Nota Pada Diri

Baru selesai menjamu keropok lekor [hadiah dari big bos dmpkt] beserta secawan teh o panas. Alhamdulillah..mengisi petang dan menutup siang yang sibuk hari ini. Tidak dinafikan minggu ini minggu yang mencabar fizikal dan mental. Kerja berantaian datang tanpa simpati pada diri. Lebih mencabar semua mahu segera dan sempurna. Bukan mudah!

Sudah lama tidak di asak begini. Zaman di kampus dulu, keadaan begini sudah menjadi kebiasaan. Kalau tiada tugas dan kerja itu yang pelik. Masa harus dicabangkan kepada tiga yang utama. Akademik, perjuangan dan kolej. Harus semua kelihatan sempurna di mata mereka yang memerhati. Keluar alam kampus, di sambut alam kerjaya, keadaan sedikit berubah. Agaknya masih dalam fasa ta'ruf. Lagipun dengan imej "ustazah" yang dipamerkan, kerja-kerja yang dipertanggungjawabkan di sekolah agak selektif. Satu rahmat dan terasa berkatnya memilih kekal dengan imej sebegini. Mudah-mudahan Allah terus memilih hingga hujung usia...Amin Ya Rabb.

Ini belum lagi memasuki alam rumahtangga. Alam yang menjadi idaman semua manusia terutamanya usia-usia sepertiku.

"Kerja sudah bagus, kereta sudah ada, keluarga pun sudah rasa duit gaji..apa lagi di tunggu?"

Soalan yang sering menerjah jiwa dan raga. Ada juga ketikanya aku menjawab :

"Tunggu di pinang lah"

Jawapan paling ampuh ku rasakan. Tapi ternyata tidak mematikan persoalan.

"Memilih sangat kali ni.."

Kata berbaur tuduhan yang malas untuk di bawa ke medan perbicaraan. Biarlah memujuk hati, jodoh itu rahsia Allah. Waktu, siapa dan bagaimana keadaanNya, menjadi rahsia disisiNya. Hanya doa mampu dipanjatkan, jodoh itu menjadi jambatan ke syurga. Manis atau pahit, duka atau bahagia ini persoalan kedua. Tidak semestniya pahit atau duka di dunia itu, neraka pengakhirannya. Tidak mustahil dengan pahit dan duka itulah, yang menjadikan diri lebih hampir kepada Sang Pencipta hingga membawa kita ke syurga. Apa ertinya bahagia punya suami dan anak-anak yang tercinta andai itu menjauhkan dari Allah..melalaikan dari tanggungjawab pada Allah dan Rasul yang hiraki cintanya lebih tinggi dari insan bernama suami.

Getar juga menulis selantang ini. Lagilah diri belum dimiliki oleh seorang lelaki. Namun, berbekal tawakal yang satu padaNya, mudah-mudahan kata yang lahir dari hati dan digazetkan di bicara sufi, akan menjadi saksi dan bukti untuk tampil mendakwa diri andai jauh tersasar dari teori dan amali jalan juang ini.

Berpesan pada diri dan semua yang mahu mengerti, hidup dan kehidupan sekadar jalan dan laluan menemui tuhan pencipta sekalian alam. Apa yang telah kita lalui, sadang lalui dan bakal lalui dinilai dan diperhati. Fahamilah, semuanya sudah tertulis di lauh mahfuz. Andai berhadapan dukacita, jangan terlalu kecewa. Usah terlalu membazirkan airmata yang ada titisan akhirnya. Simpan airmata itu untuk bukti sesal dan taubat kita atas segala noda dan dosa yang telah kita lakar di kanvas kehidupan. Jadikan dukacita penyubur sifat hamba dalam diri. Bukti kita ini maha lemah, hanya mampu merancang tetapi tiada upaya menentukan.

Saat melihat orang lain, tersenyum ceria diulit bahagia, pujuk hati.."aku tidak ditakdirkan bahagia sebegitu kerana jika aku dalam kebahagiaan itu, belum tentu aku akan menjadi orang yang bersyukur..boleh jadi aku kufur akan nikmat dan anugerah pinjamanNya ini". Bimbing diri, sentiasa bersangka baik dengan Allah. Tiada yang sia-sia dalam penciptaanNya.

Hargai siapa diri kita, syukuri apapun keadaan kita..yakin dan pasti..hidup kita berteman BAHAGIA. Walau tidak lagi berdua. ^_^

Comments

Popular posts from this blog

Zon Selesa

Kisah Kita

Pendam