Saturday, October 22, 2011

Terasing

Salam Palestine

Hujan sedang renyai membasahi Kg. Pasir Putih dan sekitarnya. Alhamdulillah..sejuk sikit petang ini. Kebiasaannya agak sukar kekal di bilik yang pasti dipanah mentari petang. Kipas siling usang yang sudah lama berbakti ini tidak mampu menyisih peluh yang membasahi tubuh. Jarang dapat duduk seharian di rumah tanpa sebarang tuntutan tugasan. Menyemak semula mesej-mesej yang masuk ke kedua-dua telefon bimbit murahku, sahih, tiada sebarang agenda yang perlu di hadiri. Bonda tercinta pantas memaklumkan, minta menghantarnya ke kenduri aqiqah keluarga. Aku akur kerana tidak punya alasan untuk menolak. Emak yang sememangnya sangat maklum aktiviti rutinku tidak akan meminta jika melihat aku terkejar masa. Rumah ibarat hotel singgahan. Balik untuk menyegarkan diri sahaja, kemudian pantas meluru keluar lagi. Sokongan emak penguat aku terus memotivasikan diri untuk memastikan diri melangkah di jalan juang yang masih panjang ini. Justeru, aku berusaha, semua keperluan emak aku tunaikan sebaik mungkin. [aduh..macam promo diri anak solehah pula kan ^_^]

Ruang yang ada ini akan saya manfaatkan dengan sedikit cacatan pengalaman peribadi saya. Saya biasa di terjah dengan penyataan dan pertanyaan sebegini :

"Tak sihat ka?nampak pucat je..pakai lah lipstik. Baru nampak berseri sikit."

"Laa..kenapa pakai baju warna macam ni..suram lah..pakai lah warna-warna yang terang sikit. Biar nampak ceria. Ini orang nak tengok pun tak da perasaan"

Bukan sekali dua singgah di telinga. Juga bukan dari orang yang sama. Orang yang berbeza tetapi intipatinya serupa.

Pernah juga saya termenung sendirian. Mengambil masa memuhasabah semula penilaian mereka. Hati mana tidak terdetik, di pertikai penampilan diri. Syukur saya jenis yang dianugerahkan dengan sikap positif. Tidak terus dengan lemas dengan rasa menghina diri. Sebab saya telah belajar, sifat mulia ialah rendah hati bukan rendah diri. Dua kata yang seakan sama, namun sebenarnya berbeza. Kerap saya berseleloroh kembali, menjawab dan membalas penilaian mereka;

"Mana boleh cantik-cantik sangat, kasihan bakal suami saya nanti, kecantikan isterinya di nikmati oleh orang lain"

Dengan iringan senyuman dari saya, mereka balas dengan cebikan. Saya kira saya menang dalam peperangan psikologi ini. Benar kan?

Ringkasnya apa yang ingin saya kongsikan, apa jua yang kita lakukan, asas utamanya adalah ilmu dan kefahaman. Harus dimaklumi sebaiknya, penilai hakiki kita adalah Sang Pencipta. Mahu dapat markah sempurna, patuhi syariatnya secara sempurna. Dalam konteks dunia kini semakin jauh daripada syariatullah, kita wajar punya hati yang tegar. Biarlah manusia berkata sesuatu yang kurang indah di pendengaran kita, asal saja hati kita tenang kerana berjaya membatasi tingkah dari mencalar redha Ilahi.

Dan hendaklah kamu tetap di rumah kamu, dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang jahiliah.” [Al-Ahzab (33):33]

Monday, October 17, 2011

Langkah pertama

Salam Palestine

Catatan ini sedikit terlewat. Seharusnya ruang masa petang yang senggang semalam saya manfaatkan sebaiknya. Kondisi kesihatan fizikal saya kurang mengizinkan. Saya semakin akur, stamina saya berada pada tahap yang membimbangkan. Semakin memanggil "Bukit Cina" yang biasa saya daki hujung tahun lepas. Saya perlu bertegas dengan pengurusan masa. Kalau tidak terpaksa berkudrat warga emas.

Hingga hari ini saya masih senang hati. Riang dengan berakhirnya kuliah pertama APSA. Ruang yang menjadi platform membugar tarbiyyah muslimat. Semangat kami barisan pengelola membara dengan sambutan akhir yang di luar jangkauan. Seketika saya merenung, mampu kah kami yang sekadar 5 orang ini merealisasikan aspirasi besar DMPNS terutamanya Ketua Muslimat kami. Melihat kecekalan Pengarah APSA Cawangan Sabah yang sedang sarat mengandungkan anak keduanya, saya menjadi segan sendiri. Alhamdulillah..usaha murni ini dimudahkan laluannya. Bantuan dan sokongan turun padang APSA Pusat yang sanggup menerbangkan 2 orang stafnya jauh merentas Laut Cina Selatan sangat membantu. Lebih manis, ukhuwwah terjalin erat. Bagai kasih kami sudah lama bertaut. Bila aqidah dasar ukhuwwahnya, bertemu tidak jemu, berpisah tidak gelisah.

Satu yang lebih membahagiakan saya adalah semangat yang di tonjolkan oleh barisan naqibah pelatih. Kesungguhan meraih ilmu. Walau ada yang sudah bergelar nenek. Usia yang tidak mematikan semangat. Bahkan perlu dijadikan ikhtibar oleh yang masih muda. Seperkara lagi, pemerhatian saya pada kuliah pertama ini, pemurnian fikrah para amilat berjaya dikemaskan. Sentuhan pengisian penuh kualiti daripada Timbalan Pengarah APSA Pusat berjaya memberi satu momentum yang cukup baik di kalangan naqibah pelatih. Semua akur, perjuangan ini tidak sekadar berpaksikan pada siasah. Jangan hanyut dengan label yang diberikan oleh mereka yang berada di luar gelanggang. Tunjang utama jemaah ini adalah tarbiyyah.

Perjalanan baru bermula. Pastinya selepas ini lebih sukar dan mencabar. Namun tidak sesekali akan memadamkan semangat kami yang sudah membara. Kami mahu terus utuh pada saf perjuangan ini. Bukan sekadar menjadi ahli haraki tetapi penuh dengan ilmu dan berjiwa sufi. Ini impian kami! Doakan semua ^_

^

Thursday, October 6, 2011

Mengaharap tanpa lelah

Salam Palestine

Berukir senyuman membaca laman muka buku hari ini. Bukan kerana penangan cinta muka buku yang sering di ulang nyanyi anak buahku atau anak-anak jiranku. Tetapi saat membaca khabar hijrah beberapa orang artis. Beralih dari kelam cahaya dunia glamour mereka kepada sebuah kehidupan bersuluh nur hidayah. Lebih membahagiakan, hijrah mereka di tambah nilai dengan terjun ke tengah masyarakat. Berkongsi nikmat bahagia yang sedang mereka kecapi kini. Indahnya bersama Islam.

Tidak dinafikan, dunia glamour yang menjadi teman kehidupan mereka selama ini memberi kelebihan kepada pesona dakwah. Mereka tidak perlu mengenalkan diri kerana umum sudah mengenali mereka. Kisah silam mereka yang hitam diputihkan dengan sejuk mata memandang penampilan dan wajah baru mereka.. Alhamdulillah.

Disebalik ini, pastinya yang lebih mencabar adalah untuk kekal dan istiqamah. Tiada siapa dapat menafikan payahnya menjaga istiqamah. Nabi SAW sendiri beruban dengan ayat Al-Quran daripada Surah Hud yang mencerita perihal istiqamah. Ini jugalah rasa yang sering membeban jiwa. Risau diri terutamanya. Sejauh mana langkah ini mampu terus melangkah. Melangkah pada jalan yang lurus dan benar.

Kerisauan berganda saat menatap wajah anak-anak didik yang punya keinginan dan sudah memasuki daerah perubahan. Daripada tidak bertudung, kini berusaha untuk menjaga aurat. Daripada sekadar bertududung kini berusaha sentiasa bertudung litup. Daripada membiar solat tidak terjaga kini berusaha solat tanpa culas. Tidak punya kudrat yang ampuh untuk terus memerhatikan mereka betul dalam segenap tindakan. Benar dalam setiap pemikiran. Hingga sering berbisik, jagalah diri semoga itu menjadi asbab mereka terjaga.

Sesungguhnya hidup adalah perjuangan. Rehat seketika hanya saat menutup mata di buai lena. Sebelum menanti rehat selamanya ketika roh meninggalkan jasad. Bukankah sifat orang mukmin itu tidak pernah kenyang dengan kebaikan. Rehat yang sebenarnya saat dia sudah sedar yang dia sedang berada di dalam syurga. Semoga dia adalah diriku. Mengharap tanpa lelah!

Pelangi Indah

  P agi ini seperti kelmarin. Hujan gerimis membasahi bumi. Mentari seakan malu keluar menyinar alam. Kabus tebal masih kelihatan di puncak ...