Sunday, November 28, 2010

Dakwah : Bukan Jalan Mudah

Salam Palestine

Waktu istirehat dari memikirkan urusan-urusan disekolah sudah bemula. Kini aku serahkan anak-anak didikku pada rahmat dan kasih sayang Sang Pengatur Buana agar melimpahkan ihsanNya, memudahkan anak-anak didikku menjawab dengan baik dalam peperiksaan. Ujian kecil dunia. Mudahan beroleh kejayaan yang menjadikan mereka lebih bersemangat memburu kejayaan yang hakiki iaitu bertemu Sang Pencipta dalam keadaan cemerlang.

Benar-benar cuti kali ini. Tugasan berupah menjaga STPM pun aku tolak. Alasan mudah, mahu rehat. Baru hari pertama tidak perlu hadir bertugas ke sekolah, satu mesej ku terima dari murabbi mayaku :

"Cikgu, cuti sekolah dakwah jangan cuti ya"

Tersimpul senyum manis dihujung bibir. Bersemangat Subuh ku pagi itu. Sebaris ayat ringkas yang mampu menyentak lena yang mungkin panjang, sepanjang cuti sekolah ini. Berbicara soal dakwah, satu tuntutan yang tidak mudah. Namun tidaklah payah hingga mustahil dilaksanakan. Memerlukan syarat iaitu ikhlas yang tulin, ilmu yang pelbagai dan semangat yang tinggi. Tiga komponen yang perlu disepadukan agar mampu terus iltizam dengannya.

Sedang punya semangat untuk bergelar da'ie, beberapa persoalan timbul dan mungkin sengaja ditimbulkan. Aku biasa ditanya:

"Kak, kalau nak berdakwah ni mesti dalam PAS sahaja ka?"

"Boleh tak saya berdakwah dengan nama ABIM atau Hizbut Tahrir atau JIM atau Tabligh?"

Jawapan saya selalunya sama untuk soalan sebegini.

Berdakwalah dengan satu wasilah yang kalian yakin ianya yang terbaik dan mampu melangsaikan kewajipan menyeru kepada kebenaran dan mencegah daripada kemungkaran. Cuma jangan sampai saling menidakkan peranan jemaah lain. Terlalu mempromosikan jemaah pilihan hingga prejudis terhadap jemaah lain. Misal mudah, kalau tidak minat dengan PAS yang dilabelkan sebagai berwajah politik, jangan samakan PAS dengan UMNO. Ini satu tohmahan yang sangat bertentangan daripada fakta sebenarnya. Dalam bahasa lain, mungkin sahaja boleh menjadi fitnah. Hinggakan kalian menafikan kepentingan teribat dengan pilihanraya. Tidak mahu menyumbang satu undi untuk sebuah jemaah yang berdaftar sebagai parti politik selaku kaedah paling sejahtera ke arah membina sebuah negara yang benar-benar bertepatan dengan syariat. Walhal, PAS dari sudut perlaksanaan juga membawa mesej dakwah yang jelas.

Contoh lain juga, jika kalian punya pengalaman tidak seberapa menyedapkan hati dengan pendukung Tabligh, jangan digeneralisasikan bahawa semua ahli Tabligh begitu. Tidak adil mengguna pakai peribahasa Melayu "kerana nila setitik rosak susu sebelanga" untuk kes sebegini.

Mudahnya, saling membahulah dalam perkara kebaikan begini. Saling meraikan kepada perbezaan dan berusaha mencari persamaan. Harus diingat, kerja utama dakwah ini mengembalikan manusia kembali kepada syariat yang benar. Anggaplah perbezaan method itu adalah strategi-strategi yang mudah-mudahan mampu membantu mencapai matlamat yang didambakan. Hingga hujungnya kita bersama bertemu dengan keredhaan Allah yang kita cari.

Soalan cambahan lain :

"Kalau saya terlibat dengan semua jemaah boleh tak?"

Ringkas sahaja bunyi soalannya. Namun, mahu merungkaikannya, tidak seringkas soalannya. Asas jawapan soalan ini adalah kefahaman kepada tarbiyyah yang telah diterima. Memahami konsep dan tuntutan berjemaah. Maklum bahawa dengan jemaah kerja dakwah akan menjadi lebih tersusun, beorganisasi dan perjalanannya akan lebih kemas. Senjata yang mampu melawan kebathilan, apatah lagi kebathilan yang berperancangan.

Kalau jemaah itu satu organisasi, pastinya sahaja punya ketua. Peranan ketua adalah untuk memberi arahan, mengawal perjalanan jemaah dan semua ini akan berfungsi dengan baik andainya ahli yang berada dibawah seliaan ketua menjalankan tugasnya sebagai ahli iaitu akur pada arahan ketua. Maka bagaimana boleh terjadi, seorang ahli mempunyai lebih dari seorang ketua yang harus ditaatinya. Bukankah itu akan menyusutkan fikiran dan mencelarukan dakwah?

Konklusinya, apabila kalian sudah punya rasa sedar akan tuntutan dakwah ini, perhalusi pula tuntutan berjemaah dan adab peraturannya. InsyaAllah, langkah dakwah akan lebih mantop dan memudahkan untuk sesuatu yang sukar iaitu istiqamah.

[para pendidik..cuti daripada membuat rancangan pengajaran harian, kita isi dengan merancang pengisian nurani buat anak didik kita. Kalau bukan cuti ini, kita hanya akan terus beralasan, tidak punya masa!]


Thursday, November 25, 2010

Ditinggal pergi

Diterjah sepi bermula semalam.Sunyi dan kosong benar taman hati.Tiada bunga indah mekar mewangi.Bagai dihujani dedaunan luruh semata.November dan Disember acapkali diterjah rasa sebegini. Aku sememangnya sangat tidak gemar pada cuti panjang sebegini....

Friday, November 5, 2010

Kata setulus jiwa

Salam Palestine

Mata tidak terlalu segar untuk setia di hadapan laptop pinjaman ini. Tapi naluri mendesak untuk menulis. Kalau tidak diturutkan, pasti saja lena ku susah mahu kunjung tiba. Memejam mata dengan minda yang sibuk beroperasi. Penyakit yang sangat ku deritai.

Balik dari Mesyuarat LPP DMPKT, minda ku ligat memikir. Kesal dan sesal yang kerap hadir. Tidak dapat menahan sebak, betapa ummah ini masih sangat jauh daripada sinaran Islam. Terus dibelenggu kejahilan fikrah hingga terus membiar diri dipimpin oleh mereka-mereka yang hanya tahu menabur janji manis. Lebih menyayat hati, mereka tidak punya keazaman mahu membentuk rakyat berpandukan syariat yang benar. Walhal jelas, Islam itu cara hidup. Bagaimana mungkin itu terjadi, mereka sendiri sangat jauh darinya. Bahkan adakalanya mereka yang terlebih dahulu menolak Islam yang indah ini. Hingga berani pula secara terang-terangan mendidik rakyat dengan budaya-budaya hedonisme berlebihan. Tidak segan silu meraih simpati dengan rasuah dan ugutan. Rakyat terus dan terusan dibodohkan!

Sesal dan kesal bertambah tatkala menginsafi bahawa jalan perjuangan ini masih sangat jauh dan tidak mudah. Dan dalam perjalanan yang masih jauh ini, satu persatu teman yang memencilkan diri. Dengan pelbagai alasan yang adakalanya terlalu perit untuk di terima. Sudah bekerjaya, dengan alasan kerja, masih menanti kerja dengan alasan kewangan, sudah berumahtangga dengan alasan suami, anak-anak ataupun penyesuaian kepada alam rumahtangga yang baru dibina.

Dalam keadaan kerja terlalu banyak, hati mana tidak pedih, jiwa mana tidak sesak terpaksa akur pada PEMENCILAN BERSTRATEGI ini. Ditambah dengan ungkapan berbisa :

"Enti belum kahwin lagi, memang lah boleh berikan komitmen pada jemaah"

"Jangan lantang sangat bersuara, awak masih bujang, esok dah kahwin...tahu lah macam mana"

Bukan dibalas dengan keinsafan, tetapi diserang dengan amaran. Walhal sejarah membuktikan, samada mereka itu pimpinan ataupun sekadar ahli biasa, tetap mampu memberi komitmen dengan kondisi sebagai isteri, dan ibu. Bahkan anak bukan seorang dua, ada yang sudah mahu cukup sedozen. Mereka tidak perlu memberi isyarat pada jemaah, minta direhatkan untuk seketika.

Mana perginya tarbiyyah di alam kampus. Wahai para amir, amirah, ahli persatuan itu dan ini, setelah bergelar graduan, berjaya menggenggam segulung ijazah, bermakna noktah kepada sebuah perjuangan? Pedih benar, apabila mengimbau memori, kita bertamrin bersama, sanggup meredah hutan dan pulau, berstrategi ketika perlu berhadapan dengan akta-akta universiti yang mengcengkam, bersemangat waja bangkit menentang kemungkaran dihadapan mata, rela bermesyuarat hingga larut malam walhal esoknya punya exam yang perlu disudahkan dengan jayanya atau ada tugasan yang sudah sampai tarikh penghantarannya. Itu semuakan medan latihan. Nah, kini medan sebenarnya. Realiti yang harus kita depani!

Ayuhlah teman, diruang yang menjadi milikku ini, untuk aku bebas meluah isi hati, yang tidak mampu aku lafazkan menjadi butir kata, aku menyeru, tamatkan waktu rehat kita. Jangan sempitkan dunia kita hanya untuk keluarga dan kerjaya. Kita tidak diajar begini. Kita sudah pernah melakar sejarah. Membahagiakan kedua ibu bapa dengan berusaha menjadi solehah penyejuk hati mereka. Membukti pada teman persekolahan dan para guru, hidayah yang kita zahirkan dengan dakwah ini, bukan halangan kita berjaya menjadi pelajar yang cemerlang.

Kita hanya perlu terus melakar sejarah. Bukan menghentikannya. Kini buktikan pula pada suami, anak-anak, rakan sekerja, majikan atau siapa sahaja, kita hebat kerana dakwah ini. Kita hebat kerana perjuangan ini. Kita akan sentiasa hebat apabila kita meletakkan Islam ini ditempat yang selayaknya. Ini jalur kenabian yang sudah digariskan untuk kita. Turuti saja teman!

Ketahuilah, aku dan mereka disini, sangat sunyi tanpa kemeriahan kalian. Walau kami tersenyum tatkala kita berjumpa sekali sekala di usrah dan program yang kebetulan kalian menghadirinya. Tetapi senyuman itu menyimpan seribu makna. Beriring sejuta doa. Mudahan kalian tidak hadir sebagai peserta, tetapi turut sama merasai bertindak sebagai pengelola. Laksanakn amanah kalian dalam lujnah, cawangan mahupun kawasan. Jujur pada diri, nilailah komitmen kita selama ini. Kalau masih ada suara hati..

"Aku bukan keluar jemaah, wala' masih pada jemaah, tapi dakwah kan luas, macam-macam cara boleh. Di tempat kerja ni pun dakwah juga"

"Biarlah suami ku sahaja berjuang, aku sokong dari belakang. Isteri ni syurga dengan redha suami juga"

Aku menyeru, daftarkan diri sebagai peserta untuk Tamsas yang akan dilaksankan sedikit masa lagi.

Akhir bicara penuh emosi ini, sekalung maaf ku hulur andai tulisan ini telalu tajam. Menyusuk kalbu bagai hunusan pedang tajam. Aku sengaja mahu itu berlaku. Bukan semata untuk kalian, tatpi bekal untuk diri sendiri. Andai esok, lusa, aku mengulangi tingkah kalian, hunuskan aku dengan pedangku ini!

[KITA masih terlalu jauh teman untuk bergelar pejuang, seruan batu sapi yang hampir itupun masih gagal kita sahut..jangan sesekali rasa berlepas tangan dengan kiriman RM yang sudah kita lunaskan..malulah kita pada mereka yang bercakap dan berjuang..]





Monday, November 1, 2010

Nota Cinta Khas Buatmu

Salam Palestine

Entry ini khas buat anak-anak didik White Bridge yang sedang berperang dengan masa, menghitung hari untuk berjuang dalam medan akademik. Berbaki 21 hari sebelum SPM tiba. Waktu yang kalian nanti-nantikan selama 2 tahun ini. Mengguna pakai segala teori, formula, hafalan, dan fakta yang sedang kalian usaha dengan gigih untuk lekatkan di minda.

Jauh di sudut hati, persediaan kalian menghadapi suatu ujian bernama SPM bukanlah sesuatu yang cikgu gusar-gusarkan sangat. Cikgu berkeyakinan, dengan usaha yang ada, berkat doa bersungguh dari keluarga tercinta dan restu para guru yang menghalalkan segala ilmu yang dicurah, kalian sudah punya segenap senjata untuk turun ke medan peperiksaan itu.

Lebih merisaukan cikgu sebenarnya, keadaan kalian selepas bebas daripada gelaran pelajar. Tiada sudah pakaian dan lencana sekolah yang membataskan tingkah kalian. Kalian bakal bebas tanpa jeling pandang seorang guru serta didikan daripada disiplin dan peraturan sekolah. Pada tika dan waktu itu, hanya bergantung pada pantauan keluarga dan diri sendiri untuk mencorak arah hidup seterusnya. Mahu melakarnya indah bagai pelangi atau suram kelam bagai malam tanpa purnama. Cikgu mahu kalian tahu, keindahan itu hanya akan diperolehi apabila kalian tetap teguh pada ikatan dan peraturan hidup yang bersyariat. Menjadikan Islam sebagai cara hidup. Masa inilah segala ilmu dalam mata pelajaran pendidikan Islam harus dimaksimakan penggunaannya.

Awasi cara hidup dan semak tingkah laku kalian. Titik beratkan soal solat yang merupakan tiang kepada agama. Jangan cuai melaksanakannya. Ini perisai kalian dari terus jauh tersasar daripada batas agama. Tidak berat pun setakat mahu melaksanakan solat 5 waktu sehari semalam. Bahkan kalian akan merasakan satu kepuasan yang tidak terhingga tatkala mampu menjaganya sebaik mungkin. Tidak percaya, lakukannya!

Pesanan cikgu yang kedua..khusus buat puteri-puteri yang cikgu sayangi. Ramai yang memandang sebelah mata soal penutupan aurat. Tidak kisah dan tidak punya rasa berdosa pun mendedahkan apa yang sepatutnya tertutup rapi. Walhal, arahan menutup aurat itu WAJIB dan harus dengan sempurna. Bukan bertudung tetapi memakai baju dan berseluar ketat. Apatah lagi jika tudung langsung tiada. Ini sahih lagi benar, menempah tiket untuk di azab Allah andai tidak bertaubat. Fahamilah, bahawa kita diperintahkan menutup aurat dengan baik dan sempurna tidak lain dan tidak bukan hanya untuk menjaga maruah kita yang mahal nilainya. Kiasan mudah, benda yang bernilai seperti emas dan berlian, jika dijual di kedai atau di pamerkan pasti akan disimpan di tempat yang rapi. Berkaca dan berkunci. Boleh dipandang, tetapi tidak untuk disentuh sesuka hati. Hanya yang layak sahaja mampu memilikinya. Jangan jatuhkan maruah anda dengan "perasan cantik" apabila mendedahkan diri tanpa tudung atau dengan baju dan seluar ketat sekerat. Cermin diri sebelum keluar rumah..jangan guna cermin nafsu tetapi cermin iman..pasti langkah kalian penuh kelembutan dan sopan santun..sesuai sebagai muslimah solehah!

Nota terakhir cikgu buat kalian dalam ruang yang terbatas ini..tentang CINTA. Sepatah kata yang sangat besar maknanya pada kalian bukan? Cinta itu mengubah cuka jadi anggur, mengubah sedih jadi riang, mengubah amarah jadi ramah, mengubah musibah jadi muhibbah [petikan puisi dalam filem Ketika Cinta Bertasbih]. Ini hebatnya cinta. Namun, meyedihkan, kalian banyak hanyut dalam mainan cinta fitnah. Cinta yang kalian dasarkan hanya pada nafsu dan berpandukan bisikan syaitan semata. Bercinta dengan bebas berpimpinan tangan, keluar berdua-duaan, meluah kata cinta dengan panggilan yang menggelikan telinga. Semua ini tidak halal lagi untuk bebas dilakukan. Perhatikan dengan mata hati yang suci pasangan kalian. Kalau benar dia seorang yang baik dan layak dijadikan pendamping hidup, dia tidak akan membawa kalian hanyut bersama dalam noda dan dosa. Dia tidak akan sanggup merosakan dan menghilangkan maruah kalian. Cinta bukan tiket untuk bebas melakukan dosa. Bukan!

Pesanan dan peringatan ini, masih sangat sedikit buat bekal kalian menghadapi hidup yang sangat mencabar selepas ini. Selebihnya, hanya doa mampu cikgu titipkan untuk kalian terus berada dalam landasan iman dan syariat yang benar. Andai sebelum ini kalian sudah pernah tersasar atau sedang berada dalam belenggu noda dan dosa, jangan ragu untuk kembali ke pangkal jalan. Pintu taubat terbuka luas. Jangan terus siksa diri dalam azab dosa dan noda. Tinggalkan kisah silam yang pahit itu sebagai kenangan. Jangan diulang dan terus diulang.

Akhir bicara, perkemaskan persiapan akhir menghadapi SPM. Berusahalah semaksimanya. Jangan lupa banyakan munajat pada Allah Rabbul Jalil. Usaha tiada gunanya andai Dia tidak redhai dan berkati. Kejayaan bukan datang dari usaha zahir kita, kejayaan itu anugerah dari Dia yang Maha Memberi. Maka, mahu dianugerahkan kejayaan itu, berusahalah kemudiaan bertawakkallah.

InsyaAllah..semoga kejayaan dunia dan akhirat mengiringi kalian.

Salam sayang,

~Insan yang kalian panggil cikgu~