Mereka Anugerah

Salam Palestine

Hari ini hari terakhir untuk 2011. Setahun berlalu lagi. Rumusan untuk tahun ini seakan mirip tahun-tahun sebelumnya. Tiada peristiwa yang istimewa tiada juga yang mengesan di sukma. Semua biasa dan seperti biasa.

Cuma saja semalam, saya berjaya juga memenuhi hasrat hati yang lama saya simpan. Bertemu dan bersua secara santai dengan sahabat seperjuangan sedari alam sekolah lagi. Walau masa agak terbatas dan tidak banyak yang kami bualkan. Saya masih puas kerana kami masih seperti dahulu. Pertemuan yang lebih banyak di isi dengan tawa mesra. Istimewanya persahabatan kami, atmosferanya sentiasa ceria.

Saya juga tidak mengerti, sejak akhir-akhir ini saya sangat merindui saat manis kami menyulam persahabatan terutama di alam persekolahan. Saya selalu terkenang, kami berjalan meronda keliling bandar, singgah menyejukan tekak dengan ABC yang memang terkenal di daerah ini. Adakalanya masak memasak bersama dan berkongsi cerita hingga lewat malam. Kami kongsi segalanya tanpa rahsia dan penuh kejujuran.

Saya belajar semalam, kenangan manis ibarat vitamin kehidupan. Membantu kita mendepani saat mendatang dengan kekuatan sampingan. Beberapa bulan kebelakangan ini, saya berhdapan dengan sesuatu yang berat saya rasakan.

Namun semalam saya mampu melupakan segalanya seketika. Saya mampu mengukir senyuman manis. Mampu tertawa tanpa pura-pura. Walau mungkin saya seorang sahaja yang berperasaan begini. Walau saja bagi mereka pertemuan ini sangat-sangat biasa. Tidak mengapa. Saya memang mengatur pertemuan ini untuk saya. Untuk memenuhi keperluan batin saya. Saya tidak punya kekuatan untuk memula bicara. Meluah rasa hati yang tersimpan dan membarah di jiwa di hadapan mereka. Saya sering gagal melakukan itu. Hingga ramai beranggapan saya seorang yang cekal dan tabah. Walhal saya sedar diri. Saya sering tewas dan kerap berteman airmata. Saya punya keinginan yang besar berkongsi cerita tetapi saya akur, saya bukan jenis begitu. Takdir sikap saya. Kerana itu saya mengatur pertemuan semalam. Saya perlu vitamin bantu menyegarkan perasaan saya yang semakin layu.

Konklusi untuk cerita peribadi ini, ukirlah hari-hari yang kita lalui semanis mungkin. Pahatkannya di hati yang dalam sebagai kenangan indah. Saat berdepan dengan sesuatu yang berat, imbaunya kembali untuk menenangkan rawan hati. Kenangan ini bukan sahaja bersama teman sahabat tetapi juga dengan keluarga tersayang atau kerjaya yang dipilih. Cuma perlu diingat, manis dan indah itu hanya akan dimiliki andai ianya benar dan patuh syariat sepenuhnya. Ini yang saya dan teman seperjuangan senantiasa usahakan. Semalam pun, usai makan-makan, mereka menyentak saya yang tidak terfikir pun, kami perlu hadir ke program jemaah. Alhamdulillah...mereka ini memang teman ke syurga. Walau sekadar senyuman tanda terima kasih atas ingatan pada intima' saya yang sering culas, nurani saya bertahmid penuh kesyukuran. Mereka anugerah!

Di hari terkahir 2011 ini, bersama suram hati yang tidak mampu disirnakan, saya berusaha menanam azam. Bukan saya seorang di timpa ujian. Bahkan ramai yang lebih perit dan terkesan. Saya perlu depani dengan segunung ketabahan. Saya akan terus bertahan. Berusaha bersama mereka teman saya yang sentiasa ingat perlunya untuk terus berjuang. Saya akan! 2012...bismillah..



Comments

Popular posts from this blog

Zon Selesa

Kisah Kita

Pendam