Jihad Cinta 4 [Kisah 2 Sahabat]

Sementara menanti kedatangan Dinah, Zati mengambil ruang membersihkan rumahnya. Walaupun bukan tugasnya mengikut jadual yang dia dan ahli rumahnya telah tetapkan, namun dia tidak kisah bertolak ansur. Memandangkan hanya dia seorang sahaja di rumah ketika itu. Tidak wajar terlalu berkira apatah lagi manfaatnya kembali kepada dirinya juga. Hatinya juga yang akan senang tatkala melihat keadaan rumah yang bersih dan teratur. Mampu menghilangkan kusut minda lebih-lebih lagi minggu getir saat semua tengah kelam kabut untuk menghantar tugasan masing-masing. Seakan sudah menjadi budaya mahasiswa, hanya mahu terkejar-kejar menyiapkannya apabila tarikh penghantaran sudah dekat. Dia kurang gemar begitu. Baginya itu hanya akan mengurangkan kualiti tugasan mereka.


Sambil menyapu ruang tamu rumahnya, Zati bermonolog sendiri. Cuba meneka-neka tujuan kedatangan Dinah. Apa perkara yang ingin diberitakannya. Pasti serius kerana dia sanggup datang ke kolejnya sedangkan boleh sahaja mereka berbincang melalui telefon ataupun berkomunikasi di alam maya. Tidak kisah apa jua alasannya, hati Zati berbunga ceria sebenarnya. Zati tidak pernah bosan bertemu dengan Dinah. Sahabat baiknya sepanjang dia berada di kampus pendidikan itu. Insan pertama yang menyapa dan sudi berkawan dengannya. Anak rantauan dari tanah di seberang Laut China Selatan yang kurang ramah memulakan perbualan. Hubungan Zati dan Dinah sentiasa harmoni. Subur dengan kasih sayang. Kalau ada yang berkecil hati pun, tidak pernah dibiarkan berlanjutan. Paling lama pun tiga hari. Mereka sentiasa akur dengan kaedah hablumminannas yang dianjurkan Rasulullah menerusi Hadis Sahihnya.


“Tidak halal bagi seorang muslim meninggalkan (tidak bertegur sapa kerana pergaduhan) dengan saudaranya melebihi 3 hari.”


Masing-masing berusaha menjaga ikatan persahabatan yang mereka bina. Yang bersalah pantas memohon maaf, yang teraniaya tidak degil menghulur kemaafan. Tidak menebar keaiban sahabat dengan orang lain. Tetapi berusaha membaiki mana yang silap. Menegur mana yang salah. Mereka memahami bahawa orang mukmin itu adalah cermin bagi saudaranya. Setiap orang pasti memiliki kecacatan dan kekurangan, namun ramai yang tidak menyedari aibnya itu. Justeru sahabatlah yang akan menunjukan aib itu dan membantu memperbaiki serta menyisihnya. Syarat untuk mampu memainkan peranan sebagai sahabat sebegini adalah mencintai sahabatnya kerana Allah, tulus dalam persahabatan, lembut dalam pergaulan, bijak dalam memberikan nasihat dan memperbaiki kelemahan.


Memandangkan keduanya mempunyai kecenderungan yang sama. Berikrar mahu jadi kader dakwah. Walau tanpa ikatan keluarga, mereka menyimpul persahabatan mereka dengan tali akidah kerana itulah ikatan yang paling kuat secara mutlaq. Mereka meyakini bahawa orang-orang yang hidup di bawah naungan cinta dan ukhuwwah kerana Allah merasakan kebahagiaan dan ketenangan jiwa yang tidak akan pernah dirasakan oleh orang-orang yang berkumpul atas urusan dunia semata.

Sedang asyik Zati menyudahkan sapuan lantainya sambil mindanya ligat merenung persahabatan indahnya dengan Dinah, seseorang mencuit pinggangnya dari belakang.


“Astaghfirullah..Ya Allah..” Zati melatah dan hampir membaling penyapu ditanganya.


Dinah tidak dapat menahan ketawanya. Lucu melihat aksi Zati.


“Isk..makcik ni. Terkejut lah orang. Masuk dah lah tak da salam. Kalau ana lemah jantung, anti boleh disabit bersalah menyebakan kematian ana dengan sengaja tau.” Zati membeliakkan matanya memandang Dinah yang masih asyik tertawa.


“Sapa suruh tak kunci pintu, ni mujur ana yang masuk. Kalau orang jahat.. haa..lagi parah.” Dinah mengenakan Zati pula. Kesan kelalaiannya mengunci pintu.


“Err tak terkunci ke..hehehe..ana lupa lah tu.” Zati mengakui kesilapannya sambil menyudahkan sapuan sampah yang tinggal sedikit lagi.


“Ana dah beli makanan ni. Kita makan kat sini je ye.” Dinah mengajak Zati sambil membuka dan menghidang lauk pauk yang dibelinya. Dua bungkus nasi putih, dua potong ikan pari masak asam pedas dan sebungkus sayur kubis campur serta sambal belacan. Dinah juga sudah sedia membeli dua bungkus teh ais.


Selesai membasuh tangan, Zati menuju ke meja makan. Dinah sudah bersedia di meja dan hanya menanti Zati.


“Waa..banyaknya lauk. Mimpi apa ni datang bawa rezeki untuk ana ni? Beli kat mana ni?” Bertubi-tubi soalan Zati.


“Amboi banyaknya soalan. Dah jom makan dulu. Sat lagi ana jawab soalan bertali arus anti tu. Bismillahirrahmanirrahim..Allahumma bariklana fiima razaqtana wakina azabannar. Amin. Jom makan..” Dinah yang sememangnya tengah lapar siap membaca doa untuk memohon keberkatan hidangan tengah hari mereka.


“Amin ya rabbal alamin..okey jom-jom.Lapar sangat dah anti ni. Kalau di tahan lagi, ana pulak anti makan nanti.” Zati mengaminkan doa makan yang dibaca oleh Dinah sambil sempat berlucu.


Mereka menikmati hidangan tengahari dengan penuh berselera. Dinah sememangnya lapar kerana tidak bersarapan pagi tadi. Melayan rasa malas turun ke kafetaria. Kebetulan pula di rumah mereka roti dan biskut juga turut habis. Dia hanya membancuh secawan Radix buat memberi tenaga untuk menghadiri usrah anjuran Biro Kerohanian kolej kediamannya. Sejurus usrah selesai, segera dia ke kafetaria yang berhampiran dengan bilik mesyuarat kolej tempat mereka mengadakan usrah. Dia mahu membungkus nasi dan lauk pauk untuk di bawa ke kolej Zati dan menjamu selera bersama teman akrabnya itu. Dari semalam dia memang bercadang mahu berjumpa dengan Zati. Ada perkara yang hendak dibincangkan. Mahu meminta pandangannya sebagai seorang sahabat.


“Sedapnya lauk yang anti beli ni. Ana memang lapar ni, pagi tadi makan roti je.” Zati memecah kekhusyukan mereka menikmati hidangan.


“Tengah lapar kan, bagi apa pun sedap. Bagus lagi anti, ada juga menjamah roti. Ana minum secawan radix je tau. Tak ada apa kat rumah. Barang dah habis. Semalam masa kita keluar discuss tu ana lupa nak beli.” Dinah bercerita kisahnya pagi tadi.


“Anti tak jawab lagi soalan ana yang banyak tadi. Perut dah kenyang ni confirm dah leh jawab kan?” Zati mengingatkan soalan-soalannya pada Dinah.


“Eh lupa pulak..makanan yang sedap ni ana beli kat kafetaria KAB. Ana datang bawa rezeki ni sebab semalam ana mimpi dipinang putera raja yang soleh lagi rupawan. Jadi ana datanglah ke sini, meraikannya dengan anti sahabat sejati ana.” Dinah masih menyembunyikan hasrat kedatangannya. Menjawab dengan memberikan jawapan jenaka.


“Waa..hebatnya anti, bakal puteri lah ni erk? Princess Dinah dah nak jadi macam Princess Diana dah ni. Jangan nak melawak lah makcik. Terus terang aje lah. Macam baru kenal semalam. Ana dah masak dengan perangai anti, 3 tahun dah kita berkawan kan. Dah..terus terang cepat.” Zati sudah kenal benar dengan perangai Dinah. Biasanya kalau berperangai tiba-tiba macam ni pastinya punya sesuatu hajat.


Dinah hanya tersengih. Ternyata Zati sahabat yang memahami. Kerektor Zati yang rasional, penyayang dan mengambil berat menjadikannya senang menjalin persahabatan. Walau asalnya mereka saling tidak mengenali. Apatah lagi, Zati anak Sabahan yang berbeza budaya dengannya. Dialek mereka juga tidak sama. Kalau masing-masing menggunakan loghat negeri ibarat ayam bercakap dengan itik. Hanya bunyi riuh yang kedengaran. Tapi kini dia sudah mampu mengajuk Zati menggunakan bahasa Sabah. Perkataan yang paling ringan di bibirnya, ok bah kalau kau. Zati juga sama. Sudah mampu menutur beberapa perkataan loghat Kelantan. Kesan rajin makan budu agaknya. Cuma acapkali Dinah mengajuk, seperti orang Siam bunyinya.


“Anti ceritalah, sengih-sengih sorang.” Zati yang dari tadi sibuk membasuh pinggan bersuara mematikan lamunan Dinah.


“Eh dah habis basuh..terima kasih ye..basuhkan pinggan ana.” Dinah masih belum menjawab soalan Zati.


“Ni macam perli ana je ni, tak ucap terima kasih lagi belanja ana lunch yang marvelous ni.” Zati yang rasa terperli mengerling Dinah.


Dinah hanya ketawa manis. Menutup mulut tidak mahu ketawanya meletup kuat.


“Okey..sila ceritakan dengan jelas maksud kedatangan tuan puteri.” Zati memegang tangan Dinah tanda serius mahu mendengar hajat kedatangannya.


“Tak ada benda besar pun sebenarnya. Minggu depan kita dah boleh online sekolah mana kita nak pilih untuk praktikum. Jadi ana plan kita minta sekolah yang sama. Nanti kita leh duk serumah, takde lah pening-pening nanti nak cari housemate.” Dinah berterus terang maksud kedatangannya.


“Ohh..pasal tu..apalah susah sangat nak cakap..anti ni..pelik ana.”


“Entah...tetiba pulak rasa segan nak cakap dengan anti. Kot-kot anti dah ada plan ataupun janji dengan siapa-siapa nak buat praktikum sekali.”


“Ana takda plan apa-apa lagi. Tapi idea anti tu memang bernas sangat. Okey set, nanti kita online sekali erk. Kita nak pilih sekolah mana ni?” Zati bersetuju dengan pandangan Dinah


“Ana cadang kita pilih sekolah-sekolah yang tak jauh dari kampus je. Senang kita nak jenguk kampus kalau ada apa-apa yang kita perlu rujuk dengan pensyarah pembimbing nanti. Kalau sekolah yang dekat sangat dengan kampus macam SMK Khir Johari ni, ana rasa memang kita takda peluang. Mesti dah ramai yang pilih. Kita try SMKA Slim River atau SM Teknik Slim River. Sekolah-sekolah tu pun tak jauh sangat dari sini.” Dinah meneruskan pandangannya.


“Ana ikut anti je..semangatnya nak praktikum kan. Tak sabar nak aplikasi teori-teori yang kita belajar ni.” Zati menzahirkan keterujaannya.


“Amboi..bagi setle dulu final exam ye cik adik.” Dinah membantutkan keterujaan Zati.


“Ada program ke pagi tadi?”


“Ada usrah tadi. Usrah gabungan sekali dengan muslimin. Ustaz Nazri, felo blok A pun ada. Ustaz Nazri kan nakib kami. Kalau usrah gabungan dia akan beri pengisian. Kalau usrah muslimat sahaja, Izyan Izzati, Pengerusi HELWI Biro Kerohanian Surau KAB yang akan mejadi nakibah. Dia kan bidang agama. Bakal ustazah tu. Best cara dia menyampaikan pengisian. Ala-ala Ustazah Nor Bahiyah gitu.” Dinah menceritakan perihal usrahnya.


“Ye..ana kenal Izyan tu, pernah juga jumpa dia. Masa kita buat program Hari Raya Qurban peringkat universiti tahun lepas. Ana sama tugas dengan dia, AJK Jamuan. Lemah lembut orangnya kan. Ana pagi tadi ada meeting. Bulan depan Biro Kerohanian kolej ana ni nak buat Malam Apresiasi Kesenian Islam. Banyak juga aktivitinya. Nanti anti datang ye. Ajak kawan serumah sekali. Oh ya..baru ana ingat, tadi Nabilah dan Maryam kirim salam. Anti kenal kan?” Zati pula bercerita kisahnya. Sambil menyampaikan salam yang hampir dilupainya.


“Waalaikumussalam..ingat..yang sekelas dengan kita masa Subjek TITAS tu kan. Wow..nak buat projek besar ni. Mesti Hadi ni kan pengarahnya?” Dinah menyoal dengan sengihan panjang.


“A’ah..kenapa sengih macam kera kena belacan ni. Ke anti ni peminat Hadi?” Zati kehairanan melihat Dinah yang tersengih-sengih saat nama Hadi terpacul keluar dari mulutnya.


“Bukan ana lah...tapi anti tu. Sepadan apa. Anti kan setiausahanya, nanti boleh terus merangkap setiausaha peribadi. Betul tak?” Dinah menyakat Zati yang menahan malu. Kelihatan merah pipi tembam Zati. Wajahnya yang putih cerah lagi menzahirkan kemerahan pipinya.


“Tu tengok muka anti dah merah dah tu...malu tanda mahu.” Dinah masih terus menyakat. Sambil tertawa suka melihat wajah Zati yang merona malu.


“Astaghfirullah al azim...dah lah anti ni. Isk tak baik tau mengusik ana macam ni. Ana nak studi lah. Ibu ana pesan balik bawa ijazah bukan bawa suami. Dah..dah tukar topik..bincang benda-benda lagha macam ni..kata tadi dari usrah. Ke tidur ni time usrah.” Zati mengalih topik perbualan. Tidak sanggup melayan usikan Dinah.


“Tolong sikit..ana fokus tau usrah tadi. Nak suruh ana ulang balik apa yang Ustaz Nazri sampaikan pun boleh.” Dinah mempertahankan dirinya atas serkap jarang secara gurauan dari Zati.


“Okey..haa..cuba ulang dan jelaskan kepada ana.” Zati masih tidak mahu mengalah. Gilirannya pula mengacah Dinah.


“Tadi kami bincang pasal bekalan untuk para pendakwah. Petikan daripada buku Bekalan Di Sepanjang Jalan Dakwah karangan Syeikh Mustafa Masyhur. Haa..ana nak tanya anti yang rajin membaca ni, siapakah Syeikh Mustafa Masyhur?" Dinah sempat lagi menyoal Zati yang sedang khusyuk mahu mendengar Dinah menjadi nakibah.


“Aik..sempat lagi nak menyoal ye. Syeikh Mustafa Masyhur adalah Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin yang kelima. Beliau telah menjadi Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin bermula 1996 hingga 2002 dan meninggal dunia ketika berusia 83 tahun .” Dengan spontan Zati menjawab. Dia yang memang gemar mengikuti perkembangan gerakan dakwah harakatul ummah sedunia, sudah pernah membaca biografi pengarang buku Bekalan Di Sepanjang Jalan Dakwah ini. Buku berwarna biru itu pun telah dikhatamnya.


“Tepat sekali..pandai lah anak usrah ana ni.” Dinah sempat lagi megusik Zati sambil mencuit dagu Zati.


“Dah jangan nak mengelat..buktikan segera anti tak tidur ataupun mengelamun masa usrah tadi.” Zati tidak terperangkap dengan taktik Dinah.


“Tadi kami baru masuk bab pertama dengan tajuk Di Atas Jalan Dakwah Kita Perlu Bekalan. Sebelum ni kami dah selesai membincangkan Wabak Di Sepanjang Jalan, karangan Dr. Al Syed Muhammad Noh. Sebagai mukaddimah tadi, Ustaz Nazri menerangkan peri pentingnya bekalan kepada para da’ie. Secara asasnya bekalan utama yang diperlukan itu adalah keimanan yang kuat dan ketaqwaan kepada Allah. Bantuan-bantuan lain seperti persahabatan yang baik dan pembimbing yang akan menunjukan pengalaman serta dapat mempengaruhi keupayaan dan keazaman bagi mengelakan daripada penyelewengan dan kesalahan. Menurut Ustaz lagi, pada waktu tertentu pendakwah akan diselubungi perasaan malas. Jika ianya berterusan dikhuatiri seseorang itu akan berehat dan tidak beramal atau istilah lainnya futur. Tetapi dek kerana orang mukmin saling berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran sepertimana yang dianjurkan Al-Quran, maka mereka dapat menghindarinya. Tidak segan memberitahu keburukan sahabat dan membantu menghilangkan keburukan itu dengan hikmah. Sebab tu, ana makin bersemangat nak datang jumpa anti ni. Sampaikan hajat kita nak praktikum sekali. Ana nak menghabiskan empat tahun pengajian di kampus ni dengan seorang sahabat terbaik seperti anti.” Dinah menghuraikan dapatan usrahnya sambil jujur meluah perasaanya kepada Zati.


“InsyaAllah..ana sangat berbesar hati, anti menghargai ikatan persahabatan ini. Rahmat besar bagi ana. Hmm..apa lagi yang di sampaikan..takkan dua jam usrah yang tu je ?” Zati masih mahu butir ilmu dari sesi usrah Dinah. Dalam masa yang sama hatinya turut terharu atas keikhlasan persahabatan Dinah.


“Ada lagi bah..kejap ana ingat-ingat.” Dinah mengajuk Zati yang tidak sabar-sabar dengan loghat Sabah. Suka dia melihat Zati bersemangat mahu mendengar butir bicaranya.


“Gapo dio?oyak ke sayo cepat.” Zati membalas dengan loghat Kelantan pula. Sambil tersenyum saat merasakan lidahnya bagai terbelit-belit menutur kalimah-kalimah itu. Mereka saling tertawa kelucuan.


“Iman dan taqwa yang menjadi bekal asas tadi perlu diiringkan dengan perasaan ma’iyatullah yakni merasakan diri sentiasa bersama Allah dalam setiap gerak langkah bahkan setiap detik. Elemen taqwa dan iman yang dipasak teguh dalam diri seorang da’ie akan memudahkannya menerima nur Ilahi penyuluh jalan agar dapat direntasi dengan cara bijaksana tanpa halangan-halangan yang membantutkan perjalanan. Hati dan perasaan juga perlu diteguhkan terutamanya ketika mendapat ancaman dan terpaksa berhadapan dengan musuh-musuh Allah. Bekal terakhir yang sempat ana rakam dalam memori ana ni adalah elemen ilmu. Ilmu ini tidak memadai dengan pembacaan sahaja tetapi mestilah mampu meningkatkan ketaqwaan dan keikhlasan kepada Allah agar Allah melimpahkan nur dan taufiq daripadaNya. Pokok pangkalnya, kekuatan dan bekalan yang kita perlukan sepanjang meniti jalan dakwah ini adalah datangnya daripada Allah S.W.T. Sebab itu kita sering dipinta untuk memohon rahmat dan kemudahan daripada Allah.” Panjang lebar huraian Dinah. Menggambarkan daya ingatannya yang kuat. Juga membuktikan kepada Zati yang dia fokus sepenuhnya pada usrah tadi.


Zati mengangguk tanda faham. Dia pula menambah isi.


“Teringat ana firman Allah dalam surah Al-Kahfi ayat 10 yang bermaksud”


...wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan kami.


“Benar Ustazah Zati, ayat itulah juga yang dibaca oleh Ustaz Nazri semasa menutup sesi usrah kami.” Dinah mengiyakan isi tambahan Zati.


Dinah memang gemar memanggil Zati Ustazah walaupun hakikatnya Zati bakal Cikgu Sains sama sepertinya juga. Zati pula kerap memanggil Dinah makcik terutama saat geram dengan tingkah Dinah yang suka mengusik. Keakraban persahabatan mereka tidak ubah perisis dua beradik kembar. Serasi dalam apa jua tindakan. Sefikrah dalam memberi pandangan dan sehati sejiwa dalam bab perasaan. Bezanya pada paras rupa sahaja. Dinah bermata sepet, kurus, bertubuh kecil dan berkulit sawo matang. Zati pula bermata besar, pipi yang tembam dan berkulit putih cerah. Badannya tidak kurus dan tidak juga berisi. Sedap mata memandang.


Azan Zuhur bergema mematikan perbualan hangat dan ilmiah mereka. Hampir dua jam mereka duduk menghabiskan masa bersama di meja makan itu. Tidak sedar masa pantas bergerak. Namun mereka tidak pun berada di dalam kerugian, kerana usai mengisi makanan jasmani dengan hidangan menyelerakan yang di bawah oleh Dinah, mereka menyambung pula memberi tenaga kepada rohani mereka. Inilah keindahan apabila bersahabat dengan insan yang menjadikan Islam sebagai pengamalan. Bukan sekadar pada nama sahaja. Waktu sentiasa dimanfaatkan dengan sesuatu yang bernilai ibadah di sisi Pencipta.


“Siapa lambat siap wudhuk dia jadi imam!” Zati bergegas ke bilik air. Meninggalkan Dinah yang masih duduk di meja makan. Dia sengaja mahu mengenakan Dinah. Apabila mereka solat berjemaah, memang Dinah yang akan di utamakannya menjadi Imam. Selain Dinah tua tiga hari daripada Zati, Dinah juga merupakan pelajar lepasan sekolah agama tersohor di Malaysia. Maahad Muhammadi Perempuan, Kota Bharu. Zati yang sekadar bersekolah harian biasa sedikit rasa rendah diri. Lagipun memang menjadi prosedur, melantik imam yang bagus bacaan Al-Qurannya. Dinah menang dari aspek ini.


“Tuan rumah lah imam..ada pulak tetamu di suruh jadi imam.” Dinah bersuara tanda protes. Sedikit tinggi nadanya. Saja mahu mendengarkan Zati yang sudah pun berada di bilik air.


“Ana bilal je lah erk..sapa suruh lambat gerak. Dah..cepat..ana tunggu dalam bilik.” Zati mengarahkan Dinah yang sudah sedia menanti di depan pintu bilik air.


Zati siap membentangkan dua sejadah dan menyediakan telekung serta kain untuk Dinah. Telekung itu memang kerap digunakan Dinah tatkala dia datang menjenguk Zati. Zati mengalunkan iqamat seruan buat mereka menunaikan solat Zuhur berjemaah.


Hati Zati tersentuh saat Dinah mengalunkan doa Rabitah dengan penuh khusyuk usai berzikir ringkas.


“Ya Allah Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihiMu, bertemu untuk mematuhi perintahMu, bersatu memikul beban dakwahMu, hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariatMu, maka eratkanlah Ya Allah akan ikatannya. Kekalkanlah kemesraan antara hati-hati ini akan jalanMu yang sebenar. Penuhkan hati ini dengan cahaya RabbaniMu yang tidak kunjung malap. Lapangkan hati-hati ini dengan limpahan iman dan keindahan tawakkal kepadaMu. Hidup suburkan hati-hati ini dengan ma’rifat tentangMu. Jika engkau mentaqdirkan mati, matikanlah hati-hati ini sebagai para syuhada dalam perjuangan agamaMu. Engkaulah sebaik-baik sandaran dan penolong. Ya Allah perkenankanlah permintaan ini. Amin Ya Rabbal Alamin.”


Zati mengaminkan dengan penuh khusyuk dan segunung pengharapan doa mereka diperkenankan oleh Sang Pencipta. Doa yang dialunkan Dinah meresap jauh ke nuraninya. Tidak dapat ditahan air mata terharu dianugerahkan sahabat seperti Dinah. Dia memeluk Dinah erat hari itu. Lebih erat berbanding hari-hari sebelumnya.


“Terima kasih memilih ana sebagai sahabat.” Dalam esakan tangisan kesyahduan, Zati membisik kalimah penghargaan itu di telinga Dinah.


“Ana pun sama. Semoga ikatan ukhuwwah kerana Allah ini, terus kita suburkan, mekar di jambangan taman hati kita.” Dinah mengusap lembut belakang Zati. Kelopak mata sepetnya mula digenangi airmata.


“Aduh..syahdu pulak kita hari ni erk.” Dinah melipat kain telekung sambil mengesat airmatanya yang sudah mula tumpah.


“Antilah tu..baca doa sayu sangat. Kan dah tumpah airmata mahal ana ni.” Zati berseloroh sambil turut mengesat airmatanya yang sedari tadi mengalir deras.


Dinah tersenyum melihat telatah Zati. Kelihatan comel dengan gaya sebegitu.


“Ana nak beransur dah ni. Kalau lewat sangat, takut tak da bas pula nak ke KAB nanti.” Dinah memohon untuk permisi.


“Iyelah..jom turun sama. Ana hantar sampai pondok bas.” Zati yang sudah siap menyarung jubah coklat dan tudung labuhnya sedang mengenakan stoking kaki. Walaupun jarak pondok bas dan rumahnya tidak sampai 50 meter, dia tetap menjaga auratnya. Dia sudah biasa begitu dan rasa lebih terjaga maruahnya.


Mereka berjalan beriringan bersama. Menjadi kelaziman Zati untuk menghantar Dinah ke pondok bas setiap kali Dinah menziarahinya. Bagi Zati itu cara dia menzahirkan penghargaan susah payah Dinah turun naik bas melawatnya. Apatah lagi hari ini, mereka menghabiskan masa bersama dengan begitu berkualiti. Bahkan Zati dapat makan percuma lagi. Rezeki yang datang berlipat kali ganda. Kalau ikutkan hatinya, mahu sahaja dia menghantar Dinah sampai depan pintu rumah, bukti berbesar hati atas pengorbanan Dinah sanggup datang ke kolejnya. Walhal boleh saja Dinah sekadar menghubungi melalui telefon, tetapi itulah sikap Dinah, sangat menghormati nilai persahabatan mereka. Zati banyak belajar daripada Dinah kemahiran komunikasi interpersonal. Kelemahan utamanya. Zati bukan seorang yang tidak ramah. Cuma dia kurang mesra dan kekok untuk memulakan perbualan. Di tambah pula, loghat Sabahnya yang agak pekat sedikit sebanyak mengganggu komunikasinya. Sekarang ini, sejak kerap berteman Dinah, dia sudah mula ringan bertutur dalam bahasa semenanjung, cakap KL menurut Dinah. Walaupun Dinah anak kelahiran Kelantan, tetapi apabila berkomunikasi dengan Zati dia tidak membiasakan loghat negerinya. Satu memudahkan Zati memahami apa yang mahu disampaikan, selain itu dia mahu membiasakan Zati dengan bahasa sememanjung. Zati sebenarnya seorang yang banyak bicara. Dia mampu sahaja berceloteh panjang hingga menjadikan temannya sekadar pendengar semata.


Sepanjang dalam perjalanan ke KAB yang memakan masa 15 minit itu, minda Dinah masih merakam jelas saat-saat syahdu dia dengan Zati sebentar tadi. Zati memang murah airmata. Berjiwa lembut dan sangat mudah memaafkan. Tarikan utama Dinah gemar bersahabat dengan Zati adalah kerana kecenderungannya dalam bidang agama. Gigih mahu mendalami dan memahami syariat. Menjadikan alasan tidak berlatar belakangkan agama sebagai mangkin untuk dia lebih serius dan bekerja keras menambah ilmu. Katanya dia perlu sebanyak mungkin ilmu buat bekal merubah masyarakatnya di kampung yang masih hidup dalam kepompong kejahilan. Jauh di sudut hati Dinah, dia mengagumi ketabahan jiwa sahabatnya itu. Zati dalam diam mengajarnya menjadi manusia yang rintang pada ujian. Teringat dia sepotong hadis Rasulullah


“Sahabat yang salih itu ibarat penjual minyak wangi, bila engkau tidak mendapat minyak wangi darinya, maka engkau akan mendapat bau harumnya. Dan sahabat yang jahat itu ibarat tukang besi, bila engkau tidak terkena percikan apinya, maka engkau akan terkena asapnya.”


Dinah mengimbas kembali detik perkenalan pertamanya dengan Zati. Masih segar di memorinya walau sudah tiga tahun berlalu. Pertemuan mereka bermula semasa kelas Kimia Asas. Waktu itu mereka baru berada dalam semester pertama. Itulah kelas pertama yang mereka hadiri setelah melapor diri menjadi warga UPSI. Institusi yang melahirkan pendidik ke serata negara. Kelas Kimia Asas masa itu dikendalikan oleh Dr Ramli. Seorang pensyarah yang penuh pengalaman. Bertubuh rendah dan lembut tutur bicaranya. Penerangannya juga jelas dan berfakta. Gambaran ketinggian ilmunya. Dr. Ramli meminta mereka mencari pasangan untuk kelas amali yang bakal diadakan nanti. Kebetulan masa itu, Dinah duduk bersebelahan Zati. Semasa orang lain sibuk mencari teman amali, Zati sekadar diam membatukan diri. Kelihatan wajahnya yang sedikit keresahan. Dinah pula tidak risau mencari pasangan. Dalam kelas itu ada beberapa orang kenalannya semasa matrikulasi dahulu. Dengan lembut Dinah menyapa Zati.


“Awak tak ada pasangan lagi ke?” Dinah memulakan bicara.


“Tiada lagi. Saya tiada kenalan di kelas ni. Awak dah ada pasangan?” Zati menjawab pertanyaan Dinah.


“Saya Dinah Dalila Binti Zainal. Awak nak berpasangan dengan saya? Boleh, saya tak ada teman lagi ni.” Dinah menghulur salam persahabatan. Terasa dingin tangan Zati. Kesan dua jam duduk di bilik berhawa dingin itu. Apatah lagi, tempat duduk Zati tepat di bawah penghawa dingin.


“Alhamdulillah..lega hati saya.. Saya memang risau ni sebab tiada yang saya kenal dalam kelas ni.” Zati berterus terang.


“Awak asal dari mana? Sabah erk?” Dinah memulakan sesi ta’ruf mereka. Meneka asal Zati berdasarkan loghatnya. Baku bunyinya.


“Iya..saya dari Sabah. Daerah Tawau. Pernah sampai Sabah?” Zati menjawab dengan senang.


“Tak pernah lagi..InsyaAllah, teringin nak naik Gunung Kinabalu.” Dinah sempat menyatakan hasratnya yang memang gemar aktiviti lasak dan mencabar. Walaupun salam perkenalan baru dihulur, seakan mereka sudah biasa bersua sebelum ini.


“Saya pun tidak pernah sampai sana lagi tu. Jauh dari tempat saya. Mahu juga dalam 10 jam kalau naik bas. Tapi kawan-kawan saya yang sudah naik cakap best tu di sana. Kawasannya sejuk saja. Awak asal dari mana?” Zati pula bertanya.


“Saya asal Kota Bharu, Kelantan. Nanti saya bawa awak jalan-jalan ke rumah saya.” Dinah semakin ramah. Dia tidak kekok langsung dengan Zati. Walhal baru dikenalinya beberapa waktu. Terasa ada tautan hati antara dia dengan Zati. Dia juga tidak tahu mengapa perasaan itu hadir. Cuma yang pasti, dia senang dengan Zati. Tampak ketulusan hati melalui raut wajahnya yang mulus.


“Waa..bestnya. Saya memang teringin nak pergi Kelantan. Ada senior sekolah saya belajar di Pondok Pasir Tumbuh. Islamik kan negeri awak tu. Teringin mahu jumpa Menteri Besar awak.” Zati semakin rancak bersembang. Dia pula menyatakan hasrat yang di pendam.


“Alhamdulillah..Kelantan kan terkenal dengan jolokan Serambi Mekah. Boleh je nak jumpa Tok Guru Nik Aziz, setiap Jumaat ada kuliah di Medan Ilmu di bandar Kota Bharu. Sambil tuntut ilmu, awak boleh membeli belah. Ada banyak gerai yang di buka. Kenapa nak teringin nak jumpa Tok Guru?”


“Saya suka dengan Tok Guru sebab saya ada baca tentang kesederhanaannya. Walaupun dia seorang ketua negeri tetapi gaya hidupnya macam orang biasa. Kemudian penerapan nilai Islam dalam pemerintahan pun berjaya dilaksanakan. Setidaknya ini membuka mata pemimpin dan masyarakat yang agak fobia dengan Islam dan keindahannya.”


“Pandai awak menyusun kata. Nanti awak ajar saya cakap Sabah ye..” Dinah memuji Zati yang terpikat dengan tutur kata Zati yang teratur.


“Ok bah kalau kau..haa..ini perkataan pertama awak ya.” Zati memenuhi permintaan Dinah dengan segera. Sebaris ayat yang ringkas, diringi dengan senyuman manis.


“Ok bah kalau kau...senang je ni. Maksudnya ok je kalau awak..macam tu kan? Ok bah kalau kau..ok bah kalau kau..” Dinah mengulang-ulang ayat yang baru di kuasainya.


Zati hanya tertawa melihat Dinah. Hilang resah yang menyelubungi dirinya.
Sejak menjejakan kaki ke kampus pendidikan ulung tanah air itu, hanya satu yang bermain di benaknya..siapalah yang akan menjadi temannya sepanjang dia meraih ilmu di sini.


“Dinah..nak patah balik ke KUO ke?” Hanum jiran rumah Dinah mencuit bahu Dinah sambil menegurnya tatkala melihat Dinah masih asyik duduk memerhati luar tingkap dengan pandangan kosong.


“Eh sampai dah..tak perasaan pulak.” Dinah terkejut dan melemparkan senyuman kepada Hanum. Betul-betul dia tidak sedar. Mujur dia tidak diangkut kembali ke KUO.


“Ni mengelamun ingat pakwe lah ni. Sampai tak sedar dah sampai.” Hanum memerli Dinah saat mereka beriringan balik ke rumah masing-masing.


“Bukan pakwe..tapi makwe” Spontan Dinah menjawab.


“Haa..?” Spontan juga reaksi Hanum.


“Eh takda lah. Gurau je lah..buat apa kat KUO?” Dinah berbasa basi dengan Hanum. Mengalihkan gurauan spontannya sebentar tadi.


“Biasalah dah sampai masa hantar assignment ni kan..barulah sibuk nak discuss.” Selamba Hanum menjawab.


Dinah hanya tertawa kecil. Dia pun lebih kurang juga. Bezanya dia awal sedikit berbanding Hanum. Itupun sebab Zati mendesak untuk mereka memulakan perbincangan. Zati memang seorang yang sangat mengambil berat soal akademik. Datang ke kuliah tepat pada masanya. Jangan sesekali mengajaknya untuk ponteng. Pasti akan dihadiahkan dengan bebelan yang mampu memekakan telinga. Boleh saja keluar semua teori-teori pelajar cemerlang yang dihadam daripada buku-buku motivasi yang dibacanya. Satu karektor Zati yang Dinah kagumi, rajin membaca. Sebulan sebuah buku sudah pasti untuk Zati. Dia pula, setahun mujur kalau ada sebuah. Kesan kekurangan membaca, Dinah kerap bertanya Zati sesuatu pandangan dan dia sangat yakin merujuk dengan Zati kerana Zati akan memberikannya informasi yang berfakta. Zati tidak pernah lokek berkongsi apa yang di bacanya. Zati bagaikan perpustakaan bergeraknya.


*****************************************************************************************

bersambung lagi..^_^

Comments

Popular posts from this blog

Zon Selesa

Kisah Kita

Pendam