Sunday, April 24, 2011

Bisik Hati

"Assalamualaikum.."salam ku hulur, sambil menguak pintu perlahan.

"Waalaikumussalam"..kedengaran suara mak jauh di hujung dapur.

"Sinilah makan.." kedengaran lagi suara mak.

Aku segera bergegas ke dapur. Tidak mahu memancing rajuk mak.

"Iffah kenyang dah mak..tadi lepas dari kuliah di Masjid Al-Kauthar, singgah makan dengan adik." Aku menolak perlawaan mak lembut.

Lauk ikan bakar dan sayur kubis tumis tidak membangkitkan seleraku. Sepinggan kueh teow basah dan segelas air sejuk sudah cukup menyenakkan perut. Menjadi rutin, setiap kali selesai kuliah maghrib pada Ahad dan Isnin, aku akan membawa adikku makan di luar. Memancing minatnya untuk mesra masjid dan ilmu. Mendidik anak remaja, bukan semudah menambat kerbau di hujung tali. Perlu kreatif dan sabar yang tinggi. Strategiku menampakan kesan positif. Sambil menjamu selera, kami punya ruang berbincang hal-hal keluarga atau isi kuliah yang kami tadah.

Lewatnya balik hari ni, keluar bukan main awal pagi tadi." Mak membuka bicara.

"Program habis lewat mak." Ringkas jawapanku.

Mahu menjelaskan pun belum tentu mak mengerti. Izinnya untuk aku terus intima' dalam harakah islamiah ini pun sudah sangat ku syukuri. Walau dia tidak pernah mahu mendalami apa kegiatanku dan mengapa aku bersemangat benar mengisi masaku untuk aktiviti-aktiviti jamaahku.

"Siapalah nak dengan kamu ni..aktif sangat di luar. Kawan sebaya kamu dah beranak pinak dah. Asiyah, kawan sekolah kamu, anak dia dah nak masuk dua kan." Mak mula membebel risau.

"Mak tolong doakan saja ya..jodoh anak mak ni adalah insan yang boleh pimpin tangan saya meraih syurgaNya." Jawabku beriring senyuman mesra.

Segera aku meninggalkan mak yang hanya menggelengkan kepalanya. Isu yang bukan sekali dua mak membangkitkan. Jawapanku pula tidak pernah berubah. Meminta dia menadah tangan dengan tulus pada Sang Pencipta. Doanya punya nilai yang besar di sisi Allah Rabbul Jalil.

Sering juga aku menjelaskannya, jodoh ini sudah tersurat. Kesibukan aku pada jalan perjuangan yang aku simpul mati ini bukan asbab cepat lambatnya jodoh ku. Bahkan intima' ini menjadi sesuatu yang aku cagarkan pada Sang Pengatur alam buana agar menemukan aku dengan insan yang akan terus meluruskan langkah ku pada jalan yang masih jauh dan panjang ini.

Aku juga yakin dan pasti, "dia" yang bakal menjadi imamku ada dan menanti..menanti waktu yang dijanjikanNya untuk kami beriring bersama di jalan dakwah ini. Cuma saja, masanya belum sampai seperti yang ditentukan. Aku pasti...dia ada!

[entry ini bukan kesan usul 1 tadi..tiada kena mengena.. ^_^
sekadar coretan menghilangkan lelah dan berat minda yang dikerah seharian tadi..kamu tahu, menulis mampu menghilangkan kepenatan..cubalah!
Harus melelapkan mata..teman-temanku yang lain pasti sedang lena dipelukan mimpi indah..indah kerana hari ini berjaya bertahan seawal 8 pagi hingga 6 petang hanya untuk memberi pandangan dan mendengar arahan..perjuangan in masih panjang..bukan sahaja jauh tapi juga tinggi..kata murabbi mayaku..selamat malam duniaku]

Sunday, April 17, 2011

saat dia bukan milik kita

"Awak pernah putus cinta?" soalnya bersungguh.

"Lebih dari 3 kali" ringkas jawapanku. Tanpa melihat pun wajah mulusnya.

"Tak sangka..nampak macam tak pernah bercinta" bersama sengihan dia menyapu belakangku manja.

Bicara tentang cinta memang indah. Membuai sukma membelai rasa. Pantas saja, cinta beri impak besar pada manusia. Walau saja cinta adakalanya menghadiahkan sebuah keperitan buat jiwa, tapi masih saja manusia menjadi pemburu cinta.

Aku saja, acapkali di tanya soal cinta. Samada dalam kalangan anak didik atau teman seperjuangan. Secara peribadinya, aku memang berminat memberi pandangan dan berkongsi pengalaman. Respon yang bersemangat dan bersungguh mungkin menjadi mangkin aku kerap diterjah persoalan cinta.

Allah Sang Pengatur Buana, penuh hikmah dan kebijaksanaan, dengan rahmat dan kasih sayangNya, mengatur setiap inci kehidupan insan sesuai dengan keadaannya. Aku kerap tersenyum. Saat memuhasabah diri berkaitan persoalan cinta dan jodoh. Pengalaman demi pengalaman dianugerahkanNya. Buat bekal untuk terus memberi. Berkongsi dengan mereka yang mahu mengerti akan hikmah sebuah ujian. Ujian jodoh dan percintaan.

Ada juga teman kehairanan. Pelik melihat "putus cinta" tanpa riak wajah suram muram. Apa yang mahu disesalkan. Saat dia bukan menjadi milik kita, pastinya dia bukan yang terbik untuk kita. Pegang sahaja janji Allah, lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. Adakah janji yang lebih baik daripada janji Allah?

Ada juga yang bertanya..bukankah dia seorang Ustaz? Adakah seorang Ustaz itu bukan lelaki yang baik?

Ya..zahirnya seorang ustaz itu memang baik..tetapi bukan yang terbaik untuk kita. Mungkin seorang cikgu misalnya, lebih terbaik untuk kita!

Tetapi ada juga, seorang perempuan yang baik, jodohnya bukan seorang yang baik.

Ya..memang ada. Langit sejarah juga merakamkan kisah itu. Kisah Asiyah dan Firaun yang zalim. Tetapi, ada sesiapa yang mampu membuktikan, aturan itu bukan yang terbaik? Boleh jadi saja, dengan berkahwin dengan seorang lelaki yang kurang baik itu, menjadikan perempuan itu lebih baik di sisi Allah. Sekali lagi..pasangannya itu adalah yang terbaik untuknya.

Ringkas kisahnya..tugas kita hanyalah berusaha menjadi yang terbaik di sisi Allah. Hanya itu cagaran untuk turut mendapat yang terbaik di sisiNya. Berdoa bersungguh, mendapat cinta dan percintaan yang terbaik! Syarat utama percintaan yang terbaik pastinya tanpa gerak laku, fikir hati dan basah lidah dengan kalimat-kalimat cinta yang belum halal di zahirkan. Percintaan yang terbaik tidak memerlukan sms, telefon, emel, chating berjam-jam tanpa perkara-perkara yag harus dan mustahak. Andai anda menjaga ini terlebih dahulu..barulah layak untuk meminta.. hadihakan CINTA dan PERCINTAAN yang terbaik di sisiNya!

Pelangi Indah

  P agi ini seperti kelmarin. Hujan gerimis membasahi bumi. Mentari seakan malu keluar menyinar alam. Kabus tebal masih kelihatan di puncak ...