Petang menjelang, aktiviti kedua menanti. Bergerak ke Madrasah Darul Hidayah untuk program Tafaqquh Fiddin dan Qiamullail bulanan. Sudah kali ke4 untuk tahun ini. Bagi aku, ini kali pertama.
"Kalau sudah sampai program, ok sudah. Sebelum mahu datang tu..macam-macam halangan" seorang kakak memulakan bicara sementara kami menanti sambungan kuliah maghrib.
"Betul tu kak..halangan paling susah tu kadang-kadang diri sendiri." Jawabku dengan sebuah simpulan senyuman bersetuju dengan apa yang diperkatakannya.
Sejujurnya, hatiku sangat berbelah bagi untuk hadir program rutin jemaah ini. Macam-macam yang bermain di fikiran. Semuanya monolog diri berbaur hasutan nafsu. Namun dengan izin dan inayahNya, aku terpilih juga. Sampai agak lewat. Bilal sudah beriqamah menyeru para jemaah bersedia untuk solat maghrib. Ramai pula yang hadir malam itu. Adik-adik universiti yang pulang bercuti juga memanfaatkan masa cuti semester mereka. Mujur aku masih boleh menyelit di saf luar masjid untuk bersama-sama mengejar pahala berjemaah. Seperti kebiasaan, senja yang semakin hilang itu diisi dengan kuliah maghrib. Disampaikan oleh Ustaz yang menuntut ilmu dari Pondok Pasir Tumbuh, Kelantan. Gaya penyampaian "ala-ala pondok" benar-benar membangkitkan nostalgia. Ditambah lagi melihat pelajar-pelajar madrasah dengan "uniform" mereka. Aku tiba-tiba diserang kerinduan yang mendalam. Rindu pada suatu kenangan yang pernah aku lakar. Walau seketika namun cukup indah dan manis untuk aku kenang selamanya. Hingga ke hari ini, aku masih mengharapkan, ada ruang aku mengulanginya kembali.
Malam di sana, juga diisi dengan aktiviti kebiasaan yang sudah lama aku tinggalkan. Makan bertalam. Rasanya untuk 2010, ini yang pertama. Rasanya tetap sama. Kemesraan dan kasih sayang berukhuwwah kerana Allah. Sebelum merehatkan mata agar segar untuk berqiamullail esoknya, aku bersembang dengan seorang adik yang sudah lama tidak bersua fizikal. Sekadar berkongsi cerita di alam maya. Berlarutan juga sesi "berkongsi rahsia hati" itu hingga pukul 1.30 pagi. Syukur terjaga juga untuk qiamullail yang menjadi tujuan utama kedatangan ku ke sana. Berjalan dari bilik penginapan ke surau, di bawah kedinginan malam yang hampir berlalu, benar-benar indah ku rasakan. Terbayang kenangan zaman universiti. Sewaktu sibuk dengan aktivti pentarbiyyahan dan perkaderan. Cuma bezanya, saat itu aku bersama dia dan mereka yang aku panggil sahabat sejati. Hari ini mereka tiada di sisi. Hanya aku sendiri! Aku benar-benar bermonolog lagi..monolog berteman sebuah senyuman.
Kesekian kalinya, aku menyedarkan diri, keadaan sudah sangat jauh berubah. KAMI sudah tiada lagi. KAMI yang dulu beriringan ke program, makan setalam, bersembang hingga lewat malam sudah tidak ku rasai lagi. Semalam aku hanya sendiri. Masing-masing sudah punya hala tuju sendiri. Ada yang merantau meninggalkan bumi peladang, ada yang harus memberikan komitmen pada sebuah bahtera rumahtangga yang baru di bina, dan ada yang punya seribu macam urusan yang tidak memungkinkan kami bersama lagi seperti dulu. Kenyataan yang harus aku terima. Aku sangat percaya, perpisahan ini bukan perpecahan. Perpisahan ini adalah sebuah laluan untuk KAMI memburu sebuah kebahagiaan. Dan kebahagiaan untukku adalah kekal seperti dulu. Aku hanya perlu belajar menerima kenyataan ini...rasanya aku sudah semakin pandai! InsyaAllah..