Bicara Cinta

"Assalamualaikum..welcome to sabah". Nada riangku menyambut panggilan telefon.

"Waalaikumussalam.belum sampai lagi lah..ni di LCCT. Petang baru sampai. " Jawabnya juga dalam nada ceria.

"Siapa ambil di airport? duk hotel mana?" Tanyaku bertubi-tubi

"Awaklah ambil ya..kan selalu sanggup bekorban.." Jawabnya diselangi gurauan.

"Jauh sangat bah..lainlah kalau di Tawau. Tak apa, sekarang tak payah bekorban, dah ada yang akan berkorban 24 jam" Jawabku mengusik disertai senyum tertawa.

Perbualan telefon dengan seorang sahabat lama yang berkunjung ke Sabah untuk berbulan madu. Terasa bagai baru semalam berdua bersama hidup sebagai sahabat setia di menara gading. Dua tahun dipisahkan oleh jarak dan masa. Hari ini, keadaan sudah berubah. Dia telah pun bergelar isteri kepada seorang lelaki yang tidak aku kenali. Cuma aku yakin dan pasti lelaki itu adalah yang terbaik untuknya bahkan lelaki itu sangat bertuah memiliki dia seorang insan yang punyai banyak kelebihan. Bukan sahaja tingkah laku yang menyenangkan, tetapi juga punya sekeping hati nurani yang suci murni. Kalaulah jarak Tawau-Kota Kinabalu ini sekadar 100km, akan ku redah jalan raya agar bisa bertemu dengannya. Melepaskan rindu dan menyampaikan salam tahniah buatnya. Apakan daya, jaraknya melebihi 1000km. Terpaksalah sekadar butir bicara menerusi telefon sebagai ucapan selamat datang buatnya.

Satu Malaysia rasanya, cuti ini penuh dengan majlis perkahwinan. Sana-sini ada majlis dan jemputan. Sehari bukan satu, kekadang sampai 2-3 jemputan. Pagi tadi juga, mak sempat memaklumkan hari ini ada "tour walimah". Ada 10 undangan walimah yang kena dihadiri. Mak sememangnya jenis yang akan memenuhi semua jemputan. Katanya, kalau malas ke kenduri, esok lusa kita buat kenduri, tiada orang nak datang. Mujurlah abangku sudi menjadi "supir" mak. Dapatlah aku memenuhi tuntutan kerjaku yang lain.

Bila musim kahwin ni, orang-orang yang bujang seperti aku ada juga kesannya. Pasti punya soalan yang akan di tanya.. "haa..dia dah kahwin, ko bila lagi?" Ini soalan standard dan kalau dibuat pengumpulan soalan, jenis soalan macam ini menduduki tangga teratas. Paling banyak! Walaupun soalannya mempunyai nada yang sama, tetapi adakalanya aku memberikan jawapan yang berbeza.. "belum sampai seru lagilah".."belum ada yang masuk meminang".."masih mahu bujang lagi" dan pelbagai lagi aneka jawapan yang masih menjadi tanda tanya kepada yang bertanya. Macam mana aku nak berikan jawapan yang tepat, aku sendiri tidak punya jawapannya...hihi

Menyentuh soal jodoh dan perkahwinan ini, sesuatu yang sangat "complicated" aku rasa. Takdir diri, jodohku tak semudah orang lain. Tak semudah sahabat-sahabatku yang dah pun selamat diijab kabulkan. Ada yang tak pernah jumpa dan kenalpun, kerana memang dah jodoh, selamat dah. Ada yang kenal sebulan setengah sahaja, kerana jodoh, selamat dah. Ada yang tak ready lagi nak kahwin..kerana dah sampai jodoh..kahwin juga. Cuma, sejak dua menjak ini, bila ramai sangat kawan-kawan yang dah kahwin, satu benda yang aku belajar, kahwin ini bukan perkara mudah dan boleh diambil mudah. Boleh nak ambil mudah, tapi bersedialah untuk sedikit sukar dihari mendatang. Sebelum semangat hendak tamatkan zaman bujang, wajib bersedia dari segenap aspek. Mental, fizikal, spritual dan segalanya lah. Jangan main tangkap muat sahaja. Perkahwinan itu sendiri adalah satu risiko, jadi jangan tambahkan lagi risiko-risiko yang sedia ada.

Jalan paling selamat, memahami, menghayati dan mahu mengaplikasi konsep perkahwinan menurut Islam. Jelas apa tujuan perkahwinan, mengerti dimana nilai perkahwinan dan tahu apa pengisian kepada sebuah perkahwinan. Semuanya ini harus disandarkan kepada syariat Islam barulah segala kebaikan dan hikmah perkahwinan itu mampu dinikmati. Tidak siapa dapat menyangkal bahawa perkahwinan itu satu nikmat. Perhatikan sahaja amaran Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadis baginda kepada yang menyangkal perlunya untuk berkahwin:

"nikah adalah sunnahku, dan barangsiapa tidak suka akan sunnahku, maka dia bukanlah dari umatku"

Sesungguhnya jodoh itu rahsia Allah. Sesuatu yang tidak mampu kita tetapkan menurut dan mengikut kehendak kita. Kita punya hak mencari dan memilih teman mengharungi sebuah alam bernama alam rumahtangga, tetapi hak untuk memperkenankan permintaan dan pilihan hati kita hanya Allah Yang Maha Berkuasa. Makanya, kepada yang masih bersamaku dengan status bujang ini, mari kita tunaikan hak kita. Mencari, memilih dan paling penting meminta pada Dia yang Maha Menentukan..

"Ya Allah, aku memohon petunjuk daripadaMu dengan ilmuMu dan aku memohon ketentuan daripadaMu dengan kekuasaanMu dan aku memohon daripadaMu akan limpah kurniaanMu yang besar. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkaulah Yang Maha Mengetahu segala perkara yang ghaib. Ya Allah, seandainya Engkau mengetahui bahawasanya urusan ini (sebutkan..) adalah baik bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, takdirkanlah ia bagiku dan permudahkanlah serta berkatlah bagiku padanya da seandainya Engkau mengetahui bahawa urusan ini mendatangkan keburukan bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, maka jauhkanlah aku daripadanya dan takdirkanlah kebaikan untukku dalam sebarang keadaan sekalipun kemudian redhailah aku dengannya".

Tidak akan menyesal sesiapa yang bertanyakan penciptaNya dan berbincang dengan orang-orang mukmin kemudian berhati-hati dalam menangani persoalannya. Setelah dilaksanakan segala hak kita sebagai hamba...maka bertawakkallah kepada Allah..Bujang tidak berlalu sia-sia tetapi juga penuh dengan ibadah...Indahkan hidup bersyariat... :-)



Comments

Popular posts from this blog

Zon Selesa

Kisah Kita

Pendam