Friday, December 30, 2011

Mereka Anugerah

Salam Palestine

Hari ini hari terakhir untuk 2011. Setahun berlalu lagi. Rumusan untuk tahun ini seakan mirip tahun-tahun sebelumnya. Tiada peristiwa yang istimewa tiada juga yang mengesan di sukma. Semua biasa dan seperti biasa.

Cuma saja semalam, saya berjaya juga memenuhi hasrat hati yang lama saya simpan. Bertemu dan bersua secara santai dengan sahabat seperjuangan sedari alam sekolah lagi. Walau masa agak terbatas dan tidak banyak yang kami bualkan. Saya masih puas kerana kami masih seperti dahulu. Pertemuan yang lebih banyak di isi dengan tawa mesra. Istimewanya persahabatan kami, atmosferanya sentiasa ceria.

Saya juga tidak mengerti, sejak akhir-akhir ini saya sangat merindui saat manis kami menyulam persahabatan terutama di alam persekolahan. Saya selalu terkenang, kami berjalan meronda keliling bandar, singgah menyejukan tekak dengan ABC yang memang terkenal di daerah ini. Adakalanya masak memasak bersama dan berkongsi cerita hingga lewat malam. Kami kongsi segalanya tanpa rahsia dan penuh kejujuran.

Saya belajar semalam, kenangan manis ibarat vitamin kehidupan. Membantu kita mendepani saat mendatang dengan kekuatan sampingan. Beberapa bulan kebelakangan ini, saya berhdapan dengan sesuatu yang berat saya rasakan.

Namun semalam saya mampu melupakan segalanya seketika. Saya mampu mengukir senyuman manis. Mampu tertawa tanpa pura-pura. Walau mungkin saya seorang sahaja yang berperasaan begini. Walau saja bagi mereka pertemuan ini sangat-sangat biasa. Tidak mengapa. Saya memang mengatur pertemuan ini untuk saya. Untuk memenuhi keperluan batin saya. Saya tidak punya kekuatan untuk memula bicara. Meluah rasa hati yang tersimpan dan membarah di jiwa di hadapan mereka. Saya sering gagal melakukan itu. Hingga ramai beranggapan saya seorang yang cekal dan tabah. Walhal saya sedar diri. Saya sering tewas dan kerap berteman airmata. Saya punya keinginan yang besar berkongsi cerita tetapi saya akur, saya bukan jenis begitu. Takdir sikap saya. Kerana itu saya mengatur pertemuan semalam. Saya perlu vitamin bantu menyegarkan perasaan saya yang semakin layu.

Konklusi untuk cerita peribadi ini, ukirlah hari-hari yang kita lalui semanis mungkin. Pahatkannya di hati yang dalam sebagai kenangan indah. Saat berdepan dengan sesuatu yang berat, imbaunya kembali untuk menenangkan rawan hati. Kenangan ini bukan sahaja bersama teman sahabat tetapi juga dengan keluarga tersayang atau kerjaya yang dipilih. Cuma perlu diingat, manis dan indah itu hanya akan dimiliki andai ianya benar dan patuh syariat sepenuhnya. Ini yang saya dan teman seperjuangan senantiasa usahakan. Semalam pun, usai makan-makan, mereka menyentak saya yang tidak terfikir pun, kami perlu hadir ke program jemaah. Alhamdulillah...mereka ini memang teman ke syurga. Walau sekadar senyuman tanda terima kasih atas ingatan pada intima' saya yang sering culas, nurani saya bertahmid penuh kesyukuran. Mereka anugerah!

Di hari terkahir 2011 ini, bersama suram hati yang tidak mampu disirnakan, saya berusaha menanam azam. Bukan saya seorang di timpa ujian. Bahkan ramai yang lebih perit dan terkesan. Saya perlu depani dengan segunung ketabahan. Saya akan terus bertahan. Berusaha bersama mereka teman saya yang sentiasa ingat perlunya untuk terus berjuang. Saya akan! 2012...bismillah..



Wednesday, December 28, 2011

Cerita Cuti

Malam yang dingin. Kesan hujan panjang petang tadi. Kedinginan yang masih gagal memujuk mata untuk lena. Mudahan penyakit ini segera berakhir. Seperti hari-hari 2012 yang semakin tersisa. Pasti ramai yang merasa, terutama rakan guru dan juga anak-anak sekolah cuti tidak terasa sudah semakin hampir ke penghujungnya. Sekali lagi terakam dalam pita memori kehidupan. 2011 akan tinggal kenangan.

Berkesempatan juga menikmati cuti dengan percutian. Walau sekadar merentas laluan darat sejauh 500km ke Kota Kinabalu. Memadailah untuk menghilangkan rasa jemu dengan kebiasaan. Bercuti bagi ku adalah lari dari rutin harian yang tidak dapat dielakan. Menghirup udara baru biar nafas labih segar dan nyaman. Walaupun dibebel terlebih dahulu oleh si ibu. Katanya bercuti hanya mengeluarkan ongkos. Lebih kepada membazir. Apatah lagi terpaksa menyewa hotel berhari-hari dan makan minum yang berbayar sepanjang masa. Aku tidak menafikan katanya. Berasas dan benar. Ibu yang sepanjang hayatnya lelah memikir aliran kewangan yang cukup-cukup untuk keperluan hidup anak-anaknya yang ramai. Aku memahami dan menghormati mengapa dia senegatif itu memberi tafsiran kepada cuti.

Namun tidak juga mengiyakannya secara nyata. Diam lebih baik. Apatah lagi dihadapan adik-adik yang seawal November lagi sudah menghitung masa untuk menikmati saat-saat ini. Meraikan ghairah dan keinginan mereka juga suatu yang menyenangkan. Sementara masih punya ruang dan masa untuk mereka, sewajarnya aku lebih bertoleransi. Walaupun mereka juga memberikan tafsiran cuti yang berbeza dengan aku. Adik perempuan ku terutamanya, menganggap percutian kami ruang membeli belah. Menjelajah satu kedai ke satu kedai. Lenguh kaki tidak terucap. Hanya terzahir dengan wajah cemberut yang sukar disembunyikan. Aku seorang perempuan. Tetapi aku bukan "kaki shopping"!

Keseluruhannya percutian ini manis. Terutama untuk aku dan 3 orang adindaku yang menjadi amanah bonda. Tanpa mereka sukar aku bayangkan sepinya hatiku. Kegembiraan mereka adalah kebahagiaanku. Sungguh, melihat mereka meniti dunia yang penuh pancaroba ini adalah sesuatu yang sangat meresahkan. Justeru aku mahu mereka mengerti bahawa aku sentiasa sedia menuntun langkah mereka. Aku kakak yang setia.[hihihi..kedinginan malam mendesak aku berjiwa-jiwa ^_^]

Sedikit memori kenangan yang kami cipta bersama :)




Tuesday, December 6, 2011

Mahu dengan pasti

Salam Palestine

Malam sudah sangat gelita. Hembusan dingin bayu malam terasa hingga ke tulang. Bebola mata masih bulat. Tiada tanda mahu berteman mimpi. Sungguh, di usia yang sudah semakin dewasa ini, aku masih tidak menyangka akan menderitai penyakit zaman belajar. Hujung 2011 ini ternyata menjadi saksi, aku masih sakit!

Sudah Disember rupanya. Bahkan sudah 10 hari bertamu tahun baru Hijrah. Masa tanpa ulangan, pantas berlalu meninggalkan. Aku merenung kesekian kalinya. Setiap kali ke ruang muhasabah itu, aku akan berakhir dengan sebuah kekesalan. Hanya berteman dengan kemarahan. Sesal dan marah yang dalam pada diri.

Ada juga saatnya, aku mengalirkan kemarahan dan kesesalan ini pada orang lain. Bukan mahu memindahkan dua rasa negatif ini, menjadi helah bela diri. Namun inilah mainan rasa yang adakalanya datang menghantui kemaruk jiwa yang sedang berada di luar paksi ketenangan. Cuma sering ternanti. Saat-saat begini, di mana teman yang sudi menasihati. Memarahi pun tidak mengapa. Kalau itu semua mampu menyentak lena yang sedang tidak bersulam mimpi indah.

Sudahnya, aku menampar sanubari sendiri. Terimalah kenyataan, serabut ini di mana puncanya. Siapa yang merekanya. Bahasa mudah berani buat berani tanggung. Berhenti dengan mainan jiwa. Menyeret orang lain pula menjadi "pak sanggupnya". Bukankah itu sekadar melepaskan diri.

Akhirnya aku akur. Langkah pertama yang perlu aku ambil adalah menganalisa kembali dengan teliti apa sebenarnya masalah yang sedang aku deritai ini. Sekadar menghebahkannya di sini bukan penyelesaian. Aku sedang berusaha. Kalau dahulu aku sudah sampai berlari, kini aku harus mengaku, aku kembali bertatih. Jatuh kemudian bangkit lagi. Hinggalah aku benar-benar mampu kembali gagah.

Saat-saat begini, aku belajar sesuatu. Kita hari ini, belum tentu itulah kita esok dan seterusnya. Apa yang tersisa saat ini adalah rahmat dan ihsanNya. Jangan sampai hilang pergantungan pada Dia yang Maha Menguasai. Kuasa pada segalanya. Dalam kelelahan mengubat diri ini, aku masih menjaga nurani..terus berbisik:

"Ya muqallib al-qulub, thabbit qalbi ‘ala dinik "

Semoga aku masih terpilih untuk berada pada saff perjuangan ini. Semoga keculasan dan kekurangan yang telah aku zahirkan di sepanjang laluan panjang perjuangan ini akan dimaafkan. Aku tanpa malu mengaku, aku masih mahu berada di sini. Masih sangat mahu!

p/s-maaf lagi..aku hanya punya bicara sufi..untuk aku lepaskan rasa yang membarah di jiwa..aku tidak mampu memendamnya tanpa zahir kalimah..semoga ada manfaat..terutama untuk kamu yang berkongsi rasa denganku. ^_^

Pelangi Indah

  P agi ini seperti kelmarin. Hujan gerimis membasahi bumi. Mentari seakan malu keluar menyinar alam. Kabus tebal masih kelihatan di puncak ...