Silap pandang..

Salam Ramadhan

Suasana Ramadhan sudah semakin menghilang..hanya ditahan, dipaut dan digenggam erat oleh para pencintanya. Golongan yang sudah semakin sedikit. Lebih ramai yang sudah tidak sabar, ghairah dan sangat menanti kehadiran Syawal. Budaya dibentuk dan terbentuk begitu. Bukan sekadar anak-anak asyik bertanya, bila hari raya, para ibu dan bapa juga tidak kurangnya. Tapi lebih menzahirkannya secara praktikal. Si bapa juga sudah mula liat bertaraweh. Lebih menumpu masa mengemas kini rumah agar rapi dan tersusun. Si ibu lagilah sibuknya. Dapur sudah penuh dengan bahan membuat kuih tunggu masa untuk diproses.

Saban tahun, pemandangan beginilah yang sering terjadi. Bukan setakat di sini, rasanya di mana-mana. Kalau kita selami, hikmah malam lailatul qadar itu diletakan di 10 malam yang terakhir bagi menapis dan menyaring, hamba-hambaNya yang benar-benar celik mata hati. Mampu menilai bahawa malam yang lebih baik dari 1000 bulan itu benar-benar sesuatu yang bernilai dan berharga. Sebab tersangat menghairankan, tawaran yang sangat hebat ini, masih dipandang sepi oleh segelintir manusia. Hingga sanggup mengabaikannya hanya kerana mahu memastikan hari raya nanti disambut penuh kesempurnaan. Cukup kuih raya, cantik bergaya dengan baju raya, rumah berseri dengan cat dan perabot raya atau apa saja istilah yang ada kaitan dengan raya.

Walhal hakikat hari raya itu kan, meraikan kemenangan kita berjaya menghidupkan Ramadhan dengan ibadah yang bersungguh-sungguh. Hari raya itu kan hari kita istirehat. Setelah berhempas pulas mendidik nafsu dengan ibadah puasa dan solat taraweh yang hanya ada di bulan Ramadhan. Ini belum menang, sudah berpesta, belum penat sudah berehat.

Inilah cabaran Ramadhan di akhir zaman. Bukan sekadar mendidik nafsu diri sendiri, tetapi juga perlu waspada pada nafsu orang lain. Ya Allah..izinkan aku, dia dan mereka yang masih mencintai Ramadhan ini untuk terus celik mata hati..merasai dan mensyukuri nikmat bulan penuh keberkatan ini.


Comments

Popular posts from this blog

Zon Selesa

Kisah Kita

Pendam