Tuesday, May 24, 2011

Semangat Yang Hilang

aku mencari kamu lagi
kamu yang sering pergi
meninggalkan aku sendiri
tanpa pesan akan kembali

aku masih mencari kamu
mengharap untuk terus bertamu
jangan biarkan segunung rindu
aku tanggung dalam sendu

pernah ada kamu titip
sebuah nota kasih
minta aku jangan berpaling
pada sebuah bai'ah cinta
pernah ada kamu bisik
sebuah azimat jiwa
minta aku terus utuh
pada sebuah ikrar cinta

acapkali aku terleka
pada buaian janji yang kau balut indah
aku telan perit pedih menanggung derita
kerana aku yakin semua akan sirna
hilang pergi dari suramnya sukma

aku akan terus mencari kamu
memaksa kamu bermukim sejenak
di kamar hati yang kelam
menggerak kembali jiwa lemah ini
menggetar kembali tubuh longlai ini
menggagahkan kembali langkah dakwah ini

pintaku tulus buat kamu
kamu..si SEMANGAT ku yang HILANG
jangan tinggalkan aku lagi
jangan sesekali!





Saturday, May 21, 2011

Rawat Hati

Dia : Awak nampak tak bersemangat sejak akhir-akhir ini

Saya : Saya pun rasa saya sedang tak bersemangat

Dia : Ceritalah..saya pendengar yang baik

Saya : Masalahnya saya bukan "pencerita" yang baik

Dia : Awak kena bagi peluang orang lain bantu..saya tahu awak kuat..tapi adakalanya kekuatan
yang awak ada tak cukup kuat untuk melawan rasa sakit yang awak sedang tanggung.
Anggaplah saya bintang atau rembulan..awak sang malam yang sedang kekelaman..
saya nun di hujung sana..sedang menyinari awak..

Saya : Awak telah menyinari hati saya..sebuah senyuman yang mampu saya ukir kini, pancaran
sinaran yang awak hadiahkan. Awak bantu saya tanpa perlu menjadi pendengar yang
baik. Tetapi awak membantu saya dengan menjadi teman yang baik. Terus temankan
saya kenal hakikat diri. Manusia tidak bernama manusia tanpa sebuah ujian. Dan awak
tidak pernah meninggalkan saya terus hanyut dengan ujian ini, tetapi awak pimpin saya
meredah lautan ujian ini dengan sebuah kesabaran. Saya mohon maaf gagal
mempamerkan semangat yang awak minta saya genggam erat. Beri ruang saya merawat
hati saya. Memimpinnya untuk tidak bertanya bila sabar ini akan berakhir..tetapi terus
belajar untuk bersabar.

Dia : Saya akan sentiasa ada..menanti senyuman yang awak ukir seketika tadi terus terukir
indah..saya akan terus setia..bahkan akan lebih gagah..persis mentari..sisih semua kelam
hati awak.

Saya : Terima kasih..Justify Full
[tiada kebahagiaan mutlak..tiada juga dukacita yang selamanya..bahagia dan derita yang bersilih ganti inilah warna kehidupan..
andai kamu adalah "DIA" terus pimpin temanmu meletakkan Allah di hati mendepani hitam putih kehidupan
andai kamu adalah "SAYA" usap sesak dadamu..Allah mahu beri kamu sesuatu!]

Friday, May 13, 2011

Sebuah buku merah

Dia : Saya nak musafir dalam beberapa hari,.

Saya : Atas tujuan apa?

Dia : Memenuhi tuntutan kehidupan dunia. Alang-alang dah nak harijadi awak, saya nak belikan
hadiah sekali.

Seperti yang dijanjikan, beroleh 2 buah buku. Hadiah yang cukup besar rasanya. Walau hadiah ini diperolehi sebelum tarikh sah sebuah hari bernama hari ulangtahun kelahiran. Menerimanya 1 Mei 2011. Bersisa 12 hari sebelum 13 Mei 2011. Dengan azam dan kesunguhan yang tinggi aku nekad menghabiskan pembacaan dalam tempoh 12 hari itu.

Melihat tajuknya saja sudah cukup mengujakan untuk di hadam isinya. MENJADI WANITA SUPER DENGAN ASMAUL HUSNA. Ternyata isinya juga sehebat kulit bukunya. 12 hari pengalaman berteman buku ini menjadikan hari-hariku indah. Berbalut dengan ketenangan. Mengajarkan erti kesabaran. Menginspirasikan sebuah kecemerlangan hidup yang sejati.

Buku ini bernuansakan motivasi diri. Setiap Nama Allah yang indah diperjelaskan dengan hujah dan pandangan dari sumber yang pelbagai. Bukan sahaja daripada Al-Quran dan hadis ataupun kalam ulama' tetapi juga daripada sarjana barat. Menceduk hikmah yang sememangnya milik umat Islam.

Satu pengalaman yang paling terkesan sepanjang pembacaan buku ini, aku belajar dengan mendalam apa makna sebuah ujian. Bagaimana mendepaninya dan mengubahnya menjadi sisi yang positif. Menyentak lena pada dunia yang sangat sementara sifatnya ini. Tidak perlu menangis pada sebuah kehidupan yang ada hujungnya ini. Mengajar minda dan menyuluh hati, matlamat hakiki kehidupan ini bukan di sini, di dunia ini, tetapi di sana, akhirat yang pasti.

Terlalu banyak rasanya yang mahu dinukilkan, tetapi apa yang di rasa tidak mudah diterjemah menjadi sebuah kalimah. Cuma satu yang dapat ku simpulkan WANITA SUPER menurut buku ini adalah menjadi wanita yang rintang pada ujian. Positif pada kehidupan dan menyemai benih kehidupan dengan amal taqwa agar mampu menuai hasilnya di akhirat sana dengan beroleh fardausi yang diimpi.

13 Mei tahun ini, masih indah seperti tahun-tahun sebelumnya. Disamping jamuan ikan yang "besar-besar", sotong dan ketam yang menyelerakan, sumbangan ikhlas kakak sulungku, ucapan bertalu-talu teman-teman menerusi FB dan SMS dan tidak ketinggalan sebuah buku merah yang berjaya aku khatamkan pada 4.45 petang, 13 Mei 2011.



Penghargaan khas buat Si Pemberi Buku. Dalam maksud mu menghadiahkan ku buku ini. Andai ini permintaanmu buatku, dengan setulus hati aku berdoa, semoga Allah memilihku menjadi WANITA SUPER ini!



Monday, May 2, 2011

Teman Musafir

Salam Palestine

Cuti 3 hari nampaknya terisi bermakna. Diberi kekuatan dan kesempatan masa dan kewangan untuk bermusafir. Mulanya agak risau, bukan apa, teman musafir kali ini si adik-adik yang belum di kenali hati budinya dengan mendalam. Sekadar mengenali melalui usrah dan program-program yang kami hadir bersama.

Benarlah kata, mahu mengenali seseorang dengan mendalam, kenali semasa musafir. Perjalanan 3 hari 2 malam ternyata menyingkap karektor mereka satu persatu. Bahkan karektorku juga pastinya sudah mereka kenali dengan lebih dekat. Terzahir siapa sebenarnya "kakak" yang mereka "segankan" ini.

Musafir ke daerah yang terkenal dengan telur penyu ini memberi pelbagai input menarik. Bermula dari perbincangan mencari dan merealisasikan kemenangan dalam perjuangan menegak daulah Islamiyyah yang kami impikan hinggalah kepada mengambil ibrah dari karektor manusia yang pelbagai. Semuanya hanya menatijahkan satu, laksanakanlah segalanya hanya kerana mencari redha Allah, nescaya tiada gundah tiada gelisah. Walau yang diharapkan tidak menjadi kenyataan atau yang di anggap rupanya silap tanggapan.

Perjalanan ini menyedarkan aku, kita boleh belajar dari sesiapa sahaja. Tidak perlu terlalu selektif menilai manusia untuk mencari hikmah. Usia muda dan tua, remaja dan dewasa hanya ukuran angka. Jangan terlalu cerewet!

Saat mula belajar, tidak hanya perlu bersama teman-teman yang sudah "biasa" untuk menerus langkah dalam jalan perjuangan ini, hati berdetik, benarlah janjinya..jalan ini hanya untuk mereka yang terpilih sahaja. Allah akan gantikan yang lebih baik. Itu jaminannya agar kesinambungan rantai dakwah ini terus wujud. Jangan risau andai kehilangan teman dakwahmu yang dulu setia. Gantinya pasti ada bahkan lebih baik. Khuatirlah dengan penuh rasa takut, andai yang di ganti itu adalah kita! Tetapkan pada jalan perjuangan ini..doalah tanpa henti kerana kita tidak tahu nasib diri kita esok dan mendatang.

Semoga nama kita terus terlakar pada kanvas perjuangan ini..

p/s - buat teman musafirku..kamu teman musafir yang hebat!


Pelangi Indah

  P agi ini seperti kelmarin. Hujan gerimis membasahi bumi. Mentari seakan malu keluar menyinar alam. Kabus tebal masih kelihatan di puncak ...