Monday, October 25, 2010

Berani Untuk Bermimpi

Salam Palestine

Mood "perjuangan" berada pada tahap memberangsangkan. Maklum sahaja, 3 minggu berturut di ziarahi pimpinan dari tanah semenanjung. Mendengar butiran kata penguat semangat untuk terus berjuang demi menyuburkan bumi bawah bayu ini dengan sinaran iman yang bermula dari penghayatan Islam yang syumul.

Menyedarkan masyarakat Sabah yang menjadi negeri termiskin di bumi Malaysia agar sedar dan keluar dari kepompong kemiskinan ini. Keluar dari miskin harta dan terlebih utama miskin iman. Bumi bawah bayu ini terkenal dengan kesuburannya. Terkenal dengan alam hijaunya. Harusnya kedamaian dan nikmat anugerah alam ini membantu warganya untuk tidak terus dibalut apa jua kemiskinan.

Mahu bebas darinya, harus dengan anjakan paradigma. Buang jauh-jauh mentaliti lama. Generasi lama perlu sedar zaman "di gula-gulakan" dengan kain batik, tangki air, RM50 sudah berakhir. Itu semua tidak harus dibiarkan menjadi senjata mereka si penabur janji manis untuk melindungi segala kerja jahat yang telah mereka lakukan. Kalau ada perkataan yang lebih jahat, daripada jahat, tidak salah rasanya diguna pakai untuk mereka itu. Apa tidaknya, tidak jahat lagikah, membiarkan rakyat yang selama ini cukup setia memilih mereka saat semua wajib membuang satu undi, terus-terusan dibiarkan bagai katak di bawah kaca. Hanya melihat mereka mengumpul harta, sedang rakyat masih papa.

Tidak perlu pergi jauh, lihat sahaja bumi peladang ini, rakyat masih tetap setia dibiarkan berhimpit hidup dikampung-kampung melayu yang sempit. Tidak diberikan tanah walau seekar hingga terus-terusan hidup di atas laut, di atas bukit. Walhal tanah kita berganda banyaknya. Tidak dibiar menjadi hutan belantara tetapi direbut sesama mereka yang berkuasa.

Generasi muda lagilah pantas untuk berubah. Kebenaran terbentang di depan mata. Mampu kau akses sekelip mata di Facebook, Blog, Youtube atau mana sahaja capaian maya. Kenapa masih perlu sekadar menjadi pemerhati. Jangan biar mereka si pemberi janji manis meneruskan legasi dusta mereka. Kita buktikan di atas kertas undi. Itu hak kita! Mulakan langkah gagah anda dengan mendaftar sebagai pemilih bagi yang sudah sampai serunya. Jangan ditangguh lagi..masa kita membuat perubahan khabarnya sudah semakin hampir..apa tunggu lagi..ayuh..berani untuk berubah!

[Galas dan Batu Sapi - sirnalah kebathilan..bersinarlah kebenaran]

AL-ISLAMU YA'LU WALA YU'LA 'ALAIH


Tuesday, October 19, 2010

Kau gerakkan jiwa ini

Bicara kita malam itu..

dia : Awak anak emak ...Emak awak lagi perlukan awak

saya : dialog ni dah pernah di lafazkan pd saya suatu masa dulu..sebab tu saya kata..saya perlu
berhenti bermimpi..tetapi belajar menerima realiti :(

dia : Yes..Awak kena hormati emak awak..Emak awak amat memerlukan awak..Kesian dia

saya : hmm..sedang membina kekuatan itu..menelan fakta inilah dakwah saya yang utama

dia : itulah tadhiyah..pengorbanan

saya : hmm..ntahlah susah saya nak ungkap dengan kata-kata apa yang saya dah lalui..macam
mana saya luahkan pun..saya akan mati pada satu kesimpulan iaitu dakwah kepada
mereka lebih aula

dia : Awak kena ingat..Diri kita bukan hak kita..Kita hanya memegang ruh masuliyah saja.

saya : saya letih seorang berhadapan semua ini..bukan baru..saya rentasinya sekian lama..
kejahilan mereka motivasi juang saya

dia : Biarpun keinginan seorang manusia itu ingin juga merasa nikmat kebersamaan namun di
situlah bermula titik ujian itu..Kita diuji pada sesuatu yang kita hajati .Pernahkah awak
mengerti erti kesunyian? Saya sentiasa sunyi..Hidup keseorangan..Tapi saya tetap
pasrah..Saya manusia..Saya memang tak mampu..Tapi..Saya tahan juga..Apalah
saya..Hanya sebutir makhluk yg tercampak ke bumi..Saya kena kuat..

saya : hmm..tiada kata tuk menolak kalimat-kaliamat awak..cuma mahu menghadamnya masuk
ke sanubari yang paling dalam..perit rasanya

dia : InsyaAllah..Saya dpt rasakan jiwa seorg ibu itu..dia perlukan awak

saya : mengharap dalam doa dan munajat..Allah hadirkan seseorang yang memahami
perjuangn yang bukan baru ini..dia mampu terus kukuhkan saya pada apa yang telah
saya lalui

dia : InsyaAllah..Berbakti pada keluarga juga adalah dakwah dan jihad..Itulah yg nabi ajar
Dakwah harus nafas panjang..Ianya satu proses..Dalam proses itulah kita membina
pahala..Kita bukan ada tongkat macam Nabi Musa..Mukjizat tiada lagi..yang ada
hanyalah wahyu..Wahyu pemandu kita..Ini yang perlu awak fahami..tenangkan hati
awak..Cerialah..Sembunyi semua duka..Bahagiakan mad'u dgn senyuman kita..Biar hati
kita terlalu pedih dengan sayatan luka..Bahagia kita hanya lah bila tersungkur diatas
sejadah..Dan teresak tangis dhadapanNya

saya : terima kasih..terus gerakan jiwa saya!

Monday, October 11, 2010

Tentang Cinta

kelmarin kau tanya aku tentang cinta
aku kata cinta itu duka lara
semalam kau bertanya lagi tentang cinta
aku kata cinta itu seksa jiwa
hari ini kau tidak lagi bertanya
tetapi penuh yakin berkata
mahukah kau bercinta
cinta yang penuh bahagia
bukan cinta buta manusia
tetapi cinta pada pencipta
kau buat aku tersenyum ceria
pasti indah kalau kita berdua
menyulam cinta itu bersama
ayuh..kita terbang ke syurga cinta

~white bridge~
9.20 am



Saturday, October 9, 2010

Kumpul kekuatan

Salam Palestine

Malam sudah lewat, dingin malam terasa benar malam ini. Seharian cuaca mendung dan sesekali rintik hujan renyai membasahi bumi. Syukur juga cuaca begini, dalam keadaan kami terpaksa berprogram di markaz tarbiyyah yang menjadi saksi perkumpulan kami. Tidaklah berpanas dan boleh duduk dalam keadaan yang selesa.

Seperti kelazimnya, program sebegini akan menjadi ruang menyuntik motivasi aktivis dakwah, bersama bermuhasabah berkongsi idea agar gerak kerja dakwah menjadi lebih tersusun dan berkesan. Mendegar amanat-amanat pimpinan buat bekal di jalan dakwah yang tidak mudah ini.

Mendengar semuanya, terasa diri tidak benar-benar serius lagi di jalan dakwah ini. Kerja dakwah masih menjadi aktiviti sampingan. Masih banyak waktu rehat yang diluangkan. Tidur yang lena, makan yang berselera masih menjadi keutamaan. Tetapi kerap juga merungut sibuk dengan pelbagai urusan tatkala ada amanah dakwah yang perlu disempurnakan.

Arghh..aku benar-benar marah pada diri kali ini. Sepanjang kepulangan ke daerah tercinta ini untuk mempraktikan segala teori dakwah yang telah dihadam di alam kampus, ini munaqasyah kali ke 4 aku hadiri. Tetapi, hasilnya tidak sebanyak kuantiti sepatutnya. Hingga aku rasa malu sangat mahu bertanya soalan atau mengeluarkan sebarang pandangan. Tidak mahu cakap tidak serupa bikin..

Ya Allah..berikanlah aku kekuatan, untuk terus dan terus menghidupkan laluan dakwah ini.


Sunday, October 3, 2010

Jangan pernah berhenti

Salam Palestine

Baru beberapa hari lepas, di ruang ini, aku melontarkan rasa resah jiwa dek kekeringan dari siraman dakwah dan tarbiyyah. Alhamdulillah..minggu ini, Allah hilangkan resah jiwa itu. Usrah berjaya dihadiri dengan sebaiknya. Kemudiaan pula mendapat jemputan diskusi bersama adik-adik HEPI PERPPIS. Bermuzakarah dan melontar pandangan buat mereka agar persatuan lebih maju dan proaktif.

Mendengar luahan mereka pada masalah yang terpaksa mereka pikul dan tanggung, sedikit tamparan buat diri yang sering sahaja berada di zon selesa dalam jalan dakwah ini. Melihat wajah bersemangat namun ada riak keletihan di wajah mereka, terkenang zaman aku di posisi seperti mereka. Penuh dengan halangan dan sekatan. Halangan keluarga yang tidak memahami syariat, sekatan kewangan, beban akademik dan pelbagai lagi. Namun, dalam usia yang begitu muda, semua itu mampu dihadam sebagai mehnah dan tribulasi dalam laluan perjuangan yang harus ditempuh dengan sabar dan tenang.

Namun, berfikir sedalamnya, mengapa semakin meningkat usia, semakin banyak pengalaman yang ditempuh, semakin banyak ujian yang sudah berjaya diatasi, semakin jauh komitmen dan rasa tanggungjawab pada amanah perjuangan? Adakah kerana sudah terlalu kepenatan? Adakah sudah hilang rasa kemanisan dalam berjuang?

Soalan-soalan yang sering berlegar namun tidak punya jawapan konkrit. Yang ada hanya sebuah ketakutan dan kebimbangan. Takut, bimbang dan risau, apalah agaknya nasib diri esok dan mendatang.

Jumaat baru-baru ini, kebetulan juga, tugasku mengisi slot usrah di white bridge. Seperti kebiasaannya, sebelum usrah bermula, aku dengan rotan di genggaman akan pusing sekitar kelas untuk "menghalau" pelajar-pelajar lelaki pergi solat Jumaat. Sangat runtun jiwa, tatkala melihat, gelagat pelajar-pelajar lelaki ini yang sengaja tidak mahu pergi solat. Hingga ada yang sanggup menyorok di dalam kelas, melekat di dinding persis cicak man agar boleh bolos dari pandangan ku. Aku yang sememangnya menyaksikan tingkah nakal pelajar ini, segera menuju ketempatnya. Dengan wajah yang ketakutan apatah lagi melihat rotan nipis ditanganku, aku memintanya membaca Al-Fatihah. Terketar-ketar dia membacanya. Saja aku mahu mendera mentalnya. Mahu mendera fizikal, biasanya orang seperti ini sudah lali dengan libasan rotan dari guru disiplin. Dengan sedikit peringatan maut untuknya, aku berharap, dia tidak mengulanginya lagi pada minggu hadapan.

Situasi yang berlaku ini, sekali lagi menyedarkan aku, bahawa tugas dakwah masih sangat perlu digiatkan dengan bersungguh dan penuh komitmen. Justeru, aku merayu buat semua teman seperjuangan, terutamanya yang bergelar cikgu, berusahalah kita supaya tidak sekadar menjadi guru yang hanya mengajar untuk menghabiskan silibus semata. Atau hanya untuk memastikan pelajar kita mendapat sebanyak A yang boleh.

Ada yang lebih penting dari itu. Mendidik dan membimbing mereka mengenal hakikat penciptaan mereka ke alam fana ini. Menyedarkan mereka akan akhirnya sebuah kehidupan yang sementara ini. Ini yang terlebih penting. Kalau bukan kita yang mulakan, siapa lagi?


Ya Allah..terus kuatkan kami di jalan ini. Amin Ya Rabb