Catatan pertama setelah bertahun-tahun. Mujur kata laluan masih belum hilang dari ingatan. Memang berhajat mahu menulis hari ini. Anak soleh sedang beradu, anak solehah sedang bersekolah dan sang suami masih belum kunjung tiba. Kelapangan dan keseorangan yang sangat membenarkan untuk menukil sesuatu.
Catatan ini sebenarnya khusus untuk anak didik SPM 2018. Pelbagai emosi dirasa hari ini. Ada yang tersenyum bahagia dan pastinya ada yang berselindung duka. Takdir yang sudah tersurat. Secara keseluruhannya hati Cikgu juga tidak berbunga ceria. Sudah menjangkakan hari ini akan tiba. Putaran roda kehidupan. Mana mungkin terus-terusan berada di atas. Sampai masanya akan kembali ke bawah. Cuma saja rezeki di bawah ini bersama kalian. Batch yang pelbagai watak. Disebut-sebut sebagai anak JP yang berimej baik. Samada akhlaknya mahupun prestasi akademik sejak Tingkatan 1 lagi.
Syukurnya, wajah duka tidak perlu di zahir. Muhasabah secara monolog dalaman sudah awal-awal dilaksanakan. Usai sahaja kertas 3 Kimia hari itu. Jadinya, hari ini tetap mampu tersenyum manis sambil berswafoto bersama.
Berakhir saja hari ini, kehidupan untuk Cikgu kekal seperti sebelumnya. Melaksana rutin biasa dengan bekal azam untuk lebih berusaha. Adik-adik yang ditinggalkan pula menjadi amanah seterusnya.
Berbeza dengan kalian. Kehidupan sebenar yang lebih mencabar mula terbentang di hadapan mata. Alam mandiri perlu didepani sendiri. Sudah akan ada yang berjauhan daripada keluarga. Bertemu kenalan baru yang pastinya pelbagai karenah. Hidup selalunya menjadi semakin sukar. Itulah hakikat kehidupan.
Pesanan Cikgu, kekalkanlah segala nilai baik yang ada dalam diri. Waspada meniti alam persahabatan. Apatah lagi berdepan godaan percintaan. Jangan mengalah dengan tuntutan perasaan. Kawal dengan ilmu dan iman. Jangan sesekali mengabaikan tiang agama. Tersasar sejauh manapun, kalau solat dijaga, Allah akan panggil kembali pulang. Pulang kepada fitrah.
Sesekali, jenguklah Cikgu yang semakin berusia. Titip doa agar Cikgu kekal dalam kebahagiaan. Diberi kesihatan berpanjangan biar terus mampu menabur budi. Terutama untuk JP yang kita sayangi. Saat sudah mencapai kejayaan, kongsi bersama adik-adik yang kalian wariskan.
Semoga Cikgu dan kalian akan terus berkasih sayang. Saling mendoakan dan berpesan-pesan pada kebaikan.
Thursday, March 14, 2019
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Pelangi Indah
P agi ini seperti kelmarin. Hujan gerimis membasahi bumi. Mentari seakan malu keluar menyinar alam. Kabus tebal masih kelihatan di puncak ...
-
Salam Palestine Minggu yang mencabar. Khamis yang siangnya biasa-biasa sahaja, tidak disangka berubah tragedi malamnya. Aku yang sedang khus...
-
Salam Palestine Pelbagai isu melingkar rakyat hari ini. Isu lama belum berkesudahan, isu baru pula membelenggu. Isu yang tidak berkesudahan ...
-
Mengisi ruang masa sementara menanti Argentina vs Germany. Demam bola kan seluruh dunia waktu ini. Mahu juga merasa hebatnya menjerit dan me...
No comments:
Post a Comment