Tuesday, September 6, 2011

Memimpin bukan menghukum

Salam Palestine

Heboh dan kecoh Syawal yang bersamaan dengan bulan kemerdekaan tahun ini. Yang malas membaca pun menahan mata menjelajah fakta sejarah yang dibentang dan terbentang melata di alam maya. Saya tersenyum sendirian. Berterima kasih kepada pencetus "provokasi". Juga berterima kasih dengan media berat sebelah kepada penguasa. Meluaskan lagi publisiti kisah sejarah ini. Sudah lebih 50 tahun merdeka dari tangan penjajah, mutakhir ini kisah siapa sebenarnya pejuang kemerdekaan dicungkil dan diungkit kembali. Kebenaran di sorok dalam ruang sempit gelap pasti terpancar juga sinarnya. Beza pada ruang masa sahaja. Cepat atau lambat. Agaknya, pelajar ramai yang tidak gemar subjek sejarah kesan tiada keberkatan pada intipatinya yang dinukil tidak adil dan menyeluruh kepada semua pihak. Agaknya...

Berbicara tentang keadilan, saya tersentuh juga. Betapa saya kerap tidak adil dalam menilai dan menghukum anak didik. Sering gagal menggunakan teori dakwah yang saya gemar mengkajinya. Saya lebih selesa berteman rotan ke kelas daripada berbekal segenggam semangat dan kekuatan minda mendepani karenah mereka yang memang mencabar sabar.

Hari ini saya berkesempatan berbual mesra dengan 2 orang pelajar perempuan yang tiba-tiba berani menghampiri meja saya. Seorang guru yang memang berwajah serius. Apatah lagi untuk kelas yang terkenal dengan "gagah dan perkasa"nya di sekolah itu. Lima belas minit bersembang, saya banyak merenung dengan anggukan perlahan. Mendengar kisah peribadi keduanya yang jelas sangat jauh dari lingkungan biah solehah. Seawal usia remaja begitu hidup mandiri tanpa ibu dan bapa. Ada yang punya ibu dan bapa tetapi gagal memainkan peranan yang sewajarnya. Bagaimana tidak karektor mereka jelas terzahir kekurangan kasih dan sayang.

Saya akhiri hari ini dengan mengetuk nurani. Adillah dalam bertindak. Jangan menghukum tanpa menilai. Kelak, sejarah saya pula akan di bongkar. Cikgu Amirah Izzati yang mengaku da'ie tetapi tidak bersifat murabbi. Aduh..mengiut perkiraan ada 30 tahun lagi untuk terus menyandang panggilan CIKGU..perjalanan masih panjang dan jauh..biiznillah. :)

Sunday, September 4, 2011

Keluar Dari Kebiasaan

Salam Palestine

Pantas masa berlalu. Sepanjang Ramadhan saya memang berhajat untuk kurang menulis. Cuba mendidik diri, beri penghormatan besar kepada shahrul baraqah yang hanya kunjung sebulan dalam setahun. Mahu mengisi bicara sufi agar terus punya entry, adakalanya perlu mengorbankan masa hingga berjam lamanya. Tidak mahu itu menjadi penghalang saya gagal menyempurnakan tuntutan Ramadhan yang lebih layak saya utamakan.

Syawal juga sudah hampir seminggu berlalu. Raya yang biasa-biasa sahaja. Ziarah 2-3 buah keluarga terdekat. Di ziarahi 1-2 sahabat. Melayan kawan adik-adik yang datang berkonvoi 2-3 buah kereta. Terimbau zaman remaja dahulu, persis! Semua tinggal kenangan. Belum mampu kami ulang dengan kapasiti bukan sekadar membawa diri tetapi membawa keluarga. Suami dan anak-anak. InsyaAllah, saya masih optimis, akan menjadi kenyataan juga...suatu hari nanti.

Esok kembali pula ke rutin harian. Bertemu rakan sejawat dengan beban tugas yang tidak akan berkesudahan. Bersua muka dengan anak-anak didik yang masih teringat kuih raya dan asyik mahu bercerita kisah-kisah hari raya yang sudah siap di rakam di memori minda.

Keadaan biasa yang seharusnya di depani dengan sesuatu yang luar biasa. Cabaran sebenar baru bermula. Ruang untuk melangkah dengan wajah baru iaitu wajah TAQWA setelah sepurnama "bertapa" menyuci rohani kini sudah terbuka. Mengukur sejauh mana madrasah Ramadhan mampu memberi impak pada rohani, ukur dengan kesungguhan kita memulakan puasa 6. Kalau yang satu ini pun masih berat dan tidak masuk dalam agenda Syawal, perlu di nilai Ramadhan kita yang sudah berlalu.

Lama tidak menulis, saya juga seakan mati bicara. Memadailah untuk saya merasmikan wajah baru Bicara Sufi. Mudahan wajah baru yang juga menyuntik semangat saya untuk lebih segar meneruskan kembara perjuangan seorang abdi menagih kasih Rabnya.

Ayuh teruskan pengembaraan yang tidak kita ketahui titik akhirnya ini...Jangan pernah berhenti melangkah!

Pelangi Indah

  P agi ini seperti kelmarin. Hujan gerimis membasahi bumi. Mentari seakan malu keluar menyinar alam. Kabus tebal masih kelihatan di puncak ...