Dakwah : Bukan Jalan Mudah

Salam Palestine

Waktu istirehat dari memikirkan urusan-urusan disekolah sudah bemula. Kini aku serahkan anak-anak didikku pada rahmat dan kasih sayang Sang Pengatur Buana agar melimpahkan ihsanNya, memudahkan anak-anak didikku menjawab dengan baik dalam peperiksaan. Ujian kecil dunia. Mudahan beroleh kejayaan yang menjadikan mereka lebih bersemangat memburu kejayaan yang hakiki iaitu bertemu Sang Pencipta dalam keadaan cemerlang.

Benar-benar cuti kali ini. Tugasan berupah menjaga STPM pun aku tolak. Alasan mudah, mahu rehat. Baru hari pertama tidak perlu hadir bertugas ke sekolah, satu mesej ku terima dari murabbi mayaku :

"Cikgu, cuti sekolah dakwah jangan cuti ya"

Tersimpul senyum manis dihujung bibir. Bersemangat Subuh ku pagi itu. Sebaris ayat ringkas yang mampu menyentak lena yang mungkin panjang, sepanjang cuti sekolah ini. Berbicara soal dakwah, satu tuntutan yang tidak mudah. Namun tidaklah payah hingga mustahil dilaksanakan. Memerlukan syarat iaitu ikhlas yang tulin, ilmu yang pelbagai dan semangat yang tinggi. Tiga komponen yang perlu disepadukan agar mampu terus iltizam dengannya.

Sedang punya semangat untuk bergelar da'ie, beberapa persoalan timbul dan mungkin sengaja ditimbulkan. Aku biasa ditanya:

"Kak, kalau nak berdakwah ni mesti dalam PAS sahaja ka?"

"Boleh tak saya berdakwah dengan nama ABIM atau Hizbut Tahrir atau JIM atau Tabligh?"

Jawapan saya selalunya sama untuk soalan sebegini.

Berdakwalah dengan satu wasilah yang kalian yakin ianya yang terbaik dan mampu melangsaikan kewajipan menyeru kepada kebenaran dan mencegah daripada kemungkaran. Cuma jangan sampai saling menidakkan peranan jemaah lain. Terlalu mempromosikan jemaah pilihan hingga prejudis terhadap jemaah lain. Misal mudah, kalau tidak minat dengan PAS yang dilabelkan sebagai berwajah politik, jangan samakan PAS dengan UMNO. Ini satu tohmahan yang sangat bertentangan daripada fakta sebenarnya. Dalam bahasa lain, mungkin sahaja boleh menjadi fitnah. Hinggakan kalian menafikan kepentingan teribat dengan pilihanraya. Tidak mahu menyumbang satu undi untuk sebuah jemaah yang berdaftar sebagai parti politik selaku kaedah paling sejahtera ke arah membina sebuah negara yang benar-benar bertepatan dengan syariat. Walhal, PAS dari sudut perlaksanaan juga membawa mesej dakwah yang jelas.

Contoh lain juga, jika kalian punya pengalaman tidak seberapa menyedapkan hati dengan pendukung Tabligh, jangan digeneralisasikan bahawa semua ahli Tabligh begitu. Tidak adil mengguna pakai peribahasa Melayu "kerana nila setitik rosak susu sebelanga" untuk kes sebegini.

Mudahnya, saling membahulah dalam perkara kebaikan begini. Saling meraikan kepada perbezaan dan berusaha mencari persamaan. Harus diingat, kerja utama dakwah ini mengembalikan manusia kembali kepada syariat yang benar. Anggaplah perbezaan method itu adalah strategi-strategi yang mudah-mudahan mampu membantu mencapai matlamat yang didambakan. Hingga hujungnya kita bersama bertemu dengan keredhaan Allah yang kita cari.

Soalan cambahan lain :

"Kalau saya terlibat dengan semua jemaah boleh tak?"

Ringkas sahaja bunyi soalannya. Namun, mahu merungkaikannya, tidak seringkas soalannya. Asas jawapan soalan ini adalah kefahaman kepada tarbiyyah yang telah diterima. Memahami konsep dan tuntutan berjemaah. Maklum bahawa dengan jemaah kerja dakwah akan menjadi lebih tersusun, beorganisasi dan perjalanannya akan lebih kemas. Senjata yang mampu melawan kebathilan, apatah lagi kebathilan yang berperancangan.

Kalau jemaah itu satu organisasi, pastinya sahaja punya ketua. Peranan ketua adalah untuk memberi arahan, mengawal perjalanan jemaah dan semua ini akan berfungsi dengan baik andainya ahli yang berada dibawah seliaan ketua menjalankan tugasnya sebagai ahli iaitu akur pada arahan ketua. Maka bagaimana boleh terjadi, seorang ahli mempunyai lebih dari seorang ketua yang harus ditaatinya. Bukankah itu akan menyusutkan fikiran dan mencelarukan dakwah?

Konklusinya, apabila kalian sudah punya rasa sedar akan tuntutan dakwah ini, perhalusi pula tuntutan berjemaah dan adab peraturannya. InsyaAllah, langkah dakwah akan lebih mantop dan memudahkan untuk sesuatu yang sukar iaitu istiqamah.

[para pendidik..cuti daripada membuat rancangan pengajaran harian, kita isi dengan merancang pengisian nurani buat anak didik kita. Kalau bukan cuti ini, kita hanya akan terus beralasan, tidak punya masa!]


Comments

ISKANDAR581 said…
Alhmadulillah...ada juga tertulis hizbut tahrir dlm enteri ini. Moga mnjadi medan promosi juga buat teman-teman maya utk mengetahui lebih lanjut.Hehehe

Popular posts from this blog

Zon Selesa

Pendam

Kisah Kita