Monday, August 16, 2010

Ramadhan : Shahrul Quwwah

Salam Palestine

Maghrib esok, genaplah seminggu puasa di bulan Ramadhan tahun ini. Pantas kan masa berlalu. Seakan kita sedang berkejaran dengan masa. Kita alpa dan leka, masa pantas memintas meninggalkan kita. Ternyata Ramadhan dengan keberkatannya, sememangnya bulan yang dinanti bagi insan yang serius memburu taqwa. Ternyata tingkah laku dan sikap semasa bulan ini sangat mudah dibentuk dan dibimbing. Buktinya, di bulan mulia ini, sangat ringan mahu bertilawah dan menjadi sahabat akrab Al-Quranul Karim. Sehari menghabiskan 2 juzu' tidak sesukar mana. Sangat kontra tatkala berada di selain bulan Ramadhan, mahu membaca semuka Al-Quran sehari pun, perlu disiplin diri yang kuat.

Tidak hairanlah jika ada ulama' memberi jolokan Ramadhan Kareem ini sebagai Shahrul Quwwah, yakni bulan potensi. Ramadhan seharusnya menjadikan kita lebih proaktif. Terlebih khusus dalam soal beribadat. Bagi meraikan ganjaran berganda yang Allah tawarkan khusus di bulan ini.

Cuma adakalanya, sedikit masalah timbul apabila, ibadat-ibadat yang mudah dilaksanakan ini sekadar menjadi "ritual beribadat" semata-mata. Tidak terasa roh dan pengayatannya. Perlu mencari teori bagaimana supaya keduanya bergerak seiring. Kuantiti dan kualiti. Kalau tidak dimulakan di bulan potensi ini, pastinya lebih sukar di bulan-bulan yang lain. Ayuh..cari solusi! ^_^

Monday, August 9, 2010

Luaskanlah..jangan disempitkan.

Salam Palestine

Rasanya ini kali ke 4 dalam minggu ini, aku berhajat untuk menulis. Namun sekadar tinggal hajat sahaja. Idea ada, tetapi jemari seakan kaku menari. Pincang gerak gerinya buat menukil sesuatu meneman bicara sufi.

Musibah ujianNya masing belum berakhir. Tidak sangka ST7909K terlalu lama ditahan di "wad" hingga aku hilang fokus pada segala perancangan menyambut shahrul barakah yang hanya sehari sahaja lagi sebelum membuka tirainya. Beberapa perancangan di sekolah sedikit kelam kabut. Apatah lagi, teman berfikir dan berbincang juga turut di uji oleh Yang Maha Menguji. Sahabatku terpaksa mengambil cuti kecemasan balik ke kampung halamannya, semoga semuanya dalam lindungan rahmat dan kasih sayangNya. Apa jua yang bakal berlaku, moga dia tabah menerimanya.

Terngiang-ngiang ditelingaku kata-kata seorang rakan sekerja sewaktu aku ziarah ke rumahnya.

"Cikgu-cikgu di sekolah kita tu, kurang sensitiviti pada agama..itu yang jadi macam itu"

Ulsannya pada satu isu yang berlaku. Aku sekadar memberikan senyuman tawar. Tidak berminat dan berdaya mahu mengulas panjang. Aku sangat akur pada realiti ini. Sedangkan yang sudah ditarbiyyah sekian lama, bahkan masih berada di saf perjuangan selaku barisan pimpinan tidak terasa berkewajipan menyubur biah solehah di sekolah, apatah lagi orang lain.

Kerja dakwah ini bukan kerja mudah dan bukan kerja bermusim. Lebih malang dan mengecewakan, ruang-ruang dakwah hari ini, terlalu banyak musuh luaran dan dalamannya. Ditambah lagi dengan sempitnya pemikiran sesetangah dai'e dalam membentuk jaringan dakwah itu sendiri. Aku secara peribadinya, sangat tidak berkenan dengan para dai'e yang terlalu taksub dengan wasilah dakwah yang didokonginya. Hingga saja menganggap, dai'e daripada wasilah yang lain bukan sebagai teman perjuangan.

Bukankah molek, andai kita meraikan siapa sahaja yang sudi terjun dalam bidang dakwah ini. Bukan masanya kita menilai dan berusaha mempromosikan bahawa wasilah dakwah kitalah yang terbaik. Berusahalah mencari titk persamaan dan menyempitkan jurang perbezaan. Kerja dakwah kita yang sebenarnya adalah mengajak ummah yang masih belum kenal dakwah yang kita bawa ini. Inilah yang utama.

Jom recharge semula tenaga dakwah kita sepanjang Ramadhan ini..Semoga langkah dakwah kita akan semakin perkasa selepas ini..

Ramadhan: Shahrul Quwwah


Thursday, August 5, 2010

Tidurlah mata

Tidurlah mata
malam sudah terlalu gelita
berteman sinarnya purnama
di sisi bintang nan bercahaya

Tidurlah mata
jangan biar minda terus berbicara
membuka semua kisah
dan segala memori yang tercipta

Tidurlah mata
jasad sudah letih lelah
perlu rehat agar esok ceria
tanpa beban dan serabut jiwa

Tidurlah mata
mohon izin pada Pencipta
esok masih mampu terbuka
kembali menerus lagkah
memburu redha dan maghfirah

Tidurlah mata..tidurlah..tidurlah..



Friday, July 30, 2010

Banjir Besar Kg. Pasir Putih

Salam Palestine

Minggu yang mencabar. Khamis yang siangnya biasa-biasa sahaja, tidak disangka berubah tragedi malamnya. Aku yang sedang khusyuk di depan laptop, dikejutkan dengan jeritan adikku dari ruang tamu.

"Kak Mirah..cepat-cepat kasi keluar keretamu" Jeritnya tercungap-cungap

Aku tidak terkejut sangat. Bukan baru kali ini, air naik tinggi hingga mencecah parkir kereta. Sudah acapkali berlaku. Aku yang malas mahu keluar dan bersiap, sekadar memberikannya kunci kereta. Mengarahkannya meminta tolong abang sulungku.

Aku yang masih tidak beranjak dari depan laptop, rasa tidak senang apabila suasana agak kecoh di luar. Aku bergegas ke koridor melihat sendiri apa yang terjadi.

MasyaAllah..derasnya air banjir ni. Aku sangat terkejut. Suasana memang sudah mula kelam kabut. Apatah lagi jiran-jiranku yang rumahnya rendah. Berhempas pulas cuba menyelamatkan barang-barang yang mampu diangkat. Emak ku dari arah dapur menjerit-jerit meminta kami membantunya mengalihkan barang-barang yang sudah mula hanyut.

Aku hanya mampu beristighfar dan tergamam melihat derasnya air yang sangat pantas memanjat rumah. Segera aku meminta adik-adik ku solat hajat meminta pertolongan Sang Kuasa, moga ujianNya ini mampu kami hadapi dan semuanya selamat.

Kami semua hanya mampu mundar-mandir. Sekejap ke belakang rumah, melihat emak yang resah ditangga dapur. Risau melihat air yang semakin deras. Kejutannya belum hilang, apabila tangki air yang besar dan berisi air itu boleh hanyut dibawah air. Kemudian ke depan rumah lagi, duduk ditangga, berdoa janganlah air sampai mencecah lantai.

Bermula pukul 7.30 malam hingga 11.00 malam, barulah air mula mahu surut. Itupun masih deras lagi. Aku juga mendapat khabar dari abang iparku, keretaku tidak dapat diselamatkan. AllahuAkbar..sedikit terkesan juga mendengar khabar itu.. Tidurku malam itu, ternyata tidak lena. Apatah lagi orang-orang kampung masih berjaga-jaga.

Keesokan paginya, kesayuan meneman pagi kami semua. Melihat kampung bagai tsunami kecil. Kereta yang senasib dengan keretaku, terdampar bersalut lumpur. Syukur kami sekeluarga panjatkan, kami masih punya rumah yang utuh berdiri. Sadang ada rumah yang ranap. Sesungguhnya kisah semalam ini, sekali lagi, menguji keimanan kami semua. Aku yang "patah kaki" beberapa hari, seharusnya, meluang masa berbicara pada Sang Penguasa, menyelam hikmah semua ketentuan ini.

Buat semua sahabat yang mengirim doa agar kami selamat dan tidak putus mengirim ucapan takziah serta keprihatinan atas musibah ini, terima kasih aku ucapkan.

Sedikit gambar yang sempat kami ambil, dalam keresahan melihat banjir yang bukan seperti biasa...






Wednesday, July 21, 2010

Nikmati keindahannya..

Salam Palestine

Pelbagai isu melingkar rakyat hari ini. Isu lama belum berkesudahan, isu baru pula membelenggu. Isu yang tidak berkesudahan bahkan semakin menekan, isu masalah moral. Bukan sahaja melibatkan generasi remaja, terpalit juga pada golongan dewasa. Bukan sahaja pada orang awam, termasuk juga penguatkuasa agama dan undang-undang. Statistik salah laku terus naik dan tidak turun-turun. Sangat menakutkan dan cukup menyeramkan.

Isu ulangan, isu kenaikan harga barang. Bukan kali pertama, kali keseterusnya. Bezanya kini, media diminta jangan menulis barang naik diminta ganti dengan perkataan yang lebih mesra telinga. Harga baru, penyelarasan subsidi antara istilah yang dipopularkan. Macam rakyat tidak celik minda dan jiwa. Rakyat hanya tahu satu, barang semakin mahal. Walaupun yang dinaikan hanya sebahagian, tetapi semua maklum, rantaian kenaikan harga barang pasti berlaku. Apalah nasib rakyat yang susah. Semakin disusahkan sedangkan ada yang tidak susut kemewahannya. Hendak marah dan tolong bela orang-orang susah ini pun, berfikir juga. Kenaikan harga barang ini dinaikkan oleh kerajaan yang menjadi pilihan hati orang-orang susah ini sendiri.

Isu lain, isu perpaduan orang melayu. Berkesempatan juga menyaksikan 13 episod wacana bolehkan melayu bersatu menerusi Facebook. Selaku pemerhati, konklusi yang boleh dipelajari, boleh bersatu dengan tiket Islam sahaja. Kalau masih ada satu pihak yang mewakili majoriti melayu tidak mahu akur syarat utama ini, sampai bila pun tak akan bersatu. Kalau bersatu pun, tidak padu. Sebab pengikatnya bukan akidah islamiah yang sudah djamin sangat utuh. Jadi, baik sahaja pihak yang mewakili imej Islam dengan lambang hijau putihnya itu, kekal dengan pendiriannya. Jangan risau, orang yang celik mata hati akan dapat menilai fakta dan auta. Walau ada suara-suara sumbang hatta dari golongan berkopiah sekalipun, tidak perlu rasa gentar dan tercabar. Pegang sahaja kata-kata tok guru, kalau kembali kepada dasar Islam..kita bubar.

Pengajaran dari semua ini, mahu tidak mahu, bermula dari diri sendiri baliklah kepada syariat Islam yang sebenar. Dari perkara yang kecil hinggalah perkara yang besar, jangan pernah terpisah daripada garis panduan yang telah ditentukan oleh sang pencipta alam ini. Kalau akhlak dan peribadi Islam yang kita pakai, tiada isu bohsia, bohjan, sumbang mahram, rogol, rasuah dan seribu macam lagi. Kalau sistem ekonomi Islam kita amalkan, tiada lagi riba, tiada lagi penindasan, tidak lagi yang susah terus susah, yang mewah terus mewah. Kalau sistem politik Islam kita aplikasikan, urus tadbir negara pastinya sejahtera. Semuanya akan tenang dan harmoni. Mahu sistem politik Islam, pastinya terlebih dahulu menerima parti Islam. Bukan kempen bukan melobi, sekadar minta kita renung bersama. Teringat kata-kata Dr. Asri yang boleh direnungkan bersama.

"Parti politik bukan maksum. Semua akan melakukan kesilapan. Bezanya, ada yang silap dari sudut dasar, ada yang silap dari sudut teknikal"

Pastinya kita tahu dan maklum, siapa yang silap dasar dan siapa yang silap dari sudut teknikal. Keindahan Islam itu kerana kesyumulannya. Jadi jangan rosakkan Islam kita dengan menerima sebahagiannya dan menolak sebahagiannya.

Islam indah..nikmati keindahanya!



Monday, July 19, 2010

Ruang masih ada..

"Data SMM ni penting..sumber maklumat. So akak plan kita betulkan data ni. Kita usahakan 90% tepat. Risau juga zalim dengan pelajar. Sepatutnya layak mendapat bantuan, tercicir pula disebabkan kesilapan kita" Perbincanganku dengan rakan SMM yang sangat banyak membantu.

Walau terpaksa bekerja keras berurusan dengan hampir 300 orang pelajar, aku gagahkan jua diri.

"Siapa nama penuh bapa kamu?" tanyaku pada seorang pelajar lelaki tingkatan 4.

" Tidak tahu cikgu" Jawabnya selamba.

"Aik..mana bapa kamu?" Tanyaku kehairanan

"Tidak tahu cikgu..." Jawabnya berterus terang.

Kisah seorang lagi pelajar.

"Siapa nama penuh ibu kamu? Tanyaku ringkas

"Tidak tahu cikgu, dari kecil saya tak pernah jumpa. Nenek yang jaga saya." Jawabnya sayu

Aku hanya mampu terdiam. Bukan seorang dua kes sebegini. Ada beberapa lagi. Belum masuk kes ibu bapa yang bercerai. Terzahir benar di wajah anak-anak didikku ini sesuatu yang mengecewakan. Agaknya, cemburu melihat rakan-rakan mereka punya sebuah keluarga yang sempurna.

Aku bertambah sayu apabila terpaksa menemubual anak-anak kepada ibu tunggal yang gigih bekerja. Pendapatan sekadar RM 350 sebulan namun terpaksa membesarkan anak-anak seramai 8 orang. Hati sayu ku tidak mampu ku sembunyikan.

Kesannya, aku kerap "berceramah" sebelum memulakan sesi P&P. Itulah set induksiku. Dalam nada pelbagai suara hati ku lontarkan. Adakalanya sayu merayu agar mereka mengenang jasa si ibu tua, si bapa yang kurang berupaya, si abang yang gigih bekerja atau kakak yang tidak mengenal lelah. Aku mohon mereka mengerti dan memahami, tidak mudah membiarkan mereka terus kekal bersekolah.

Ada waktunya aku lantang bersuara. Menyentak lamunan panjang mereka. Minta mereka bangkit dan mara membela kesusahan yang sekian lama membelenggu. Kemisikinan bukan sesuatu yang wajib untuk mereka warisi. Mereka mampu keluar darinya. Paling utama keluar diri kemisikinan ilmu dan pengetahuan agama. Berulang kali aku tegaskan..jangan biar miskin dunia kita bawa hingga miskin juga di akhirat sana.

Aku berpesan juga, kepada siapa yang ditakdirkan berhadapan dengan "ibu bapa derhaka" jadikannya sebagai satu pengajaran dan sempadan. Jangan warisi kejahilan mereka. Pastikan generasi yang bakal lahirkan nanti cukup kasih, sayang dan pedoman buat menongkah arus dunia. Namun, jangan sampai disimpan dendam kesumat buat ibu dan bapa yang derhaka itu. Sejahil mana pun mereka, mereka tetap insan yang harus dihormati. Doakan kebaikan mereka, samada di dunia juga di akhirat. Semoga Allah mengampunkan dosa dan kesilapan mereka.

Suasana senyap sunyi saat aku menutur bicara. Sejuah mana mereka memahaminya, aku tidak pasti. Apapun jua aku sudah melakukan sedayaku selaku insan yang hanya layak berusaha..selebihnya aku serahkan kepada pemilik hati-hati ini..semoga DIA mengabulkan niat dan harapanku..bukakan pintu hati anak-anak didiku ini, beri ruang mereka merasai indahnya nur hidayahNya..


Sunday, July 11, 2010

Jangan biar aku terus bermimpi...

waktu seakan tidak berdetik
suria seakan segan memancar
purnama bagai malu berlalu
segalanya seakan perlahan

lelahnya menjadi penanti
pada sesuatu yang tidak pasti

aku hanya mampu merenung
aku hanya mampu memerhati
aku hanya mampu mengimpi
belum pasti mampu memiliki

aku cukup lemah
aku sudah tidak berdaya
aku bagai mahu rebah
lemas dalam gelora rasa

segera kau pulang
tamatkan penantian ini
leraiakan rindu ini
jangan biar aku terus bermimpi

jangan biar aku terus bermimpi....







Pelangi Indah

  P agi ini seperti kelmarin. Hujan gerimis membasahi bumi. Mentari seakan malu keluar menyinar alam. Kabus tebal masih kelihatan di puncak ...