Tuesday, January 24, 2012

Kesekian Kali

Salam Palestine

Catatan ini sedikit terlewat. Bukan kesan kesibukan mengejar waktu hingga saya tidak punya ruang menulis. Cuma saja kesan penyakit malas saya yang saya layan. Malas menyusun kata. Malas mengatur bicara. Selalunya saat saya di timpa sakit begini, saya manipulasikannya untuk rajin membaca. Membaca tulisan-tulisan yang saya gemari. Tulisan yang boleh merubah rasa malas saya untuk kembali pulih. Alhamdulillah..selalunya strategi saya ini berjaya. Sebagaimana saya berjaya juga ke sini dan meneruskan tugasan menulis. Tugasan saya untuk diri sendiri. :)

Kuliah APSA berjalan dengan baik untuk kali kedua. Dengan beberapa penambah baikan yang kami usaha lakukan dengan sebaiknya. Walau saya tidak mampu mendabik dada mengatakan semuanya berjalan dengan jayanya kerana yang menilainya bukan kami urusetia, tetapi para peserta. Soal pengurusan dan teknikal tidak mahu saya bicarakan di sini. Bukan ruang yang terbaik.

Sebaliknya jauh lebih utama adalah intipati dan objektif utama kuliah APSA ini di adakan. 40 orang peserta yang mendaftarkan diri pasti sudah jelas, tujuan dan keperluan mereka meneruskan sesi kuliah yang baru masuk ke semester pertama ini. Keseluruhannya, matlamatnya adalah untuk melahirkan naqibah yang mampu mencorak kumpulan usrah yang efektif. Bukan usrah yang hanya bersifat melepaskan batuk di tangga.

Mengambil manfaat punya ruang waktu menjadi pemandu pensyarah APSA yang juga kebetulan orang yang banyak memberi bimbingan menghadam teori dakwah dan perjuangan sepanjang bergelar mahasiswa di alam kampus 5 tahun lalu. Bukan kali pertama saya bercerita tentang karenah dakwah di daerah tercinta ini. Bercerita menurut pandangan dan persepsi saya. Juga berdasarkan perbincangan bersama teman yang turut merasai perlunya kerja dakwah yang konsisten jika benar mahu Islam subur di daerah yang terkenal dengan jolokan bumi peladang ini.

Dan setiap kali usai berceloteh panjang, saranan yang saya terima pasti sama. Bukan sahaja kali ini tetapi juga sebelum-sebelum ini. Usaha dakwah perlu diperhebatkan lagi. Asas kejahilan masyarakat kerana kurangnya kefahaman kepada ilmu. Majlis-majlis ilmu perlu disuburkan. Masjid perlu hidup. Badan agama perlu memainkan perana semaksima mungkin. Juga sepanjang sesi saranan itu saya akan diam dan hanya menganggukkan kepala. Terus-terusan menambah kefahaman dan memujuk hati terus terbuka menghadam pencerahan. Begitulah berlalu hingga saya melambaikan tangan perpisahan menghantar sang atizah yang datang pulang kembali ke negeri mereka.

Tinggal saya lagi disini. Memandu kereta kecil saya dengan ditemani kalimah kata mereka yang membekas di dada. Cuma kali ini. saya lebih banyak menuding diri. Jangan persoalkan apa yang telah di buat oleh mereka. Badan agama, NGO Islam, jawatankuasa masjid, ustaz dan ustazah serta mereka, mereka dan mereka. Saya pulas telinga sendiri, saya tunjuk hati sendiri dan saya celikan mata sendiri. SAYA! Apa yang telah saya lakukan.

Kesekian kalinya, Allah Ya Wadud, tanda kasih cintaNya pada saya hamba yang culas ini, terus menghantar tarbiyyahnya. Menyedarkan saya yang masih tidak berhenti berprasangka, mencari salah orang menutup kelemahan diri. Saya perlu bangkit dari zon selesa. Keluar dari belenggu hati dan rasa yang merantai jasad dan jiwa saya untuk cergas berlari di lapangan dakwah yang saya yakini jambatan saya meraih kasihNya. Saya perlu terus memahat azam padu. Mulakan dengan saya sebelum sibuk meminta dia dan mereka.

Dengan setulus jiwa, saya memanjat doa dan harapan, rasa yang sedang saya rasai turut dikongsi oleh rakan sekuliah APSA kerana kami diberi ilmu dan suntikan motivasi dari sang guru yang sama. Semoga!

[Bicara Sufi berwajah baru..terima kasih untuk adinda yang memberikan sentuhan kreatifnya..kesibukan kerja yang sudah bermula pasti merindukanku pada kedamaian alam yang pasti kurang kunikmati..di sini aku menjamu mata..walau sekadar maya ^_^]

Sunday, January 15, 2012

Sudahlah Hati

Hidup pentas ujian. Frasa yang biasa kita dengar. Terutama saat dibebani masalah. Berat hati dan perasaan. Fikiran bercelaru dan terbelenggu. Dunia terasa suram. Hari yang dilalui tidak bersinar indah. Walau mentari ada dan tidak pun bersembunyi.

Bertanyalah kepada sesiapa pun. Pakar psikologi bertauliah, orang yang lebih tua atau orang muda tetapi matang dengan pengalaman. Solusi yang diberikan pasti satu. Selesaikan malasah itu! Jangan diperam menjeruk rasa. Jangan dipendam membenih dendam. Yang pasti jangan dibiarkan.

Biasa juga terjadi, solusi sudah diusahakan. Penyelesaian sudah disepakati. Apa yang membenih sarat jiwa berusaha dicantas. Jangan terus mengakar jauh ke nurani. Tetapi hati masih juga belum tenang. Hati masih juga belum damai. Saat ini, yang bermasalah adalah hati itu sendiri. Rawatannya tidak perlu lagi siapa-siapa. Tetapi tuan hati itu sendiri. Ubat paling cepat dan mujarab, rujuk TUHAN tuan pemilik hati. Dia yang menjadikannya, pasti dia yang maha mengetahuinya.

[Menulis dalam rasa marah..marah pada diri..berhenti mencari salah orang lain..jangan menipu diri sendiri dengan memberi perlindungan pada hati yang sedang sakit..rawat dengan kejujuran..didik hati..jangan angkuh dan sombong..apatah lagi kalau diperingatkan bukan dari seorang..tetapi dari ramai orang..orang-orang itu pula bukan sahaja bertauliah..tetapi lebih tua dan lebih pengalamannya..sudahlah hati..berhentilah..berhenti dari sangka-sangka ini..kau sedang diperhati!]

Saturday, January 7, 2012

Al-Kauthar Dalam Kerinduan

Senja berlalu
Senja itu sudah tidak seperti dulu
Tidak lagi membenih bahagia
Menyubur taman jiwa
Dengan siraman ilmu yang didamba

Senja ini hanya merakam saksi
Amarah yang berteman emosi
Pada mereka yang bagai tirani
Dengan zalim dan penuh iri
Merampas sang murabbi
Tanpa sedar semua akan dinilai
Penuh adil di sisi Ilahi

Dalam rindu yang mencengkam
Dalam rindu yang terpendam
Sejalur doa tak pernah putus
Senja ini kembali bahagia
Tenang dan damai
bagai berada di taman syurga
berteman kalam nurani
Dari dia murabbi sejati
yang ikhlas mencerah nurani
Aku dia dan mereka
Akan terus menanti.

[Terkenang saat bahagia di Masjid Al-Kauthar..mengisi senja dengan kuliah maghrib yang menyubur jiwa..semoga kebahagiaan itu bertandang lagi..Ya Allah selamatkan dan kembalikan Murabbi kami..]

Pelangi Indah

  P agi ini seperti kelmarin. Hujan gerimis membasahi bumi. Mentari seakan malu keluar menyinar alam. Kabus tebal masih kelihatan di puncak ...