam Ria PASTI siang tadi. Tahniah buat semua yang telah menjayakan program jemaah. InsyaAllah usaha murni kalian pasti ada nilaian disisiNya..

Mudah-mudahan "keciciran"ku hari ini bukan mukaddimah kepada keciciran-keciciran yang seterusnya..Tidak hadir hari ini pun, sedikit meresahkan jiwa. Memandangkan ada amanah lain daripada keluarga, mengurangkan rasa tidak tenang dan tidak senang.

Apapun, salam kemaafan ku pohon buat semua sahabat atas ketidakhadiran dalam program PASTI dua hari ini..menebus kekurangan..aku telah "updatekan" gambar-gambar menarik sepanjang program siang tadi..sila kunjungi www.pastawau88.blogspot.com

p/s :
-adry-hanya itu yang mampu akak upload..sebarang kekurangan mohon dibaiki
- Fate'- maaf laporan/gambar mendahului blog rasmi PASTI..hehehehe [sengih ada maksud tersirat ]

Friday, October 2, 2009

SBCH4103

Saat menulis ini, sedang didendangkan zikir merdu Ustaz Amal melalui siaran Astro Oasis. Indahnya alunan kalimah merayu dan merintih pada Dia yang Maha Gagah Perkasa. Terasa benar kekerdilan diri sebagai hamba. Sudahlah lemah tidak berdaya, tapi masih acapkali berani mencabar kekuasaan Sang Pencipta dengan melanggar suruhanNya dan melakukan laranganNya. Benar-benar tidak sedar diri!

Sedang berusaha mengumpul "mood" sebenarnya. Buku Macromolecular & Industrial Chemistry [SBCH4103] menanti untuk dihadam. Subjek berat yang menjadi amanahku pada semester September OUM kali ini.Kuliah ahad ini agak mengejutkan kerana aku hanya mengetahui punya kelas pada hari Selasa. Kelam kabut jugalah hendak buat persiapan. Mahu tidak mahu..rempuh saja lah.. Mudah-mudahan mood untuk "study" akan datang mencurah-curah sebentar nanti..harapnya..

Esok ada saringan Ihtifal Alam Ria PASTI peringkat Tawau. Secara rasminya aku tiada tugas. Tugas yang ada sudah diambil alih oleh orang lain. Lagipun semasa program kemuncak Ahad nanti, aku tidak dapat menghadirkan diri. Hari ke hari terasa semakin kurang pula beban kerja jemaah yang terpikul di bahu. Sampai kekadang terasa kosong pula masa. Tapi bila "time" kerja berlambak..masayaAllah..sampai tak menang tangan pula di buatnya. Cuma kalau guna ketelusan diri dalam berjuang, kerja itu sentiasa ada dan banyak. Mahu atau tidak saja kita mencarinya. Sedikit masalah teknikal sekarang ini, tidak punya fokus untuk bergerak kerja. Ada sahaja alasan yang tercipta dan dicipta..apa lah.. [perli diri sendiri ya..jangan pula ada sesiapa yang terasa..]

Nampaknya, kena segera ke fanika [kedai buku agama..ala-ala mydin lah] untuk mencari satu dua buku teman di kala orang lain teramat sibuk, tapi diri sendiri tak tahu nak buat apa..hehe..Dua hari lepas, semasa jejalan sorang-sorang ke sana, sudah bertemu sebuah buku berwarna merah jambu yang berjaya menambat hati. Penulisnya pula penulis kegemaran..Dr. 'Aidh Abdullah Al-Qarni..judulnya.. "Jadilah Wanita Yang Paling Bahagia"..tajuk pun dah menarik..[ada sesiapa nak bagi sebagai hadiah?..kecik tapak tangan, nyiru saya tadahkan..hehe]

Sudah pukul 9.00 malam. Harus saya segera bertegas kepada diri. Berhenti dari terus menghadap skrin laptop ini. Buku di tepi ni pun, seakan menjeling tajam minta segera dilayan...

Kg Pasir Putih @ 9.11 pm

Thursday, October 1, 2009

Sabar yang sangat panjang

Hari ini 12 Syawal 1430H. Alhamdulillah..berjaya juga menghabiskan puasa sunat Syawal. Kali ini agak istimewa sebab puasa di lalui bersama-sama emak tersayang. Setiap hari kami sahur dan berbuka bersama. Hati benar-benar tersentuh melihat mak yang jauh lebih berusia dari diri, tetapi lebih gagah berpuasa. Setiap hari balik daripada sekolah, aku akan memperuntukan masa untuk melelapkan masa sementara menanti asar. Mak pula, tidak senang duduk bahkan sentiasa saja ada kerja yang dilakukan. Paling tidak, melayan dan mengawasi cucunya yang tersangat "buas"nya.

Masih ingat lagi, 2 atau 3 tahun lepas, emak pernah bertanya, "bulan Syawal bagus rupanya kita puasa 6 hari kan"

"Iya..memanglah mak. Puasa sunat 6." Aku menjawab dengan senyuman.

"Owh..kenapa tidak kasi tau..nanti mahu puasalah " Jawab mak lagi

"InsyaAllah.." jawabku ringkas..senyuman masih berbaki di bibir..

Waktu itu mak baru pulang dari menunaikan ibadah haji. Ternyata perbezaan mak berbanding sebelum ini. Mak lahir dan dibesarkan dalam keluarga dan masyarakat yang kurang kefahaman agama. Lebih mengecewakan, terlalu dibelenggu dengan adat-adat yang kurang selari dengan syariat. Jadi untuk mengharapkan mak membimbing dan memandu ke arah hidup berlandaskan syariat Islam yang sempurna tidaklah sangat...

Awal-awal aku mula terlibat dengan "gerakan Islam" semasa zaman sekolah dahulu, hanya Allah yang tahu betapa kecamuknya jiwa. Hati sentiasa berselubung duka melihat ahli keluarga yang tidak memahami apatah lagi menghayati syariat sebagai panduan kehidupan. Dalam usia yang sangat muda ketika itu, apa sajalah yang boleh dilakukan. Hanya linangan airmata dan doa menjadi teman. Kini bersama usia yang semakin dewasa, berbekal kerjaya sebagai senjata, sedikit sebanyak suara dan pandanganku boleh diterima oleh mak dan ahli keluarga yang lain. Walaupun masih terlalu banyak kekurangan yang belum dibaiki, selebihnya aku sandarkan kepada rahmat dan keampunan DIA yang Maha Pengampun. Aku hanya mampu berusaha sedayanya.

Aku yakin, masalah ini turut dialami oleh sahabat-sahabat yang lain. Bahkan isu sebegini, isu yang paling kerap dibincangkan bersama adik-adik PERPIS semasa usrah. Realiti anak-anak "mendidik" orang-orang tua bukan lagi fenomena yang pelik. Cumanya, realiti ini sangat perit dan mencabar. Perlu dilaksanakan dengan sangat berhati-hati. Yang hak dan benar harus ditegakan dalam masa yang sama adab dan akhlak sebagai anak juga masih wajib diutamakan.

Sesungguhnya, hingga ke hari ini bahkan mungkin hingga ke hujung nyawa, perjuangan ini akan berterusan. Sering membisik jiwa agar jangan resah dan berdukacita tatkala belum berjaya merubah keluarga, "hak kita sebagai hamba adalah berusaha..berjaya dan tidak itu adalah hak dan urusan Dia Yang Mencipta..maka, berusahalah dan terus berusaha.."

Tatkala mahu lari dari amanah lantaran kecewa dan putus asa..segera membaca firmanNya sebagai renungan dan muhasabah diri..