Terima Kasih Mak..


Salam Ramadhan

Semakin pulih..itu rasa hati tika ini. Fizikal pun bermula hari ini, sudah kurang sakitnya. Sakit yang "dideritai" seawal usia 9 tahun. Puas sudah menelan pelbagai pil, menyapu pelbagai ubat. Tidak juga hilang untuk selama-lamanya. Kekadang muncul dan memberi peringatan pada diri yang kekadang terlupa apa itu "sakit". Inilah hikmahnya "sakit misteri" ini. Peringatan buat diri!

Esok ada satu program akan berlangsung. Sejenak di Kg Pasir Putih. Kampungku sendiri. Tugas sebagai ajk perhubungan dan promosi diamanahkan pada ku kali ini. Buat pertama kali program, aku terasa bergerak "sendiri". Tidak terasa amal jama'ie nya kali ini. Agaknya kerana tugasan kali ini memang tidak memerlukan keterlibatan sahabat-sahabat yang lain. Syukur sangat kerana mak yang tersayang sangat banyak membantu. Aku langsung tidak membuka mulut mempromosikan program ini. Memang aku jenis berat mulut. Apatah lagi dengan orang-orang kampung. Walhal hampir saban senja membawa anak buah , Nabilah, berusia 1 tahun 10 bulan itu keliling sekitar rumah. Kalau bertembung mana-mana makcik atau pakcik yang mengusik Nabilah, aku hanya menguntum senyum. Tidak ringan mulut untuk menyapa mesra. Macam manalah nak jadi da'ie berjaya ni. Huhu..

Emak lah selama seminggu ini setiap petang menjenguk ziarah memaklumkan jiran-jiran yang layak mendapat sumbangan untuk hadir program ini. Mak langsung tidak kisah yang program ini adalah program PAS. Sebuah parti politik ISLAM yang masih asing di kalangan penduduk kampung seperti kampungku ini. Kalau program parti cap Keris yang dah"tumpul" atau parti lambang dacing yang memang "berat sebelah", tidak menghairankan mereka. Apatah lagi di kampungku turut menetap seorang YB yang rumahnya besar dan kereta-keretanya juga besar. Mereka memang cukup sinonim dengan parti kerajaan 1Malaysia ini.

Parti Islam Semalaysia belum lagi jelas di mata dan telinga mereka. Masih samar-samar. Harapnya usaha mak mengumpulkan 20 orang jiran-jiranku esok akan membantu mencelikan mereka apa itu Parti Islam Semalaysia. Yang lambangnya sangat mudah. Bulan bulat penuh berwarna putih dilatari warna hijau yang mengamankan.

Keterbukaan emak memahami perjuangan yang kudokongi ini satu anugerah yang cukup besar nikmatnya bagi diri. Mudah benar hati mak menerima perjuangan ini. Tidak perlu kusyarahkan panjang lebar. Cukup sekadar membawa contoh di depan matanya. Contoh jalan kampung yang tidak pernah dalam sejarah sejak ku diaminya, elok tanpa lubang walau hanya seminggu cuma. Apa tidaknya diturap cantik hanya menjelang pilihanraya. Itupun turap macam mahu tidak mahu saja. Kekadang, untuk menambah bukti, aku sengaja membawa mak lalu pusing-pusing sekitar di rumah YB. Meminta mak membanding sendiri jalan di sekitar rumah YB dengan jalan di sekitar rumah kami, atau jalan-jalan di tempat lain di kampung ini. Tidak payah membuka mulut, mak sendiri akan berkata. "Bilalah orang mahu sedar ini..masih lagi mahu undi BeEnd."

Alangkah indahnya kalau semudah ini juga mak bisa memahami bahawa adat-adat yang diwarisinya tu tidak semuanya boleh diguna pakai. Benarlah kata pepatah "biar mati anak jangan mati adat". Keadaan ini, sekali lagi membuka minda hati, dakwah bukan sekadar membawa manusia untuk bantu membina sebuah daulah islamiah di bumi Malaysia dengan satu undi semasa pilihanraya. Tidak memadai. Dakwah harus mampu mengeluarkan manusia-manusia dari segenap aspek jahiliah dan membawa kepada taqwa sepenuhnya. Membawa manusia hanya berada dalam manhaj Lailahaillallah.

Merealisasikannya tidak semudah mengatakannya. Namun, buat masa ini, hingga ke hari ini, aku masih tidak dapat menafikan Parti Islam Semalaysia, sebuah harakah islamiah berkonsepkan dakwah-siasah platform terbaik untuk aku melaksanakan kewajipan menyeru yang hak dan menentang yang bathil. Semoga aku terus terpilih..terus ada rezeki..hingga biarlah aku mati bersama jalan perjuangan..doaku buat kesekian kalinya..aku mohon Ya Rabb..


Comments

SG said…
ok laa tu,
mak dah one step advance....
lepas ni one more step lagi insyALLAH...
TAKBIRR!!!!
bicara_sufi said…
InsyaAllah..harapnya begitu..terutama anjakan sikap dan minda memilih hanya adat yang syarie sahaja untuk terus dikekalkan.. :)
sang penglipur said…
salam. aku terpanggil unuk membaca coretan ini hanya sebab tajuk jak......tq mak.......
aku tidak tahu atau aku yang sensitif, tapi tiap kaliada perkara yang berkaitan ngan mak, hatiku pasti tersentuh..
mungkin sebab aku belum boleh memberi kesengan kepada mak ku...

Popular posts from this blog

Zon Selesa

Kisah Kita

Pendam