Jangan pernah berubah

Salam Palestine

Petang yang tidak membahang. Hujan baru berhenti. Dedaun pohon mangga yang menghijau di belakang rumah kakak saya masih bersisa titisan hujan. Cuaca petang ini memang sangat kondusif untuk membelai mata. Saya sengaja tidak melayan pujukan mata yang layu ini. Sengaja tidak menyubur tabiat tidur petang. Risau malamnya saya menjadi "kelawar". Penyakit yang sering saya deritai.

Saya mengambil ruang yang ada mengisi bicara sufi. Saya masih terkesan dengan apa yang berlaku dalam kelas Tasawwur Islam bersama pelajar tingkatan 4. pagi tadi. Subjek bukan opsyen yang perlu saya galas amanahnya. Saya yakin, pemilihan saya menjadi tenaga pengajar kerana zahir dan identiti saya yang seperti seorang ustazah. Walau saya sedar dan telah pun memaklumkan mereka yang memilih saya, saya akan usaha melakukan yang terbaik. Belajar sambil mengajar. Dan secara peribadinya, subjek ini menjadi subjek kegemaran saya. Ruang rasmi saya berkongsi keindahan Islam dengan mereka si anak didik yang tidak melihat dan seolah melupakan perlunya mereka berbangga bergelar muslim.

Seperti pagi tadi. Bahkan hari-hari sebelum ini. Situasinya masih sama. Saya masih ingat, sebulan lalu, saat yang bertentang mata kali pertama dengan 13 pelajar yang mengambil subjek ini, soalan pertama saya; siapa yang pagi tadi solat subuh. Semuanya senyap membisu. Tiada tangan di angkat dan tiada surah mengaku. Saya bertanya sekali lagi, siapa yang TIDAK solat subuh pagi tadi. Ada respon dan maklum balas. Beberapa pelajar mengangkat tangan, ada yang tunduk dan diam. Isyarat yang saya fahami. 13 anak-anak berusia 16 tahun ini tidak solat. Bukan sahaja solat subuh tetapi kelima-lima waktu yang difardhukan.

Saya meraup muka. Saya menggeleng kepala. Saya marah sebenarnya. Cuma saya menyabarkan diri. Tetapi hari ini saya tidak mampu lagi bersabar. Saya perlu bersuara tegas. Lebih tegas daripada hari pertama saya bertanya soalan tentang solat ini. Amarah saya bertambah dengan kesalahan-kesalahan biasa yang dilakukan oleh pelajar. Tidak siap nota, tidak siap latihan, tidak bawa buku nota dan tertinggal buku teks. Semua bergabung dalam suatu pagi yang hening.

Hampir lima belas minit saya "membebel". Walau saya sedar 15 minit ini akan tersia begitu sahaja. Apa yang saya bebelkan belum pasti meresap di hati mereka. Mereka sudah sangat lali dengan method tarbiyyah sebegini. Masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Itu boleh saya lihat dengan jelas dari riak wajah mereka. Saya menenangkan rasa amarah yang membuak, dengan istighfar panjang. Duduk seminit dengan muka cemberut. Melepaskan keluhan berat, saya minta mereka membuka buku nota dan menyambung isi pelajaran minggu lepas. Pagi itu, saya mengajar dengan kaedah sehala. Hanya saya yang bersuara. Yang lain masih belum berani membuka bicara. Apatah lagi melihat kening saya yang bercantum dan suara saya yang tinggi. Mereka hanya patuh menerima arahan. Kalau saja saya suruh mereka menyalin semua tulisan di dalam buku teks itu, mereka akan akur.

Masuk tahunan keenam berada di alam perguruan. Menjadi arkitek manusia. Situasi sebegini berulang saban tahun. Masalah mereka, pelajar-pelajar ini juga sama. Tidak menjadi manusia yang patuh syariat atas banyak sebab. Antara yang ketara, kesan "kes-kes ibu bapa derhaka". Anak-anak turut menjadi penderhaka. Bukan sekadar kepada ibu dan bapa tetapi kepada . agama.

Saya masih mengurut dahi. Memikir strategi yang paling praktikal. Bukan bagaimana mahu memastikan 13 orang yang menjadi amanah saya ini mendapat gred A dalam SPM pada tahun hadapan, tetapi bagaimana mahu memastikan, daripada tidak ada yang solat kepada sedar dan memahami tuntutan solat ini wajib dan bukan perkara yang boleh diremehkan. Saya sedang berfikir sambil berbisik di kamar hati. Mengharap nur Ilahi akan menyuluh gelap hitam hati mereka. Semoga mereka menikmati..indahnya hidup bersandar syariat. Semoga juga saya tidak berputus asa. Terus bertahan untuk memberi..

Comments

Popular posts from this blog

Zon Selesa

Kisah Kita

Pendam