CIKGU = Celik Insan Kerana Guru Unggul

Persekitaran yang baik tidak dinafikan memberi kesan kepada pembentukan peribadi. Membentuk dan mencorak manusia, sekolah antara tempatnya. Maka sudah semestinya, sekolah wajib mempunyai persekitaran yang baik. Tidak ada ibu bapa di dunia ini, menghantar anak-anak mereka ke sekolah untuk menjadikan anak mereka manusia yang jahat. Impiannya pasti satu, mahu anaknya berjaya menjadi manusia. Walau ramai sebenarnya mahu anak mereka berjaya dalam akademik. Berjaya menjadi manusia pastinya tidak sekadar berjaya dalam bidang akademik. Tidak ramai yang meneliti perkara ini.

Namun begitu, biasa juga kedengaran, anasir-anasir negatif di bawa ke rumah daripada sekolah.


" Ibu, adik cakap "bodoh"..kakak mengadu pada ibunya.

"Adik, di mana belajar cakap macam tu" soal ibu

"Adik dengar kawan adik cakap di kelas tadi." jawab adik jujur

Dialog yang biasa dirungutkan oleh teman sekerja tatkala mengulas karenah anak-anak. Justeru, perlu difahami, sekolah secara asasnya telah menyediakan satu kerangka kurikulum membentuk pelajar memperolehi ilmu pengetahuan buat bekal menghadapi peperiksaan untuk membolehkan mereka melangkah ke menara gading seterusnya keluar dan berjaya meneruskan kehidupan dengan pekerjaan yang baik dan memberi kesenangan. Beginilah secara teorinya. Walaupun adakalanya tidak seperti ini keadaannya. Ada yang menjadi pelajar terbaik semasa di sekolah, tetapi mengisi sisa usia dewasa dengan sekadar kerja biasa. Ada yang pelajar biasa-biasa sahaja semasa di sekolah, akhirnya menjadi seorang yang berjaya di alam kerjaya. Ini dipanggil rezeki dan ketentuanNya. Tidak ada teori yang mampu mengubahnya melainkan menggunakan satu-satunya senjata yang ada iaitu doa. Doalah yang menjadi penghubung manusia kepada yang pengatur alam, Allah Yang Maha Gagah agar kehidupan sentiasa dalam kebaikan dan kesenangan.

Sekolah selain di bentuk oleh kurikulum pendidikannya, matlamat kejayaan sekolah menjadi persekitaran baik untuk membentuk manusia baik juga banyak ditentukan oleh barisan pendidiknya. Tidak dinafikan, adakalanya kegagalan guru menjadi pendidik menyumbang kepada kegagalan pelajar menjadi manusia. Satu contoh mudah :


"Kenapa kamu tak pakai tudung?" tegur seorang guru kepada pelajar perempuan muslim semasa sukan sekolah.

"Kenapa cikgu paksa saya pakai tudung, Cikgu Ani [sekadar nama] pun tak pakai tudung?" jawab pelajar perempuan tersebut.

Dilema yang akan dialami oleh pendidik yang punya kesedaran untuk menjadikan pelajar seorang manusia. Bukan seorang pelajar cemerlang semata-mata. Konklusinya, disamping membentuk pelajar menjadi manusia, jangan lupa membentuk guru menjadi pendidik. Tugas dakwah adalah mengeluarkan manusia daripada neraka. Tidak kiralah siapa pun manusia itu. Paling penting manusia itu adalah DIRI SENDIRI!



Comments

Popular posts from this blog

Zon Selesa

Kisah Kita

Pendam