Friday, February 26, 2010

Tidak Mahu REHAT!!!

Malam sudah lewat..patutnya sudah menunaikan hak mata. Tapi, memandangkan seharian tidak online dek menunaikan tanggungjawab sebagai adik pada kakak yang banyak berbudi. Seharian di Taman Daya Maju, membantu kakak sulung membuang habuk tebal rumahnya kesan "renovation" yang belum 100% selesai. Habuannya, makan malam bersama ikan-ikan [tak tahu nama] yang besar-besar dan pelbagai rasa di Restoran Sri Titingan. Memang kenyang dan mengenyangkan. Bersama dengan sup ketam jagung, udang dan sotong goreng tepung serta segelas kicai "peng". Tapi yang pastinya tanpa NASI PUTIH. [sudah 25 hari 'puasa' nasi = baru turun 1kilo..adakah kena puasa nasi 365 hari, baru mencapai berat yang "ideal"?]

Sempat juga mencuri masa, keluar menjenguk Quranic Teen Circle kali ke2 untuk tahun ini. Di kawasan solat muslimat, Masjid Kauthar. Angin yang bertiup lembut namun adakalanya agak "ganas" memang menyegarkan. Tahniah buat Ustazah Mardiana dan adik-adik pengelola atas kegigihan kalian menjayakan program. Melihat kalian, terimbau kenangan sibuk dan bersemangat seperti kalian.

Tatkala itu juga, aku dan sahabat-sahabat, baru pulang dari menara gading. Mengisi senggang masa meniti alam kerjaya. Belum mampu berkereta dan makan di restoran mewah. Masih turun naik bas dan berjalan kaki. Melepas lelah dan mengerat ukhuwwah di "warung ABC".

Kesusahan dan kekangan yang ada, tidak sama sekali menjadi penghalang untuk aku dan mereka terus memberikan komitmen yang terbaik untuk perjuangan. Tika itu juga, keadaan seperti hari ini, punya ibu, adik-adik atau ringkasnya keluarga yang perlu ditunaikan haknya. Dan, tika itu, kita sangat berjaya menunaikan segala amanh yang ada. Kita mampu menjadi anak yang solehah, mampu menjadi sahabat setia bahkan mampu memberi harapan kepada perjuangan, bahawa kita adalah generasi pelapis yang akan meneruskan perjuangan mendaulatkan Islam di bumi peladang ini. Ke mana kita melangkah, mata pasti memandang. Kita berbeza dengan orang lain. Jalan kita berkeyakinan dengan imej muslimah yang kita bawa. Kita merasa kuat kerana ukhuwwah kita mantap. Kita saling bahu membahu dan surah As-Saff menjadi acuan karektor kita. Siapa lupa, diingatkan. Siapa lemah, dikuatkan. Siapa silap, dibetulkan. Walau kita ramai, hati kita satu. Fikrah kita padu. Hingga berpisah kita pasti mengundang rindu. Jarang kita mengeluh jika terpaksa kerap turun untuk usrah, mesyuarat ataupun apa-apa program. Kerana kita seronok dengannya. Disitulah medan dan ruang kita berkasih sayang dan melepas rindu. Walhal, jarak dan masa tidak jauh memisahkan kita.

Arghhh..itu cerita dulu-dulu. Realitinya, keadaan sudah tidak sama. Sudah berubah dan berbeza. Adakah kerana jarak kita memang benar-benar jauh? Tapi ada juga yang masih dekat. Adakah kerana ada yang sudah berteman? Tapi ada juga yang masih berseorangan. Adakah kerana kita sudah berkerjaya? Tapi kita juga belum sangat mewah. Adakah kerana..kerana..kerana..pelbagai alasan yang aku juga tidak tahu apakah dia. Aku hanya bisa merasakan..kita semakin jauh. Dan terlebih perit aku rasakan aku semakin jauh...jauh dari terus cemerlang di pentas perjuangan ini.

"Adakah tempoh rehat dalam perjuangan?" satu soalan yang pernah dibincangkan dalam usrah.

"Rehat macam mana?" aku bertanya lanjut dengan kening berkerut.

"hmm..rehat..bagi tempoh penyesuaian kepada individu yang menempuh alam baru" penjelasan lanjut daripada sahabat yang membuka topik perbincangan.

"Maksudnya..kalau yang baru kahwin..bagi "rehat" untuk menyesuaikan dengan alam rumahtangga..kalau yang baru kerja..bagi "rehat" untuk menyesuaikan diri dengan alam kerjaya...seorang sahabat lain pula menambah isi perbincangan.

Aku lihat sahabat yang bertanya tadi, mengangguk-angguk. Tanda soalanya difahami dengan baik. Topik ini masih segar diingatan walau telah berlalu 2 tahun lalu. Persoalan hari itu, tidak punya satu konklusi konkrit. Lebih bersifat subjektif dan dipulangkan kepada individu untuk membuat pertimbangan. Cuma garis panduan yang diberikan dan persoalan yang perlu difikirkan...

kalau benar ada tempoh rehat, berapa lama tempoh itu?

kalau benar ada tempoh rehat itu, yakinkah kita usia kita akan panjang hingga membolehkan kita "berehat"?


Realitinya..sudah ada sahabat yang sedang 'berehat" tika ini. Sedang ada juga sahabat yang tak pernah rehat. Bahakan terus gigih dan terus maju.

Aku??? aku tidak mahu rehat. Walau adakalanya aku penat. Aku takut masa rehat itulah aku dipanggil pulang. Apa mahu ku jawab dengan tuhan sekalian alam. Aku berehat sedang kerja dakwah belum sukses. Aku berehat sedang orang sedang berpenat. aku berehat, orang sedang maju dan mara memburu cita dan cintaNya.

Tolong aku.....pimpin dan papah aku tika ini. Jangan biarkan aku rehat walau hakikatnya aku sudah tidak cukup kuat. Biarlah aku berjalang tempang, asal aku terus mara. Aku tidak mahu rehat. Tidak mahu!

[monolog malam....maaf andai tidak difahami]

["tiga duri hati" bahagian kedua belum berjaya dipublishkan. Masih mencari masa untuk berkarya..insyaAllah..mudah-mudahan cuti 1-2 hari ini ada kelapangan]

Sunday, February 21, 2010

Cetusan Rasa

"Mak..bugis ni banyak betul kan adatnya..terutamanya majlis kahwin ni." Luahku di meja makan petang kelmarin.

Tiada jawapanku terima..sekadar respon "muka" yang berkerut dan agak "masam".

Aku telah memulakan topik "berat" dan sangat menyentuh sensitiviti mak ku. Namun, harus juga aku meneruskan topik ini. Sekirang-kurangnya, inilah usaha dakwah ku memberi kefahaman buat mak yang masih "tebal" dengan debu-debu 'kejahilan" adat yang "ntahapapa" pun.

"Tengok tadi..adat tu "makan diri tuannya" juga. Tak pasal-pasal pihak pengantin perempuan tidak puas hati dengan kita [pengantin lelaki] sebab tertinggal "sompah" [beras dan beberapa campuran lain di letakkan dalam bekas. Duit hantaran yang telah di kira akan di masukkan dan digaulkan dengan beras ini]..aku meneruskan "bebelanku"

"Itu memanglah.."sompah"tu ndak boleh ndak ada". Mak mula bersuara.

"Kenapa pula mesti ada?" Aku bertanya lanjut.

"Supaya nanti rezeki pengantin banyak" Jawab mak ringkas.

"Banyak macam beras tu?" Jawab ku berseloroh diselangi ketawa kelucuan.

Tapikan mak, memang adat bugis ni banyak yang menyusahkan bah. Sampai ada orang takut kahwin dengan orang bugis. Bangsa lain pun, memang banyak adat juga, sama juga bugislah. Tapi..adat-adat ni semuanya tak payah bah. Tak kira lah apa bangsa sekalipun. Kalau ikut Islam, kahwin ni senang jak. Yang penting nikah tu. Ini ndak, di tahan-tahan pengantin supaya lambat nikah. Macam-macam syaratnya sebelum nikah...aku membebel lagi..

Panjang lagi dialog ku dengan mak ni. Tapi setakat ini lah yang mahu di kongsi. Selebihnya banyak ayat-ayat aku "menggoreng" cerita supaya mood mak kembali normal. Nak cakap benda haq dengan orang tua ni, ibarat menarik benang dalam tepung. Berhati-hati. Jangan benang putus atau tepung berselerakan. Paling penting..mesej sampai. :-)

Tak sangka betul, seharian musafir ku ke kunak, menjadi supir mak menghantar rombongan pengantin lelaki benar-benar memenatkan. Hingga aku terlupa 2 program perjuangan. Aku hanya menyedari ada program di Madrasah, pagi ini. Itupun setelah bermesej-mesej dengan seorang adik. Astaghfirullah..tidak terpilih lagi aku kali ini!

Esok, sekolah kembali beroperasi. Waktu untuk meneruskan kerja. Ramai yang mengeluh, masih mahu cuti. Terutamanya pengantin-pengantin baru dan para ibu [hasil tinjauan di facebook]. Tak mahu komen banyak..yang pasti aku berusaha mahu bersemangat untuk ke sekolah. [sebab aku masih bujang..hahaha]

Akhir untuk entry "rojak" ni..bicara sufi berwajah baru. Kesan masalah teknikal pada "wajah lama". tidak mampu menyelesaikan masalah teknikal yang wujud, aku memilih untuk terus merubah wajahnya. Menarik juga..PUTIH..suci dan murni.. ^_^

Thursday, February 18, 2010

Mengurus Masa = Mengurus Nyawa

Cuti rehat sempena CNY seminggu ini berusaha dimanfaatkan sebaiknya. Alhamdulillah..banyak perkara juga selesai. Antaranya, mesyuarat-mesyuarat urusan perjuangan dapat dijalankan dengan selesa. Bukan selalu peluang cuti ini hadir. Walau peribadinya, aku mengharapkan pengisian lebih banyak lagi. Akur, bukan semua punya kelapangan masa seperti diri. Orang lain punya komitmen yang pelbagai. Ada yang sudah mula bekerja, ada yang punya suami dan anak-anak yang juga menuntut waktu dan komitmen yang tinggi. Jarang yang bujang dan "bebas" seperti aku. Jarang sangat... :-)

Menyedari hakikat, masa perlu dihargai sebaiknya, hobi perlu dinilai semula. Sebelum ini, "on" sahaja komputer, "facebook" menjadi pilihan pertama. Walhal bukan ada benda sangat yang perlu dan utama di situ. Sekadar "ralit" membaca komen demi komen. Menjelajah profile demi profile. Bukan salah, cuma jangan terlalu dibaja. Manfaatnya tidak seberapa.

Lebih terkesan tatkala membaca tulisan Ustaz Zaharudin, Facebook, Yahudi dan Status Hukum. Malu dan sesal pun ada. Terutama membaca ayat " Limitasikan dan kurangkan perbincangan soal remeh temeh peribadi yang membuang masa diri dan orang lain.

Pembaziran masa adakalanya sesuatu yang tidak disedari dan tanpa diniatkan pun. Justeru, menguruskan masa harus difahami ibarat mengurus nyawa. Perlu teliti dan berhati-hati. Perginya tak akan boleh diganti. Benarlah kata-kata Imam Al-Ghazali, yang paling jauh adalah masa yang berlalu.

Kecanggihan teknologi hari ini, wajar dimanfaatkan sebaiknya dalam mengisi masa bersama alam maya. Terlalu banyak laman-laman web yang mampu menyubur rohani dan menajam minda yang boleh diselusuri. Tatkala bertemu dengan www.kuliyah.net dan www.mymaktabty.com, hati melonjak girang. Kebuntuan mencari ruang menadah kitab di tanah sendiri terlerai juga. Sekurang-kurangnya rasa "cemburu" dengan sahabat-sahabat yang berada di negeri serambi mekah sana, yang punya ruang luas untuk menadah kitab dan mendengar pengajian agama, mampu diubati. Walaupun situasi dan kondisinya berbeza, tetapi insyaAllah manfaatnya tetap sama. Paling penting sekarang ini, kesungguhan dan iltizam harus padu. Jangan hangat-hangat tahi ayam sudahlah. Dan..terlebih penting, ada beza dalam kualiti dan kuantiti amal.

"Sesiapa yang bertambah ilmunya tetapi sedikit sahaja amalnya, maka tidak akan bertambah melainkan lebih jauh daripada Allah" [mafhum hadith]

[Kebaikan itu ada di mana-mana dan bila-bila masa..kita sahaja mahu mencarinya ataupun tidak..tepuk dada tanya iman.]

Monday, February 15, 2010

Belajarlah dari mereka..

" Mak Anjang nak balik dah ka? Kalau nak balik, ikut saya sajalah. Saya lalu juga rumah Mak Anjang. Sekali saya ambil bekas air dan periuk saya." Ajakku pada Mak Anjang seusai selesai mesyuarat tengah hari kelmarin. Ajakan dengan dua niat. Menumpangkannya sambil "cover" malu sebab dah lama membiarkan periuk dan bekas air dirumahnya.

"Periuk dan bekas air tu Mak Anjang dah jual dah. Tak ada orang nak ambil." Balasnya dengan sindiran mesra.

Aku hanya mampu tersengih-sengih. Akur atas kesalahan dan kesilapan diri.

"Amirah nak balik sekarang kah? Kalu nak balik, Mak Anjang zohor di rumah lah." Tanya Mak Anjang mematikan sengihanku.

"Aah..balik sekarang lah. Saya turun dulu ambil kereta, Mak Anjang tunggu kat bawah ya". Jawabku sambil mengemas buku dan mengeluarkan kunci kereta.

Mak Anjang, seorang suri rumah yang aku kagumi. Mengenalinya seawal usia 14 tahun lagi. Masih segar di memori, saat aku dan seorang sahabat pergi ke rumahnya untuk membantu kerja-kerja perjuangan. Mulutnya tidak berhenti berkongsi ilmu. Persis seorang ibu menasihatkan anaknya.

"Tak apakah Mak Anjang masak seorang untuk majlis 26hb ni?" Aku memulakan perbualan sebaik sahaja Mak Anjang selesa duduk di vivaku.

"Mak Anjang ajaklah anak-anak lelaki tolong. Kerja-kerja berat kan. Muslimat bantu hidang pun sudah memadai." Jawabnya ringkas.

"Mak Anjang memang minat ya masak-masak ni?" Tanyaku lagi.

"Masak je yang Mak Anjang reti Amirah. Masak ni tak lah susah ataupun leceh. Kuncinya adalah pada keikhlasan kita memasak. Masakan bukan bergantung sepenuhnya pada bahan dan ramuannya. Kalau kita ikhlas, bahan tak banyak manapun, masakan kita pasti sedap. Dan bila lihat ahli keluarga kita makan dengan penuh selera, saat itulah kepuasan memasak akan kita rasai." Jawabnya penuh bersemangat.

Terpukul juga diri, selalu beralasan untuk rajin memasak. Cerewet sangat hendak memastikan bahan dan ramuan masakan mesti lengkap baru hendak "beraksi" di dapur. Alasan dan terus beralasan!

Perbualan kami agak panjang juga. Mak Anjang masih seperti yang aku kenali, kaya dengan nasihat. Aku pula mengambil sepenuhnya peluang yang ada. Bertanya sebanyaknya. Bukan mudah mahu bertemu dan berbual peribadi begini. Walaupun acapkali bertemu, tetapi pertemuan seringkali dalam suasana formal- mesyuarat ataupun usrah!

Sepanjang perjalanan balik ke rumah, mindaku tidak henti memproses butiran perbualan ku dengan Mak Anjang. Tercabar juga dengan kesungguhan Mak Anjang pada perjuangan. Komitmen yang ditunjukkannya bukan calang-calang. Aku yang masih muda dan belum punya komitmen pada suami dan anak-anak pun kerap kalah pada Mak Anjang. Satu yang aku semat kukuh, kunci hayat kita pada perjuangan ini adalah keikhlasan. Sesungguhnya, ikhlas itu adalah rahsia kita dengan Allah. Kita boleh saja, mencanangkan kepada seluruh alam, kita IKHLAS tapi hakikatnya, benar atau tidak Allah yang menilai.

Semoga langkahku masih disibukkan dengan urusan perjuangan. Teringat kata-kata nakibahku semasa di UPSI dahulu, kalau kita tidak sibuk dengan perjuangan, Allah akan sibukkan kita dengan urusan-urusan lain. Alangkah ruginya andai urusan-urusan itu sekadar urusan duniawi yang tiada nilai ukhrawi... semoga Allah yang maha luas rahmatNya sentiasa memelihara kita.



Friday, February 12, 2010

Tiga Duri Hati [part 1]

Mata masih terlalu berat untuk terbuka luas. Namun, tidak punya ruang untuk di manjakan. Mulai hari ini, aku harus bergerak keluar ke sekolah sebelum pukul 6.00 pagi. Lewat beberapa minit, tersadailah aku dalam kesesakan lalulintas yang sangat tidak ku gemari.

"Awal sampai..azam baru ka?" Tegur seorang rakan sekerja.

"Sekarang duduk rumah mak, kena gerak awal..jauh kan." Jawabku ringkas dengan senyuman.

Senyuman satu-satunya aset yang kumiliki. Kalau tidak senyum, pasti ditegur.

"Seriusnya"

"Ada masalah kah"

"Banyak kerja"

Antara pertanyaan yang terpaksa dilayan tatkala tiada senyuman mengukir mesra. Muka automatik jadi serius tanpa senyuman. Mahu tidak mahu, harus sentiasa senyum. Mujurlah senyuman itu satu sedekah. :-)

Memulakan tugas di hari baru, bulan baru dan tahun baru. Pasti dibekali semangat untuk bekerja dengan azam baru yang juga padu. Azamnya tidak lain, mahu menjadikan tahun ini lebih baik dari tahun sebelumnya.

"Assalamualaikum..hari pertama dah semangat buat kerja..nak jadi cikgu cemerlang ke tahun ni." usik Syifa', sahabat sebelah mejaku.

"Wa'alaikumussalam..kalau ada rezeki, Alhamdulillah..siapa yang tak nak kan. Kalau masin mulut awak, saya belanja kueh teow kung fu. Lewat sampai..dah ada "driver" pun lewat juga." Aku pula menyakat Syifa'.

"Yelah..sekarang kena sediakan sarapan dulu..bukan macam awak, tukang makan sarapan aje. Inilah bezanya jadi isteri dan hidup bujang. Sampai giliran awak, haa...rasalah. Entah-entah lagi lewat dari saya." Syifa' membalas usikanku.

Tertawa aku mendengar jawapannya. Terbayang pula kalau dah bergelar isteri. Mengurus diri sendiri pun macam tak "pas" lagi ni.macam manalah nak urus rumahtangga. Patutlah serunya tak sampai lagi..

"Dahlah, jom masuk kelas. Loceng dah bunyi. Mengelamun lagi. " Syifa mencuit bahuku.

Dengan senyuman, langkah ku atur ke kelas 5 Bestari. Beristighfar seketika..fokus..fokus..masa untuk mengajar.

Bersambung....

cerpen bersiri ini akan di keluarkan sekali seminggu.jalan ceritanya tidak ada kaitan dengan sesiapa..andai ada yang terasa berkait atau terkait dengan mana-mana individu, ianya mungkin sekadar kebetulan ;-)]

Thursday, February 11, 2010

Lagi 30 tahun...

"Siapa yang tidak siapkan nota, berdiri..yang sudah hantar boleh duduk" Kataku tegas walau nadanya masih perlahan. Maklum masih pagi benar lagi, belum pukul 7.00 am pun.

Kelihatan 3 orang pelajar lelaki masih berdiri sambil kepala tunduk merenung meja. Kelihatan muka yang pucat dan tidak tentu arah.

Dengan muka yang cukup serius aku melangkah menghampiri mereka satu persatu.

"Kenapa tidak siap?" Soal ku ringkas dengan nada yang tegas.

"Tak sempat cikgu"

"Baru setengah cikgu"

"Buku saya hilang cikgu"

Koleksi jawapan yang dijadikan alasan. Pagiku sudah mula panas. Masa yang cukup panjang ku beri tidak dimanfaatkan sebaiknya. Tanpa membuang masa semuanya ku berikan "hadiah istimewa". Koleksi denda yang membuatkan mereka tidak berhenti mengusap peluh. Biar segar sedikit pagi mereka hari ini.

Dalam perjalanan pulang ke bilik guru, seusai lelah dan kekeringan tekak mengajar tanpa henti 2 jam 20 minit, terfikir, ada lagi 30 tahun dengan izinNya aku berada dalam profesion perguruan ini.
Inikah yang harus ku lalui saban hari????

[langkah perlu terus..mereka menanti sesuatu..buat bekal nurani..menongkah arus duniawi..]

Sunday, February 7, 2010

Berjalanlah tanpa henti

Kurang benar terisi bicara sufi akhir-akhir ini. Ingatkan sekadar Januari kesepiannya, berlanjutan juga hingga ke Februari. Ternyata kelembapan internet selama beberapa hari dan tugasan data SMM yang tidak berkesudahan menghalang dari terus aktif menulis. Selepas ini, harapnya setelah SMM tidak lagi minta perhatian, aku harus pula beralih ke SSDP [data lagi..tapi kerja data yang tak bergaji di dunia]. Kebetulan pula bidang tugas di sekolah lebih kurang dengan amanah perjuangan. Agaknya, kesan keakraban ku dengan laptop menjadikan aku dirasakan sesuai dengan amanah sebegini. Apapun, ianya sesuai dengan jiwa. Memang mahu beralih, dari "menonjol" di hadapan dengan harus petah berkata-kata, kepada lebih "pendiam" namun masih bekerja. Harapnya berjalan seperti yang diharapkan. :-)

Hujung minggu ini ternyata agak padat namun penuh dengan kepuasan. Seminggu lepas fikiran tidak tenang dan perasaan kurang senang. Asyik memikirkan tentang aktiviti ko-kurikulum yang harus dikendalikan. Menjadi ketua guru penasihat kepada Persatuan Pendidikan Islam [PERPIS] di sekolah, pastinya menjadi satu beban amanah yang tidak mudah. Risau juga, ada yang akan mempertikaikan jawatan ini. Maklumlah bukan guru agama, tetapi pegang pula persatuan Agama Islam. Tetapi memikirkan keharusan dan rasa tangungjawab menurunkan ilmu yang ada berada dalam organisasi "Islam" sepanjang berada di sekolah, amanah ini ku galas sedaya mungkin. Macam-macam bermain difikiran. Perasaan malu dengan para ustazah dan ustaz yang turut menjadi guru penasihat tidak dapat diafikan. Bagai tidak berkeyakinan dihadapan mereka. Dalam masa yang sama, memerah minda, memikirkan pendekatan yang harus dibawa agar PERPIS tidak menjadi persatuan yang membosankan dan "ditakuti" oleh pelajar. Mentaliti pelajar yang merasakan "ISLAM" tidak bebas dan tidak seronok harus dikikis. Minda mereka harus disetkan untuk sedar bahawa apa-apa yang berkaitan dengan ISLAM hanyalah kebaikan dan kebahagiaan sahaja.

Syukur Alhamdulillah, bilangan ahli PERPIS antara yang terbanyak diantara kelab dan persatuan yang ada di sekolah. Maksudnya ramailah mad'u yang menjadi amanah untuk aku kongsi segala ilmu yang ada. InsyaAllah..melihat respon mereka sepanjang aktiviti Sabtu lepas, turut membakar semangat yang kurang membara ini. Cukuplah 3 tahun disekolah itu tanpa ada perananku menjalankan tugasku sebagai "murabbi". Jangan sekadar mengajar ilmu Sains ataupun Kimia. Aku mahu mengajar mereka apa itu ISLAM dan bagaimana harusnya seorang MUSLIM. Aku mahu..sangat mahu!

Dibesarkan dalam keluarga dan persekitaran yang kurang "islamik" menjadi motivasi diri untuk keluar dari kepompong jahiliah ini. Bersyukur yang tidak terhingga pada DIA yang Maha Pengasih keraan mencampakan sejalu hidayah pada sekeping hati kecil ini. Melihat anak-anak didik yang masih dibelenggu kepompong jahiliah, menjadi semangat untuk terus bertahan dan terus memberi sesuatu. Walau hakikatnya diri tidak punya apa-apa. Adakalanya kaki tidak kuat juga untuk terus gagah melangkah, ingin bertongkat dengan sahabat yang ada, tetapi tongkat pula sudah tidak ada. Acapkali juga memarahi diri, kenapa harus bergantung pada manusia. Bukankah yang maha berkuasa itu sentiasa ada. Bahkan sangat setia dan tidak pernah meninggalkan.

Sejauh mana lagi perjalanan ini, tidak dapat dipastikan. Yang pasti, langkah baru bermula. Dan..semoga awal langkah ini dibekahi hingga ke akhirnya...amin Ya Rabb..



Pelangi Indah

  P agi ini seperti kelmarin. Hujan gerimis membasahi bumi. Mentari seakan malu keluar menyinar alam. Kabus tebal masih kelihatan di puncak ...