Showing posts with label coretan diri. Show all posts
Showing posts with label coretan diri. Show all posts

Wednesday, July 11, 2012

Zahir syukur

Salam Palestine

Saya menulis lagi. Setelah agak lama menyepi. Ada juga beberapa teman yang mengikuti secara senyap dan setia bicara sufi bertanya khabar, sampai bila bicara sufi mahu terus sepi. Suami yang saban hari saya tatap wajahnya pun bertanya sedemikian rupa. Saya hanya membalas dengan jelingan manja. Saya sudah di depan mata, apa perlu lagi komunikasi bicara hati sebegini.

Hakikatnya saya juga tersangat rindu untuk menulis. Walau sedar tulisan ini sekadar menjadi koleksi simpanan peribadi semata. Diiring harapan, yang singgah membacanya perolehi sesuatu berupa natijah positif. Kehidupan baru menyukarkan sedikit untuk saya terus cergas di alam maya. Saya diserang perubahan hormon. Merubah rutin harian saya. Minat saya menghadap laptop jatuh menjunam. Baru-baru ini sahaja saya kembali normal seperti sediakala. Saya tersenyum juga, betapa kita sangat kerdil. Tiada upaya menentukan diri kita seperti yang kita hajatkan. Esok belum pasti seperti yang kita bayangkan malam ini.

Pengalaman diri ini saya muhasabah sedalamnya. Sungguh, sudah sebahagian 2012 kita lewati. Betapa saya terasa nikmat Allah hadir mencurah-curah. Satu persatu diselak peristiwa-peristiwa manis untuk saya pahat dalam memori kehidupan. Samada untuk saya peribadi, keluarga yang saya sayangi bahkan kerjaya yang menjadi sebahagian tuntutan kehidupan saya. Semua punya cerita manis dan indah.

Hingga adakalanya, saya termenung sendirian. Meraup wajah penuh kesesalan. Apa balasan saya pada kasih sayang Allah yang tidak bertepi ini. Sejauh mana saya mampu menzahirkan sebuah kesyukuran tanda terima kasih yang tidak terhingga. Saya sedar. Bukan sekadar di sini, tetapi jauh di sudut hati saya. Saya perlu terus kekal seperti dahulu. Sewaktu saya masih muda remaja. Saat saya bertemu sejalur hidayah. Hingga saya gigih berusaha. Merubah diri yang diselebungi awan kejahilan hingga berseri disinar cahaya iman. Saya masih harus seperti dahulu. Saat saya masih bujangan. Bebas ke sana dan ke sini atas urusan dakwah dan perjuangan. Walau sekadar hadir usrah dan mesyuarat yang tidak pun memerlukan saya berpanas di bawah terik mentari atau basah lencun disirami hujan.

Saya mengerti. Tidak mudah untuk masih seperti sebegini. Apatah lagi dalam kondisi saya yang sudah tidak muda remaja. Tidak punya kudrat lincah bertenaga. Saya juga bukan lagi bujangan yang bebas tanpa rantaian amanah dan tangguungjawab yang lebih besar. Namun, saya tidak punya banyak pilihan. Saya sudah melafaz baiah pada mereka sang murabbi juga pada diri. Saya harus terus berada bersama perjuangan ini. Walau apa jua keadaannya. Berpegang pada janji ini dan bertaut pada rahmatNya, saya akan terus menghantar doa pada Sang Pencipta, mudahan saya masih terus terpilih. Dan keadaan diri saya yang semakin tidak gagah dan idea saya yang sudah tidak semakin mencurah diterima penuh lapang hati oleh teman seperjuangan. Saya mohon juga, andai langkah saya terhenti tolong pimpin saya. Jangan sampai saya diam, senyap dan terus hilang. Saya tidak mahu nama saya dipadam dan terpadam dari senarai pejuang-pejuang agama ini. Saya risau penuh khuatir!

Saturday, February 4, 2012

Pelangi Indah

Salam Palestine

Minggu yang membahagiakan. Ada beberapa khabar yang menyeri taman hati. Penantian panjang yang berbaloi. Berkat sabar kata seorang teman. Saya akui kebenaran katanya. Dan saya memang sering kagum pada dirinya. Saat saya dan dia di uji dengan ujian yang terasa perit dan bagai tidak mampu untuk didepani, dia tidak pernah lepas dari mengucap kata sabar. Walau saya tahu, melafaznya tidak semudah mengotakannya.

Saat ujian datang silih berganti, saya semakin mengenal diri. Saya masih jauh dari sifat sabar itu. Bukan sekali, bahkan berkali-kali saya mengadu pada teman saya ini. Saya bagai tidak mampu untuk terus bertahan. Dia masih dengan tenangnya. Memujuk saya yang sedang lemah. Memujuk dengan bimbingan kalamNya. Pada sirah perjalanan RasulNya. Dia membawa saya kembali ke dalam diri. Menyedarkan saya yang sering mengaku mahu menjadi sang da'ie. Mahu berjiwa murabbi terutama pada anak-anak didik yang menanti diberi bimbingan. Dia terus mengulang bicara. Bersangka baik dengan DIA. Tidak diuji seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ada kemanisan di hujung jalan pedih yang sedang saya dan dia titi. Dan akhirnya, kemanisan ini sedang kami rasai. Hingga kami mampu tersenyum bersama.

Walau senyum saya beriring malu. Malu yang sangat pada DIA yang memberi ujian. Terkenang saat getir itu, saya kerap berwajah keruh. Lebih banyak mengeluh dari diam dan menahan bicara. Jangan menzahir kata yang tidak selayaknya bagi seorang yang sudah pernah merasa apa itu tarbiyyah. Senyum saya tidak semanis senyuman teman saya. Dan dia memang layak mengukir senyuman itu. Senyuman kemenangan untuknya. Kemenangan dalam peperangan ujian. Ternyata senjata utamanya yakni sabar senjata terbaik.

Dalam menikmati berita-berita baik ini, saya membisik diri. Hidup ini bagai putaran roda. Adakalanya di atas dan pasti akan berada di bawah. Saat saya sedang berlari menari riang di sisi pelangi indah dan di bawah langit biru, saya beringat sendiri. Pelangi indah ini akan hilang lagi dan langit indah biru ini akan gelap lalu menurunkan sang hujan putih jernih. Saat itu, saya berazam. Saya mahu menjadi seperti teman saya. Berlindung dari dibasahi sang hujan di bawah bumbung sabar. Saya akan bertahan hingga sang hujan pergi dan pelangi datang lagi. Waktu itu, senyum saya tidak tawar lagi. Manis seperti manisnya madu. InsyaAllah. :)



Tuesday, November 22, 2011

Cuti dan Sepi

Cuti sudah bermula. Sudah 4 hari sebenarnya. Cuma esok secara rasminya jadual ku bebas tanpa sebarang tugasan rasmi. Termasuk urusan perjuangan. [statement yang pasti tidak digemari oleh teman yang serius bekerja ^_^].

Seperti lazimnya, cuti masih sama coraknya. Mata lewat tertutup, lewat juga terbuka semula. Dugaan cuti yang paling berat aku rasakan. Tabiat tidur yang sukar diubah. Terkenang zaman persekolahan. Punya berazam untuk menikmati sepertiga malam, beli jam loceng besar. Siap letak di atas almari yang tinggi. Dengan harapan mampu gagah bangun. Sudahnya jam loceng berwarna hijau itu hanya bertahan seminggu. Habis hancur berkecai jatuh dari almari yang tinggi itu. Aku tetap juga tergam di katil. Gagal membangunkan diri!

Cuti ini juga, bermula dengan sedikit keresahan. Keghairahan ku pada buku jatuh ke tahap membimbangkan. Seingatku, sebulan dua ini, tiada satu buku mampu ku ringkaskan. Rak buku ku juga sudah lama tidak ku sapa. Kalau ianya mampu berkata-kata, pasti di pujuk rayunya aku. Kenapa meninggalkannya sedemikian lama. Tidak sudi singgah membelainya mesra. Sedang dulu, dia teman setia. Mengisi hari-hariku indah. Menerobos dunia tanpa sempadan. Berundur jauh ke belakang. Meneliti sejarah yang beri sejuta pengalaman. Semuanya ada pada sebuah buku. Inilah aku yang semakin lupa daratan!

Orang selalu berkata, kesilapan beri kita pengajaran. Biar jangan sampai sejarah berulang. Jatuh ke lubang yang sama lebih dari sekali. Itu maksudnya, kesilapan hanya menjadi latihan. Latihan menjadi semakin kurang baik. Namun, seakan cuti ini bermukaddimah sebegini. Aku bagai mahu di tanam sahaja di dalam lubang ini. Aku yang masih tidak sedar diri!

Lebih buruk, cuti menghilangkan teman bicara ku. Walau nada yang lebih tepat, teman yang aku paksa mendengar ceriteraku. Aku terjah dengan persoalan yang hanya memberatkan mindanya. Aku asak dengan teori-teori kehidupan yang aku cipta hingga menyesakan jiwanya. Walhal, cuti ini latihan, sebelum dia benar-benar meninggalkan aku. Aku yang tidak pernah mahu mengerti...

Adakalanya aku terfikir, mungkin sahaja aku silap memilih profesion. Tidak sesuai dianugerahkan cuti yang panjang. Cuti sering memberi konotasi negatif pada bicara kehidupan. Ini tahun kelima aku berperasaan sebegini..Cuti dan sepi..aku tidak boleh lari!

p/s-kamu yang membaca..jangan membuat resolusi..aku perlu segera bertukar status..sebagai satu solusi..cuti menjadi lebih bererti..ingat..resolusi cadangan itu bukan di bawah kawalanku..bahkan jauh dari jangkauanku..matikan saja mainan minda "nakal" mu itu!

[mengazetkan lagi kisah cuti yang panjang di sini..untuk tujuan perbandingan..terutama saat aku sampai seru..hidup tidak lagi sendiri..]

Sunday, November 13, 2011

Mengaku tanpa ragu

"Rupanya..dia tua lagi dari kita..nampak muda je kan"

"Itulah..tak kahwin lagi kan..nampak tak matang lagi..macam awak lah"

"Erk?"

Dialogku dengan teman rapatku beberapa waktu dulu. Ada kaitan rupanya kematangan dengan sebuah perkahwinan. Sebentar tadi :

"Rupanya baru 25 umurnya..aku punyalah berkakak dengan dia"

"Haa..iya ka..aku pun ingat lebih tua dari kita"

"Awal dia kahwin..umur 21..anak pun dah 2 orang..kita jak ni yang lambat"

Lagi dialog kaitan kematangan dengan status perkahwinan. Seakan aku semakin bersetuju dengan teori ini. Bersandarkan kepada pengalaman-pengalaman peribadi yang mencorakan kehidupanku. Samada soal keluarga bersama ahli keluarga, hal-hal kerja bersama teman kerjaya ataupun urusan perjuangan bersahabat sejemaah. Aku sering merasakan aku masih "muda" dan kurang keyakinan untuk memberi keputusan. Hal-hal kecil pun, aku kerap merujuk dengan orang lain. Walaupun usia kami sebaya atau dia lebih muda, tetapi dengan statusnya yang sudah berumah tangga, aku rasa pandangannya lebih bernas dan rasional.

Semoga ramai menyedari, rasa kurang yakin diri ini mempengaruhi kehidupanku. Semoga juga, mereka akan mengerti, aku budak yang masih sangat mentah dan perlu lebih banyak belajar. Jangan menilai dari luaran atau satu kelebihan yang menutup seribu kelemahan untuk memberikan aku tanggungjawab di luar kemampuanku.

Semoga lagi, aku akan segera berada dalam "zon matang". Memastikan aku tidak terus terlabel suka mengelak juga mengelat. ^_^

[menulis ini kerana terkenang di tawarkan sesuatu yang di luar jangkaan..serius..aku masih belum matang..mengaku tanpa ragu :)]

Thursday, October 6, 2011

Mengaharap tanpa lelah

Salam Palestine

Berukir senyuman membaca laman muka buku hari ini. Bukan kerana penangan cinta muka buku yang sering di ulang nyanyi anak buahku atau anak-anak jiranku. Tetapi saat membaca khabar hijrah beberapa orang artis. Beralih dari kelam cahaya dunia glamour mereka kepada sebuah kehidupan bersuluh nur hidayah. Lebih membahagiakan, hijrah mereka di tambah nilai dengan terjun ke tengah masyarakat. Berkongsi nikmat bahagia yang sedang mereka kecapi kini. Indahnya bersama Islam.

Tidak dinafikan, dunia glamour yang menjadi teman kehidupan mereka selama ini memberi kelebihan kepada pesona dakwah. Mereka tidak perlu mengenalkan diri kerana umum sudah mengenali mereka. Kisah silam mereka yang hitam diputihkan dengan sejuk mata memandang penampilan dan wajah baru mereka.. Alhamdulillah.

Disebalik ini, pastinya yang lebih mencabar adalah untuk kekal dan istiqamah. Tiada siapa dapat menafikan payahnya menjaga istiqamah. Nabi SAW sendiri beruban dengan ayat Al-Quran daripada Surah Hud yang mencerita perihal istiqamah. Ini jugalah rasa yang sering membeban jiwa. Risau diri terutamanya. Sejauh mana langkah ini mampu terus melangkah. Melangkah pada jalan yang lurus dan benar.

Kerisauan berganda saat menatap wajah anak-anak didik yang punya keinginan dan sudah memasuki daerah perubahan. Daripada tidak bertudung, kini berusaha untuk menjaga aurat. Daripada sekadar bertududung kini berusaha sentiasa bertudung litup. Daripada membiar solat tidak terjaga kini berusaha solat tanpa culas. Tidak punya kudrat yang ampuh untuk terus memerhatikan mereka betul dalam segenap tindakan. Benar dalam setiap pemikiran. Hingga sering berbisik, jagalah diri semoga itu menjadi asbab mereka terjaga.

Sesungguhnya hidup adalah perjuangan. Rehat seketika hanya saat menutup mata di buai lena. Sebelum menanti rehat selamanya ketika roh meninggalkan jasad. Bukankah sifat orang mukmin itu tidak pernah kenyang dengan kebaikan. Rehat yang sebenarnya saat dia sudah sedar yang dia sedang berada di dalam syurga. Semoga dia adalah diriku. Mengharap tanpa lelah!

Pelangi Indah

  P agi ini seperti kelmarin. Hujan gerimis membasahi bumi. Mentari seakan malu keluar menyinar alam. Kabus tebal masih kelihatan di puncak ...