Monday, August 16, 2010

Ramadhan : Shahrul Quwwah

Salam Palestine

Maghrib esok, genaplah seminggu puasa di bulan Ramadhan tahun ini. Pantas kan masa berlalu. Seakan kita sedang berkejaran dengan masa. Kita alpa dan leka, masa pantas memintas meninggalkan kita. Ternyata Ramadhan dengan keberkatannya, sememangnya bulan yang dinanti bagi insan yang serius memburu taqwa. Ternyata tingkah laku dan sikap semasa bulan ini sangat mudah dibentuk dan dibimbing. Buktinya, di bulan mulia ini, sangat ringan mahu bertilawah dan menjadi sahabat akrab Al-Quranul Karim. Sehari menghabiskan 2 juzu' tidak sesukar mana. Sangat kontra tatkala berada di selain bulan Ramadhan, mahu membaca semuka Al-Quran sehari pun, perlu disiplin diri yang kuat.

Tidak hairanlah jika ada ulama' memberi jolokan Ramadhan Kareem ini sebagai Shahrul Quwwah, yakni bulan potensi. Ramadhan seharusnya menjadikan kita lebih proaktif. Terlebih khusus dalam soal beribadat. Bagi meraikan ganjaran berganda yang Allah tawarkan khusus di bulan ini.

Cuma adakalanya, sedikit masalah timbul apabila, ibadat-ibadat yang mudah dilaksanakan ini sekadar menjadi "ritual beribadat" semata-mata. Tidak terasa roh dan pengayatannya. Perlu mencari teori bagaimana supaya keduanya bergerak seiring. Kuantiti dan kualiti. Kalau tidak dimulakan di bulan potensi ini, pastinya lebih sukar di bulan-bulan yang lain. Ayuh..cari solusi! ^_^

Monday, August 9, 2010

Luaskanlah..jangan disempitkan.

Salam Palestine

Rasanya ini kali ke 4 dalam minggu ini, aku berhajat untuk menulis. Namun sekadar tinggal hajat sahaja. Idea ada, tetapi jemari seakan kaku menari. Pincang gerak gerinya buat menukil sesuatu meneman bicara sufi.

Musibah ujianNya masing belum berakhir. Tidak sangka ST7909K terlalu lama ditahan di "wad" hingga aku hilang fokus pada segala perancangan menyambut shahrul barakah yang hanya sehari sahaja lagi sebelum membuka tirainya. Beberapa perancangan di sekolah sedikit kelam kabut. Apatah lagi, teman berfikir dan berbincang juga turut di uji oleh Yang Maha Menguji. Sahabatku terpaksa mengambil cuti kecemasan balik ke kampung halamannya, semoga semuanya dalam lindungan rahmat dan kasih sayangNya. Apa jua yang bakal berlaku, moga dia tabah menerimanya.

Terngiang-ngiang ditelingaku kata-kata seorang rakan sekerja sewaktu aku ziarah ke rumahnya.

"Cikgu-cikgu di sekolah kita tu, kurang sensitiviti pada agama..itu yang jadi macam itu"

Ulsannya pada satu isu yang berlaku. Aku sekadar memberikan senyuman tawar. Tidak berminat dan berdaya mahu mengulas panjang. Aku sangat akur pada realiti ini. Sedangkan yang sudah ditarbiyyah sekian lama, bahkan masih berada di saf perjuangan selaku barisan pimpinan tidak terasa berkewajipan menyubur biah solehah di sekolah, apatah lagi orang lain.

Kerja dakwah ini bukan kerja mudah dan bukan kerja bermusim. Lebih malang dan mengecewakan, ruang-ruang dakwah hari ini, terlalu banyak musuh luaran dan dalamannya. Ditambah lagi dengan sempitnya pemikiran sesetangah dai'e dalam membentuk jaringan dakwah itu sendiri. Aku secara peribadinya, sangat tidak berkenan dengan para dai'e yang terlalu taksub dengan wasilah dakwah yang didokonginya. Hingga saja menganggap, dai'e daripada wasilah yang lain bukan sebagai teman perjuangan.

Bukankah molek, andai kita meraikan siapa sahaja yang sudi terjun dalam bidang dakwah ini. Bukan masanya kita menilai dan berusaha mempromosikan bahawa wasilah dakwah kitalah yang terbaik. Berusahalah mencari titk persamaan dan menyempitkan jurang perbezaan. Kerja dakwah kita yang sebenarnya adalah mengajak ummah yang masih belum kenal dakwah yang kita bawa ini. Inilah yang utama.

Jom recharge semula tenaga dakwah kita sepanjang Ramadhan ini..Semoga langkah dakwah kita akan semakin perkasa selepas ini..

Ramadhan: Shahrul Quwwah


Thursday, August 5, 2010

Tidurlah mata

Tidurlah mata
malam sudah terlalu gelita
berteman sinarnya purnama
di sisi bintang nan bercahaya

Tidurlah mata
jangan biar minda terus berbicara
membuka semua kisah
dan segala memori yang tercipta

Tidurlah mata
jasad sudah letih lelah
perlu rehat agar esok ceria
tanpa beban dan serabut jiwa

Tidurlah mata
mohon izin pada Pencipta
esok masih mampu terbuka
kembali menerus lagkah
memburu redha dan maghfirah

Tidurlah mata..tidurlah..tidurlah..