Belajarlah dari mereka..

" Mak Anjang nak balik dah ka? Kalau nak balik, ikut saya sajalah. Saya lalu juga rumah Mak Anjang. Sekali saya ambil bekas air dan periuk saya." Ajakku pada Mak Anjang seusai selesai mesyuarat tengah hari kelmarin. Ajakan dengan dua niat. Menumpangkannya sambil "cover" malu sebab dah lama membiarkan periuk dan bekas air dirumahnya.

"Periuk dan bekas air tu Mak Anjang dah jual dah. Tak ada orang nak ambil." Balasnya dengan sindiran mesra.

Aku hanya mampu tersengih-sengih. Akur atas kesalahan dan kesilapan diri.

"Amirah nak balik sekarang kah? Kalu nak balik, Mak Anjang zohor di rumah lah." Tanya Mak Anjang mematikan sengihanku.

"Aah..balik sekarang lah. Saya turun dulu ambil kereta, Mak Anjang tunggu kat bawah ya". Jawabku sambil mengemas buku dan mengeluarkan kunci kereta.

Mak Anjang, seorang suri rumah yang aku kagumi. Mengenalinya seawal usia 14 tahun lagi. Masih segar di memori, saat aku dan seorang sahabat pergi ke rumahnya untuk membantu kerja-kerja perjuangan. Mulutnya tidak berhenti berkongsi ilmu. Persis seorang ibu menasihatkan anaknya.

"Tak apakah Mak Anjang masak seorang untuk majlis 26hb ni?" Aku memulakan perbualan sebaik sahaja Mak Anjang selesa duduk di vivaku.

"Mak Anjang ajaklah anak-anak lelaki tolong. Kerja-kerja berat kan. Muslimat bantu hidang pun sudah memadai." Jawabnya ringkas.

"Mak Anjang memang minat ya masak-masak ni?" Tanyaku lagi.

"Masak je yang Mak Anjang reti Amirah. Masak ni tak lah susah ataupun leceh. Kuncinya adalah pada keikhlasan kita memasak. Masakan bukan bergantung sepenuhnya pada bahan dan ramuannya. Kalau kita ikhlas, bahan tak banyak manapun, masakan kita pasti sedap. Dan bila lihat ahli keluarga kita makan dengan penuh selera, saat itulah kepuasan memasak akan kita rasai." Jawabnya penuh bersemangat.

Terpukul juga diri, selalu beralasan untuk rajin memasak. Cerewet sangat hendak memastikan bahan dan ramuan masakan mesti lengkap baru hendak "beraksi" di dapur. Alasan dan terus beralasan!

Perbualan kami agak panjang juga. Mak Anjang masih seperti yang aku kenali, kaya dengan nasihat. Aku pula mengambil sepenuhnya peluang yang ada. Bertanya sebanyaknya. Bukan mudah mahu bertemu dan berbual peribadi begini. Walaupun acapkali bertemu, tetapi pertemuan seringkali dalam suasana formal- mesyuarat ataupun usrah!

Sepanjang perjalanan balik ke rumah, mindaku tidak henti memproses butiran perbualan ku dengan Mak Anjang. Tercabar juga dengan kesungguhan Mak Anjang pada perjuangan. Komitmen yang ditunjukkannya bukan calang-calang. Aku yang masih muda dan belum punya komitmen pada suami dan anak-anak pun kerap kalah pada Mak Anjang. Satu yang aku semat kukuh, kunci hayat kita pada perjuangan ini adalah keikhlasan. Sesungguhnya, ikhlas itu adalah rahsia kita dengan Allah. Kita boleh saja, mencanangkan kepada seluruh alam, kita IKHLAS tapi hakikatnya, benar atau tidak Allah yang menilai.

Semoga langkahku masih disibukkan dengan urusan perjuangan. Teringat kata-kata nakibahku semasa di UPSI dahulu, kalau kita tidak sibuk dengan perjuangan, Allah akan sibukkan kita dengan urusan-urusan lain. Alangkah ruginya andai urusan-urusan itu sekadar urusan duniawi yang tiada nilai ukhrawi... semoga Allah yang maha luas rahmatNya sentiasa memelihara kita.



Comments

Popular posts from this blog

Zon Selesa

Kisah Kita

Pendam