Izinkan aku terus menulis

Hampir sejam saya membiarkan "page" ini terbuka tanpa terisi sepatah kata pun. Saya punya rasa untuk menulis, keinginan yang saya tahan-tahan dari siang hari lagi. Tetapi apabila punya kesempatan, tiba-tiba saya jadi kaku. Minda saya sedikit beku untuk mengeluarkan idea-idea yang boleh saya kongsikan pada entry kali ini. Sudahnya, saya membiarkan masa berlalu dengan bersembang bersama seorang adik di YM dan seorang kenalan di FB.

Saya sedikit berat untuk menulis, sejak pulang dari Hotel De Choice tempoh hari. Seorang sahabat berkata kepada saya :

"Bagus ko tutup jak blog mu..itu lebih kepada blog peribadi bah tu"

Ayat ini terpacul keluar tatkala perwakilan membahaskan tentang lujnah IT. Dengan pendengaran yang terbatas, saya dan sahabat itu, terdengar nama Amirah Izzati dan Bicara Sufi disebut. Tapi tidak jelas akan intipati penjelasan Ketua Lujnah Penerangan kawasan hingga menyebabkan nama saya terkeluar. Cuma saya menyimpulkan, bos saya memaklumkan kepada hadirin, bahawa saya antara yang bertanggungjawab mengurus blog rasmi kawasan. Tiada salahnya penjelasan dan penerangan bos saya itu.

Cuma yang masih berbekas di minda, saranan sahabat saya itu. Pasti ada lagi insan-insan terutamanya rakan seperjuangan yang keliru status bicara sufi. Walhal sudah pernah saya nyatakan, sememangnya, bicara sufi adalah blog peribadi. Peribadi yang membawa maksud, saya bebas berkongsi apa sahaja yang saya rasakan ada manfaatnya untuk tatapan siapa sahaja yang sudi singgah ziarah di sini. Blog ini memang tidak sekadar membincangkan hal-hal siasah semata-mata. Tidak sama sekali! Bukan juga bermaksud saya tidak menyentuh langsung urusan siasah ini, ada juga yang saya selitkan. Yang saya rasakan saya berkelayakan untuk mengulasnya. Namun, saya beranggapan, dengan tidak sekadar membincangkan hal-hal siasah dalam negara, pembaca masih dapat menyimpulkan kecenderungan politik saya. Saya rasa ianya bukan lagi rahsia.

Menyentuh soal blog peribadi, saya menjelaskan, tidak semua yang saya kisahkan di sini adalah kisah peribadi saya. Harap tidak dianggap sebegini. Ada yang saya ambil dari pengalaman orang lain. Tapi saya ibaratkan pengalaman itu saya yang lalui. Lantas, saya olah menjadikannya seolah-olah ianya kisah saya. Matlamat saya hanya mahu kita yang membacanya memperolehi sesuatu. Itu sahaja.

Saya selalu berpesan pada diri, pastikan apa sahaja yang kita lakukan, bernilai ibadah di sisiNya. Itu sahaja yang boleh menjadikan kita beruntung di dunia. Macam orang berniagalah, matlamatnya untung. Bukankah kita juga sedang berniaga dengan Allah. Keuntungan perniagaan kita ini adalah pahala yang berasal daripada ibadah. Saya berusaha menjadikan marah, kecewa, terluka, sedih, rindu, kasih, gembira mahupun bahagia saya sebagai ibadah. Bagaimana saya mengaitkannya dengan bicara sufi? Saya gazetkan segala rasa yang hadir ini di sini secara positif. Tanpa nada putus asa dan hilang arah. Sebab yakin, sebagai muslim yang mahu menjadi mukmin-muttaqqin, tidak ada sikap pesimis dalam kamus kehidupan. Hanya ada sikap optimis kerana yakin dan pasti Allah sentiasa di sisi hamba-hambaNya. Antara teori kehidupan sebagai muslim : Musibah hadapi dengan sabar, Bahagia jangan lupa syukur. Nescaya hidup sentiasa dalam kebaikan. Yakinlah!

Harapnya, dengan penjelasan ini, tiada lagi yang terkeliru dengan bicara sufi. Andainya ada yang merasakan blog ini tidak sesuai dengan yang sepatutnya, kemaafan saya pinta. Blog ini bersifat terbuka, tanpa memfokus kepada mana-mana pembaca. Bahkan, saya akui, pelajar saya sendiri ada yang membacanya, saya tidak kisah kerana saya memang berniat mahu berkongsi dengan sesiapa sahaja.

Mohon izin untuk terus menulis...

Comments

Vita Meglio said…
salam..

tulis jak..

asalkan tu untuk Islam

Popular posts from this blog

Zon Selesa

Kisah Kita

Pendam