Resah

Salam Paletine

Sungguh, kekerapan menulis benar-benar tidak memberangsangkan. Sukar rupanya mahu menjadi penulis tegar. Sering punya idea dan buah minda untuk dikongsi bersama. Menulis bukan sekadar mencatat sesuatu. Menulis perlu lahir dari rasa jiwa kalau mahu ianya turut dirasai pembaca. Melakukan ini bukan mudah.

Sedar tidak sedar, cuti panjang sudah semakin berakhir. Pantasnya masa meninggalkan kita. Saat diterjah monolog diri, memuhasabah apa yang telah dilakukan semalam, kelat juga muka dibuatnya. Masa tida dioptimumkan dengan sebaiknya. Kerap culas pada diri. Melepaskan tuntutan gigih menuntut ilmu dengan merasa cukup hadir ke Kuliah Dhuha, Isnin-Khamis yang hanya sejam setengah. Menyedapkan hati terlibat dengan perjuangan dengan hadir mesyuarat dan program-program anjuran jemaah. Itupun ada juga yangbolos dan gagal hadir. Aduh, bermain-mainnya dengan kehidupan. Walhal sedar, yakin dan percaya setiap detik yang dititi di jambatan waktu dunia ini akan dinilai dan dihitung penuh teliti oleh neraca akhirat. Menentukan destinasi akhir manusia, syurga atau neraka.

Sukarnya mahu sentiasa memastikan momentum sedar hakikat penciptaan ke alam dunia fana ini sentiasa malar. Memerlukan hati yang hidup. Hati yang mampu menjadi penjaga diri. Memberi amaran pada diri andai langkahnya tempang. Menyentak naluri andai fikirnya songsang.

Benarlah, hidup ini perjuangan yang hanya akan bertemu noktah saat roh keluar meninggalkan jasad. Perjuangan yang ada kalanya iman menang dan adakalanya terbabas jua menurut runtunan nafsu. Apalagi daya upaya yang ada. Melainkan terus berpaut pada ihsan dan rahmatNya, pemilik dan penguasa alam buana ini. Mengharap dan mendamba, agar terus ditetapkan pada jalan keimanan dan berpaksi pada kebenaran. Ilmu setinggi gunung, harta seluas lautan bukan jaminan kekal berada pada kebahagiaan. Samada bahagia dunia sementara atau bahagia abadi di syurga hakiki. Semuanya mengharap pada rahmatNya. Berpaut dan berharaplah pada DIA yang maha menentukan segalanya.



Comments

Anonymous said…
sabarlah dalam menulis. banyakan membaca. Isi ruhiyah dengan zikrullah dan akhirnya menulislah dengan cinta ...sesungguhnya keharuman cinta itulah yang mengusik jiwa!
bicara_sufi said…
berusaha untuk terus menyemai rasa cinta itu..syukran atas motivasi jiwanya.

Popular posts from this blog

Zon Selesa

Kisah Kita

Pendam