Sunday, May 23, 2010

Kebahagiaan Dalam Perpisahan

Hujung minggu yang padat, bermakna dan ceria. Tidak hanya dihabiskan dengan memanjakan mata dan merehatkan tulang belakang. Siang Sabtu "bergua" di seluruh penjuru rumah. Diamanahkan oleh ahli rumah No 313, Blok B, Kg Pasir Putih untuk menjaga ketenteraman dan keselamatan seisi rumah. Semua yang lain punya urusan di luar. [jarang benar aku ditinggal sendiri, kebiasaannya aku yang meninggal pergi..huhuhu]. Bila sendiri, fitrah wanita akan banyak membantu mengarah minda agar punya arah. Maka, beraksilah seperti lagak seorang wanita. Membersihkan rumah dan masak memasak. [aktiviti yang teramat lama ditinggalkan..^_^]

Petang menjelang, aktiviti kedua menanti. Bergerak ke Madrasah Darul Hidayah untuk program Tafaqquh Fiddin dan Qiamullail bulanan. Sudah kali ke4 untuk tahun ini. Bagi aku, ini kali pertama.

"Kalau sudah sampai program, ok sudah. Sebelum mahu datang tu..macam-macam halangan" seorang kakak memulakan bicara sementara kami menanti sambungan kuliah maghrib.

"Betul tu kak..halangan paling susah tu kadang-kadang diri sendiri." Jawabku dengan sebuah simpulan senyuman bersetuju dengan apa yang diperkatakannya.

Sejujurnya, hatiku sangat berbelah bagi untuk hadir program rutin jemaah ini. Macam-macam yang bermain di fikiran. Semuanya monolog diri berbaur hasutan nafsu. Namun dengan izin dan inayahNya, aku terpilih juga. Sampai agak lewat. Bilal sudah beriqamah menyeru para jemaah bersedia untuk solat maghrib. Ramai pula yang hadir malam itu. Adik-adik universiti yang pulang bercuti juga memanfaatkan masa cuti semester mereka. Mujur aku masih boleh menyelit di saf luar masjid untuk bersama-sama mengejar pahala berjemaah. Seperti kebiasaan, senja yang semakin hilang itu diisi dengan kuliah maghrib. Disampaikan oleh Ustaz yang menuntut ilmu dari Pondok Pasir Tumbuh, Kelantan. Gaya penyampaian "ala-ala pondok" benar-benar membangkitkan nostalgia. Ditambah lagi melihat pelajar-pelajar madrasah dengan "uniform" mereka. Aku tiba-tiba diserang kerinduan yang mendalam. Rindu pada suatu kenangan yang pernah aku lakar. Walau seketika namun cukup indah dan manis untuk aku kenang selamanya. Hingga ke hari ini, aku masih mengharapkan, ada ruang aku mengulanginya kembali.

Malam di sana, juga diisi dengan aktiviti kebiasaan yang sudah lama aku tinggalkan. Makan bertalam. Rasanya untuk 2010, ini yang pertama. Rasanya tetap sama. Kemesraan dan kasih sayang berukhuwwah kerana Allah. Sebelum merehatkan mata agar segar untuk berqiamullail esoknya, aku bersembang dengan seorang adik yang sudah lama tidak bersua fizikal. Sekadar berkongsi cerita di alam maya. Berlarutan juga sesi "berkongsi rahsia hati" itu hingga pukul 1.30 pagi. Syukur terjaga juga untuk qiamullail yang menjadi tujuan utama kedatangan ku ke sana. Berjalan dari bilik penginapan ke surau, di bawah kedinginan malam yang hampir berlalu, benar-benar indah ku rasakan. Terbayang kenangan zaman universiti. Sewaktu sibuk dengan aktivti pentarbiyyahan dan perkaderan. Cuma bezanya, saat itu aku bersama dia dan mereka yang aku panggil sahabat sejati. Hari ini mereka tiada di sisi. Hanya aku sendiri! Aku benar-benar bermonolog lagi..monolog berteman sebuah senyuman.

Kesekian kalinya, aku menyedarkan diri, keadaan sudah sangat jauh berubah. KAMI sudah tiada lagi. KAMI yang dulu beriringan ke program, makan setalam, bersembang hingga lewat malam sudah tidak ku rasai lagi. Semalam aku hanya sendiri. Masing-masing sudah punya hala tuju sendiri. Ada yang merantau meninggalkan bumi peladang, ada yang harus memberikan komitmen pada sebuah bahtera rumahtangga yang baru di bina, dan ada yang punya seribu macam urusan yang tidak memungkinkan kami bersama lagi seperti dulu. Kenyataan yang harus aku terima. Aku sangat percaya, perpisahan ini bukan perpecahan. Perpisahan ini adalah sebuah laluan untuk KAMI memburu sebuah kebahagiaan. Dan kebahagiaan untukku adalah kekal seperti dulu. Aku hanya perlu belajar menerima kenyataan ini...rasanya aku sudah semakin pandai! InsyaAllah..

[maaf..entry kali ini sekadar cerita aku dan mereka = KAMI]





Monday, May 17, 2010

Pelajaran Dari "gua'

ke kiri ku resah
ke kanan ku buntu
ke depan ku gelisah
memendam rasa
membungkam jiwa
lemah, lesu dan lemas
semua bersatu menjadi satu

seakan gelap pekat siang yang cerah
seakan membahang malam yang dingin
seakan letih mendaki tanah yang datar

rasa jiwa semakin tidak menentu
kabur mahu terus memburu
tidak upaya membeza keliru
bimbang tersungkur dan terus jatuh

apa harus patah kembali
menoleh belakang yang ditinggal pergi
menjejak semangat yang hilang
mengutip pengalaman yang mendewasakan
mengumpul nur buat mencerahkan
segala kelam suram yang menyesakkan

atau mungkin perlu terus diam
membiar segalanya berlalu
pergi seiring waktu
sambil merenung segala khilaf diri
yang hadir sebagai pengajaran
dunia bukan taman syurga
yang segalanya indah
dunia sekadar sementara cuma
pentas ujian buat sang hamba
hadapainya dengan benih sabar
depaninya dengan buah iman
biar mampu menggapai
impian syurga firdausi hakiki

[Ya Allah..lapangkan dada ku..luaskan sempit jiwa yang ku deritai ini..jangan ujiku dengan ujian yang tak mampu ku hadapi..Engkau Maha Mengetahui lagi Maha Mengasihi]

Sunday, May 16, 2010

Hadiah Pada Diri

MEI penuh dengan ucapan "selamat"..selamat hari buruh, hari bapa, hari ibu, hari jururawat, hari guru dan juga hari ulangtahun AMIRAH IZZATI. Ada yang buat lawak.."Selamat Pengantin Baru" tidakkah di bulan MEI ini. Dengan sepantasnya aku menjawab "Tak sempat lah..MEI tahun-tahun mendatang tak pasti lah pulak. Rahsia yang hanya DIA yang tahu"

Masih mahu menulis berkenaan hari ulangtahun. Kali ini bercerita tentang hadiah pada diri. Menjadi kebiasaan, aku mengkhusukan hadiah "harijadi" buat diri sendiri. Tahun ini, ada dua hadiah istimewa yang aku sediakan sempena 13 Mei 2010. Sebuah buku yang sudah lama diidamkan berjaya dimiliki. Tidak sabar mahu membedah isi kandungannya. Biar menambah rasa cinta pada Baginda yang mulia. Insan yang menjadi asbab hidayat buat seluruh umat. Insan yang kasih umatnya hingga hujung nyawa. Mahu membalas kasih, sayang dan cintanya!

Disamping itu, sebuah kaca mata baru menjadikan Mei 2010 ini ceria indah. Rabun yang semakin teruk mendesak untuk menggantikan kaca mata lama dengan yang baru. Semoga penglihatan semakin jelas. Paling penting kejelasan hati sebenarnya. Biar arif membezakan mana yang hakiki mana yang sementara cuma. Semoga tidak rabun lagi!

Usia 27 tahun ini, banyak menjadi ruang muhasabah. Terutamanya mengenang hari semalam yang penuh noda dan dosa. Astaghfirullahalazim..gusar memikirkannya. Seakan mahu saja mengundur putaran masa. Memperbetul segala khilaf diri. Kesilapan yang paling disesali..selama ini rupanya terlalu banyak pergantungan pada manusia. Mengharap kasih dari manusia. Menagih simpati manusia. Tanpa sedar, manusia itu akhirnya hanya memberi pedih hati. Benarlah, manusia itu sekadar hambaNYA yang lemah. Kasih manusia tidak hakiki. Sayang manusia tidak sejati. Janji manusia tidak pasti.

Pantaslah, kita diajarkan, kalau mahu merasai nikmat dan lazatnya kemanisan iman, cintai Allah dan Rasulnya melebihi yang lain. Butanya mata hati sebelum ini. Astahgfirullahalazim..moga Allah masih memberi peluang aku menyemai cinta yang benar!

Usia yang semakin dewasa ini juga, menyedarkan bahawa dunia ini sekadar ujian semata. Kehidupan yang sedang dilalui, dinikmati ini akan berakhir bila-bila masa. Mungkin tanpa amaran ataupun kalau ada amarannya, manusia gagal membacanya. Hanya yang bijaksana sahaja akan mengerti.

"Orang yang bijaksana ialah mereka yang mengingati mati dan bersedia menghadapainya."

Luahan rasa seperti ini bukan menunjukan kekecewaan pada sebuah kehidupan ataupun menzahirkan rasa putus asa. Tidak sama sekali. Sekadar peringatan supaya kita beringat dengan apa yang sedang kita lalui dan miliki. Semua sedang diperhatikan dengan teliti dan akan dibicarakan di mahkamah keadilanNya. Justeru, berhati-hati dengan KEHIDUPAN.

Semoga 16 Mei hari ini, menyuntik kembali semangat untuk bergelar pendidik berjiwa murabbi. Bukan sekadar untuk memastikan mereka cemerlang peperiksaan, tetapi juga membentuk jiwa mereka menjadi insan berguna di dunia akhirat. Ini lebih UTAMA.

27 tahun di dunia dan 3 tahun di bidang pendidikan, aku mahu terus mengorak langkah cemerlang dibawah lembayung redha dan rahmatNya. Terus pimpin aku Ya Allah..




HADIAH PADA DIRI

Thursday, May 13, 2010

Hadiah Hari Jadi

Salam 13 Mei

Hari bersejarah hari ini. Tarikh yang sama 27 tahun lalu, Allah menetapkan hambanya ini lahir ke dunia fana. Menghuni buana menurut takdir, ketentuan dan ketetapannya. Alhamdulillah.hanya lafaz itu yang selayaknya. Atas keizinan terus memberi peluang menabung amal buat bekal ke alam sana yang hakiki.

Seperti tahun-tahun yang sudah, 13 Mei pasti menukilkan sejarahnya yang tersendiri. Kalau dahulu, kad harijadi pengganti diri sahabat taulan. Menzahir kasih ukhuwwah dan ingatan buat seorang teman. Mengukir memori yang tetap segar hingga ke hari ini.

Beberapa tahun selepas itu, kad tiada lagi. SMS menjadi medan mengingati hari yang bererti.Dengan doa yang pelbagai, tetapi ucapan yang sama 'selamat hari lahir' memenuhi' inbox seketika. Hari ini, di tahun 2010, teknologi berkembang seiring putaran masa, selain SMS ucapan dikirim menerusi Facebook. Fenomena jaringan sosial yang hangat di perbincangkan. Hingga soalan peperiksaan dan jawapan pelajar pun ada perkataan "facebook". Itulah hebatnya FB. Tetapi, mengambil manfaat secara positif tiada masalah bukan.

Kepada semua rakan FB yang mengambil masa menghantar ucapan dan doa sempena ulangtahun ke 27 ini, sangat dihargai. Moga-moga doa tulus ikhlas kalian diperkenankan olehNya yang Maha Mengetahui.

Memori yang ternukil hari ini, hingga ke masa entry ini ditulis, ada dua perkara. Pertamanya :

"assalamualaikum..kak, datang ya ambil kek kakak..siap sudah." seorang adik pekerja cahaya permai menghubungiku menerusi panggilan telefon.

"wa'alaikumussalam..haa? ndak ada pun akak order.? tanya ku kebingungan.

"ada ni kak..kak ogy yang order.kakak datang ya ambil" jawabnya memberi penjelasan.

"owh..ok..tapi petanglah ya...akak di sekolah ni." aku menjawab separa kebingungan.

Memang satu kejutan di luar jangkaan. Tidak sangka "lawak kek" semasa harijadinya 1 Mei lepas, di buktikannya. Sudahnya, kek itu memang menjadi satu-satunya kek harijadiku. Jarang benar aku "berkek" harijadi. Seingat aku, masa kecil-kecil dahulu, adalah 1-2 kali berjamuankan kek harijadi. Itupun pada 15 Mei. Menumpang kek adik lelakiku. 2008 pun ada sekali. Hadiah dari seorang sahabat. Kami jamah di sebuah restoran yang terkenal dengan "sampan pecahnya". Comel kek itu. Warna ungu. Sama comel dengan kek hari ini. cuma warnanya hijau. Macam "perli" pulak. Dulu Nisa' sekarang DMPKT. [padahal tuan permberi kek tak terfikir pun macam ni..hihihi].

Kejutan kedua, juga sangat mengharukan. Hadiah dari seorang adik yang berkongsi "IZZATI" denganku. Kenal sekadar luaran, tetapi kami mengaku, kami punya rasa yang tidak jauh berbeza. Entry bertajuk "Sabar sampai tenang" yang dimuatkan dalam blognya..benar-benar sesuatu yang istimewa.

Izyan Izzati Mahzan March 9 at 7:43pm

Kak Mira, semua orang pun selalu pesan pada saya supaya bersabar. Sabar..dan sabar…Saya tahu sabar itu penting..tapi sampai sekarang, saya sendiri tak pasti hingga tahap mana saya harus bersabar supaya hati saya jadi tenang…T_T

Amirah Izzati March 9 at 8:02pm

Awak tak akan jumpa berapa nilai sabar yang perlu awak capai supaya awak boleh tenang…apa yang awak boleh buat ialah terus bersabar sampai awak tenang.
dan..untuk pastikan awak tak ulangi lagi kesilapan lalu..hanya ada satu cara..awak bersandar dan berharap pada DIA. DIA yang sahaja yg tahu apa yg akan berlaku pada kita esok dan hari seterusnya. Kita cuma boleh merangka, mengagak saja…betul tidak..kuasa DIA.
Secara teknikalnya..ubat tahan sakit “penyakit” yg sedang awak deritai ini adalah..terus konsisten dengan amalan-amalan yg mendekatkan diri apa pada DIA..”bodek” DIA supaya sembuhkan sakit ini segera..insyaAllah..
Izyan Izzati..terus bertahan!

—————————————-—————————————————————————————————

Sejak hari itu, saya tidak lagi mencari sabar..tapi terus berusaha untuk menjadi sabar. Walaupun selalunya saya tak bersabar pun..heeee~

Kak Mira

Saya mengenali kak Mira kira-kira 2 tahun yang lalu. Ketika saya pertama kali menjejaki Sabah. Kak Mira merupakan kenalan Kak Asma’[kakak kepada Maryami~] Dia secara suka rela menjadi pemandu pelancong saya dan teman sepanjang keberadaan kami di sana… Beberapa hari di bumi Tawau, saya hanya sempat mengenali insan ini secara luaran sahaja…Orangnya manis, ramah dan mudah ketawa. Melihat senyuman yang terukir diwajahnya seolah-olah di adalah wanita paling bahagia di bumi ini. Sedikit pun tiada kerut yang terukir walaupun hakikatnya mungkin hati wanita itu sedang memikul beban perasaan yang berat…entah tiada siapa yang tahu… dan sekembali saya ke semenanjung, saya mula mengikuti perkembangannya melalui YM, blog, Facebook….dan sejak itu, saya baru belajar untuk mengenali hati dan jiwa seorang Amirah Izzatiwalaupun tak sepenuhnya. hehe~

Alhamdulillah, bagi saya pertemuan antara saya dan Kak Mira adalah suatu anugerah dari Allah…Kami bukan sekadar berkongsi nama yang sama, malah mempunyai jiwa yang tak jauh beza…Walaupun saya tak pernah berkongsi sebarang kisah peribadi dengan kak Mira…tapi yang ajaibnya, setiap kali kami berbual, kak Mira pasti akan mengeluarkan kata-kata yang sangat menyentuh jiwa saya…seolah-olah dia sedang membaca segala rahsia yang tertulis di hati ini satu persatu… seolah-olah sedang memeluk menenteramkan di saat saya keresahan… seolah-olah menyeka air mata yang tak tahu entah bila akan berhenti…dan tanpa pengetahuannya sendiri, dia sebenarnya selalu saja memujuk jiwa yang sedang merajuk…

terima kasih kak, saya banyak berhutang budi dengan akak~ ahh, kak Mira….tiba-tiba saya jadi syahdu…wuwuu~

dan hari ini..adalah hari lahirnya yang ke 27…Selamat hari lahir kak…moga akak sentiasa dalam pemeliharaan Allah. Moga semangat dakwah akak yang membara terus menyala membakar bumi Sabah…

p/s: Semoga akak tergolong dikalangan golongan wanita yang bakal menjadi bidadari syurga tak lama lagi~~ [akak faham kan maksud saya...nanti kalau dah sampai waktunya, 'roger-roger' la saya di semenanjung yer..heeee~]

-------------------------------------------------------------------------------------------------

Istimewa bukan kerana adanya nada-nada pujian di situ. Tetapi istimewa kerana rasa memberi sesuatu. Terus terang, tatkala, dia menyatakan soalan-soalan untuk kami perbincangkan, aku seolah-olah sedang bercakap dengan diri sendiri, memujuk diri sendiri. Sebab, semua soalannya itu, adalah persoalan yang turut membelengguku. Dan..Allah ilhamkan jawapan kepada persoalan yang bermain di minda melalui dia. Inilah yang kami maksudkan.."rasa jiwa yang tidak jauh berbeza".


Dua hadiah yang indah. Walau mungkin biasa saja pada penilaian orang lain. Tapi tidak pada diri. Sesuatu yang akan dikenang sampai bila-bila. Sekali lagi, buat pemberi kek, penulis urwahabadi, dan semua yang mengingati 13 Mei adalah hari yang bermakna buat insan bernama AMIRAH IZZATI, hanya ucapan terima kasih tidak terhingga yang mampu dibalas. Semoga ukhuwwah yang dianugerahkan ini, akan kita pelihara selamanya.



~~ kek 2008 dan 2010 ~~

Wednesday, May 12, 2010

BEBAS

senja melabuh tirai
gelap malam kian pekat
tanpa bayu dan desiran angin
kosong dan seakan kaku

hati seakan resah
gelisah yang sukar dimengerti
tidak tahu apa mahunya
tidak kutemu akan puncanya

cuma yang sahih
ternanti sesuatu yang tidak pasti
realiti atau sekadar ilusi
benar-benar menjerut emosi

mahu bebas di alam lepas
mahu lari mengejar cahaya
mahu mendaki gunung tak berpuncak

apa-apa sahaja
aku mahu BEBAS!

hingga tiada lagi cintaku
hilang semua rinduku
sirna semua kasihku
pada dunia dan isinya

hingga tiada lagi
selain cinta rindu kasih
pada DIA yang selayaknya.

BEBASKAN aku Ya Allah!

Friday, May 7, 2010

Islamik kah kita?

Salam Perjuangan

Mengambil ruang menanti Isyak. Kosong senjaku seminggu ini. CPU masuk ICU. Tidak dapat mengisi rohani dengan Kitab Fikah Mazhab Syafie yang dijelaskan oleh Dr. Abdul Basit Abdul Rahman. Terdetik untuk menulis akibat terkesan dengan soalan seorang sahabat maya yang saya kagumi. Tidak dilahirkan dalam Islam namun embun hidayah yang membasahi hatinya di lewat usia dewasa, menjadikan dia adakalanya aku rasa jauh lebih muslim berbanding aku yang muslim sedari lahir ke dunia. Iltizam dan bersungguhnya dia mahu bergelar muslim sejati.

"Apa hujah yang membolehkan seorang muslimah bekerja?" Tanyanya lewat YM dua hari lepas.

Mahu menjawab persoalan ini kepada seorang yang detail dan teliti pastinya tidak memadai sekadar memberikan dalil aqli. Jawapan ringkasku - "Saya tak boleh jawab malam ini, bagi saya masa, InsyaAllah, esok tanya saya semula." Berharap jawapanku tidak mematikan "mood" ingin tahunya.

Pagi-pagi lagi disekolah, aku menyerbu Ustaz di sekolahku. Cuba memulakan tugasanku. Perbincangan memberi beberapa idea. Namun masih tidak cukup. Lantas, dengan izin Allah, dimudahkan urusanku. Talian internet lancar sahaja pagi itu. Segera ku "google" persoalan yang dikemukakan. Alhamdulillah..bertemu beberapa laman web dari sumber yang sahih dan dipercayai. Menjawab persoalan yang diamanahkan kepadaku.


Tidak perlulah aku mengulas panjang di sini akan hujah dan jawapan pada persolan itu. Satu yang aku muhasabahkan, betapa diri ini menganggap remeh urusan beragama. Sepatutnya, persoalan-persoalan sebegini sudah ku hadam dan ku fahami sedalamnya. Bukankah hukum ini kena pada batang tubuhku sendiri? Iya, aku akur. Masih banyak perkara yang sepatutnya dititk beratkan tetapi masih dipandang remeh. Justeru itu, keberkatan dalam melakukan sesuatu itu tidak ada. Malunya rasa diri. Kerap bercerita soal perjuangan tetapi benda asas tidak "pass" lagi.

Sekadar berkongsi rasa keinsafan yang dianugerahkanNya, aku menyeru kepada semua sahabat seperjuangan, perhalusi kembali keadaan kita semasa bekerja. Terutama dalam aspek pergaulan. Biasa kelihatan, gurau senda kita terhadap rakan sekerja yang bukan muhrim seakan diluar batas sepatutnya. Bagi pendidik, tingkah kita kepada pelajar lelaki benarkah seperti yang dibolehkan? Adakalanya, usia yang terjarak antara kita dengan pelajar lelaki seakan "menghalalkan" tingkah yang tidak seharusnya. Bebas mencubit lengan atau perut mereka. Dengan alasan masih berlapik. "Islamik" kah tindakan sebegini? Apatah lagi bagi kita yang mengaku pejuang agamaNya.

Ini belum lagi menyentuh soal toleransi kita dalam berpakaian. Tidak dinafikan, kita masih menutup aurat. Bezanya, dahulu kita menutup aurat dengan terbaik. Kini berbekalkan alasan kerjaya dan menjaga "cakap-cakap orang", kita rela menurunkan sedikit darjat "terbaik" kepada "baik sahaja".

Satu lagi keadaan yang terasa agak kurang diberi perhatiaan terutamanya kepada para pewaris perjuangan, nilai dan etika kita semasa berFB. Isu ini pun tidak perlu lah dihuraikan dengan panjang lebar di sini. Memadai dengan menghayati tulisan terkini Ustaz Zaharudin Abdul Rahman di sini :


Budaya "membuat laporan" aktiviti harian di FB rasanya perlu diminimakan. Tegur menegurlah sesama sahabat. Jangan jadikan FB sebagai medan ukhuwwah semata-mata. Perkembangkan lagi dengan sesuatu yang lebih ilmiah. Kita mampu mengubahnya!

Berat juga mahu menulis seserius ini. Penulisnya juga tidak sempurna dan banyak melakukan kesilapan. Namun, memberanikan jiwa melawan belenggu rasa bersalah. Memaparkan untuk tatapan umum dengan harapan ada budaya saling mengingatkan. Hari ini, kesedaran dianugerahkan pada diri, maka tanggungjawab diri berkongsi rasa sesal dan berdosa. Esok lusa, mungkin giliran orang lain.

Semoga Allah terus memelihara kita..

Monday, May 3, 2010

Mengatur langkah

Malam yang agak lapang. Tidak punya tuntutan kerja yang mendesak. Seakan "lembab" perjalanan aktivti kehidupan sejak dua menjak ini. Hanya berfokus pada sekolah dan pulang ke rumah merehatkan badan yang tidaklah letih sangat. Petanda tidak baik!

Minda sudah tidak ligat berfikir untuk sesuatu yang boleh dikongsi selain pada diri sendiri. Sudah hampir-hampir masuk ke zon bahaya. Zon rehat tanpa disedari. Mungkin antara puncanya, usrah semakin kurang mengisi hujung minggu. Aduhai..bermain-mainnya dengan masa. Berani membiarnya berlalu tanpa kualiti untuk penilaian hakiki. Ikutkan hati mahu mencari kaunselor buat menyedar diri. Menyentak lamunan dan menungan panjang. Membangkit kembali ghairah berjuang bak singa di rimba. Mara dan fokus ke hadapan. Aduh..rindunya tika dan waktu itu. Monolog lagi!!

Hujung minggu lepas berkesempatan singgah jenguk Nisa' Games kali ke-2 di Kompleks Sukan Tawau. Bertegur sapa dan bersalaman ringkas sambil angguk-angguk mendengar penjelasan daripada adik-adik pelaksana program. Persis YB ziarah rakyatnya. Terasa bagai ada yang kurang. Kurang sahabat-sahabat "seangkatan". Realiti yang harus diterima. Ya..keadaan sudah tidak sama. Seiring berubahnya masa. Tiada yang perlu disesalkan atau dikenang-kenangkan. Semua ini aturan alam. Tidak ada yang bersifat statik. Dunia itukan ibarat roda. Berputar bersilih ganti.

Tapi benarlah. Jalan juang ini bukan milik individu. Patah tumbuh hilang berganti. Tanpa rakan seangkatan, perancangan tetap berjalan seperti takdirnya. Bezanya pelakunya sahaja. Allah gantikan yang tiada dengan hambaNya yang lain-yang dipilihNya. Pelajaran yang perlu dipelajari, jangan merasakan diri penting pada perjuangan sebaliknya perjuangan lah yang penting buat diri. Mahu berehat? Silakan..perjuangan tidak akan menghalang dan menunggu hingga hilang lelah manja itu. Perjuangan akan pantas mara ke hadapan bersama-sama dengan mata rantaian yang tidak pernah putus hinggalah ISLAM kembali berdaulat di alam semesta ini.

Tengah berusaha memulihkan motivasi diri agar langkah kembali kemas. Takut dan risau tempat di dalam jalan perjuangan ini digantikan dengan orang lain. Kepada yang mengenali diri..mohon teguran andai kalian melihat langkahku semakin perlahan....