Wednesday, September 29, 2010

Sedar Diri

Salam Palestine

Cuti terasa panjang. Bukan cuti sekolah. Tapi cuti jasad dan jiwa dari dakwah dan tarbiyyah. Rasa lama sangat sudah tidak berusrah. Aktiviti dakwah juga sudah tidak cergas. Rindu rasanya, masuk ke kampung-kampung, membawa risalah, edar dengan sebuah senyuman manis. Program tanpa kertas kerja dan hanya dirancang secara spontan bersama-sama teman seperjuangan.

Aku rindu tapi terasa lemah longlai mencipta semula memori itu. Walau hati kecil senantiasa berbisik..kenapa tidak memulakannya kembali? Bersama adik-adik generasi pelapis ataupun anak-anak didik di sekolah.

Aku sejujurnya..akur dan mengaku..orang lain tidak bersalah sedikit pun atas kelemahan dan kegagalan ini. Diri yang silap! Diri sendiri!

[muhasabah petang..berkongsi sedikit beban jiwa yang dirasa sejak beberapa minggu ini..huhuhu]


[aku masih sibuk bermain dan terus bermain..walau aku tahu di mana akhirnya permainan ini..huhu]


Tuesday, September 21, 2010

Puisi Cinta

Angin menghembus tidak terasa nyamanya
Matahari memancar tidak terasa bahangnya
Hujan turun mencurah tidak terasa sejuknya
Kosong..kaku beku..lemau dan lesu.

Rasa jiwa ku hanya satu
Aku hanya terasa jauh
Bahkan mahu terus menjauh

Semakin aku mengenali
Semakin aku menghampiri
Semakin aku cuba mendekati
Aku semakin resah dan gelisah

Walau pernah aku berbunga ceria
Tersenyum manis seindah suria
Saat kau hadir menjenguk rasa
Walau hanya untuk seketika

Tidak mahu terus berfantasi
Takut terus diulit mimpi
Aku sedarkan diri

Kau sudah terlalu jauh
Sedang aku masih di sini
Kau sudah berlari
Sedang aku baru mahu bertatih

Mahukah kau menantiku?
Menoleh aku disini
Memimpin jemari lesu ini
Menuntun kaki longlai ini

Biar mampu bersamamu
Bersama membina tugu cinta
Berlari berkejaran di jalan dakwah
Hingga kita hanya berhenti
Setelah kita genggam bersama
CintaNYA yang kita damba
Dan berehat bahagia di syurgaNya



[puisi yang terilham..saat aku berusaha menahan mata dari lena..masih bermemori dengan KCB ^_^..saat masih punya ruang menanti cinta..tiada salahnya kita terus meminta..hadirkan cinta yang dengannya kita bertemu cinta teragung..jom terus berdoa]


Monday, September 20, 2010

Jodoh Itu Rezeki

Salam Palestine

Aku baru sahaja selesai menyaksikan epsiode terakhir sebuah kisah drama yang panjang. Ketika Cinta Bertasbih (KCB) Special Ramadhan. Aku sengaja mahu mengulasnya saat minda masih segar pada jalan cerita dan keberkesanan lakonannya. Walau sebenarnya, masa agak singkat untuk terus berlama-lama di alam maya ini.

Apa yang dapat kuringkaskan, KCB menjadi sebuah filem motivasi. Walau bahasa yang lebih tepat barangkali..motivasi cinta. Cinta manusia yang diperjuangkan demi meraih cinta Pencipta. Seperti dalam versi filem sebelum ini, KCB masih cuba dikawal semaksimanya secara teknikalnya memenuhi piawaian syariat. Walau belum 100% sempurna. Tetapi usaha meminimakan pergaulan bebas, pendedahan aurat harus dipuji. Yang pasti meluangkan masa menyaksikan KCB tidak menyakitkan mata dan menyesakan minda dengan perlu melihat lakonan yang direalitikan dengan berani melanggar batasan syariat seperti yang ditayangkan dalam mana-mana filem lain. Maka, mesej yang cuba dibawa melalui cerita ini, akan lebih mudah sampai kepada penonton. Ini yang utama!

Tidak berniat mengulas panjang..cuma sangat tertarik dengan kata-kata terakhir dari Furqan "jodoh itu rezeki"..bagi yang masih bujang seperti aku, sama-sama kita berdoa, semoga kita dianugerahkan"rezeki" yang berkat. Rezeki yang menjadikan kita mampu merasa cukup dengan apa yang ada. Tidak terlalu meminta-minta pada dunia yang sementara ini. Sebaliknya, membawa kita bersama, merubah dunia, menjadi jambatan menuju syurga. Syurga destinasi kita menyulam kasih dan cinta yang tiada bertepi...

Menanti "rezeki" itu datang dan membawa aku pergi...


Saturday, September 18, 2010

Senyuman itu palsu

Salam Palestine

Suasana ziarah menziarahi di lebaran ini masih terasa lagi. Walau Syawal sudah 9 hari bersama kita. Kemeriahan inilah yang meningalkan pelbagai memori kepada ramai orang. Hingga menjadikan Syawal sebagai bulan yang dinanti.

Kalau kanak-kanak, pastinya ziarah menziarahi menjanjikan duit raya. Walau sekadar RM1 satu rumah, tapi kalau berjaya memperolehinya daripada 10 rumah. Sudah mampu menampung duit topup bekal seminggu. Telefon bimbit hari ini bukan sekadar keperluan bagi orang dewasa, kanak-kanak jauh lebih hebat. Mungkin ada sahaja, anak-anak yang belum reti membaca tapi sudah punya telefon bimbit. Budaya ikut-ikutan yang membelenggu masyarakat.

Kepada yang dewasa, raya dan ziarah punya pelbagai makna. Biasa kelihatan, raya menjadi ruang menjernihkan ikatan ukhuwwah yang keruh. Samada antara ahli keluarga mahupun sahabat handai. Raya juga adakalanya, menjadi medan memperkenalkan pasangan kekasih kepada bakal keluarga mertua. Mood hari raya yang baik, dimanfaatkan sebaiknya.

Namun, sayangnya, perkara ziarah menziarahi ini masih dicemari oleh amalan-amalan yang tidak bertepatan dengan syariat. Contohnya budaya bersalam-salaman antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim masih menjadi amalan. Adakalanya alasan keluarga diguna pakai. Bagi yang faham hukum hakam, sudah tentu keadaan ini memberi tekanan. Menghilangkan mood ceria di hari raya. Aku sendiri saban tahun terpaksa kerap berlakon. Bila melihat sahaja tetamu mahu beransur pergi, terpaksa berlakon dan memboloskan diri. Pura-pura ada urusan di dapur, menyorok dalam bilik ataupun tandas. Kalau kanak-kanak ataupun anak-anak didik, ada juga kekuatan mahu bertegas disamping memberi pengajaran, tetapi kalau pakcik-pakcik, abang-abang sepupu..kelu lidah mahu berkata. Cabut larilah jawabnya. ^_^

Lain hal pula, dengan acara memperagakan pakaian raya. Pening lalat dibuatnya. Ada yang bertudung, tanpa faham apa konsep menutup aurat. Yang tidak bertudung, lagi dahsyatlah. Konon berkebaya dan berbaju kurung, sudah menepati piawaian pakaian sopan. Walhal masih dedah dan mendedahkan yang tidak sepatutnya terdedah. Sekali lagi mematikan mood ceria di hari raya.

Belum masuk lagi segala pembaziran yang seakan dipejamkan demi meraikan hari raya. Memaksa diri berbelanja lebih untuk perabot baru, cat rumah baru, kuih muih yang berlebihan dan bermacam keperluan lain yang tidak perlu sebenarnya. Sekadar memenuhi keinginan naluri mahu hari raya nampak hebat dan meriah.

Justeru aku adakalanya masih mencari makna Hari Raya dalam realiti yang berlaku dihadapan mata hari ini. Masih cuba memahami apa makna hari kemenangan ini. Dalam pencarian ini, terus mengharap dan berdoa, semoga hari raya mendatang, aku benar-benar bertemu dengan hari yang membawa kegembiraan hakiki bukan kegembiraan yang hanya dinukilkan melalui sebuah senyuman ceria yang tidak jujur.


Memikir dan mencari makna Hari Raya

Tuesday, September 14, 2010

Corat-Coret Hari Raya

Salam Palestine

Sudah 5 Syawal hari ini..kekerapan menulis sudah semakin berkurangan. Idea tidak mencurah-curah dan masa agak terbatas dengan sambutan raya. Tidak berziarah, akan diziarah. Itulah Hari Raya.

5 Syawal yang berlalu masih mencatatkan kisah serupa seperti tahun-tahun sebelumnya. Menjelang raya sibuk ke pasar. Berseorangan kali ini. Tidak sampai hati mahu menyusahkan mak yang punya tuntutan kerja yang banyak. Meredah pasar seawal 6 pagi, terasa benar macam "makcik-makcik". Tapi apakan daya, inilah amanahku. Kerja keras diteruskan dengan membantu mak menyiapkan "buras" dan "tumbuk kacangnya". Sekadar membantu sahaja. Belum mampu menyiapkannya seorang diri. Banyak proses yang masih gagal. [Sabar jak lah mak..dapat anak yang "serba tak boleh ni" ^_^]

[buras yang belum diikat dan direbus]

[Tumbuk Kacang yang belum dibungkus, diikat dan direbus]

Hari Raya pertama, aktiviti rutin, bersolat sunat Aidil Fitri di Masjid Ar-Raudhah, SMK Jambatan Putih. Suasana tenang dan damai menjadikannya destinasi masjid pilihan mak dan kami 3 beradik. Balik rumah, selesai sesi fotografi, ziarah kubur 4 insan yang telah dahulu pergi meninggalkan kami. Atuk, nenek, bapa dan abang. Aktiviti yang harus diberi anjakan.Ziarah bukan sekdar 2 kali setahun. Hanya ketika hari raya..samada Aidilfitri mahupun Aidiladha. Tujuan ziarah kubur kan untuk kita mengenang akan sebuah kematian yang sememangnya pasti. Kalau terasa hati sudah kotor dan keras..berkunjung ziarahlah ke sini..insafi sebuah tempat persinggahan yang memberi maklumat ke mana akhirnya perjalanan kehidupan kita nanti. Raya kali ini, sedikit "istimewa" kerana berpeluang menziarahi sahabat nisa' dan unit amal yang kehilangan insan tersayang di awal bulan Syawal. Sekali lagi..kematian menjadi peringatan di hari meraih kejayaan.

Dari Abi Hurairah, beliau berkata, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda: Menziarahi kubur, dengannya dapat mengingati akhirat.

Selebihnya raya diisi dengan duduk menanti tetamu di rumah. Tetamu adik beradik yang lain sebenarnya. Tolong menghidang air, kuih-muih sambil senyum tersengih. Sikap "berat mulut" belum mampu dibuang. Lemah benar komunikasi interpersonalku. Bagaimana ni mahu menjadi da'ie yang berjaya...

Tetamu khas ku hanya datang hari ini. Seramai 23 orang pelajar dan bekas pelajarku sudi singgah ziarah di rumah tumpanganku [rumah mak ^_^]. Sajian "berobbok" menjadi hidangan mereka. Hanya itu yang "confident" dimasak dan dapat disediakan dengan segera. [hakikatnya memang tak reti masak pun..huhuhu]. Semoga mereka tetap pulang dengan kekenyangan dan merasa gembira menziarahi cikgu mereka ini.

Esok kembali menyambung puasa yang sudah bermula 2 hari lepas. Semangat berpuasa awal. Ada juga yang bertanya..kenapa awal sangat mula..raya dulu bah. Jawapannya mudah sahaja.."sediakan payung sebelum hujan" ^_^

Entry kali ini..santai-santai sahaja ya. Maaflah kalau kalian membacanya tanpa input yang boleh diproses untuk menghasilkan output yang berguna. Diruang ini..salam aidilfitri, maaf zahir dan batin ku ucapkan..Semoga hari raya ini kita raikan penuh kesyukuran dan keinsafan.

Kami sekeluarga di pagi 1 Syawal.

Tuesday, September 7, 2010

Kisah Akhir Ramadhan

Salam Palestine

29 Ramadhan hari ini. Sangat pantas kan masa meninggal pergi. Sama-sama lah kita muhasabah bagaimana rupa pengisian amalan kita pada bulan yang penuh keberkatan ini. Terlebih penting, sama-sama lah kita berusaha momentum seronok beribadah di sepanjang Ramadhan ini mampu kita kekalkan. Itulah kayu ukur, kejayaan kita di dalam madrasah Ramadhan ini.

Walau kesibukan membuat persiapan meraikan Syawal, sudah semakin terasa, semalam berkesempatan meluang masa bersama dua orang anak muda. Berbincang ilmiah seketika. Berkongsi pengalaman berharga mereka di lapangan dakwah. Walau usia masih muda, namun, komitmen dan konsistensi mereka harus ku beri pujian. Terasa kerdil diri. Masih sangat banyak yang perlu di pelajari. Masih perlu kerja keras kalau benar mahu bergelar da'ieyah sejati. Mudah-mudahan apa yang kami perbincangan selama 2 jam lebih semalam, akan mampu kami realisasikan dan paling penting mendapat redha dan keberkatan dariNya.

Semalam juga, satu kebakaran berlaku di kampungku. Belum hilang trauma dan lelah berhadapan banjir, di uji lagi dengan kebakaran. Simpati pada mereka yang dipilih Allah dalam ujianNya ini. Pastinya, berat mata memandang, berat lagi mata memikul. Teringat sejarah kami sekeluarga pada 15 September 1995, pukul 1.05 petang, berhadapan dengan ujian kebakaran. Tinggal sehelai sepinggan. Betapa resah, kerut dan gelisahnya wajah bapa, mak dan kakak sulungku ketika itu. Memikir di mana lah kami mahu menumpang teduh. Sudahlah waktu itu hidup masih sangat susah. Bapa sekadar pemandu bas, sedang kami 9 beradik masih kecil dan bersekolah. Aku sahaja ketika itu baru berusia 12 tahun.

Apabila melihat keadaan kami sekarang..ternyata beasrNya kuasa Allah, Yang Maha Mengatur. Diuji hambaNya, tetapi DIA juga yang menyediakan jalan keluarnya. Allah tidak sama sekali zalim pada hamba-hambaNya. Bahkan sangat pengasih dan penyayang. Mehnah itu pengampun dosa. Bukan sahaja dosa insan yang diuji, tetapi juga dosa insan lain yang mahu mengerti dan memahami. Cuma manusia sahaja selalu keliru mentafsir takdir. Memandang kesusahan pahit, dan kesenangan itu manis. Walhal pahit itu adakalanya ubat dan manis itu kerap dikaitkan dengan penyakit.

Mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan hambaNya yang celik mata hati. Bersabar apabila diuji, bersyukur bila berhadapan nikmat. Ketaatan bukan datang dari kehebatan diri kita, melainkan dengan anugerahNya semata. Konklusinya, minta..minta dan terus meminta pada Yang Maha Pemberi..anugerahkan kita pakaian TAQWA, membaluti kita di sepanjang perjalanan panjang ini.

[harus segera mengundur diri..mak sudah semakin sibuk dengan burasnya, adik-adik sibuk dengan proses pembersihan rumah secara bersepadu..aku masih di sini..menekan abjad demi abjad.. ^-^]

Wednesday, September 1, 2010

Silap pandang..

Salam Ramadhan

Suasana Ramadhan sudah semakin menghilang..hanya ditahan, dipaut dan digenggam erat oleh para pencintanya. Golongan yang sudah semakin sedikit. Lebih ramai yang sudah tidak sabar, ghairah dan sangat menanti kehadiran Syawal. Budaya dibentuk dan terbentuk begitu. Bukan sekadar anak-anak asyik bertanya, bila hari raya, para ibu dan bapa juga tidak kurangnya. Tapi lebih menzahirkannya secara praktikal. Si bapa juga sudah mula liat bertaraweh. Lebih menumpu masa mengemas kini rumah agar rapi dan tersusun. Si ibu lagilah sibuknya. Dapur sudah penuh dengan bahan membuat kuih tunggu masa untuk diproses.

Saban tahun, pemandangan beginilah yang sering terjadi. Bukan setakat di sini, rasanya di mana-mana. Kalau kita selami, hikmah malam lailatul qadar itu diletakan di 10 malam yang terakhir bagi menapis dan menyaring, hamba-hambaNya yang benar-benar celik mata hati. Mampu menilai bahawa malam yang lebih baik dari 1000 bulan itu benar-benar sesuatu yang bernilai dan berharga. Sebab tersangat menghairankan, tawaran yang sangat hebat ini, masih dipandang sepi oleh segelintir manusia. Hingga sanggup mengabaikannya hanya kerana mahu memastikan hari raya nanti disambut penuh kesempurnaan. Cukup kuih raya, cantik bergaya dengan baju raya, rumah berseri dengan cat dan perabot raya atau apa saja istilah yang ada kaitan dengan raya.

Walhal hakikat hari raya itu kan, meraikan kemenangan kita berjaya menghidupkan Ramadhan dengan ibadah yang bersungguh-sungguh. Hari raya itu kan hari kita istirehat. Setelah berhempas pulas mendidik nafsu dengan ibadah puasa dan solat taraweh yang hanya ada di bulan Ramadhan. Ini belum menang, sudah berpesta, belum penat sudah berehat.

Inilah cabaran Ramadhan di akhir zaman. Bukan sekadar mendidik nafsu diri sendiri, tetapi juga perlu waspada pada nafsu orang lain. Ya Allah..izinkan aku, dia dan mereka yang masih mencintai Ramadhan ini untuk terus celik mata hati..merasai dan mensyukuri nikmat bulan penuh keberkatan ini.