Jihad Cinta 5 [Ingatan untuk Si Adik]

Zati ralit menyiapkan senarai tetamu VIP untuk program besar Biro Kerohanian kolejnya. Dia bercadang mengemelkan saja senarai itu kepada Hadi dan AJK yang berkaitan. Memanfaatkan teknologi yang dicipta untuk memudahkan urusan manusia.


“Assalamualaikum..kak Zati..” kedengaran suara mengetuk pintu sambil melaung nama Zati.


“Waalaikumussalam..kejap..” Zati menjawab salam. Kebetulan biliknya berada paling hadapan. Berdekatan dengan pintu masuk rumah mereka. Jadi dia dapat mendengar dengan jelas andai ada yang memberi salam mahupun mengetuk pintu rumah.


“Maaf kak, Sarah terlupa bawa kunci.” Sarah memohon maaf kesan kecuaiannya terpaksa mengganggu Zati.


“Patutlah akak tengok kunci Sarah tergantung dekat rak kunci. Syukur akak dah ada kat rumah. Kalau tak berlalat Sarah menunggu kat luar. Dah setle kerja kumpulan?” sambil beriringan masuk ke dalam bilik, Zati menyoal Sarah tanda ambil berat.


Zati memang kerap bertanya perihal pelajaran Sarah. Memandangkan mereka daripada bidang yang sama iaitu Pendidikan Sains dengan major Kimia, Zati sememangnya banyak memberi tunjuk ajar. Apatah lagi Zati pemegang senarai dekan selama 2 tahun berturut-turut. Sejak dua semester kebelakangan ini sahaja dia gagal menempatkan diri dalam senarai dekan. Tetapi keputusannya masih pada tahap membanggakan. Semester akhir ini dan praktikum nanti, dia masih punya peluang mengulang kejayaan manisnya. Zati sendiri tidak mahu mengambil kisah sangat hal itu. Prinsipnya dalam soal akademik ialah berusaha sehabis baik. Fokus semasa kuliah, menyudahkan tugasan dengan sebaik mungkin dan menghormati pensyarah. Dia akan memastikan semua elemen ini dijaga sebaik mungkin. Selebihnya dia serahkan kepada Allah. Kalau kejayaan yang diraih, anugerah yang wajar disyukuri. Andai kegagalan yang menghampiri, bukan masanya untuk diratapi. Tiada alasan untuk berduka cita setelah dia melaksanakan haknya sebagai hamba iaitu berusaha. Hak menganugerahkan natijah pula milik Yang Maha Kuasa. Anggap saja itu bukan kegagalan tetapi kejayaan yang masih tertunda.


“Alhamdulillah..dah kak. Mujur ada bahan kat library..jurnal berkaitan pun banyak juga. Senang sikit nak buat refferrence.” Sarah menjawab pertanyaan Zati sambil berbaring melepaskan lelahnya.


“Akak sibuk ke? Buat apa tu?” Sarah yang melihat Zati khusyuk mengadap laptop bertanya ingin tahu.


“Alhamdulillah..siap dah. Buat kerja Biro Kerohanian.” Zati mematikan laptopnya. Dia ingin berehat-rehat seketika sambil menunggu waktu Asar.


“Kak..Sarah nak tanya sikit boleh?” Sarah yang melihat Zati sudah selesai dengan kerja-kerjanya mengambil peluang mahu bersembang-sembang petang.


“Nak tanya apa? tanya lah..jangan tanya bila akak nak kahwin dah le. Calon pun takda lagi ni.” Zati sempat berlucu sebelum menjawab pertanyaan Sarah. Dia pula berbaring di katilnya.


“Macam mana akak boleh seimbangkan kecemerlangan akademik dengan kerja-kerja Biro Kerohanian ni?” Sarah memulakan soalan terbit dari rasa kagumnya pada Zati. Biasa di lihatnya, pelajar yang cemerlang ini jelas ulat buku dan kurang gemar berorganisasi. Berbeza benar dengan Zati.


“Hendak kata cemerlang tu tak sesuai lagi rasanya Sarah. Ada dua semeter lagi perlu akak buktikan.” Zati merendah diri. Frasa cemerlang yang diguna Sarah seakan belum layak untuknya. Gelaran cemerlang itu hanya mampu dinilai saat dia berada di majlis graduasi dan di anugerahkan ijazah kelas pertama. Saat itu baru dia tidak malu dengan jolokan cemerlang.


“Kira cemerlang lah buat masa ini kak..share lah dengan Sarah kak..nak tahu juga.” Sarah mendesak Zati berkongsi tips dan pengalaman.


“Prinsip akak mudah saja akademik nombor satu, dakwah bukan yang kedua.” Ringkas jawapan Zati.


“Sarah biasa dengar ayat ni, tapi cuba akak huraikan sikit.”


“Pertama sekali kena memahami apa tuntutan dakwah dalam kehidupan kita. Macam akak, memang dah pasang azam, mahu jadi bukan sekadar muslim, tetapi berusaha menjadi da’ie. Sebenarnya Sarah, akak ni dibesarkan dalam keluarga dan lingkungan masyarakat yang tidak memahami syariat Islam. Solat ditinggal tanpa rasa bersalah. Puasa sekadar menahan lapar dan dahaga. Haji jadi kebanggaan semata. Belum lagi segala macam adat yang lebih hampir kepada khurafat daripada patuh syariat. Semua ini menjadikan akak banyak berfikir sendiri. Mencari apa makna muslim sebenar.” Zati mula membuka cerita. Posisinya juga sudah berubah. Dia duduk bersimpuh di atas katilnya. Biar lontaran vokalnya jelas sampai ke telinga Sarah yang juga sudah mula duduk bersandar di kepala katil, tanda mahu fokus sepenuhnya pada penjelasan Zati.


“Macam mana akak boleh berubah jadi macam sekarang ni? Kalau orang tak tahu cerita akak ni, mesti orang ingat akak ni daripada lepasan sekolah agama dan dibesarkan dalam keluarga yang beragama. Akak lebih kelihatan macam ustazah daripada ustazah-ustazah yang ada.”


Zati sekadar tersenyum sahaja. Sarah menyatakan pandangannya jujur sambil sempat berjenaka. Zati sudah biasa mendengar jolokan itu. Di panggil ustazah walhal dia bakal cikgu Sains. Jolokan berdasarkan pemakaiannya. Selesa dengan tudung labuh dan berjubah. Sentiasa dia mengingatkan diri, memberi nilai tambah pada ilmu dan amalan. Biar jolokan orang itu selari dengan realitinya. Lebih utama, nilaian Sang Penilai Mutlaq adalah lebih baik dan tinggi daripada apa yang dinilai oleh manusia. Itu jauh lebih penting.


“Alhamdulillah..hidayah itu tidak mengenal siapa pun. Hadir tanpa memilih anak ustaz atau anak artis, anak orang kaya atau anak orang miskin. Hidayah itu melewati semua hati. Cuma bezanya, hati mana yang mahu menadah dan menerima suluhan hidayah dan hati mana yang menutup rapat pintunya hingga menghalang sinar hidayah menyisih pekat hitam hati dari noda dan dosa. Akak mula melibatkan diri dengan gerakan dakwah semasa di sekolah lagi. Melalui Persatuan Pelajar Islam inilah akak belajar bertanzim secara tersusun dan teratur. Kami ditarbiyyah dalam usrah. Merangka dan merencana program untuk pelajar-pelajar lain dan rakan yang sebaya agar mereka melihat keindahan Islam. Mulanya, keluarga menentang sebab risaukan pelajaran akak terganggu. Tapi akak mampu membuktikan kepada mereka bahawa keterlibatan akak inilah yang menjadi motivasi untuk akak menjadi pelajar cemerlang. Tatkala akak merasa nikmatnya hidup bertunjangkan syariat, akak semakin optimis untuk berusaha iltizam dalam gerakan dakwah ini. Akak merasa terpanggil untuk berkongsi kenikmatan ini. Soal status akak sebagai pelajar tidak menjadi penghalang. Akak sudah buktikan semasa akak di zaman sekolah dahulu, kenapa pula akak tidak mampu buktikannya sekali lagi di zaman universiti ini. Bahkan akak rasakan lagi mudah. Dengan sistem pembelajaran berbentuk kuliah, peperiksaan berbentuk semester dan punya bantuan markah dari assigntmen, kita sendiri bebas mengatur masa kita. Semuanya lagi memudahkan untuk akak terus komited dengan usaha dakwah tanpa perlu mengabaikan akademik.”


“Tapi kan kak, kenapa ada yang saya lihat aktif dengan organisasi, kesibukan menyebabkan mereka memperolehi keputusan yang tidak memberangsangkan. Bukankah mereka ini telah mengorbankan akademik dengan alasan untuk dakwah.?” Sarah mula mengemukakan soalan-soalan kritis.


“Tidak di nafikan, perkara ini berlaku. Cuma akak suka melihat sesuatu dari kaca mata positif. Bukan akak bersetuju dengan perkara ini, tidak! Positif di sini maksudnya akak menjadikannya sebagai sempadan. Jangan mengulangi keadaan yang hanya menambahkan fitnah kepada dakwah. Justeru akak akan sentiasa berusaha memastikan akademik akak tidak menjadi yang kedua. Tetapi harus bergerak seiring. Misalnya apabila banyak kerja dakwah yang perlu dilakukan, jangan korbankan masa untuk akademik. Sebaliknya korbankan masa-masa rehat kita. Seperti masa berbual kosong, masa melayari internet yang tidak mendatangkan faedah ataupun masa tidur kita yang begitu dijaga agar jangan terkurang.


“Hmm..kena jadi orang yang kuatlah kan kak.” Sarah menyatakan persepsinya dengan nada yang berat.


“Jalan ke syurga di penuhi dengan kesulitan. Ujian pasti akan datang. Bahkan dalam pelbagai rupa bentuk. Ada dalam bentuk pujukan dan kesenangan. Dianugerahkan dengan nikmat yang melimpah ruah. Misalnya dalam keadaan kita sebagai penuntut, sentiasa diberikan kecemerlangan dalam akademik. Tiap semester dean list. Tidak mustahil dengan nikmat itu, akan membenih kecintaan kepada kejayaan melebihi usaha dakwahnya. Sehingga merasakan perlu berhenti daripada dakwah kerana sudah timbul dalam hati, khuatir dakwah akan menghilangkan manisnya mengecapi nikmat kejayaan akademik tadi. Ada pula ujian berbentuk tekanan, ancaman, penyiksaan dan kesakitan. Diugut dengan pelbagai ugutan yang menanamkan rasa takut. Tetapi ujian-ujian ini merupakan sunnatullah dalam kehidupan yang harus didepani oleh seorang hamba dengan persediaan dan bekalan yakni iman dan taqwa yang teguh.” Zati menjawab soalan berat dan nada risau Sarah dengan membawakan ayat 2-3 daripada Surah Al-Ankabut.


“Apakah manusia itu menyangka bahawa mereka dibiarkan begitu sahaja dengan mengatakan “kami telah beriman” sedangkan mereka belum lagi diuji. Dan sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta.”


“Adakah yang nak ugut orang buat kerja Islam dan kerja dakwah ni kak?” Sarah bertanya kehairanan.


Ternyata Sarah belum mengenali lagi sifat dakwah. Tidak menyalahkannya kerana dia sememangnya lahir dalam kalangan orang yang beragama. Ayahnya bertugas di Jabatan Agama Islam daerah Muar. Ibunya pula seorang guru KAFA. Persekitaran Sarah yang sudah islamik menjadikannya berada di zon selesa. Tidak lagi mengambil berat isu-isu yang menggangu gugat kesucian Islam. Sudah ramai orang seperti Sarah yang Zati temui. Tetapi Zati tidak pernah berputus asa untuk terus bercerita. Dengan harapan membuka minda orang seperti Sarah yang berada dalam kelompok selamat dari bahana ancaman akhlak songsang masyarakat untuk turut terlibat menyumbang sesuatu mengeluarkan masyarakat ini dari kepompong kejahilan. Sarah berpotensi untuk diajak kerana sikap ingin tahunya yang tinggi dan keterbukaanya dalam menerima pandangan dan pendapat orang lain. Menilainya menggunakan kaca mata hati yang bersih. Berdasarkan bekalan ilmu agama yang telah dipasakkan oleh orang tuanya. Misi Zati mahu menjadikan sarah lebih haraki. Dia akan berusaha menjadikan Sarah warisnya di kolej itu. Meneruskan legasi dakwah yang akan ditinggalkannya.


“Pasti saja ada dik. Ancaman itu tidak pernah berhenti sejak Junjungan Mulia, Rasulullah S.A.W membawa risalah mulia ini. Berkesinambungan ujian itu sehinggalah ke hari ini bahkan berterusan sehingga alam ini hancur dan kita semua dikembalikan kepada pemilik tunggal buana ini, Allah yang Maha Perkasa. Lebih mencabar, ancaman ini akan datang dalam pelbagai bentuk dan datang dari pelbagai sudut. Ada yang datang daripada orang Islam itu sendiri. Bahkan datang daripada orang yang sepatutnya berautoriti menjaga dan mendaulatkan Islam. Tetapi sebaliknya pula yang dilakukan. Mereka yang menentang Islam dan menakut-nakutkan umat Islam agar jangan hidup bersendikan syariat. Ancaman secara sembunyi dan terangan daripada musuh Islam jangan nak kata lah. Tidak pernah senyap bahkan terus agresif. Bezanya umat Islam itu sendiri sedar atau tidak sahaja.” Zati terus memberi pencerahan.


“Kalau ancaman musuh-musuh Islam tu macam penyebaran budaya barat yang diterima dengan terbuka oleh masyarakat Islam dan juga ancaman hedonisme yang menjadi bius kepada umat Islam terutamanya generasi muda kan kak.” Sarah pula menambah pandangan.


“Benar Sarah. Bahkan bukan itu sahaja, anutan seperti komunisme, sosialisme, liberalisme dan sekularisme yang diterima malah diguna pakai oleh umat Islam memamah kesucian Islam dari dalam. Nilai Islam yang benar dipalsukan oleh musuh Islam..hingga keindahanya diragui dan ditolak. Kita pula mengambil petunjuk daripada luar Islam untuk dicontohi. Misalnya merujuk Jepun dengan dasar pandang ke Timur. Tidak dinafikan, dasar itu baik untuk dicontohi, tetapi kenapa perlu pergi sampai ke Jepun sedangkan nilai itu ada di depan mata. Di dalam Al-quran yang saban waktu dibaca. Sedihnya hikmah keindahan yang ada pada Islam diambil oleh orang lain sedangkan hakikatnya ia milik kita, milik umat Islam” Semakin panjang hujah Zati.


“Pandangan akak, kenapa keadaan ini berlaku?”


“Mudah saja, kita sendiri tidak meyakini akan kesyumulan Islam. Al-Quran sekadar dibaca. Siap buat pertandingan lagi, sampai ke peringkat antarabangsa. Kita tidak menyatakan ini silap, tetapi alangkah baiknya, jika keseriusan kita kepada intipati dan kandungan Al-Quran untuk diterokai dan diguna pakai juga sehebat ini. Kita lebih bersikap selektif dalam mengguna pakai hukum Islam. Mana yang sesuai dengan selera kita, kita ikut. Mana yang kita rasa membantutkan keinginan hawa nafsu, kita tolak tepi. Kita lupa ajakan Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 208"


Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah ke dalam agama Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah Syaitan, sesungguhnya Syaitan memang musuh kamu yang nyata.”


“Akak semakin membuka minda saya. Banyak lagi yang saya tidak ketahui rupanya kak. Saya semakin risau pula kak dengan masa depan agama kita ni. Orang Islam seakan tidak menyedari keadaan ini. Pihak yang berwajib tidak memainkan peranan mereka yang sepatutnya. Kuasa perundangan pula tidak dimaksimakan sepenuh kuasanya menurut perundangan Islam yang pastinya adalah terbaik. Rakyat jelata pula satu hal. Tidak mahu celik ilmu agama agar mampu menjaga diri dan keluarga serta membentuk masyarakat untuk hidup dalam persekitaran yang solehah. Ya Allah kak...saya benar-benar risau. Ye lah...sebelum ni, saya dibesarkan dalam keluarga yang InsyaAllah, mementingkan agama. Adik beradik saya semuanya faham hukum hakam. Jadi saya tidak melihat pula kepincangan-kepincangan sebegini dalam masyarakat.”


“Alhamdulillah..akak bersyukur sangat kalau Sarah semakin melihat situasi perit ini.” Zati tersenyum puas dengan pengakuan Sarah. Cita-citanya menjadikan Sarah lebih cakna masalah ummah semakin menampakkan hasil.


“Macam manalah masa depan Islam kak, dengan keadaan umat Islam terus hanyut bersama pukulan ombak musuh ni?” Sarah masih menzahirkan kebimbangannya.


“Dr. Yusuf Qaradhawi ada menulis satu buku motivasi buat umat Islam yang bertajuk Petanda-Petanda Kemenangan Islam. Dalam buku itu, Dr. Qaradhawi membawakan banyak petanda yang Islam akan menang. Ada lima petanda yang dibawakan secara terperinci. Pertama adalah petanda daripada Al-Quran. Ayat yang masih akak ingat daripada surah At-Taubah ayat 32 hingga 33 yang bermaksud:


“Mereka hendak memadamkan cahaya Allah yakni Agama Islam dengan mulut mereka, sedangkan Allah tidak mengkehendakinya melainkan menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka. Dialah yang mengutuskan RasulNya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar yakni Islam untuk dimenangkanNya atas segala agama yang lain walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.”


Ada satu lagi hadis Rasulullah yang berbunyi,


“Sesungguhnya akan dibukakan untuk kamu semua bumi di timur dan barat. Sesungguhnya mereka yang berusaha memilikinya akan berada di dalam neraka kecuali mereka yang bertaqwa kepada Allah dan menjalankan amanahnya.”


“Petanda yang lain adalah daripada Sunnah An-Nabawiyyah. Seperti kisah turunnya Nabi Isa a.s dan munculnya Imam Mahdi. Selain munculnya para mujaddid yakni reformis pada setiap kurun. Kita biasa membaca kisah kehebatan figura seperti Umar Abdul Aziz, Imam Syafie dan Imam Al-Ghazali. Melalui sejarah pula, telah tersurat bahawa kemenangan akan turun saat kita amat memerlukannya. Inipun dengan syarat manusia melepaskan pergantungan daripada kekuatan di sekeliling kepada pergantungan kepada Allah sahaja. Kekuatan umat Islam tidak diukur pada nilai material atau menurut logik akal semata. Lihat saja dalam peperangan yang sangat kita ingati iaitu Ghazwah Badar Al-Kubra, dengan bilangan tentera Islam hanya seramai 313 orang dan mempunyai 2 ekor kuda berdepan dengan tentera musyrikin serama 1000 orang bala tentera dan 10 ekor kuda. Tetapi kemenangan berpihak kepada tentera Islam seperti yang telah Allah janjikan. Contoh sejarah pada zaman moden pula adalah pembebasan tanah umat Islam dari penjajah. Sehinggakan seorang sejarawan Barat seperti Bernard Louis di dalam bukunya Barat dan Timur Tengah mengakui bahawa gerakan keagamaan adalah merupakan kepimpinan di dalam peperangan pembebasan di seluruh wilayah Islam bagi menentang para penjajah hinggakan Kamal Atarturk sendiripun dipimpin oleh gerakan keagamaan tetapi malangnya pejuang Islam yang menanam benih namun golongan sekular yang memetik hasilnya. Bolehkah akak sambung lagi ni, ke Sarah dah penat mendengar?” Zati yang melihat Sarah terlopong khusyuk mendengar penjelasannya, berseleroh seketika. Mahu memeriksa samada Sarah masih berminat atau terlampau khusyuk hingga mengelamun ke tempat lain. Risau jasad sahaja di depan mata, rupanya fikiran entah ke mana.


“Sambung lagi lah kak, Sarah excited ni nak tahu. Ada dua petanda lagi akak tak cerita.” Nampaknya Sarah memang benar-benar fokus.


“Okey..seterusnya ya anak murid, petanda daripada realiti. Dr Qaradhawi tidak menafikan yang umat Islam dihinggapi oleh penyakit dan kelemahan dari sudut pemikiran dan keagamaan serta akhlak dan amalan. Namun menurut beliau lagi, realiti yang sakit ini tidak akan berterusan kerana ianya bercanggah dengan tabiat agama suci ini. Tabiat risalah Islam dan tabiat umat Islam yang tidak akan berhimpun dengan kesesatan. Akan terus wujud di kalangan umat ini golongan yang terus menegakkan perintah Allah. Dan yang terakhir adalah petanda daripada sunnah Ilahi seperti sunnah putaran kuasa dan kita sebagai umat Islam bertuah kerana sunnah pertukaran kuasa ini menyebelahi kita dan bukan bertentangan dengan kita. Inilah yang dinyatakan oleh al-Imam Hassan Al-Banna, pengasas gerakan Islam tersohor, Al-Ikhwanul Muslimin.


“Nampaknya Sarah kena lebih banyak membaca dan mengkaji kan kak.” Luah Sarah jujur dari hati.


“Benar Sarah, berdasarkan penerangan dan motivasi daripada Dr. Qaradhawi inilah akan sentiasa mengingatkan diri untuk jangan berputus asa dalam usaha dakwah ini. Lebih-lebih lagi mendapat ujian yang ada kalanya sangat melemahkan jiwa. Tetapi kita perlu terus menguatkan diri. Kita perlu sentiasa menempatkan diri di dalam saf perjuangan ini. Antaranya mengkayakan pembacaan dan pengkajian. Melaluinya kita akan membina motivasi dalaman kita sendiri. Kekuatan dalaman lebih besar pengaruhnya berbanding motivasi secara luaran.” Zati menaikan semangat Sarah.


“Paling penting jangan culas dalam berusaha. Jangan menipu diri sendiri. Kita mengatakan tidak punya masa untuk kerja-kerja dakwah, tetapi kita punya masa pula untuk kerja-kerja lagha. Masa diperuntukan sama untuk semua manusia. Kalau Sarah baca biografi tokoh-tokoh gerakan Islam, kebanyakan mereka merupakan tokoh-tokoh yang sangat cemerlang dalam bidang akademik. Misalnya Dr Abdul Aziz Rantisi tokoh gerakan HAMAS di palestine seorang doktor perubatan yang hafaz Al-Quran. Abdul Qader Awdah seorang hakim yang komited dengan gerakan Ikhwanul Muslimin segingga menghembuskan nafasnya di tali gantung kerana mempertahankan kebenaran Islam. Selebihnya Sarah kena buat kajian sendiri.” Zati terus membuka minda Sarah, sambil sempat memberi tugasan yang perlu dilakukan jika Sarah benar mahu meningkatkan pengetahuannya.


“Akak ni memang sesuai betul dengan Abang Hadi lah. Sama-sama pandai berhujah, gemar membaca dan mempunyai ilmu.” Sarah tiba-tiba mengalih topik ilmiah kepada usikan mesra. Saat Zati khusyuk mengatur hujah dan fakta, tiba-tiba terlintas di benaknya wajah Hadi, orang kuat surau kolejnya yang punya bakat basar menjadi penceramah hebat.


“Ya Allah...tetiba pulak Sarah ni. Kita tengah bincang isu ilmiah kan. Apa kena mengena pula sesuai tak sesuai dengan Hadi ni. Macam-macam lah Sarah ni.” Zati yang sedikit terkejut dengan kenyataan Sarah. Tetapi masih tetap dengan senyuman. Tidak mahu usikan itu di layan dengan respon berang. Dia sangat memahami, ianya sekadar usikan semata.


“Betul apa kak. Kalau Abang Hadi bagi kuliah maghrib kat surau tu kan, memang bestlah. Kuat ingatan dia kan. Laju je bagi fakta-fakta daripada Sirah Nabawiyyah. Siap dengan nama para sahabat dan tarikh peristiwa sekali. Isk..kagum betullah Sarah.” Sarah memuji Hadi tanpa selindung.


“Cikgu Sejarah kan..mestilah ingatan kena kuat. Dia jauh lebih hebatlah dari akak. Macam enggang dengan pipit tau.”


“Ok lah kak, enggang dengan pipit kan sama spesis..kedua-duanya daripada spesis burung. Kalau enggang dengan ikan tadi barulah tak sesuai. Satu terbang di udara, satu lagi berenang di lautan.” Sarah semakin galak mengusik Zati.


Wajah Zati merona malu lagi. Sukar dia menyembunyikannya kerana pipi putihnya tidak mampu melindungi kemerahan yang terpamer. Sarah semakin suka melihat Zati.


“Comellah kalau pipi akak kemerahan macam ni. Kak Zati, kalau malu tu tanda setuju tau. Apalagi kak, umur pun sebaya, muka akak pun ada iras-iras dia kak. Mata besar. Cuma warna kulit je sedikit berbeza. Abang Hadi gelap sikit kan kak. Tapi takpe, lelaki gelap ni nampak macho.” Sarah meneruskan misi menyakat Zati. Merehatkan seketika mindanya yang telah dipenuhi input-input ilmiah.


“Ya Allah budak ni, tak habis-habis lagi. Dah lah Sarah, kang dengar orang lain, tak pasal-pasal gosip meletup pula kat kolej ni. Jomlah siap, jap lagi nak asar ni. Kita solat kat surau erk. Petang Ahad macam ni biasanya ada bacaan Al-Ma’thurat berjemaah. Kita join sekali.” Zati berusaha menamatkan usikan Sarah. Kalau di layan Sarah ni sampai ke malam tak habis menyakatnya.

“Baiklah bos..jom! Jom kita berimamkan Abang Hadi.” Sarah sempat lagi mengusik Zati sambil bergerak ke bilik air.


Zati hanya menggelengkan kepala sahaja. Beriring senyuman mekar terukir dibibirnya. Terasa mengembang pembuluh darah terutama di wajahnya. Dia juga hairan, tatkala di sebut nama Hadi perasaannya menjadi tidak tenteram. Bisik hatinya mampu disembunyikan daripada orang lain, namun rahsia itu terbongkar dengan merah pipinya. Pantas dia beristighfar panjang. Mengekori Sarah untuk ke bilik air yang satu lagi.

***************************************************************************************************************

bersambung...

Comments

Popular posts from this blog

Zon Selesa

Kisah Kita

Pendam