Islamik kah kita?

Salam Perjuangan

Mengambil ruang menanti Isyak. Kosong senjaku seminggu ini. CPU masuk ICU. Tidak dapat mengisi rohani dengan Kitab Fikah Mazhab Syafie yang dijelaskan oleh Dr. Abdul Basit Abdul Rahman. Terdetik untuk menulis akibat terkesan dengan soalan seorang sahabat maya yang saya kagumi. Tidak dilahirkan dalam Islam namun embun hidayah yang membasahi hatinya di lewat usia dewasa, menjadikan dia adakalanya aku rasa jauh lebih muslim berbanding aku yang muslim sedari lahir ke dunia. Iltizam dan bersungguhnya dia mahu bergelar muslim sejati.

"Apa hujah yang membolehkan seorang muslimah bekerja?" Tanyanya lewat YM dua hari lepas.

Mahu menjawab persoalan ini kepada seorang yang detail dan teliti pastinya tidak memadai sekadar memberikan dalil aqli. Jawapan ringkasku - "Saya tak boleh jawab malam ini, bagi saya masa, InsyaAllah, esok tanya saya semula." Berharap jawapanku tidak mematikan "mood" ingin tahunya.

Pagi-pagi lagi disekolah, aku menyerbu Ustaz di sekolahku. Cuba memulakan tugasanku. Perbincangan memberi beberapa idea. Namun masih tidak cukup. Lantas, dengan izin Allah, dimudahkan urusanku. Talian internet lancar sahaja pagi itu. Segera ku "google" persoalan yang dikemukakan. Alhamdulillah..bertemu beberapa laman web dari sumber yang sahih dan dipercayai. Menjawab persoalan yang diamanahkan kepadaku.


Tidak perlulah aku mengulas panjang di sini akan hujah dan jawapan pada persolan itu. Satu yang aku muhasabahkan, betapa diri ini menganggap remeh urusan beragama. Sepatutnya, persoalan-persoalan sebegini sudah ku hadam dan ku fahami sedalamnya. Bukankah hukum ini kena pada batang tubuhku sendiri? Iya, aku akur. Masih banyak perkara yang sepatutnya dititk beratkan tetapi masih dipandang remeh. Justeru itu, keberkatan dalam melakukan sesuatu itu tidak ada. Malunya rasa diri. Kerap bercerita soal perjuangan tetapi benda asas tidak "pass" lagi.

Sekadar berkongsi rasa keinsafan yang dianugerahkanNya, aku menyeru kepada semua sahabat seperjuangan, perhalusi kembali keadaan kita semasa bekerja. Terutama dalam aspek pergaulan. Biasa kelihatan, gurau senda kita terhadap rakan sekerja yang bukan muhrim seakan diluar batas sepatutnya. Bagi pendidik, tingkah kita kepada pelajar lelaki benarkah seperti yang dibolehkan? Adakalanya, usia yang terjarak antara kita dengan pelajar lelaki seakan "menghalalkan" tingkah yang tidak seharusnya. Bebas mencubit lengan atau perut mereka. Dengan alasan masih berlapik. "Islamik" kah tindakan sebegini? Apatah lagi bagi kita yang mengaku pejuang agamaNya.

Ini belum lagi menyentuh soal toleransi kita dalam berpakaian. Tidak dinafikan, kita masih menutup aurat. Bezanya, dahulu kita menutup aurat dengan terbaik. Kini berbekalkan alasan kerjaya dan menjaga "cakap-cakap orang", kita rela menurunkan sedikit darjat "terbaik" kepada "baik sahaja".

Satu lagi keadaan yang terasa agak kurang diberi perhatiaan terutamanya kepada para pewaris perjuangan, nilai dan etika kita semasa berFB. Isu ini pun tidak perlu lah dihuraikan dengan panjang lebar di sini. Memadai dengan menghayati tulisan terkini Ustaz Zaharudin Abdul Rahman di sini :


Budaya "membuat laporan" aktiviti harian di FB rasanya perlu diminimakan. Tegur menegurlah sesama sahabat. Jangan jadikan FB sebagai medan ukhuwwah semata-mata. Perkembangkan lagi dengan sesuatu yang lebih ilmiah. Kita mampu mengubahnya!

Berat juga mahu menulis seserius ini. Penulisnya juga tidak sempurna dan banyak melakukan kesilapan. Namun, memberanikan jiwa melawan belenggu rasa bersalah. Memaparkan untuk tatapan umum dengan harapan ada budaya saling mengingatkan. Hari ini, kesedaran dianugerahkan pada diri, maka tanggungjawab diri berkongsi rasa sesal dan berdosa. Esok lusa, mungkin giliran orang lain.

Semoga Allah terus memelihara kita..

Comments

Popular posts from this blog

Zon Selesa

Kisah Kita

Pendam