Zahir kasih

Salam Ramadhan

Punya ruang dan kekuatan untuk menulis malam ini. Hamdan wa syukran Lillah. Saya agak terkesan dengan program siang tadi. Walau sangat ringkas dengan hanya memakan masa tidak sampai 2 jam. Lawatan mesra DMPKT di bawah kelolaan Lujnah Kebajikan dengan kerjasama Nisa' Kawasan ke Hospital Besar Tawau. Meriah dengan dihadiri Ketua DMPNS, barisan kepimpinan DMPKT yang berkelapangan serta adik-adik Nisa' dan Mahasiswi yang sudah menerima sentuhan qalbu daripada Ketua Lujnah Tarbiyyah DMPKT beberapa minggu lepas.

Ada beberapa perkara yang mencuit nurani saya. Satunya dengan perasaan terharu bercambur syukur yang dalam. Program ini dikelolakan dengan sedaya dan sesungguhnya oleh sahabat yang saya kasihi kerana Allah. Teman dari kecil saya. Semua pernah saya zahirkan padanya. Sayang, kasih, marah dan pernah suatu ketika mungkin benci. Apatah lagi saat dia benar-benar membuat saya terpempan dan terkesima tanpa kata ketika dia merubah tingkahnya dalam jalan dakwah ini. Jalan dakwah yang saya dan dia sama-sama rentasi berteman sebuah hidayah. Saat dia diuji dengan sebuah "keistiqomahan" dan dia menguji saya dengan sebuah kesabaran, saya sentiasa membisik diri, dia akan kembali. Apatah lagi diberikan rezeki bertemu pendamping hidup yang juga aktivis dakwah. Keyakinan itu membulat walau adakalanya saya diserang ragu yang berpanjangan. Ternyata perkiraan saya tidak salah, dia kembali mendakap perjuangan yang sudah bermukim di kamar hatinya. Saya merumuskan program hari ini mengasah kembali komitmen sahabiah yang sudah beralih ke alam berlainan dari saya, alam rumahtangga. Satu yang saya pelajari sebagai seorang yang punya sedikit autoriti menyusun dan menyelenggara "sumber manusia" perjuangan ini, bijaklah dalam meletak posisi ahli. Biar kena dengan kemampuan agar mereka nampak laluan menjayakan amanah dengan cemerlang.

Saya yang sememangnya tidak "mesra" hospital, menahan ngilu seluruh badan beralih dari satu katil ke satu katil mengiring barisan pimpinan DMPKT yang ramah menyantuni pesakit. Saya terkesan lagi. Betapa saya semakin gagal mengasah kemahiran interpersonal saya. Mulut berat terkunci. Kata tidak terlafaz. Hanya senyuman yang terukir dan salam yang mampu dihulur. Sudahnya, saya menjadi jurukamera tanpa tauliah. Aduh..saya mencubit hati sendiri, mengaku da'ie tapi mulut berat macam ada batu. Saya perlu kaunselor untuk masalah ini!

Akhir bicara tanpa arah ini, jangan pernah berhenti mengharap, nama terus terpahat pada kanvas perjuangan ini. Jangan sesekali mendabik dada jika masih kekal bersama, esok dan mendatang masih rahsia di sisiNya. Andai terlihat teman menyepi, jangan menyisih, terus kirim doa dia segera beralih kembali. Bukti zahir kasih kita pada sebuah ukhuwwah sejati. ^_^

Comments

Popular posts from this blog

Zon Selesa

Kisah Kita

Pendam