Tuesday, May 21, 2013

Duka tidak pernah lama

Salam Palestine

Hanya punya beberapa minit menyudahkan tulisan ini. Senggang masa menanti Isyak. Sambil tangan sesekali menghayun buai sang puteri yang sudah layu matanya. Terpanggil menulis. Bersama sarat perasaan mendengar beberapa kisah dukacita yang berlaku di sekeliling. Rutin yang pastinya akan hadir dan menjengah catatan perjalanan kehidupan. Lumrahnya memang begitu. Hidup tidak sekadar datar bagai padang pasir yang tandus. 

Saya juga disebalik kegembiraan, keriangan dan kebahagian dianugerahkan cahaya mata penyeri hati, hadir bersama kesedihan, kedukaan dan kegusaran. Saya ingat lagi betapa sayu hati saya saat anak dilanda demam selesma saat hanya berusia dua minggu di samping jaundice yang berpanjangan selama sebulan. Tanpa pengalaman menjadi ibu, sangat sukar untuk saya menguntum senyum ketika itu. Itu baru ujian kesihatan yang saya kira sangat kecil berbanding orang lain yang lagi hebat ujiannya. Terbayang saya, apalah rasa hati ibu-ibu yang sedang menjaga permata hati yang sedang di uji dengan penyakit-penyakit kronik hingga membawa maut. Melihat wajah mulus si anak kecil sahaja, rasa kasih dan sayang kita kepada mereka bercambah mekar.

Ada seribu satu lagi kisah duka yang pasti sedang dilalui oleh sesiapa sahaja yang bernama manusia di alam fana ini. Ada yang sedang berduka kehilangan orang yang tersayang, harta benda yang diusahakan atau tidak mendapat keputusan peperiksaan yang dihajatkan atau apa sahaja yang akhirnya membawa murung di hati. 

Saat bebas dari rasa ini, pada hari ini, saya belajar dari kisah semalam, hanya dengan kembali mengingati hidup ini punya pengakhiran dan akan kembali menemui tuhan, kisah duka, pedih dan lara hati itu sedikit hilang. Kembali mewaraskan akal fikiran dan menenangkan rawan hati yang tidak tenang, semua ini hanya ujian. Hadapilah...bukan lari dan mendiamkan. Hadapi dengan iman. Gagahkan diri. Dekatlah dengan sang pemberi ujian. Penawar ada disitu. Kedamaian dan ketenangan juga datang dariNya. Kelam malam tanpa bintang akan sirna dengan hadirnya mentari ceria bersinar indah. Masa terus berputar dan segala yang berlaku hari ini akan menjadi kenangan. 

Mari bersama menuju tuhan.

Sunday, May 12, 2013

111 Bergelar Ummi

Salam Palestine

Tiga bulan sepi tanpa bicara. Hingga saya sendiri merasa, berakhir sudahkah bicara sufi. Sungguh, tidak pernah hilang rasa rindu bermadah di sini. Tempat berkongsi rasa dengan sesiapa yang singgah membaca. Entah..menulis memberikan satu kepuasan. Saat sepi, terasa berteman. Tika pilu, bagai ada yang memujuk. Tatkala berbahagia, terasa semua turut merasa. Itulah yang sering saya khabarkan..menulis ini terapi jiwa. Mungkin saja kesan sikap diri yang sukar berbicara lisan dari hati ke hati. Cuma sekarang ini sahaja, semenjak bergelar isteri, sudah mula pandai berkongsi cerita hati. Agaknya, kerana itulah bicara sufi sering tertinggal sepi.

Hari ini, genap 111 hari saya bergelar ibu. Bagai baru semalaman saya mendengar lafaz aku terima nikahnya dari sang suami yang tercinta. Juga masih segar di ingatan, di suatu petang Jumaat saya terasa teringin benar membuat ujian kehamilan yang membawa khabar positif. Sejak hari itu, saya mengharungi ujian yang kebiasaan terpaksa di hadapi oleh ibu-ibu mengandung. 39 minggu bertahan dan bersabar, 21 Januari 2013 saya bertarung nyawa melahirkan permata hati yang di beri nama oleh suami Qurrotul 'Ain. Saat saya minta penjelasan, mengapa memilih nama ini, ringkas suami menjawab.."semoga anak ini menjadi penyejuk hati dengan kesolehannya". Saya tersenyum membenarkan pandangan itu. Tidak banyak yang diharapkan oleh ibu dan bapa kepada anak-anak mereka. Melainkan sentiasa menghadiahkan sebuah kebahagian dan kegembiraan. Ada anak-anak yang cerdik dan pintar dalam akademik, tapi tingkah dan akhlaknya menyakitkan hati. Ada yang berjaya berjawatan dan berpangkat besar, tetapi lupa pada ibu dan bapa yang banyak bekorban untuk semua impian menjadi kenyataan.

Saat menatap wajah bening si kecil, hati tidak pernah lepas berbisik, semoga anak ini menjadi hamba Allah yang bertaqwa dan berbakti untuk Islam. Semoga dia tidak mewarisi khilaf dari kedua orang tuanya yang serba kekurangan ini. Sungguh, kasih dan sayang seorang ibu kepada anaknya itu tidak bertepi. Halus dan mendalam. Sejak bergelar ummi, terasa bertambah kasih dan cinta saya kepada ibu saya. Betapa dia gigih dan sabar membesarkan kami anak-anaknya. Saya baru seorang sudah terasa lelahnya. Inikan pula dia 9 orang. Tidak pernah sekali saya dengar dia merungut dan rasa terbeban. Semangatnya akan saya contohi.

Lama tidak menulis terasa lambatnya jemari mengukir bicara. Saya perlu bertatih semula. Sekadar ini dulu untuk langkah saya yang baru bermula kembali. Si kecil menanti pelukan sayang umminya. ;)