Monday, November 23, 2015

Perjalanan Masih Jauh

Salam Palestine

2015 yang semakin berakhir. Entry terakhir rasanya pada 21 januari 2015. Bicara tentang permata hati. Sungguh semakin sunyi bicara sufi. Jauh di sudut hati, tidak mahu ianya terus berkubur tanpa nota-nota cinta dan madah hati. Biarlah terasa syok sendiri. Setahun yang sunyi, ada waktunya saya menjenguk sendiri ke sini. Membaca semula coretan hati yang pernah dinukil. Senyum, terharu dan sejuta syukur..semuanya bercampur baur. Apatah lagi saat diri mula hilang motivasi dan diterjah rasa sepi, nukilan lama menjadi inspirasi. Kembali mencorak diri, bangkit dari kelesuan dan segar mengorak langkah pada kehidupan yang mencabar.

Hari ini sebenarnya, bersendirian di sekolah. Menjalankan tugas mengawas anak didik dengan kertas Matematik Tambahan mereka. Coretan hari ini khusus untuk mereka. Sudah lama saya berkira-kira mahu menukil sesuatu untuk mereka. Kelas 5 Sains yang mengimbau kenangan lama. Saat saya juga seperti mereka. Berbaju dan bertudung putih, berkain biru. Saban hari dengan rutin harian seorang pelajar. Bezanya dahulu saya belajar apa itu Kimia hari ini saya mengajar Kimia itu apa. 

Kelas ini istimewa. Entah mengapa, set induksinya sering sahaja bermula dengan tazkirah. Saya jadi mudah berkongsi cerita. Pengalaman-pengalaman kehidupan yang pernah dilalui tanpa selindung dan penuh jujur saya kisahkan. Nawaitunya hanya satu. Mahu mereka ambil ikhtibar dan pengajaran.

Sering saya ungkapkan, alam pelajar ini semuanya akan jadi kenangan. Manis atau pahit untuk diimbau bergantung pada apa yang mereka corakkan. Indah lakaranya, maka manislah kenangannya. Bukan keputusan akademik cemerlang sahaja satu jalan memaniskan alam persekolahan ini. Itu hanya sebahagian. Selebihnya bagaimana kita menjalani kehidupan di alam remaja yang penuh gelora. Ramai sahaja yang berjaya dengan keputusan cemerlang tetapi gagal pada penilaian Sang Pencipta. Lebih ramai lagi yang bukan sahaja gagal dengan akademik, bahakan juga gagal melepasi tapisan menjadi mukmin sejati. Ini bukan sahaja rugi bahkan sangat merugikan. Insan-insan ini, pasti sahaja kalau boleh mahu memadam segala memori alam remaja yang pernah dilalui.

Selesai sahaja peperangan SPM ini, bermula lagi cerita kehidupan yang baru. Alam peralihan menjadi dewasa. Ada yang akan berjaya ke manara gading, mungkin sahaja ada yang masih tidak ke mana-mana. Apa jua takdirnya, tempuhilah dengan segenap persediaan. Bukan sahaja persediaan mental dan fizikal, lebih penting adalah pesediaan spritual. Perhati diri dan bicara pada hati, sejauh mana ilmu agama yang akan menjadi benteng pertahanan pada segenap dugaan dan godaan kehidupan. 

Jangan sesekali terlupa atau buat-buat lupa, kehidupan ini landasannya syariatullah. Saat kalian tersasar dari landasan ini, jangan terus dalam kesesatan. Jangan pernah mengalah dan kekal dalam kekecewaan. Suluh laluan itu dengan cahaya kebenaran. Merayu dan merintihlah pada Dia yang Maha Berkuasa. Pohon kemapunan atas segala khilaf dan dosa. Kuncinya begitu. Tersalah dan tersilap, sedari dan mohon keampunan. Asal sahaja, disertai dengan istighfar dan sesal untuk tidak mengulanginya lagi. Perjalanan kalian masih panjang. Pancarobanya tiada siapa menduga. Jangan pernah terlupa, Dia tidak pernah membiar kita sendiri. Walau semua manusia menyisih dan alam terasa sepi, Dia sentiasa ada mendengar dan menanti kita merintih. Inilah indahnya kita yang hidup bertuhan.

Akhir bicara, sepanjang 2 tahun perkenalan mesra..semoga yang manis ada untuk dikenang. Pada semua salah dan silap kemaafan dipinta. Simpanlah yang baik dan buanglah yang keruh. Terus mengenang diri ini dalam doa kalian. Doakan juga insan kerdil ini kekal dalam landasan keimanan. Mampu terus mendidik adik-adik kalian di white bridge dengan penuh dedikasi. Semoga kejayaan dunia akhirat mengiringi langkah kita semua.

Dari insan yang kalian panggil Cikgu.

Wednesday, January 21, 2015

Penyejuk Mata Dan Hati

Panggilan umi dan abah
sudah semakin jelas nyata
tidak lagi kau tutur pelat
senyum sudah berbalas tawa
usikan semakin mesra
manja semakin ketara
terasa benar kau semakin membesar

Sudah punya banyak pinta
itu dan ini
sudah semakin banyak tanya
begitu dan begini

Tika keluar melihat alam
kau mahu di pimpin kiri kanan
sesekali mengajak berkejaran
berlari riang berteman gurauan

Apa sahaja tingkah mu
tidak pernah membosankan
hatta tangismu apatah lagi tawamu
senyumanmu menghilang lelah
pelukanmu menghangat jiwa
hingga mahu saja menghenti waktu
jangan berlalu memisah kalbu
saat kau tiada mata
hati gundah resah gelisah
membuak rasa segera bersua

begitulah kamu si penyejuk mata
sentiasa membuat hati umi
penuh warna cinta
Kamu..kesayangan umi!


* 21 Januari tarikh yang di nanti..menghitung usia srikandi hati bertambah setahun demi setahun..puisi ini khusus untuknya..terima kasih lagi untuk bicara sufi..menyimpan segala rasa hati. InsyaAllah..mudahan semua akan diterokai oleh si kecil..menyatakan untuknya..kasih umi sentiasa segar dan berpanjangn.
* 2 tahun ini juga semakin banyak belajar bahkan menginsafkan. Tidak mudah menjadi isteri..lebih sukar menjadi ibu. Anak menjadi cerminan. Tingkah yang tidak sedap di pandang mata mungkin saja dibelajarnya dari umi yang dekat dengannya. Mohon keampunan Sang Pencipta atas segala khilaf dalam mendidiknya. Hati tidak pernah putus berdoa..semoga dia terus menjadi penyejuk mata hati.


Pelangi Indah

  P agi ini seperti kelmarin. Hujan gerimis membasahi bumi. Mentari seakan malu keluar menyinar alam. Kabus tebal masih kelihatan di puncak ...