Sunday, February 24, 2019

Bertemu semula


sumber : google

Meluah kata tanpa bicara
Penuh sarat rasa
Walau tiada yang mengerti
Untuk apa..pada siapa
Aku biar saja
Dengan beban minda
Yang tidak mahu sudah
Setidaknya..
Hilang resah jiwa
Disinilah..
Semalam dan kini
Teman madah..
Tanpa jemu dan kisah
Menadah apa sahaja
Kamu memang setia
Terima kasih..Bicara Sufi !

Wednesday, May 11, 2016

Pendam


Meluah bicara tiada kata
Sekadar bermain di minda
Sesak sebak rasa jiwa

Hati berbisik sayu
Pedihnya memendam pilu
Balasan pada dosa lalu
Yang membekas dalam sendu

Akankah terungkai semua ini
Pergi bebas jauh diri
Aku mahu terus berlari
Tanpa pautan duri-duri
Tajam menusuk sanubari
Lelah terusan begini
Melayan monolog diri

Beratnya beban rasa ini!

Semoga malam ini
Masih mampu bermimpi
Esok mentari pagi
Menyinar kelam hati
Walau mungkin cuma sehari.



# Dua hari lagi usia genap 33 tahun..beban ini masih tertanggung.
# Semoga khilafku tidak diwarisi..

Monday, November 23, 2015

Perjalanan Masih Jauh

Salam Palestine

2015 yang semakin berakhir. Entry terakhir rasanya pada 21 januari 2015. Bicara tentang permata hati. Sungguh semakin sunyi bicara sufi. Jauh di sudut hati, tidak mahu ianya terus berkubur tanpa nota-nota cinta dan madah hati. Biarlah terasa syok sendiri. Setahun yang sunyi, ada waktunya saya menjenguk sendiri ke sini. Membaca semula coretan hati yang pernah dinukil. Senyum, terharu dan sejuta syukur..semuanya bercampur baur. Apatah lagi saat diri mula hilang motivasi dan diterjah rasa sepi, nukilan lama menjadi inspirasi. Kembali mencorak diri, bangkit dari kelesuan dan segar mengorak langkah pada kehidupan yang mencabar.

Hari ini sebenarnya, bersendirian di sekolah. Menjalankan tugas mengawas anak didik dengan kertas Matematik Tambahan mereka. Coretan hari ini khusus untuk mereka. Sudah lama saya berkira-kira mahu menukil sesuatu untuk mereka. Kelas 5 Sains yang mengimbau kenangan lama. Saat saya juga seperti mereka. Berbaju dan bertudung putih, berkain biru. Saban hari dengan rutin harian seorang pelajar. Bezanya dahulu saya belajar apa itu Kimia hari ini saya mengajar Kimia itu apa. 

Kelas ini istimewa. Entah mengapa, set induksinya sering sahaja bermula dengan tazkirah. Saya jadi mudah berkongsi cerita. Pengalaman-pengalaman kehidupan yang pernah dilalui tanpa selindung dan penuh jujur saya kisahkan. Nawaitunya hanya satu. Mahu mereka ambil ikhtibar dan pengajaran.

Sering saya ungkapkan, alam pelajar ini semuanya akan jadi kenangan. Manis atau pahit untuk diimbau bergantung pada apa yang mereka corakkan. Indah lakaranya, maka manislah kenangannya. Bukan keputusan akademik cemerlang sahaja satu jalan memaniskan alam persekolahan ini. Itu hanya sebahagian. Selebihnya bagaimana kita menjalani kehidupan di alam remaja yang penuh gelora. Ramai sahaja yang berjaya dengan keputusan cemerlang tetapi gagal pada penilaian Sang Pencipta. Lebih ramai lagi yang bukan sahaja gagal dengan akademik, bahakan juga gagal melepasi tapisan menjadi mukmin sejati. Ini bukan sahaja rugi bahkan sangat merugikan. Insan-insan ini, pasti sahaja kalau boleh mahu memadam segala memori alam remaja yang pernah dilalui.

Selesai sahaja peperangan SPM ini, bermula lagi cerita kehidupan yang baru. Alam peralihan menjadi dewasa. Ada yang akan berjaya ke manara gading, mungkin sahaja ada yang masih tidak ke mana-mana. Apa jua takdirnya, tempuhilah dengan segenap persediaan. Bukan sahaja persediaan mental dan fizikal, lebih penting adalah pesediaan spritual. Perhati diri dan bicara pada hati, sejauh mana ilmu agama yang akan menjadi benteng pertahanan pada segenap dugaan dan godaan kehidupan. 

Jangan sesekali terlupa atau buat-buat lupa, kehidupan ini landasannya syariatullah. Saat kalian tersasar dari landasan ini, jangan terus dalam kesesatan. Jangan pernah mengalah dan kekal dalam kekecewaan. Suluh laluan itu dengan cahaya kebenaran. Merayu dan merintihlah pada Dia yang Maha Berkuasa. Pohon kemapunan atas segala khilaf dan dosa. Kuncinya begitu. Tersalah dan tersilap, sedari dan mohon keampunan. Asal sahaja, disertai dengan istighfar dan sesal untuk tidak mengulanginya lagi. Perjalanan kalian masih panjang. Pancarobanya tiada siapa menduga. Jangan pernah terlupa, Dia tidak pernah membiar kita sendiri. Walau semua manusia menyisih dan alam terasa sepi, Dia sentiasa ada mendengar dan menanti kita merintih. Inilah indahnya kita yang hidup bertuhan.

Akhir bicara, sepanjang 2 tahun perkenalan mesra..semoga yang manis ada untuk dikenang. Pada semua salah dan silap kemaafan dipinta. Simpanlah yang baik dan buanglah yang keruh. Terus mengenang diri ini dalam doa kalian. Doakan juga insan kerdil ini kekal dalam landasan keimanan. Mampu terus mendidik adik-adik kalian di white bridge dengan penuh dedikasi. Semoga kejayaan dunia akhirat mengiringi langkah kita semua.

Dari insan yang kalian panggil Cikgu.

Wednesday, January 21, 2015

Penyejuk Mata Dan Hati

Panggilan umi dan abah
sudah semakin jelas nyata
tidak lagi kau tutur pelat
senyum sudah berbalas tawa
usikan semakin mesra
manja semakin ketara
terasa benar kau semakin membesar

Sudah punya banyak pinta
itu dan ini
sudah semakin banyak tanya
begitu dan begini

Tika keluar melihat alam
kau mahu di pimpin kiri kanan
sesekali mengajak berkejaran
berlari riang berteman gurauan

Apa sahaja tingkah mu
tidak pernah membosankan
hatta tangismu apatah lagi tawamu
senyumanmu menghilang lelah
pelukanmu menghangat jiwa
hingga mahu saja menghenti waktu
jangan berlalu memisah kalbu
saat kau tiada mata
hati gundah resah gelisah
membuak rasa segera bersua

begitulah kamu si penyejuk mata
sentiasa membuat hati umi
penuh warna cinta
Kamu..kesayangan umi!


* 21 Januari tarikh yang di nanti..menghitung usia srikandi hati bertambah setahun demi setahun..puisi ini khusus untuknya..terima kasih lagi untuk bicara sufi..menyimpan segala rasa hati. InsyaAllah..mudahan semua akan diterokai oleh si kecil..menyatakan untuknya..kasih umi sentiasa segar dan berpanjangn.
* 2 tahun ini juga semakin banyak belajar bahkan menginsafkan. Tidak mudah menjadi isteri..lebih sukar menjadi ibu. Anak menjadi cerminan. Tingkah yang tidak sedap di pandang mata mungkin saja dibelajarnya dari umi yang dekat dengannya. Mohon keampunan Sang Pencipta atas segala khilaf dalam mendidiknya. Hati tidak pernah putus berdoa..semoga dia terus menjadi penyejuk mata hati.


Thursday, September 26, 2013

Sudah-sudahlah

Sungguh...
Aku tercari waktu
berterbangan bebas
mengembara maya seluasnya
singgah dan terleka
berkongsi kisah suka
bersimpati cerita duka
kamu dia dan mereka

Sungguh..
Kita sering gelisah
Saat hilang yang dimiliki
Jarang pula merasa ada
Saat punyai semua
Hanya tahu satu
Sesal yang tak sudah

Sungguh...
Aku telah melaluinya
Bukan sekali, dua kali
Bahkan berkali-kali
Tapi masih begitu
Mencari yang tiada
Mahu yang tidak pasti
Sedangkan yang digenggaman
Sudah cukup indah

Sungguh...
Satu sahaja..
Aku mungkin perlu satu terjahan
Heiii..kamu!
Saat masanya melafaz kata..
SYUKUR!!

*Terilham kesan kerutan kening yang berlanjutan beberapa waktu ini..ada sahaja yang digundahkan..hilang pelangi indah dek kabus tebal yang menyesakkan..


Wednesday, July 31, 2013

Hari yang kau tinggalkan


Saat ini tiba jua
Hari yang sudah aku duga
Walau dengan berat untuk aku rela
Belain akur dan redha
berpisah usah gelisah

Mengiringi langkah akhirmu
Dengan wajah sayu dan pilu
Dan sebak yang tersembunyi jauh
Aku kunci di kamar kalbu
Enggan segalanya terlalu syahdu

Jujur hari yang dilalui sudah tidak seperti dulu
Tercari yang sudah biasa
Ternanti yang sudah selalu
Segala-galanya tentang kau dan aku

Aku teruskan langkah
Diteman bicara ingatan
Yang pernah kau tuturkan
Dan teguran kemaafan
Atas khilaf yang aku lakukan
Semuanya aku rangkulkan
Menjadi bekal kenangan
Untuk aku meneruskan
Hari yang kau tinggalkan

Sungguh..perpisahan ini
Akan aku rindukan...

* Bicara hati ini tanda kenangan untuk sebuah persahabatan. Bersama dalam pelbagai agenda kehidupan. Pastinya perpisahan ini meninggalkan kesan. Namun lumrah hidup..tidak ada yang akan kekal buat selamanya..
* Untuk kamu..sahabat yang aku tujukan bicara hati ini..semoga langkahmu terus maju..terima kasih atas segala yang telah dilalui bersama..maaf untuk khilaf yang sengaja dan tanpa diniatkan..
*Semoga juga..ada pertemuan lagi mengiringi perpisahan ini..Mari terus bersahabat kerana Allah




Tuesday, May 21, 2013

Duka tidak pernah lama

Salam Palestine

Hanya punya beberapa minit menyudahkan tulisan ini. Senggang masa menanti Isyak. Sambil tangan sesekali menghayun buai sang puteri yang sudah layu matanya. Terpanggil menulis. Bersama sarat perasaan mendengar beberapa kisah dukacita yang berlaku di sekeliling. Rutin yang pastinya akan hadir dan menjengah catatan perjalanan kehidupan. Lumrahnya memang begitu. Hidup tidak sekadar datar bagai padang pasir yang tandus. 

Saya juga disebalik kegembiraan, keriangan dan kebahagian dianugerahkan cahaya mata penyeri hati, hadir bersama kesedihan, kedukaan dan kegusaran. Saya ingat lagi betapa sayu hati saya saat anak dilanda demam selesma saat hanya berusia dua minggu di samping jaundice yang berpanjangan selama sebulan. Tanpa pengalaman menjadi ibu, sangat sukar untuk saya menguntum senyum ketika itu. Itu baru ujian kesihatan yang saya kira sangat kecil berbanding orang lain yang lagi hebat ujiannya. Terbayang saya, apalah rasa hati ibu-ibu yang sedang menjaga permata hati yang sedang di uji dengan penyakit-penyakit kronik hingga membawa maut. Melihat wajah mulus si anak kecil sahaja, rasa kasih dan sayang kita kepada mereka bercambah mekar.

Ada seribu satu lagi kisah duka yang pasti sedang dilalui oleh sesiapa sahaja yang bernama manusia di alam fana ini. Ada yang sedang berduka kehilangan orang yang tersayang, harta benda yang diusahakan atau tidak mendapat keputusan peperiksaan yang dihajatkan atau apa sahaja yang akhirnya membawa murung di hati. 

Saat bebas dari rasa ini, pada hari ini, saya belajar dari kisah semalam, hanya dengan kembali mengingati hidup ini punya pengakhiran dan akan kembali menemui tuhan, kisah duka, pedih dan lara hati itu sedikit hilang. Kembali mewaraskan akal fikiran dan menenangkan rawan hati yang tidak tenang, semua ini hanya ujian. Hadapilah...bukan lari dan mendiamkan. Hadapi dengan iman. Gagahkan diri. Dekatlah dengan sang pemberi ujian. Penawar ada disitu. Kedamaian dan ketenangan juga datang dariNya. Kelam malam tanpa bintang akan sirna dengan hadirnya mentari ceria bersinar indah. Masa terus berputar dan segala yang berlaku hari ini akan menjadi kenangan. 

Mari bersama menuju tuhan.

Pelangi Indah

  P agi ini seperti kelmarin. Hujan gerimis membasahi bumi. Mentari seakan malu keluar menyinar alam. Kabus tebal masih kelihatan di puncak ...