Salam Palestine
Sudah 5 Syawal hari ini..kekerapan menulis sudah semakin berkurangan. Idea tidak mencurah-curah dan masa agak terbatas dengan sambutan raya. Tidak berziarah, akan diziarah. Itulah Hari Raya.
5 Syawal yang berlalu masih mencatatkan kisah serupa seperti tahun-tahun sebelumnya. Menjelang raya sibuk ke pasar. Berseorangan kali ini. Tidak sampai hati mahu menyusahkan mak yang punya tuntutan kerja yang banyak. Meredah pasar seawal 6 pagi, terasa benar macam "makcik-makcik". Tapi apakan daya, inilah amanahku. Kerja keras diteruskan dengan membantu mak menyiapkan "buras" dan "tumbuk kacangnya". Sekadar membantu sahaja. Belum mampu menyiapkannya seorang diri. Banyak proses yang masih gagal. [Sabar jak lah mak..dapat anak yang "serba tak boleh ni" ^_^]
[buras yang belum diikat dan direbus]
[Tumbuk Kacang yang belum dibungkus, diikat dan direbus]
Hari Raya pertama, aktiviti rutin, bersolat sunat Aidil Fitri di Masjid Ar-Raudhah, SMK Jambatan Putih. Suasana tenang dan damai menjadikannya destinasi masjid pilihan mak dan kami 3 beradik. Balik rumah, selesai sesi fotografi, ziarah kubur 4 insan yang telah dahulu pergi meninggalkan kami. Atuk, nenek, bapa dan abang. Aktiviti yang harus diberi anjakan.Ziarah bukan sekdar 2 kali setahun. Hanya ketika hari raya..samada Aidilfitri mahupun Aidiladha. Tujuan ziarah kubur kan untuk kita mengenang akan sebuah kematian yang sememangnya pasti. Kalau terasa hati sudah kotor dan keras..berkunjung ziarahlah ke sini..insafi sebuah tempat persinggahan yang memberi maklumat ke mana akhirnya perjalanan kehidupan kita nanti. Raya kali ini, sedikit "istimewa" kerana berpeluang menziarahi sahabat nisa' dan unit amal yang kehilangan insan tersayang di awal bulan Syawal. Sekali lagi..kematian menjadi peringatan di hari meraih kejayaan.
Dari Abi Hurairah, beliau berkata, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda: Menziarahi kubur, dengannya dapat mengingati akhirat.
Selebihnya raya diisi dengan duduk menanti tetamu di rumah. Tetamu adik beradik yang lain sebenarnya. Tolong menghidang air, kuih-muih sambil senyum tersengih. Sikap "berat mulut" belum mampu dibuang. Lemah benar komunikasi interpersonalku. Bagaimana ni mahu menjadi da'ie yang berjaya...
Tetamu khas ku hanya datang hari ini. Seramai 23 orang pelajar dan bekas pelajarku sudi singgah ziarah di rumah tumpanganku [rumah mak ^_^]. Sajian "berobbok" menjadi hidangan mereka. Hanya itu yang "confident" dimasak dan dapat disediakan dengan segera. [hakikatnya memang tak reti masak pun..huhuhu]. Semoga mereka tetap pulang dengan kekenyangan dan merasa gembira menziarahi cikgu mereka ini.
Esok kembali menyambung puasa yang sudah bermula 2 hari lepas. Semangat berpuasa awal. Ada juga yang bertanya..kenapa awal sangat mula..raya dulu bah. Jawapannya mudah sahaja.."sediakan payung sebelum hujan" ^_^
Entry kali ini..santai-santai sahaja ya. Maaflah kalau kalian membacanya tanpa input yang boleh diproses untuk menghasilkan output yang berguna. Diruang ini..salam aidilfitri, maaf zahir dan batin ku ucapkan..Semoga hari raya ini kita raikan penuh kesyukuran dan keinsafan.
No comments:
Post a Comment