Tuesday, June 29, 2010

Rindu serindu-rindunya...

Salam Palestine..

Sejujurnya perasaan tidak beberapa enak beberapa waktu ini. Terutamanya sekembali dari Madrasah Darul Hidayah, Sg. Imam. Ditambah lagi dengan isu-isu semasa negara yang tidak pun mahu saya fikirkan sangat, tetap jua hadir menjerut emosi. Saya juga jadi buntu terus melayan desakan minda saya untuk berfikir dan memikirkannya. Saya bertambah buntu terutamanya apabila sendiri begini. Apa yang saya pendam jauh di lubuk hati ini, perlukan teman bicara..biar lerai segalanya dan bertemu sebuah konklusi.

Saya bertambah tidak tenang jiwa, apabila rindu pada sebuah memori indah yang saya pernah lakar bersama mereka yang saya panggil teman seperjuangan bertamu di qalbu sepi. Saya masih tidak boleh menerima kenyataan saya sudah tidak bersama mereka. Saya masih tidak mahu menerima fakta mereka meninggalkan saya. Saya belum bersedia menerima semua ini..

Kami tidak bersama kerana sebuah kerjaya..agaknya mereka mahu menumpukan fokus yang penuh pada sesuatu yang telah mereka genggam..berusaha mengaplikasi segala ilmu universiti yang bertahun dipelajari..

Kami tidak lagi bersama kerana mereka sedang berada di alam baru yang indah.Mereka sedang melayar bahtera rumahtangga bersama suami yang dicintai dan anak-anak yang menjadi penyejuk mata..

Kami tidak lagi bersama kerana mereka sudah semakin jauh di mata..harus meninggalkan bumi peladang ini demi meneruskan kehidupan disamping memberi sebuah kebahagiaan buat ayah-bonda dan sanak saudara yang pernah memerah keringat agar dapat terus belajar hingga ke menara gading..

Kalau saya punya kuasa sakti..mahu sahaja saya halang masa dari terus beranjak..biar kami terus bersama. Riang gembira di alam remaja..walau masih berkain biru, berbaju putih, bertudung labuh dengan nama dan lencana sekolah, kami tidak pernah berpisah bahkan sentiasa akrab dan terikat padu pada sebuah perjuangan. Merelakan diri di tarbiyyah agar mampu menjadi kader dakwah. Menginfakan diri pada jalan perjuangan agar Nur Islam yang menyinari hati kami dikongsi buat semua ummah.

Saya tidak pernah menyangka..sebuah kerjaya, sebuah mahlgai bahagia mampu memisahkan kami. Hingga adakalanya saya berkata sinis pada diri sendiri, murahnya nilai perjuangan yang saya semai hampir 14 tahun lamanya.

Saya bukan menolak sunnatullah perjuangan. saya bukan menafikan proses tapisan yang pasti berlaku ini..dan saya jauh dari mendabik dada, sayalah yang terbaik di antara kami kerana saya masih boleh bertahan. Saya cuma terlalu sayangkan apa yang telah kami bina selama ini. Terlalu takut semuanya akan pergi begitu sahaja..hanya menjadi sebuah memori lama..

Saya bertambah takut..apalah nasib diri saya..selama mana saya mampu bertahan dan terus terpilih..

Thabatkanku Ya Allah di jalan juang ini...Kembalikan sahabatku yang semakin meninggalkanku..aku sangat merindui mereka...

[maaf atas bicara penuh emosi ini..kerja dakwah melebihi masa yang ada..mad'u di depan mata..kita lebih kuat..lebih teguh..lebih kukuh..kalau kita bersama..masa masih ada..ayuh..kita kembali melangkah bersama]


Sunday, June 27, 2010

Sakit lagi..

Diserang penyakit malas..malas mahu menulis, malas mahu membaca, malas mahu berfikir, malas mahu dengar kuliah...
Bila nak pulih ni??? Macam mana nak kembali kepada normal ni???

[kalau ada sesiapa yang sedang menderitai "penyakit" ini..tak payah pergi klinik pakar..just dengar aluanan ayat suci Al-Quran atau zikir-zikir yang melunakkan jiwa..sedang mencubanya ni...terapi jiwa!

Monday, June 21, 2010

Cinta yang hilang

aku kembali berdiam menyepi
sekadar duduk dan memerhati
membiar angin berdesir pergi
membelai tubuh kaku berdiri
damai dan nyaman terus begini
kerana minda tidak sekaku diri

diamku ini tidak seperti dulu
yang lemas dijerut emosi lesu
hingga aku lemah dan terus layu
tanpa upaya menyingkir keliru

kelam ku sudah cerah
suram ku sudah sirna
pandanganku tidak lagi gelita
kini aku berteman suria

aku sudah sedia memula langkah
dengan menggenggam seisi dunia
aku layangkannya ke lautan samudera
tidak mahu membiarnya meraja di jiwa
aku harus kembali mencari cinta
yang pernah singgah di hati buta
tanpa ku nilainya persis permata

cinta itu masih ada
masih menanti penuh setia
untuk kembali ku takhtakan di jiwa
biar menyinar seluruh takhta
untuk aku berbekal taqwa
menuju menghadap Tuhan Yang Esa

[Ya Allah yang Maha Mencintai..izinkan aku terus hanyut dalam samudera CintaMu yang tidak bertepi..izinkan aku Ya Allah...]

Sunday, June 13, 2010

Jangan pernah berhenti..

Salam Perjuangan

Berkesempatan menyaksikan ulasan "Kapal Mavi Marwara" melalui saluran astro 501. Siapa sahaja yang punya hati murni pasti tersentuh jiwanya. Melihat permainan jijik Yahudi laknatullah tidak langsung boleh dimaafkan dan dipejamkan begitu sahaja. Sesuatu yang tidak pelik apabila suara kebangkitan terdengar di seluruh pelusuk alam. Hatta bangsa Yahudi ada yang membantah kekejaman kaum mereka sendiri. Di negara-negara yang jelas nyata bersekongkol dengan Yahudi laknatullah juga terdengar suara pemberontakan. Semua bangkit atas dasar kemanusian. Fitrah semulajadi seorang yang bergelar insan.

Semua respon yang hadir dari masyarakat seluruh alam ini tidak ada masalahnya. Cuma yang sedikit menggusarkan adalah asas kepada tindakan kita mengecam kekejaman Yahudi Laknatullah. Adakah ianya sekadar bermusim? Hanya apabila ada kes yang melibatkan warganegara kita, baru rasa mahu menunjukan protes? Pemikiran begini yang kelihatannya masih membelenggu "umat melayu". Hari ini kita mengutuk Yahudi Laknatullah, esok tanpa rasa apa-apa, selamba mengunjungi Mac Donald.

Bukti ketidakfahaman kepada perjuangan ini. Penentangan kekejaman Yahudi Laknatullah dan sekutunya, bukan bersifat semasa, tetapi selamanya. Perjuangan ini hanya akan tamat apabila Islam kembali ke tempat asalnya. Memayungi alam dan seluruh isinya. Hingga apabila PBB tidak lagi mejadi kuasa dunia, tetapi diganti dengan sebuah Khilafah Islamiah. Sejarah sudah membuktikan, dan siapa mampu menafikan sejarah itu kembali berulang?

Justeru, protes kita kepada kekejaman ini perlu berterusan. Siapa yang berkeupayaan berdemonstrasi, teruskan. Jangan pula kita tidak mampu, kita mempertikaikan pula usaha orang lain. Impak daripadanya, bukan urusan kita untuk memberi penilaian. Setidak-tidaknya mereka mencontohi kisah sang burung yang kerdil dengan Nabi Ibrahim a.s dan api. Walau nampak sia-sia, tetapi tetap bernilai di sisi sang pencipta.

Namun, yang paling wajib kita lakukan adalah, beramal dengan amal islami. Matikan talian hayat Yahudi Laknatullah dengan 4s (song, sex, sport & smoke) dan 4F (fun, female, food & film) yang mengcengkam jiwa ISLAM hingga yang tinggal Islam pada nama sahaja. Inilah protes berterusan kita. Lawan dengan kefahaman yang benar..baru akan terasa roh perjuangan. Mulakan hari ini, mulakan dengan diri kita. Jangan biar Nasara dan Yahudi terus mencuri masa kita untuk terus menjadi orang ISLAM..







Saturday, June 5, 2010

Aku Ada Kamu

Salam perjuangan..

Lamanya tak menulis..ada masa menulis, "mood" menjauh hati..ada kemahuan menulis, masa membatasi..sudahnya bicara sufi ditinggal sepi...
Hari ini Ahad dalam cuti 3 minggu. Cuti persekolah semester pertama. Cuti yang panjang bunyinya. Tapi tidak disedari berbaki 2 minggu sahaja lagi. Mulanya risau juga, apalah pengisian cuti ini, panjang benar rasanya. Alhamdulillah wa syukrillah..masa yang diizinNya, terisi dengan sesuatu yang bermakna. Hujung Mei lepas sibuk dengan Bengkel Bina Naqibat dan Muktamar DMPNS. Tawau menjadi tuan rumah. Apatah lagi menjadi "pengarah muktamar loncatan" memang haru-biru lah jawabnya. Kafarah tak jalankan tugs dengan sempurna semasa muktamar DMPKT lepas. ..hehe

Minggu ini pun, Alhamdulillah..masa masih mampu dikualitikan. Semalam ada Rehlah DMPKT. Seronok juga lah dapat merehatkan minda sambil memantapkan jalinan ukhuwwah bersama sahabat seperjuangan. Hari ini pula sempat menghadiri Kuliah Mingguan. Sedikit mengecewakan, kehadiran muslimat tidak memberangsangkan. Walhal, medan ilmu sebegini harus diraikan terutama bagi seorang yang bergelar da'ie. bukankah sebelum menyampaikan sesuatu kita harus punya bekal ilmu. Realiti ini pernah dihuraikan panjang lebar oleh Almarhum Ustaz Fathi Yakan dalam bukunya Bahtera Penyelamat. Da'ie selalu sahaja sibuk menyubur iman mad'u hingga kekadang terlupa akan imannya sendiri.Apapun, pasti yang tidak hadir punya alasan yang tersendiri. Bukan sengaja menguzurkan diri. Mudah-mudahan begitulah hendaknya.

Adakalanya manusia terlalu cepat membuat persepsi. Menilai selaku orang luar kita bebas mahu membuat konklusi. Tetapi sejauh mana kebenarannya, masih samar dan kurang pasti. Aku juga acapkali, diprovokasi oleh persepsi-persepsi yang mengujakan. Kalau benar mahu menambah kualiti diri, jangan pandang sebelah mata penilaian orang lain pada diri kita. Jadikannya sesuatu yang membina diri. Apatah lagi andai yang menilai itu sahabat seperjuangan kita. Pastinya dia menilai dari kacamata ketulusan nuraninya. Mahu kita berubah dan menjadi lebih baik. Tidak rugi mengaku kelemahan diri andai itu mukaddimah kita menjadi yang terbaik.

Moral entri ringkas ini, berterima kasihlah kepada sesiapa yang pernah menilai dan memberikan persepsi pada diri kita. Bukti mereka mengambil berat dan prihatin pada diri. ^_^