Rindu serindu-rindunya...

Salam Palestine..

Sejujurnya perasaan tidak beberapa enak beberapa waktu ini. Terutamanya sekembali dari Madrasah Darul Hidayah, Sg. Imam. Ditambah lagi dengan isu-isu semasa negara yang tidak pun mahu saya fikirkan sangat, tetap jua hadir menjerut emosi. Saya juga jadi buntu terus melayan desakan minda saya untuk berfikir dan memikirkannya. Saya bertambah buntu terutamanya apabila sendiri begini. Apa yang saya pendam jauh di lubuk hati ini, perlukan teman bicara..biar lerai segalanya dan bertemu sebuah konklusi.

Saya bertambah tidak tenang jiwa, apabila rindu pada sebuah memori indah yang saya pernah lakar bersama mereka yang saya panggil teman seperjuangan bertamu di qalbu sepi. Saya masih tidak boleh menerima kenyataan saya sudah tidak bersama mereka. Saya masih tidak mahu menerima fakta mereka meninggalkan saya. Saya belum bersedia menerima semua ini..

Kami tidak bersama kerana sebuah kerjaya..agaknya mereka mahu menumpukan fokus yang penuh pada sesuatu yang telah mereka genggam..berusaha mengaplikasi segala ilmu universiti yang bertahun dipelajari..

Kami tidak lagi bersama kerana mereka sedang berada di alam baru yang indah.Mereka sedang melayar bahtera rumahtangga bersama suami yang dicintai dan anak-anak yang menjadi penyejuk mata..

Kami tidak lagi bersama kerana mereka sudah semakin jauh di mata..harus meninggalkan bumi peladang ini demi meneruskan kehidupan disamping memberi sebuah kebahagiaan buat ayah-bonda dan sanak saudara yang pernah memerah keringat agar dapat terus belajar hingga ke menara gading..

Kalau saya punya kuasa sakti..mahu sahaja saya halang masa dari terus beranjak..biar kami terus bersama. Riang gembira di alam remaja..walau masih berkain biru, berbaju putih, bertudung labuh dengan nama dan lencana sekolah, kami tidak pernah berpisah bahkan sentiasa akrab dan terikat padu pada sebuah perjuangan. Merelakan diri di tarbiyyah agar mampu menjadi kader dakwah. Menginfakan diri pada jalan perjuangan agar Nur Islam yang menyinari hati kami dikongsi buat semua ummah.

Saya tidak pernah menyangka..sebuah kerjaya, sebuah mahlgai bahagia mampu memisahkan kami. Hingga adakalanya saya berkata sinis pada diri sendiri, murahnya nilai perjuangan yang saya semai hampir 14 tahun lamanya.

Saya bukan menolak sunnatullah perjuangan. saya bukan menafikan proses tapisan yang pasti berlaku ini..dan saya jauh dari mendabik dada, sayalah yang terbaik di antara kami kerana saya masih boleh bertahan. Saya cuma terlalu sayangkan apa yang telah kami bina selama ini. Terlalu takut semuanya akan pergi begitu sahaja..hanya menjadi sebuah memori lama..

Saya bertambah takut..apalah nasib diri saya..selama mana saya mampu bertahan dan terus terpilih..

Thabatkanku Ya Allah di jalan juang ini...Kembalikan sahabatku yang semakin meninggalkanku..aku sangat merindui mereka...

[maaf atas bicara penuh emosi ini..kerja dakwah melebihi masa yang ada..mad'u di depan mata..kita lebih kuat..lebih teguh..lebih kukuh..kalau kita bersama..masa masih ada..ayuh..kita kembali melangkah bersama]


Comments

Popular posts from this blog

Zon Selesa

Kisah Kita

Pendam