Mengurus Masa = Mengurus Nyawa

Cuti rehat sempena CNY seminggu ini berusaha dimanfaatkan sebaiknya. Alhamdulillah..banyak perkara juga selesai. Antaranya, mesyuarat-mesyuarat urusan perjuangan dapat dijalankan dengan selesa. Bukan selalu peluang cuti ini hadir. Walau peribadinya, aku mengharapkan pengisian lebih banyak lagi. Akur, bukan semua punya kelapangan masa seperti diri. Orang lain punya komitmen yang pelbagai. Ada yang sudah mula bekerja, ada yang punya suami dan anak-anak yang juga menuntut waktu dan komitmen yang tinggi. Jarang yang bujang dan "bebas" seperti aku. Jarang sangat... :-)

Menyedari hakikat, masa perlu dihargai sebaiknya, hobi perlu dinilai semula. Sebelum ini, "on" sahaja komputer, "facebook" menjadi pilihan pertama. Walhal bukan ada benda sangat yang perlu dan utama di situ. Sekadar "ralit" membaca komen demi komen. Menjelajah profile demi profile. Bukan salah, cuma jangan terlalu dibaja. Manfaatnya tidak seberapa.

Lebih terkesan tatkala membaca tulisan Ustaz Zaharudin, Facebook, Yahudi dan Status Hukum. Malu dan sesal pun ada. Terutama membaca ayat " Limitasikan dan kurangkan perbincangan soal remeh temeh peribadi yang membuang masa diri dan orang lain.

Pembaziran masa adakalanya sesuatu yang tidak disedari dan tanpa diniatkan pun. Justeru, menguruskan masa harus difahami ibarat mengurus nyawa. Perlu teliti dan berhati-hati. Perginya tak akan boleh diganti. Benarlah kata-kata Imam Al-Ghazali, yang paling jauh adalah masa yang berlalu.

Kecanggihan teknologi hari ini, wajar dimanfaatkan sebaiknya dalam mengisi masa bersama alam maya. Terlalu banyak laman-laman web yang mampu menyubur rohani dan menajam minda yang boleh diselusuri. Tatkala bertemu dengan www.kuliyah.net dan www.mymaktabty.com, hati melonjak girang. Kebuntuan mencari ruang menadah kitab di tanah sendiri terlerai juga. Sekurang-kurangnya rasa "cemburu" dengan sahabat-sahabat yang berada di negeri serambi mekah sana, yang punya ruang luas untuk menadah kitab dan mendengar pengajian agama, mampu diubati. Walaupun situasi dan kondisinya berbeza, tetapi insyaAllah manfaatnya tetap sama. Paling penting sekarang ini, kesungguhan dan iltizam harus padu. Jangan hangat-hangat tahi ayam sudahlah. Dan..terlebih penting, ada beza dalam kualiti dan kuantiti amal.

"Sesiapa yang bertambah ilmunya tetapi sedikit sahaja amalnya, maka tidak akan bertambah melainkan lebih jauh daripada Allah" [mafhum hadith]

[Kebaikan itu ada di mana-mana dan bila-bila masa..kita sahaja mahu mencarinya ataupun tidak..tepuk dada tanya iman.]

Comments

Popular posts from this blog

Zon Selesa

Kisah Kita

Pendam