Friday, December 21, 2012

Bermula dengan teori

Salam Palestine

Berjaya ke sini lagi. Menulis setelah sekian lama menyepi. Tidak mahu beralasan kerana alasannya tetap sama. Membiarkan blog tanpa sebarang entry baru sesuatu yang meresahkan pemilik-pemilik blog sebenarnya. Paling mengecewakan saat diundang rasa putus asa untuk terus menulis hingga terlintas di fikiran..tutup sahaja blog ini!

Saya belum lagi ke tahap ini kerana saya masih meyakini, saya masih punya minat untuk terus menulis. Bahkan ianya satu terapi diri. Terutama saat saya sepi dan sendiri. Seperti pernah saya alami sebelum-sebelum ini. Dan dalam keadaan saya sedang dianugerah nikmat bahagia begini, ada juga sesekali saya menjenguk kembali di sini. Membaca coretan-coretan lama. Seolah-olah baru mengenal diri sendiri. Setidaknya ada yang akan saya perolehi. Belajar dari diri!

2012 semakin ke penghujungnya. Cuti tinggal beberapa waktu. Mengisi cuti dengan percutiaan cinta juga sudah saya dan teman hidup lalui. Penuh dengan kenangan dan memori indah. Terpahat kukuh dalam kanvas hidup kami berdua. Semuanya menjadi tonik menyubur cinta kami. Akan di putar kembali saat graf cinta menurun. Iya..saya pasti itu akan berlaku dan di lakukan. Mana mungkin graf hidup ini naik dan terus naik. Hidup itukan persis putaran roda. Pasti sampai masanya ia akan berpusing ke bawah. 

Semakin menghampiri tahun baru, semakin saya teruja dibuatnya. Ada satu lagi catatan baru akan saya depani. Menanti hari itu menjadi kenyataan hanya mampu saya isi dengan doa berpanjangan. Berharap penuh kesungguhan..segalannya akan dimudahkan Sang Penguasa Alam. Menjadi tabiat saya sedari dulu, tidak berani berhadapan dengan situasi baru tanpa sebarang maklumat atau punya sesuatu sebagai bekal. Berkesempatan singgah di sebuah kedai buku murah semasa percutian saya baru-baru ini, sempat saya borong beberapa buku panduan menjadi ibu untuk saya dan menjadi bapa untuk sang suami. Saya sudah menyudahkan sebuah buku yang cukup komprehensif isi kandungannya. Sangat saya sarankan di hadam untuk bakal ibubapa juga belum terlambat untuk yang sedang bergelar ibubapa. Cuma buku ini khusus untuk mereka yang bakal atau sedang mempunyai anak perempuan :)

Menutup buku berwarna ungu itu, saya menyimpul sendiri..tidak mudah menjadi seorang perempuan apatah lagi menjadi seorang muslimah solehah. Namun menyempurnakannya akan mudah dengan hadirnya dua insan soleh dalam hidup muslimah tersebut. Ayah dan suami soleh..kalian diperlukan!


Buku berjudul Mendidik Anak Perempuan selesai disudahkan. Ada beberapa lagi menanti. Mudahan semangat membaca masih membara. Seperti saat waktu sering di asak sepi dan sendiri ;)

Saturday, November 10, 2012

Hati yang hidup

Salam Palestine

Cuti panjang yang dinanti membuka tirai. Sebelum-sebelum ini tidak ghairah meraih cuti percuma sebegini. Mungkin kondisi diri yang menuntut banyak istirehat menjadikan cuti sesuatu yang bererti. Jarang juga singgah melayari bicara sufi. Bukan kekangan masa, cuma kekangan untuk sering akses alam maya. Masih berdoa rezeki turun dari langit untuk memiliki sendiri laptop peribadi. Ramai juga seakan tidak percaya tuan punya blog tidak punya kelengakapan asas. Apakan daya, itulah realitinya. ;)

Sedar tidak sedar, berakhir sudah sesi persekolahan untuk 2012. Buku kehidupan di sekolah ditutup dengan keluhan. Tiada garis senyuman terukir. Apa tidaknya, hanya berjaya melangsai amanah kerjaya semata. Namun tewas pada diri dan pengurusan masa yang bercelaru hingga tahun 2012 berakhir tanpa satupun usrah pelajar dijalankan. Rekod paling teruk dicatatkan untuk 6 tahun perkhidmatan. Benarlah, kita akan diuji dengan apa yang kita sering takutkan. Sebelum melangkah ke alam perkahwinan, saya sering membebel sahabat-sahabat yang sangat liat untuk berkongsi ilmu dalam bulatan organisasi yang teratur ; usrah. Habis saya ungkit semua teori perjuangan yang pernah sama dihadam. 

Saya marah pada diri! Saya juga terjebak sama. Lebih memilukan, alasan kegagalan saya pasti akan disabitkan dengan alam baru saya yakni perkahwinan. Walhal sang suami yang mengisi alam ini langsung tidak pernah menyekat keterlibatan saya dalam arena dakwah bersama anak didik. Bahkan sokongan dan dokongannya sentiasa padu. Saya hanya harus mengaku...saya terlalu memanjakan diri!

Pengalaman ini menyedarkan saya, adakalanya kita terlalu kerap beralasan dan mencipta alasan untuk menutupi kesilapan sendiri hingga kita terleka dan terlupa pada tuntutan dakwah yang tidak pernah selesai. Di usia yang sudah jauh dewasa, rasanya bukan masa yang sesuai untuk terus mengulangi kesalahan yang sama. Kesilapan itu sememanganya sering disebut guru pengalaman. Namun itu andai dijadikan ikhtibar dan pedoman. Jika tidak, kita hanya membiarkan diri jatuh ke lubang yang sama berulang dan berulang kali.

Lantas, langkah pertama untuk sentiasa berada pada aras akal sedar, jangan sesekali membiarkan diri hanya hidup untuk diri dan keluarga semata. Pastikan diri terikat dan disimpul dalam rantaian ukhuwwah berjemaah. Barulah langkah tidak tersasar dari landasan sebenar. Sentiasa ada sahabat yang mengingatkan. Ada sahabat yang menyedarkan. Bukan hanyut dengan keputusan yang hanya ditimbang oleh akal sendiri. Dengan bimbingan nafsu dan emosi diri.

Sedari dulu saya memikir dengan kritis, mengapa aktivis sering pasif terutama diawal alam perkahwinan atau kerjaya. Tidak dinafikan, ruang penyesuaian diri itu perlu, saya sendiri mengakui. Namun jangan sampai kita buang semua kegiatan berjemaah kita. Paling kurang, jaga usrah. Jangan sampai tidak hadir usrah dengan rasa selamba dan tidak punya kekesalan. Kalau ini pun kita tegar melakukannya, tidak mustahil, kita akan terus hilang dari radar jemaah. Dan bila ini berlaku, tidak mustahil juga, tindakan-tindakan di luar akal akan kita ambil. Sayangnya ilmu perjuangan kita selama ini...

Saya tidak mengata siapa-siapa pun untuk tulisan ini. Saya menulis dengan niat. Mahu menyindir diri sendiri. Andai ada yang terasa, itu juga niat saya. Hati yang hidup adalah hati yang sering terasa kesilapan itu dilakukannya. Kalau tidakpun, punya rasa bimbang melakukannya. Berdoalah sentiasa dianugerahkan hati yang hidup.


Thursday, October 4, 2012

Biar tinggal kenangan

Salam Palestine

Malam yang agak lapang. Duduk dan menghabiskan masa di hadapan laptop. Puas menjelajah alam maya muka buku, saya singgah di sini. Menulis sedikit catatan isi hati yang kerap mengganggu akal fikir saya dua tiga hari ini.

Tugas saya selaku guru yang berhadapan dengan remaja 16-17 tahun membuat saya sering berfikir, betapa masa dan keadaan mampu merubah suasana dan persekitaran. Umum menyedari cabaran semasa hari ini sangat merungsingkan orang-orang dewasa yang matang fikirannya. Terutamanya ibubapa dalam membesarkan anak remaja yang lebih kerap terdedah dengan unsur-unsur negatif berbanding membina aura-aura positif dalam diri.

Mahu cari salah dan puncanya sudah berjela kertas kerja mendapatkan solusi ditulis dan dibentangkan oleh golongan cerdik pandai. Puas sudah para da'ie dan agamawan mengerah minda biar kreatif pendekatan dakwah dan tidak terus dipersalahkan dengan kejumudan dan dakwah bersifat syok sendiri. Hasilnya belum memberangsangkan bahkan makin menggusarkan.

Hingga saya terfikir, disebalik semua ini sebenarnya adalah ujian. Ujian untuk semua. Dari komuniti sekecil keluarga asas hinggalah sebuah negara. Ujian kesan gagalnya Islam dimartabatkan selayaknya. Islam sekadar agama tanpa penghayatan. Islam sekadar ilmu tanpa pengamalan. Islam tidak sebati dalam kehidupan. Diasing-asing dan dicerai-ceraikan tanpa keinsafan.

Kesilapan yang sering diulang-ulang. Kesilapan yang diwarisi oleh anak dari ibu dan bapanya. Kesilapan yang diwarisi pelajar dari gurunya. Kesilapan yang diwarisi rakyat dari pemerintahnya. Kening saya masih bercantum. Dahi saya masih berkerut. Masalah ini akan berlanjutan. Bahkan lebih hebat dugaanya terutama untuk anak-anak saya seterusnya. Tidak banyak yang boleh saya lakukan. Resolusi diri, saya berusaha tidak terus mewariskan kesilapan yang telah saya lakukan. Saya tidak dapat merubah semuanya, namun saya harus berusaha kuat merubahnya untuk diri dan keluarga terutama anak-anak saya nanti.

Kesilapan itu satu kenangan. Sejauh mana kita berusaha memadamnya dari kotak ingatan, lipatan sejarah hitam itu pasti akan terselak sesekali. Tidak kira dari saya, dia, kamu dan mereka. Hakikatnya kita pasti pernah melakukan kesilapan itu. Jika memadamnya dari kehidupan adalah sukar, berusaha lah memadamnya dari catatan dosa. Sesal dan taubat antara jalannya. Semoga dengan ini kita tidak menjadi pewaris kesilapan untuk mereka yang bakal menjadi amanah kita. Saya sedang berusaha!

Tuesday, September 18, 2012

Terima Kasih Cinta



Pagi ini suria seperti biasa
Sinarnya redup di celah jendela
Embun juga belum pergi semua
Setelah meneman bougenvilla merah

Semua seperti sediakala
Tidak berubah persis semalam yang bersisa
Cuma saja rasa jiwa
Kembang mekar lebih meriah

Bagai taman di kebun bunga
Penuh seri dan warna
Hanya indah..indah dan indah

Sudah berpurnama diusik rasa
Meniti hari bersama dia
Yang setia membelai sukma
Membenih rindu saat terpisah
Menyemai sayang tika bersua

Dia yang tidak jemu
Menuntun langah tika terjatuh
Menggenggam jemari terus beriring
Jangan tersisih di kalut dugaan
Jangan lemas d arus ujian
Mengucup lembut ubun di kepala
Sambil membisik halus ke telinga
Kalimah dan pesanan berharga
Bekal mendepani dunia penuh pancaroba
Dan terus mendamba nikmatnya jannah

Itulah dia..
Teman jiwa dan raga
Semoga kekal selamanya
Di sini dan di sana
Kerana dia terlalu istimewa

Dia itu kamu...
Suami yang memberi bahagia
Terima kasih cinta!


* Puisi terilham saat mata berat menjaga anak didik berperang dengan kertas percubaan 2 Bahasa Melayu pag tadi
* Di gazet di sini..tatapan berulang saya dan dia..semoga kasih kami terus bersemi dengan matlamat meraih redhaNya.
* Mari bercinta kerana Allah.. ^_^

Wednesday, July 11, 2012

Zahir syukur

Salam Palestine

Saya menulis lagi. Setelah agak lama menyepi. Ada juga beberapa teman yang mengikuti secara senyap dan setia bicara sufi bertanya khabar, sampai bila bicara sufi mahu terus sepi. Suami yang saban hari saya tatap wajahnya pun bertanya sedemikian rupa. Saya hanya membalas dengan jelingan manja. Saya sudah di depan mata, apa perlu lagi komunikasi bicara hati sebegini.

Hakikatnya saya juga tersangat rindu untuk menulis. Walau sedar tulisan ini sekadar menjadi koleksi simpanan peribadi semata. Diiring harapan, yang singgah membacanya perolehi sesuatu berupa natijah positif. Kehidupan baru menyukarkan sedikit untuk saya terus cergas di alam maya. Saya diserang perubahan hormon. Merubah rutin harian saya. Minat saya menghadap laptop jatuh menjunam. Baru-baru ini sahaja saya kembali normal seperti sediakala. Saya tersenyum juga, betapa kita sangat kerdil. Tiada upaya menentukan diri kita seperti yang kita hajatkan. Esok belum pasti seperti yang kita bayangkan malam ini.

Pengalaman diri ini saya muhasabah sedalamnya. Sungguh, sudah sebahagian 2012 kita lewati. Betapa saya terasa nikmat Allah hadir mencurah-curah. Satu persatu diselak peristiwa-peristiwa manis untuk saya pahat dalam memori kehidupan. Samada untuk saya peribadi, keluarga yang saya sayangi bahkan kerjaya yang menjadi sebahagian tuntutan kehidupan saya. Semua punya cerita manis dan indah.

Hingga adakalanya, saya termenung sendirian. Meraup wajah penuh kesesalan. Apa balasan saya pada kasih sayang Allah yang tidak bertepi ini. Sejauh mana saya mampu menzahirkan sebuah kesyukuran tanda terima kasih yang tidak terhingga. Saya sedar. Bukan sekadar di sini, tetapi jauh di sudut hati saya. Saya perlu terus kekal seperti dahulu. Sewaktu saya masih muda remaja. Saat saya bertemu sejalur hidayah. Hingga saya gigih berusaha. Merubah diri yang diselebungi awan kejahilan hingga berseri disinar cahaya iman. Saya masih harus seperti dahulu. Saat saya masih bujangan. Bebas ke sana dan ke sini atas urusan dakwah dan perjuangan. Walau sekadar hadir usrah dan mesyuarat yang tidak pun memerlukan saya berpanas di bawah terik mentari atau basah lencun disirami hujan.

Saya mengerti. Tidak mudah untuk masih seperti sebegini. Apatah lagi dalam kondisi saya yang sudah tidak muda remaja. Tidak punya kudrat lincah bertenaga. Saya juga bukan lagi bujangan yang bebas tanpa rantaian amanah dan tangguungjawab yang lebih besar. Namun, saya tidak punya banyak pilihan. Saya sudah melafaz baiah pada mereka sang murabbi juga pada diri. Saya harus terus berada bersama perjuangan ini. Walau apa jua keadaannya. Berpegang pada janji ini dan bertaut pada rahmatNya, saya akan terus menghantar doa pada Sang Pencipta, mudahan saya masih terus terpilih. Dan keadaan diri saya yang semakin tidak gagah dan idea saya yang sudah tidak semakin mencurah diterima penuh lapang hati oleh teman seperjuangan. Saya mohon juga, andai langkah saya terhenti tolong pimpin saya. Jangan sampai saya diam, senyap dan terus hilang. Saya tidak mahu nama saya dipadam dan terpadam dari senarai pejuang-pejuang agama ini. Saya risau penuh khuatir!

Monday, May 14, 2012

Catatan Ulang Tahun

Salam Palestine

Kerinduan sebenarnya mahu mencatat di sini. Apakan daya, sekali lagi laptop pinjaman masuk "ICU". Suami juga sudah beberapa kali bertanya, bila mahu keluar entry baru. Rupanya dia pembaca senyap bicara sufi. Terharu juga tulisan-tulisan di beri respon positif. Apatah lagi saat dia menyedari ada beberapa tulisan memang dikhususkan untuknya.

Kelmarin ulang tahun saya yang ke 29 tahun. Terasa jauh benar angka ini. Ramai yang menghantar ucapan, berkongsi gembira kerana tahun ini saya menyambutnya dengan status puan. Namun jujurnya, sambutan tahun inilah paling biasa-biasa. Saya hanya bersua suami setengah hari sahaja. Itupun saya hanya menjadi peneman suami yang khusyuk dengan buku dan laptopnya. Kebetulan, dia sedang berperang dengan persiapan akhir untuk peperiksaan semesternya. Pertemuan kami diakhiri dengan makan tengah hari bersama. Bukan pun di tempat istimewa. Sebuah warung kecil hampir 40km jauh dari bandar Tawau.

Usai mengucup tangannya, saya melambai sayu. Kembali memandu kereta kecil saya pulang ke rumah. Meninggalkannya di laman ilmunya. Saya memandu perlahan, mahu santai-santai di kereta. Sambil otak saya ligat memikir. Terutama usia saya yang semakin merangkak jauh. Tidak mampu saya nafikan, keadaan sudah tidak seperti dahulu. 29 tahun yang lalu. Saat ketaatan saya hanya pada seorang ibu. Kalau dahulu, saat saya keluar awal pagi dan balik adakalanya mentari sudah berlalu, tidak perlu saya menjelaskan panjang lebar. Ke mana dan dari mana saya. Si ibu sudah maklum, pasti saya daripada program, mesyuarat atau usrah.

Kini semuanya perlu dimaklumkan. Pada dia insan baru dalam kehidupan. Namun, sejuta kesyukuran saya panjatkan. Langkah saya ternyata masih mudah. Perkara baru, saya punya "reminder" bergerak. Dia yang akan mengingatkan aktivti yang perlu saya hadiri. Dan dalam proses penyesuaian ini, kami sentiasa mencari solusi terbaik. Formula kami, sentiasa berbincang. Jangan sesekali masalah komunikasi pencetus masalah. Samada kecil atau besar.

Belum sampai sebulan usia rumahtangga ini. Ucapan Selamat pengantin baru masih kerap singgah di telinga. Tetapi, saya kerap membisik diri, jangan manjakan perasaan. Hanyut dalam suasana bulan madu. Saya pegang kukuh pesan seorang kakak yang sudah jauh berpengalaman dengan rencah hidup sebagai seorang isteri yang turut mahu bergelar mujahidah. Katanya berulang kali :

"Amirah, jangan honeymoon lama sangat. Nanti susah nak kembali berjuang...kesannya perit"

Peringatan yang saya tanpa segan berkongsi dengan suami. Mahu dia juga turut merasa. Saling mengingatkan andai ada yang tercuai dan terlalai. Terpesona dengan pujukan cinta dunia hingga alpa manisnya cinta syurga. Justeru, walau tanpa sambutan luar biasa dan hadiah istimewa dari suami, saya tidak berdukacita. Kerana saya memang mahu membiasakan diri, hidup biasa-biasa sahaja. Memadai saling mengerti dan memahami kasih kami sudah tersimpul utuh, cinta kami sudah mekar bersemi di taman jiwa.

Saya memahamkan hati, perkahwinan adalah perkongsian. Suka duka dan derita bahagia. Jangan lokek memberi dan berlapang dada menerima. Iya, saya masih pasangan baru berkahwin. Belum selayaknya memberi komentar panjang perihal rumahtangga dan cabarannya. Saya belum diuji dan teruji. Namun, saya sengaja mengazetkannya lagi di sini. Saya mahu membacanya kembali saat saya goyah dengan getar ujian Sang Pencipta.

Kesekian kalinya, saya akan terus menitip doa, perjalanan baru di usia baru ini akan semakin cemerlang. Saya dengan segunung harapan pada Dia yang mengatur hati-hati, kekalkan aku dalam langkah juang ini.

Thursday, May 3, 2012

Bicara Pengantin

Salam Palestine

Alhamdulillah..sejuta kesyukuran dipanjatkan. Punya ruang dan kesempatan malam ini. Membuat sedikit catatan pasca majlis bertukar status. Mengisi kotak memori kehidupan. Berakhir juga majlis yang dinanti penuh debar. Terutama saat ijab dan kabul. Degup jantung sukar disembunyi getarnya. Walau diselindung dengan senyuman, masih terpamer riak di wajah, ada resah tersembunyi di kamar hati. Dengan sekali lafaz, seperkiraanku tidak sampai seminit, akhirnya sah bergelar isteri. Subhanallah..ada perasaan yang sukar dimengerti saat pertama kali tangan sang suami dikucup. Sukar ditafsir...

Perkahwinan ini baru mahu genap seminggu esok. Apa yang mampu disimpulkan, indahnya Syariatullah. Berulang kali kami, suami isteri melafaz tahmid penuh syukur. Disatukan dalam ikatan pernikahan. Menamatkan penantian hampir 2 tahun. Isi cerita kami lebih kepada muhasabah sepanjang perkenalan. 2 tahun yang penuh ujian. Terutama hati dan perasaan. Kesetiaan dan kejujuran. Melakar perhubungan yang belum halal tanpa sebarang pencemaran dosa. Berhubung dengan beradab dan berkomunikasi penuh batas. 2 tahun tanpa sebarang panggilan suara, duduk berdua, berbicara semahunya, saat mengenang semua..kami tersenyum bahagia. Syukur lagi, Allah beri kekuatan menjaga perhubungan penuh cabaran itu.

Bukan mahu mendabik dada mencerita apa yang telah dilalui, sekadar mahu berkongsi rasa terutama buat kamu si anak muda yang sedang diuji panahan asmara. Berhati-hatilah melakar cinta. Jangan diluah segalanya. Jangan diturut kata hati. Simpan saat benar-benar halal. Baru terasa kemanisan yang tiada tandingan. Melewati alam perkahwinan tanpa banyangan dosa semalam. Sabar itu perit kerana buahnya manis. Bercinta di alam perkahwinan manisnya lebih manis dari madu. Saya sedang menikmatinya. Percayalah!

Saya mengerti penuh keinsafan, langkah kami baru bermula. Dihadapan menanti ujian dan cabaran yang lebih hebat. Tiada senjata mampu kami sediakan melainkan bergantung pada ihsanNya yang mengatur isi alam, semoga setiapa ujian kami hadapi dengan sabar dan redha serta penuh syukur pada setiap anugerah. Tips berulang dari sang suami..jaga hubungan dengan Allah dan jangan angkuh untuk meminta padaNya. Saya pegang seteguhnya, saling mengingatkan asas perhubungan kami hanya mahu meraih redhaNya. Semoga doa berterusan dari kalian, kami pasangan baru berkahwin ini mampu melayar bahtera dakwah yang haraki. Amin ya Rabb..

p/s-terima kasih tidak terhingga atas kehadiran keluarga, rakan teman ke majlis kami. Tidak dilupakan doa dari kalian yang di kejauhan. Semoga ikatan hati kita semua terpaut dalam redhaNya..Semoga juga saya masih boleh terus melakar madah di sini, walau dengan status isteri ^_^


Monday, April 9, 2012

Akhirnya...[Jihad Cinta 9]

Sedang asyik mengemas laptopnya, seseorang menyapanya.



“Tak balik lagi Cikgu?”


Zati kalih mendongakan kepalanya.


“Tak balik lagi. Saya ada usrah dengan pelajar PERPIS (Persatuan Pelajar Islam) hari ni.” Ringkas Zati menjelaskan kepada Cikgu Ridhwan.


Dia agak terkejut sebenarnya, tidak pernah di sapa oleh Ridhwan yang sedikit pendiam. Lebih banyak duduk di mejanya dan membuat kerja sendiri daripada bersembang-sembang seperti cikgu lelaki yang lain.


“Hai Wan..mesra pula hari ni.” Kedengaran suara Cikgu Aziz dari belakang dengan nada mengusik.


Ridhwan hanya membalas usikan Cikgu Aziz dengan senyuman.


“Saya balik dulu Cikgu.” Ridhwan kembali menyapa Zati yang kelihatan tidak selesa kerana dia masih berdiri di tepi mejanya.


Zati hanya mengangguk tanpa kata. Juga tidak melontarkan senyuman kerana dia masih terkejut dengan sapaan Ridhwan.


“Ramah pula Ridhwan tu hari ni. Tiba-tiba menegur Zati” Kak Rahimah yang baru balik dari kantin sempat memerhatikan Ridhwan yang singgah menyapa Zati.



“Saya pun terkejut kak.”


“ Agaknya si Ridhwan tu minat dengan Zati kot. Sepadan je akak tengok korang ni. Seorang Ustazah Sains, seorang Ustaz Matematik.” Kak Rahimah menyatakan pandangannya jujur.


“Ya Allah kak..tak terfikir pun saya pasal tu.” Zati tidak terfikir langsung tentang hal yang diutarakan Kak Rahimah. Dia sendiri tidak tahu Ridhwan masih bujang.


“Kalau jodoh ni Zati, ada saja jalannya..mudah sahaja laluannya. Kadang kita pun tak menjangka rupanya orang tu lah jodoh kita.” Kak Rahimah berkongsi pengalamannya.

Zati hanya tersenyum mendengar penjelasan Kak Rahimah. Dia menerimanya sebagai pandangan daripada orang yang sudah mengalaminya. Tidak terusik langsung perasaannya.


“Okey kak, saya nak ke kantin dulu. Kejap lagi usrah dah nak mula.” Zati meminta izin untuk berlalu. Mengisi perutnya yang sudah mula berkeroncong.

*********************************************************************************


Mengisi hujung minggunya yang tiada agenda itu, Zati mengambil ruang mengarang sebuah puisi. Biasa ilhamnya mencurah saat jiwanya di serang resah. Terbit rasa bersalah di hatinya meninggalkan Hadi di YM tempoh hari dalam keadaan tergesa-gesa. Dia mengambil keputusan menghantar emel terakhir untuk Hadi.


Dia mahu mengarang madah akhir untuk Hadi. Mahu mengakhiri hubungan mereka dengan pengakhiran yang baik. Tanpa perasaan benci dan kecewa. Memberi motivasi pada dirinya dan Hadi semua yang berlaku ini perlu di depani dengan ilmu dan iman. Bukan berdasarkan rasa kecewa yang teramat dan hanya mematikan jiwa dan perasaan.


Apatah lagi tiada istilah putus asa dalam kamus hidup seorang mukmin. Pedih luluh perasaan yang sedang mereka depani ini adalah ujian dan saringan daripada Allah untuk menguji keimanan mereka. Mengukur sejauh mana kasih dan sayang mereka kepada yang lebih utama. Cinta manusia hanyalah wasilah. Cara dan kaedah untuk mencapai cinta hakiki yang menjadi ghayah. Itulah cinta kepada Sang Pencipta yang sejati dan pasti.


Assalamualaikum wtw

Terlebih dahulu ana menyusun jari buat kesekian kalinya, memohon kemaafan atas keputusan ana untuk tidak mempertahankan hubungan ini. Seperti yang telah berulang kali ana lafazkan, bukan disebabkan anta punya kekurangan di mata ana, tetapi keadaan yang tidak memihak kepada kita. Keadaan yang hanya memberikan pilihan ini untuk kita. Tanpa upaya untuk ana mahupun anta mengubah dan membetulkannya.

Warkah ini ana nukil untuk memberikan peringatan buat kita berdua agar tidak terus hanyut dengan emosi sedih dan pilu yang hanya akan dieksploitasi oleh syaitan laknatullah. Ana berdoa, kita tidak terus ralit dengan episod duka ini sehingga mengganggu konsistensi kita pada amal islami dan gerak kerja dakwah yang tuntutannya melebihi masa yang ada.

Selepas anta membaca warkah ini, padamlah ana dari ingatan dan kenangan. Jangan terus membelenggu perasaan. Teruskan kehidupan dengan doa yang bersungguh, kita masing-masing ditemukan pasangan hidup yang sepadan. Sama impian dan cita-cita mahu membina baitul dakwah yang haraki. Pasakan dalam diri, Allah gantikan kita dengan yang lebih baik. Asal perhubungan ini, nawaitunya lillahitaala, maka sewajarnya kita mengembalikannya semula kepada Allah. InsyaAllah..ana yakin, dengannya kita tidak akan hanyut dalam emosi yang hanya mematikan jiwa.

Akhirul kalam, bersama saling mendoakan, langkah kita terus beriring rahmat dan keampunanNya. Tetap istiqamah pada perjuangan yang menjadi cagaran kita memburu syurgaNya yang indah.

Ana titipkan sebuah puisi yang ana gubah buat bekal kita bersama..menyusuri hari mendatang dengan segunug ketabahan...

Di waktu ini
aku ditinggal dan tertinggal sendiri
meniti hari melakar mimpi
membina sebuah makna diri

Di waktu ini
aku berseorangan meniti senja
melewati masa di batas usia

berteman lara dan lemas rasa

Di waktu ini
adakalanya aku tewas pada sepi
mengundang rindu seribu memori
yang takkan bisa kuulangi lagi

Di waktu ini
aku bertatih memujuk kalbu
jangan lemas dilautan sendu
usah dibaja segunung rindu

Di waktu ini
aku mulakan langkah pertama
mengejar sejalur sinar cahaya
buat teman menyuluh hidayah
biar sepi dan sunyi itu punah
biar rindu dan sendu itu musnah
hingga aku terus tersenyum ceria
beroleh raja segala cinta
yang tidak akan sesekali sirna
mengharum mewangi di taman jiwa
hingga tidak ada lagi selain bahagia

yang aku rangkul erat di taman jannah

Salam kemaafan dari kejauhan..

Zati, Tawau, Sabah.


Emel yang dikirimnya kepada Hadi menjadi noktah kepada sebuah perhubungan yang tidak kesampaian. Zati bersyukur kerana dia tidak menjeruk rasa. Tidak setitis pun airmatanya tumpah zahir kecewa hatinya. Dari awal lagi, dia mendidik diri, membajawa jiwa dengan cinta manusia, antara Adam dan Hawa perlu batas yang jelas. Jangan keterlaluan kerana akhirnya tidak pasti. Simpan perasaan dan rasa kasih itu untuk yang selayaknya sahaja. Untuk yang memang ditakdirkan baginya. Justeru, kasih yang tidak terjalin ini hilang begitu sahaja. Kalau pun ada bekasnya, tidak sampai meninggalkan parut.


Kini fokus Zati pada berita yang disampaikan ibunya. Risikan Ridhwan yang tidak disangka-sangka mengganggu kedamaian hatinya. Sungguh, dia sangat terkejut Ridhwan datang menghantar wakilnya bertanyakan tentang dirinya. Zati menepuk-nepuk bantalnya, meluruskan cadar katilnya dan perlahan melabuhkan tubuhnya. Dia siap untuk beradu. Mahu lenanya menutup sementara cerita baru dalam hidupnya. Dia membisik hatinya, berazam dan berniat untuk menghidupakan sepertiga malam nanti. Dia mahu mematuhi arahan ibunya. Dia mahu meminta petunjuk daripada Allah samada Ridhwan memang yang terbaik untuk menjadi pendampingnya atau tidak. Zati akan mencari jawapan itu berpandukan petunjuk istikharahnya.


Kedinginan malam menggigit tubuhnya. Dia melihat jam di telefon bimbitnya. 3.30 pagi. Dia melawan berat matanya. Membuka seluasnya. Menyegarkan dirinya dengan basuhan air wudhuk. Dingin malam itu di lawannya dengan kehangatan semangatnya mahu menyahut seruan Ilahi pada tawaran-tawaran orang yang berjaga malam. Dia mahu raih janji Allah dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim


Allah Azzawajalla turun pada tiap-tiap malam ke langit dunia ketika tinggal satu pertiga malam yang terakhir, maka ia berfirman : “Sesiapa yang berdoa kepada Aku akan Aku perkenankan. Sesiapa yang meminta ampun kepada Aku akan Aku ampuninya”


Zati tidak lupa beristikharah. Mengharap petunjuk Allah pada berita yang dimaklumkan ibunya. Lebih-lebih lagi, lenanya semalam berteman mimpi yang sukar ditafsirnya. Dia melihat dengan jelas seorang lelaki bersalaman dengan ibunya. Terzahir ibunya sangat gembira dengan kehadiran lelaki itu. Saat dia terjaga sahaja, wajah Ridhwan yang terbayang di mindanya. Walau Zati tidak melihat wajah lelaki itu, namun kelibatnya dari belakang persis Ridhwan. Zati risau mimpinya itu hanya kesan kejutan pada berita yang disampaikan ibunya. Dia masih belum berani membuat sebarang kesimpulan. Lagi pula dia belum berinteraksi sendiri dengan Ridhwan. Dia perlu berbincang secara personal dengan Ridhwan terlebih dahulu. Dia mahu menjelaskan keadaan dirinya yang sebenar. Dia bukan muslimah biasa yang mungkin dibayangi Ridhwan. Dia punya aspirasi dakwah kesan tarbiyyah yang diterimanya selama ini. Ridhwan harus tahu dengan sejelasnya!


Assalamualaikum..boleh online YM? Tolong add saya Ridhwan_Ahmad@yahoo.com. Ada perkara saya nak bincang..Ridhwan


Zati membeliakan matanya. Dia membaca sekali lagi. Benar, dari Ridhwan. Baru sahaja insiden Ridhwan menegurnya secara tiba-tiba beberapa hari lepas melintas di benaknya. Kini sudah hadir menjelmakan diri. Walau sekadar di alam maya.


Lincah tangan Zati mengaktifkan YM. Laptop memang sudah terbuka sedari tadi. Mengisi masa cuti mendengar lagu-lagu nasyid kegemarannya.


Zati : Assalamualaikum..


Ridhwan : Waalaikumussalam..Terima kasih sudi add saya. Ada ibu beritahu kedatangan wakil saya?


Zati terdiam seketika. Tidak banyak bunga bahasa Ridhwan. Terus kepada isi tanpa mukaddimah. Mungkinkah kerana dia seorang guru matematik, yang hanya biasa bermain nombor. Tidak arif menyusun madah.


Zati : Iya..ada.


Ridhwan : Fikirkanlah dahulu semasaknya. Jangan terburu-buru membuat keputusan. Perkara ini bukan mainan, ada sangkut paut dengan kebahagian di masa akan datang. Bukan sahaja di dunia, malah di akhirat sana.


Sekali lagi Zati terdiam. Tidak di sangka Ridhwan sematang ini. Diamnya diam berisi.


Zati : InsyaAllah..pasti saya fikir sedalamnya. Cuma ingin bertanya, jujur dari hati, kenapa memilih saya?


Ridhwan : Hati saya berkata Zati calon sesuai sebagai isteri saya.


Zati : Tapi..kita belum saling mengenali. Kenapa seyakin itu?


Ridhwan : Perkenalan yang sebenar hanyalah selepas nikah. Saya tidak percaya cinta sebelum ijab dan qabul. Lebih kepada kepura-puraan dan hanya menjauhkan keberkatan. Nikah jambatan asas sebuah perhubungan. Cinta yang dilakar oleh pasangan yang bercinta ada sangkut pautnya dengan zuriat yang bakal dilahirkan. Kalau awal-awal lagi cinta suci dinodai dengan perasaan yang tidak sepatutnya, iaitu mabuk asmara sebelum halal untuk dizahirkan, bagaiman mungkin mahu mengimpikan zuriat yang soleh dan solehah seperti yang sering didoakan.


Zati : Macam mana tahu rumah saya?


Ridhwan : Itu semuanya boleh di usahakan. Anggap saja itu bukti kesungguhan saya.


Zati : Tetapi ada satu perkara yang membezakan kita.


Ridhwan : Apa dia?


Zati : Saya berterus terang..saya terlibat aktif dengan tarbiyyah dan dakwah. Sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya. Usaha tarbiyyah dan dakwah ini menjadi motivasi kepada saya untuk melakar kehidupan di pentas dunia yang sementara ini dengan sebaik mungkin. Biar tepat pada syariat, dekat dengan rahmat dan redhaNya. Saya berazam mahu menjadi da’ie yang mampu menjadi qudwah. Tidak sekadar cakap tapi tidak serupa pada pengamalannya. Seperti amaran Allah dalam surah As-Saf “amat besar kebenciaan di sisi Allah kepada orang yang berkata tetapi tidak memperbuatkannya.”. Perjuangan ini sudah saya simpul mati dalam diri saya. Saya mahu terus bersamanya hatta hingga hujung nyawa. Itu antara doa yang sering saya titip. Mengharap ihsanNya untuk terus memilih saya.


Ridhwan : Saya juga maklum akan hal itu. Saya saksikan sendiri kesungguhan Zati di sekolah. Bahkan kelainan yang Zati miliki ini berbanding dengan muslimah yang biasa saya temui menjadikan saya semakin yakin, Zati yang terbaik untuk saya. Saya akui, saya masih baru dalam hal-hal begini. Masih kurang pendedahan. Tidak sebertuah Zati yang awal mendapat hidayah. Jujur saya tidak menolak semua ini lebih-lebih lagi ianya memang tuntutan agama. Mengapa harus saya menafikan dan menidakan suatu jalan yang mampu menjadi laluan saya meraih redhaNya. Cuma...iya lah..Zati sudah jauh melangkah..sedang saya baru mahu bertatih. Besar harapan saya, Zati sudi menoleh ke belakang. Memimpin saya andai terjatuh dan memaut saya untuk terus menjejak langkah. Saya akur kelemahan ini, sepatutnya saya lah yang menjadi pembimbing. Tetapi keadaan tidak memihak saya. Saya hanya berharap akan ada sesuatu yang dapat saya berikan. Sesuatu yang mungkin Zati perlukan. Menjadi pelengkap kepada kekurangan Zati sebagaimana Zati melengkapi kekurangan saya.


Zati merenung laptopnya. Tajam matanya memandang dan mengulang baca tulisan Ridhwan. Tidak dapat dia membohongi hatinya. Kata-kata Ridhwan semua menyedapkan hatinya. Kesederhanaan, kerendahan hati dan keterbukaannya menyisih risau yang menyelubungi jiwanya. Perbincangan pertama mereka itu, bagai menjadi kesimpulan segala-galanya. Hatinya terasa lapang, jiwanya seakan terbuka luas untuk menerima kehadiran Ridhwan. Dia benar-benar bersedia.


Zati : Terima kasih atas penjelasan itu. InsyaAllah, saya akan berikan keputusan saya.


Ridhwan : Saya menanti dengan sabar. Assalamualaikum.


Zati : Waalaikumussalam.


Ridhwan juga yang mematikan perbualan. Zati hanya tersenyum. Dia senang dengan tingkah itu. Membuktikan Ridhwan bukan seorang yang gemar bermain ayat-ayat cinta. Berkata pada yang perlu semata.


Zati cuba mengimbas kembali kisah dia dan Ridhwan di sekolah. Tidak banyak memori mereka bersama. Ridhwan seorang yang tidak banyak bicara, Zati juga tidak ramah. Apatah lagi mereka dibataskan dengan adab pergaulan yang di jaga rapi. Tidak menjatuhkan maruah masing-masing dengan bebas bergaul. Zati tidak menafikan, Ridhwan seorang yang soleh dari kaca mata luarannya. Satu keistimewaan Ridhwan yang diketahui umum, Ridhwan punya suara yang merdu. Apatah lagi saat mengumandangkan azan dan bertarannum. Mampu meruntun jiwa pendengarnya. Zati mengukir senyum sendiri. Hatinya tidak menemui kekurangan yang besar untuk dia menolak lamaran Ridhwan. Bahkan seakan ada bunga indah sedang mekar di taman hatinya. Semasa Hadi merisiknya dahulupun, perasaan sebegitu tidak dirasainya. Bahkan dia tiba-tiba menjadi keliru hinggalah Dinah mententeramkan dirinya. Berbeza benar rasa itu terhadap Ridhwan.


Seminggu selepas Zati memberitahu keputusan untuk menerima Ridhwan, majlis pertunangan mereka di sempurnakan secara sederhana. Sebulan sahaja tempoh yang mereka ambil untuk bertunang. Memberi ruang kedua keluarga membuat persiapan menyambut hari pernikahan Zati dan Ridhwan.


Zati merenung kad berwarna ungu di tangannya. Bercampur baur perasaannya. Pasti kehidupannya selepas ini akan berubah. Dia hanya mampu terus berdoa, semoga rumahtangga yang bakal di bina adalah rumahtangga dakwah. Jambatan dan titian dia menuju syurga nan indah bersama teman hidup yang tercipta untuknya.


_______________________________________TAMAT___________________________________

* Hampir keseluruhan cerita ini berdasarkan imaginasi dan inspirasi saya..tetapi kad jemputan ungu ini..benar 100%
*Walau sudah ada teman-teman yang mengetahui agenda baru dalam kehidupan saya ini, namun secara rasminya hebahan ini saya buat pertama kali di sini...istimewa untuk pembaca setia dan pembaca senyap Bicara Sufi
*Yang berkelapangan dan berkesempatan hadir majlis ini..dengan rendah hatinya..saya menjemput dan mempersilakan
*Mohon doa berpanjangan majlis ini berjalan dengan baik dan saya mampu menjadi lebih baik selepas pertukaran status ini..^_^

Saturday, April 7, 2012

Dua Perpisahan [Jihad Cinta 9]

Bas mula bergerak perlahan, Zati setia memandang pemandangan yang entah bila akan dapat dilihatnya lagi. Jarak kampung kelahirannya dengan tanah tempat dia menadah ilmu bukan dekat, kosnya sahaja mencecah ratusan ringgit. Pasti tidak mudah dia mahu datang untuk sekadar berziarah. Apatah lagi untuk orang sepertinya. Duit punya banyak keperluan. Bahagian untuk berseronok-seronok menjadi prioriti yang terakhir sekali.


“InsyaAllah ada rezeki kita datang lagi ye kat sini.” Dinah yang sedari tadi memerhatikan Zati dapat membaca isi hati sahabatnya.


“InsyaAllah..tempat yang bakal kita rindui.” Dengan suara yang perlahan, Zati juga mengharapkan seperti Dinah.


“Ana bukan sahaja rindu tempat ni, tapi akan rindu juga pada anti. Insan yang banyak mengajar ana erti kehidupan.” Dinah yang dari semalam diselebungi rasa sayu menyatakan jujur perasaannya.


Dengan renungan sayu, Zati merenung Dinah. Dia tersenyum sayu. Perasaan juga sama seperti Dinah. Dia antara kenangan manis yang tidak mungkin dilupakan. Seumur usianya barangkali. Sambil menggengam erat tangan Dinah, dia juga mengakui perasaannya. Pantas masa berlalu. Hari ini perpisahan yang tidak mampu mereka hindari tiba jua.


“Ana pun sama, ana pasti akan sangat merindui anti. Teman yang sentiasa ada saat ana memerlukan. Budi anti dan keluarga anti tak kan ana lupa. Anti yang memulakan persahabatan ini saat ana masih meraba-raba dalam perjalanan yang jauh daripada keluarga. Anti tidak pernah mebiarkan ana sendiri. Anti yang bersungguh untuk kita terus bersama hingga praktikum. Semuanya tak akan ana lupakan dengan mudah.” Mata Zati mula berkaca. Dia sudah tidak mampu membendung perasaan berat yang ditanggungnya. Berat menahan peritnya sebuah perpisahan yang harus mereka depani dengan segunung kesabaran.


“Ana mungkin mampu memenuhi keperluan material anti, berkongsi apa yang ana ada. Tapi anti beri ana lebih dari itu. Anti beri ana sesuatu yang tak akan ana perolehi dengan sejumlah wang. Anti beri ana didikan. Mengajar ana dalam diam, supaya menjadi lebih tabah. Anti tidak pernah berkeluh kesah saat diuji himpitan kewangan, anti sabar dan menyerahkan segalannya pada rezeki Allah. Ana maklum, setiap bulan anti menghantar wang belanja untuk keluarga di kampung. Walhal anti di sini perlu mengikat perut. Sedang ana, tiap bulan menerima wang saku daripada emak dan ayah. Itupun adakalanya ana masih merungut. Anti tidak pernah membiarkan ana terus hanyut dalam indahnya dunia yang menipu ini, hingga ana tidak terkira berapa kali anti menegur ana supaya lebih bersyukur. Saat ana merasa lemah dan putus asa pada jalan perjuangan ini, anti terus setia memimpin tangan ana, meminta ana jangan berhenti melangkah. Pasti segalanya akan sangat sepi selepas ini.” Dinah juga sudah mula dibanjiri airmata. Deras mengalir laju.


“Persahabatan ini satu anugerah buat kita. Hanya doa yang mampu ana tadah, meminta Allah terus memelihara ikatan ukhuwwah ini.” Zati menyatakan pengharapannya.


“Andai nanti, anti perlukan pertolongan, jangan segan beritahu ana ye. InsyaAllah, ana akan sedia membantu sedayanya.” Dinah jujur menghulurkan pertolongan.


“InsyaAllah, itu pasti.” Zati masih mampu tersenyum, tanda penghargaan kepada sahabat baiknya walau hatinya masih di rawan pilu.


Bas terus meluncur laju. Semakin jauh meninggalkan Tanjung Malim. Tidak lagi mereka bersama ke pasar malam setiap petang Sabtu, tidak lagi makan bersama samada di kafetaria ataupun di rumah Zati, tidak lagi akan solat berjemaah bersama-sama. Sambil berlumba mengambil wudhuk takut terlewat dan didenda menjadi imam. Tidak lagi mereka membaca Al-Ma’thurat bersama dan mengakhirinya dengan doa rabitah yang menggetarkan hati mereka. Semuanya hanya tinggal kenangan. Kenangan yang tidak mampu diulangi lagi.


Di tengah hiruk piruk manusia, mereka terpaksa berdepan dengan kenyataan. Pertemuan ini sudah sampai ke penghujungnya. Mata mereka kembali berkaca. Terasa berat benar mahu melepaskan sahabat pergi.


“Ana nak ke kena masuk dah ni. Takut terlepas flight.” Zati memulakan bicara sambil menunjukan waktu di jam tangannya.


“Okeylah..elok-elok ye kat airport. Anti sorang-sorang je ni. Dah sampai airport call.” Dinah berpesan dengan Zati dalam suara yang tertahan kesan esakan yang tidak mampu diselindungi lagi.


“Oh..lagi satu, ana menanti keputusan istikharah anti.”


Zati hanya mengangguk dan memberikan senyuman.


Keduanya berpelukan erat. Pelukan terakhir mereka. Entah bila lagi mereka akan berjumpa. Keduanya jadi hilang kata-kata. Hanya airmata yang berbicara. Zati mengangkat beg galasnya dan bergerak masuk ke terminal. Hanya melambai Dinah pergi yang terpatung membalas lambaianya dari jauh. Zati meneruskan langkahnya hingga tidak lagi dia melihat kelibat Dinah. Dia beristighfar dalam. Mohon bantuan Allah, berinya kesabaran pada perpisahan yang berat dirasakannya ini.

************************************************************************


Zati memanjatkan kesyukuran. Dia tidak menganggur lama. Hanya beberapa bulan sahaja dia duduk di rumah tanpa komitmen kerjaya. Masa itu dimanfaatkannya untuk menyusun kembali gerak kerja perjuangannya dan memberi sepenuh tumpuan dengan ibu dan adik-adiknya. Kini dia sudah beberapa bulan melapor diri bertugas di sebuah sekolah baru di daerahnya. Tempat dia menabur bakti sebagai seorang pendidik. Sepanjang masa itu juga, dia langsung tidak menghubungi Hadi. Hingga adakalanya dia terlupa dia punya janji dengan Hadi. Dia masih belum memberi sebarang kata putus. Kelewatannya memberi jawapan kesan perbincangan dengan ibunya yang kurang memberangsangkan. Ibunya berkias jelas, mahu bakal menantunya orang dekat-dekat sahaja.


Zati pantas membuka laptopnya. Memandangkan sesi persekolahan sudah selesai. Cuma hari Khamis begini, dia punya sesi usrah dengan anak-anak didiknya.


Beberapa hari dia berfikir dalam. Kalau di tanya hatinya, memang dia bersedia menerima Hadi menjadi teman hidupnya. Namun, dia belum mampu memuktamadkan keputusan itu. Permintaan ibunya juga harus ditimbangkan. Dia mengambil keputusan untuk menghantar e-mel kepada Hadi. Menceritakan dilemanya.


Assalamualaikum wtw.

Sejuta kemaafan ana pohon atas kelewatan menghubungi anta untuk memberikan jawapan pada permintaan anta. Hari ini pun , bukan jawapan yang akan ana berikan. Sebaliknya menceritakan dilema yang sedang ana hadapi.


Latar belakang keluarga kita mungkin berbeza. Terutama dari aspek didikan agama. Ana tidak dibesarkan dalam keluarga yang beragama. Ana tidak mendapat sentuhan didikan agama sempurna dari kedua orang tua ana. Ana tidak menyalahkan mereka sama sekali. Kejahilan mereka motivasi untuk ana menjadi lebih baik. Tidak mewarisi kejahilan, tetapi menyisih kejahilan itu dari terus membelenggu keluarga ana. Alhamdulillah..taufik dan hidayah Allah membawa mimpi indah ana menjadi realiti. Melalui usrah ana ditarbiyyah dan dididik. Dengan bekal kesabaran yang tidak sedikit, ana menjelaskan satu persatu kepada orang tua ana. Daripada tidak reti bersolat hinggalah sekarang ini, Alhamdulillah..solat sudah disedari kewajipannya. Adat-adat yang banyak bercanggah dengan syariat sedikit demi sedikit dibuang daripada pengamalan. Anugerah terbesar dalam hidup ana adalah perubahan mereka.


Itu kisah ana. Sengaja ana jelaskan tanpa selindung kerana mahu anta mengetahui realiti sebenarnya agar mudah membuat pertimbangan. Berbalik kepada permintaan anta, pastinya jika kita punya jodoh, ana perlu berhijrah ke sana bukan?


Saat memikirkannya, ana terbayang wajah tua ibu dan adik-adik yang masih muda. Ana belum puas memimpin tangan ibu dan adik-adik untuk berusaha menjadi mukmin sejati. Ana masih mahu berkongsi dengan Ibu, ilmu-ilmu ana yang sedikit ini. Ilmu yang tidak diperolehi semasa mudanya. Ana masih mahu menegur bacaan Al-Quran ibu, berpuasa sunat bersamanya, serta menghidupkan sepertiga malam dengan zikir dan munajat kepada Sang Pencipta. Empat tahun merantau di kampus, meraih ilmu, memadailah untuk diri ana. Mengorbankan masa itu berjauhan dengan ibu. Sampai masa kini, mungkin ana pula kena mengorbankan perasaan ana. Ana bersedia untuk itu!


Jujur dan terus terang, ana tidak menyatakan ana menolak anta. Ana juga seperti anta, mengharapkan yang indah pada akhir perhubungan ini. Apalagi yang lebih indah selain sebuah ikatan pernikahan. Namun ada sesuatu yang agak menyukarkan laluan kita. Ana tidak mahu membuat sebarang kesimpulan pada perhubungan ini. Ana menyerahkannya kepada anta kerana anta yang memulakannya.


Akhirnya, ana serahkan kembali kepada anta membuat keputusan dan resolusi. Ana sekadar menjawab permintaan anta sahaja. Semoga kebaikan sentiasa mengiringi langkah kita.

Salam kemaafan.

Zati, Tawau, Sabah.


Selesai mengarang, Zati membaca sekali lagi. Dia puas hati. Tiada isi yang tertinggal. Esok dia akan mengemelnya di sekolah. Segera dia mengemelnya. Dia lelah menangguh perkara ini terlalu lama. Baru sepuluh minit dia membaca emel-emel lain yang bersarang tidak di buka, Hadi menegurnya di Yahoo Mesengger.


Hadi : Assalamualaikum. Maaf mengganggu. Ana dah baca emel anti. Kita harus ada keputusan. Menggantung perhubungan ini bukan penyelesaian.


Tegas bunyi nada Hadi. Dia agak tertekan dengan emel Zati. Tidak bernada positif dan memihak dirinya. Bahkan seolah memaksannya untuk memberi keputusan. Apatah lagi dilema yang di hadapi Zati juga berlaku pada dirinya. Dia juga telah berbincang dengan orang tuanya. Dan keputusannya sama seperti Zati. Pilih calon isteri yang dekat-dekat sahaja. Itu kata dua dari uminya. Saat mendengar amaran uminya, terasa benar Laut Cina Selatan yang memisahkannya dengan Zati satu halangan yang cukup besar. Namun, jauh di hatinya, dia masih mengharapkan perhubungannya dengan Zati berakhir dengan sesuatu yang manis. Itu boleh berlaku jika Zati sanggup memenuhi syarat kedua ibunya, kalau pilihan Hadi orang jauh, dia perlu berhijrah ke tempat Hadi. Namun, belum sempat dia menyatakan harapan tipis itu, Zati sudah mematikannya. Emelnya jelas, Zati memilih ibunya.


Zati : Benar, kita harus ada keputusan!


Hadi : Sebenarnya ana juga mengalami dilema yang sama seperti anti. Permintaan umi agar anti dapat berhijrah ke sini setelah kita bernikah.


Walau berat untuk Hadi menuturkannya, dia terpaksa juga. Mengharapakn Zati menyetujuinya. Walau kelihatan sangat dia mementingkan diri sendiri. Sukar dia membayangkan terpaksa melupakan Zati hanya kerana faktor geografi.


Zati : Jujur ana semakin semakin pesimis pada perubungan ini. Tidak berjalan lancar seperti yang kita rancangkan. Mungkin sahaja ini satu petanda, kita harus muhasabah kembali hubungan ini. Jika itu permintaan anta, ana rasa jawapannya sudah ana berikan. Emel ana menyatakan dengan jelas.


Hadi : Kenapa mengalah terlalu awal?


Zati : Bukan mengalah, tetapi berpijak pada realiti. Kita sedang berhadapan dengan konflik keluarga yang ada sangkut pautnya dengan hukum agama. Ana tidak mahu anta menjadi anak derhaka. Anta juga pastinya tidak mahu ana menyisihkan keluarga ana kan? Semuanya hanya kerana sebuah perkahwinan. Hanya memuaskan kata hati dan perasaan kita. Tetapi mengorbankan perkara yang lebih besar lagi. Mereka insan yang lebih utama kita jaga hati dan perasaan berbanding sesiapa pun di dunia ini. Redha Allah pada redha mereka.


Hadi : Bukankah niat kita dalam perhubungan ini juga untuk Allah dan kelangsungan dakwah.


Zati : Benar..itu ana tak nafikan. Atas dasar itulah ana bersedia menimbangkan permintaan anta tempoh hari. Tetapi kisah kita punya kerumitan. Bukan indah seperti yang kita impikan.


Hadi : Maaf ana terpakasa jujur mengatakan..hanya anti yang terbaik menjadi suri hati ana. Mohon pengertian.


Hadi tidak mahu menyembunyikan lagi rahsia hatinya. Dia mahu Zati mengetahui, dia setulus hati memilih Zati. Sesungguhnya!


Zati : Bukan soal tidak mahu mengerti. Juga bukan soal ana tidak memilih anta. Tetapi persoalan sekarang, memilih bukan milik kita sepenuhnya. Ada insan yang perlu kita pertimbangkan hati dan perasaan mereka.


Hadi : Anti seolah tidak terkesan andai perhubungan ini tidak kesampaian.


Hadi semakin terasa hati. Tidak ada bait kata Zati yang mahu menyelamatkan keadaan. Tidak ada.


Zati : Bohonglah andai ana tidak terkesan. Ana juga seperti anta, mengharapkan perhubungan ini berakhir indah seperti yang kita bayangkan. Namun ana perlu rasional membuat pertimbangan. Memilih mudharat yang lebih ringan. Walau hakikatnya, hati ana akan terluka pedih. Tetapi ana pujuk hati, mungkin sahaja perkara yang kita benci itu lebih baik bagi kita, dan perkara yang kita sukai itu lebih buruk bagi kita. Dan sesungguhnya Allah lebih mengetahui. Bertemu kebuntuan ini, ana menganalisis satu persatu. Pro dan kontra ana lakar dalam setiap situasi. Akhirnya ana merumuskan, memilih anta ana hilang dua perkara. Memilih ibu ana, hanya hilang satu sahaja.


Hadi : Apa maksud dua dan satu perkara itu?


Zati : Kalau ana memilih anta, ana kehilangan keluarga dan dakwah kepada mereka. Ini dua perkara itu. Memilih keluarga ana, yang hilang hanya anta sahaja. Bukan maksud ana menolak anta kerana ana tidak menyukai anta. Tidak. Sekarang ini situasinya, semua ana suka. Famili ana dan anta. Cuma perbezaan mudharat pada pilihan ana.


Hadi : Maksudnya menolak ana adalah mudharat yang lebih ringan?


Zati : Begitulah..tetapi ana ulang sekali lagi, bukan kerana ana tidak menerima anta, cuma hanya ini pilihan yang ada.


Hadi terdiam seketika. Merenung tajam laptopnya. Menilai kembali kata-kata Zati. Dia menerima kalau menurut fikir warasnya. Tetapi sangat terluka menurut emosinya. Zati sedang berkias, jelas dia sudah punya keputusan. Cuma tidak menoktahkannya sahaja.


Hadi : Inikah hasil istikharah anti?


Dengan lambat Zati menjawab.


Zati : InsyaAllah..inilah.


Hadi : Ana sudah tidak tahu mahu berkata apa. Pedih dan terluka sahaja yang ana rasa.


Zati : “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang di usahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya..”semoga Ayat 286 daripada surah Al-Baqarah inu mampu merawat luka dan kecewa ini. Ana mohon permisi. Sudah terlalu lama ana di sini. Andai ini ruang terkahir bicara kita, ana mengambil ruang, memohon maaf pada segala khilaf dan salah yang telah ana lakukan. Samada terzahir atau tersembunyi dari pengetahuan anta. Ana doakan semoga kita tetap dalam kebaikan di dunia dan akhirat.


Hadi : Semuanya masih bagai mimpi. Impian ini tidak kesampaian. Sekali lagi ana jelaskan..ana sangat kecewa dan terluka. Jujur!


Zati : Segalanya ana kembalikan kepada Allah. Ana berundur dulu..Assalamualaikum.


Zati harus segera pergi. Dia tidak mahu turut terikut dengan emosi Hadi. Lagipun sesi usrahnya sudah mahu bermula.

**********************************************************************************


bersambung..

p/s-esok episod akhir..buat yang mengikuti..ada sesuatu yang istimewa :)

Pelangi Indah

  P agi ini seperti kelmarin. Hujan gerimis membasahi bumi. Mentari seakan malu keluar menyinar alam. Kabus tebal masih kelihatan di puncak ...