Terus bertahan....

"Cikgu.." sapa satu suara mengejtkan aku.

"Ehh..dari mana? buat apa sekarang?" tanyaku bak polis menyoal siasat.

"Dari sana, saya kerja di sini sekarang." Jawabnya sambil menunjukkan sampul surat alamat tempat kerjanya.

"Kerja apa? office boy?" tanyaku lanjut.

"Ndaklah...kerani" jawabnya malu-malu.

"Bah oklah tu..kerja bagus-bagus ya..nanti jangan lupa belanja cikgu makan." pesanku diselangi gurauan.

Dia hanya ketawa sambil berusaha 'menyorokan' sebatang rokok yang sedang membara dibalik sampul surat pejabat tempatnya bekerja.

"Rokok tu bah...mau juga di tapok-tapok (disorok)" perliku dengan sedikit jelingan.

"Ndaklah.." jawabnya mengelak dengan senyuman.

"Oklah..cikgu mau jalan sudah..bagus-bagus ya kerja" pesanku sekali lagi sambil izin berlalu dulu.

"Ok cikgu.." jawabnya sekali lagi dengan senyuman manis.

Kereta yang "parking" bukan ditempat 'parking' tidak membenarkan aku bersembang panjang dengannya. Bekas pelajarku yang selalu "menimbulkan' masalah semasa sekolah dahulu. Tidak siapkan kerja rumah, tak bawa buku, tidak fokus semasa P&P dan serba serbi masalah disiplin sudah dizahirkan. Tetapi sejak pertama kali aku bersua dengannya, hati ku berbisik dia pelajar yang baik sebenarnya. Tulisannya juga sangat cantik dan kemas. Mengalahkan tulisan pelajar perempuan. Dia juga seorang yang berpotensi untuk berjaya, namun, kesan "kealpaanya' mengisi zaman sebagai pelajar dengan perkara yang tidak bermanfaat, dia hanyut di telan arus duniawi yang sebentar cuma.

Melihatnya kembali setelah hampir dua tahun tidak bersua, aku rasakan dia sudah berubah. Tatkala dia menegurku pun, aku sudah cukup terharu. Ingat juga dia pada cikgu Sainsnya yang sering "membelasah" fizikal dan mentalnya.

Menjadi seorang pendidik benar-benar terjun ke lubuk dakwah. Mad'u yang perlu dibimbing dan ditunjuk ajar beratus di depan mata. Kekadang terbit rasa, "macam tak wajar rasanya nak ajar sains sedang fardhu ain pelajar-pelajar ini pun tak lepas lagi". Mengajar mereka mengenal mikroorganisma, mengenalkan mereka apa itu atom, molekul dan ion ataupun menjelaskan bagaimana kapal terbang boleh terbang. Sedangkan mereka menyebut Allah pun bagai berbelit lidah. Itu belum lagi diperiksa samada pandai membaca al-Fatihah ataupun tahu tidak rukun dan syarat sah solat.

Lebih menyedihkan semakin ramai yang langsung tidak boleh membaca Al-quran. Hingga terpaksa ku bekalkan Asma'ul Husna bertulisan rumi bagi membolehkan mereka mengalunkannya setiap kali sebelum bermula sesi pembelajaran. Bila direnung, kasihan yang teramat. Kebanyakannya mewarisi kejahilan agama dari ibu dan bapa.

"Mak solat?"... geleng kepala

"Bapa solat?"... geleng kepala

"Ada yang solat di rumah?..geleng kepala

Istighfar dibuatnya. Inilah sampel kebanyakan keluarga hari ini. Terutama untuk masyarakat di Sabah. Macam mana anak hendak bertudung, kalau maknya pun mendedah aurat. Anak yang ibarat kain putih, tidak dicorakan dengan corak amal islami. Agama benar-benar jadi warisan. Warisan turun temurun. Itupun ada juga yang nekad membuang warisan hingga sanggup memilih agama lain.

Sesungguhnya cabaran berat bagi yang prihatin dan peka pada tugas dan amanah dakwah. Malangnya, terlalu ramai guru yang meletakan tugas membentuk sakhsiah pelajar dibahu para ustaz/ustazah ataupun guru disiplin. Guru lebih sensitif menegur pelajar yang tidak memakai tanda nama ataupun lencana sekolah berbanding menegur pelajar perempuan yang berlengan pendek ataupun lelaki berseluar pendek semasa bersukan.

Berhadapan dengan realiti ini, membuat diri sentiasa bermohon pada Dia yang menguasai seluruh hati manusia, cekalkan sekeping hati yang rapuh dan kuatkan semangat yang mudah goyah ini. Tatkala terdetik rasa hati mahu culas pada amanah khalifah di bumi, cepat-cepat membisik pada hati, 'kalau aku pun jauh dari karektor mukmin sejati, macam mana aku nak bentuk pelajar ku nanti'...

Ya Allah..terus bimbing dan hadiahkan aku hati "yang hidup"..biar menjadi temanku di sepanjang jalan bergelar pendidik...amin Ya Rabb.

Comments

Popular posts from this blog

Zon Selesa

Kisah Kita

Pendam