Thursday, March 17, 2011

Rindu Pelangi Indah

Salam Palestine

Ternyata terlalu jarang menulis. Muak sebenarnya menukil kata ini. Saat punca sebenarnya datang dari diri. Rasanya selagi masih dalam mode "susah hati" sebegini, bicara sufi akan berteman sepi. Sesekali berisi puisi hati, saat sudah tidak mampu menahan resah dan emosi diri. Aduh..maafkan kekerdilan jiwa ini..

Hari ini, "susah hati" terusir seketika. Berusrah bersama kekanda DMPKT. Sekali lagi aku menyedari, akulah yang paling muda dan masih berlum berteman hidup di situ. Banyak hikmahnya. Memenuhkan teori-teori yang perlu dihadam sementara menanti saat diuji di medan realiti.

Kagum juga dengan iltizam sahabat seusrah. Ada yang sedang menanti hari untuk melahirkan cahaya mata, masih gagah hadir usrah. Katanya, daripada berteman lena di rumah, baiklah hadir ke usrah. Mudahan aku juga nanti segagah ini. Bisik pada hati.

Syukur atas ruang dan peluang yang sentiasa diberikan olehNya untuk terus komited pada medan ini. Kalau tidak, pasti rasa "susah hati" ini akan semakin parah. Terikut-ikut dan terbuai-buai dengan emosi. Hingga hilang kualiti masa. Mahu diundur,diputar atau diulang mustahil sama sekali.

Apabila diperlihatkan, teman-teman yang memilih untuk rehat, memilih untuk berundur atau memilih untuk tidak berada bersama saf perjuangan ini lagi, rasa gerun juga. Apa tidaknya, pernah suatu ketika mereka ini sebaris bersama. Ditamrinkan, dikaderkan, ditarbiyyah oleh sang murabbi yang sama. Bahkan baiah yang dilafaz juga sama. Hanya mampu terus berdoa..istiqamah pada jalan perjuangan. Saat ini dan sampai hujung nyawa.

Bersama kita berdoa..untuk aku, kamu, dia dan mereka..semoga nama kita akan terukir pada kanvas perjuangan ini sebagai pejuang-pejuang yang ikhlas untuk menegakan agama ini.

p/s-doakan khusus untukku-segera sirna "susah hati" ini..sudah lemas lencun kehujanan. Rindu sang mentari ceria berteman pelangi indah..doakan aku teman. ^_^



[rindu juga mahu terbang tinggi..melambai laut cina selatan..insyaAllah..sisih sahaja "susah hati" ini..mahu beri hadiah pada diri ^_^]

Sunday, February 20, 2011

Khilaf yang tak terpadam...



Telah lelah aku mencuba
Habis upaya aku berusaha
Menghangatkan kedinginan
Menjernihkan kekeruhan
Merungkaikan kekalutan

Kita masih begini
semakin jauh dan menyendiri
meninggal pergi semua memori
bagai semalam tiada erti
bagai kelmarin hanya mimpi

Tidak mampu ku selindungi lagi
pedih dan terlukanya hati
saat kau berterusan memilih
meminta aku mendepani
segalanya memang berakhir begini

Andai ini ketentuannya
Pada khilafku yang tak terpadam
Apa upaya aku menahan
Dari menjalani sebuah hukuman

Aku masih berbisik
pada sekeping hati yang patah
semua ini isyarat dariNya
kasih manusia mudah sirna
Sudahlah lemas di laut rasa
Sedang ada yang setia
Tidak pernah lelah
Bahkan maha pemurah
Raja yang empunya
Cinta dan segala cinta
Allah..Allah Yang Esa.

Tuesday, February 8, 2011

Duga Jiwa


Siang tidak cerah
Malam terlalu gelita
Suram taman jiwa
Kelam kamar sukma
Tiada bebunga indah
Tiada rerama ceria

Lelahnya menahan rasa
Menanti semua sirna
Akan kah?
Atau perlu akur dengan redha
Duga jiwa ini masih mahu lama

Menguji setia cinta
Ya..menguji setia cinta..



Sunday, January 30, 2011

Secawan Teh

Salam Palestine

Sedang menikmati erti cuti. Walaupun tidak keluar ke mana-mana destinasi percutiaan, memadailah punya waktu seketika menghirup udara pagi tanpa perlu berada di white bridge. Seminggu cuti sempena Tahun Baru Cina. Kalau di hitung masa, panjang bunyinya. Tapi melihat tugasan yang menanti, diari sudah penuh. Modul untuk program PERPIS sekolah belum sempurna. 3 subjek OUM menanti untuk dihadam. Memikirkan ini sudah cukup membeban minda.

Hati juga tidak berbunga ceria. Bagai memendam sesuatu yang bersimpul padu. Sukar dirungkai! Sudahnya badan tidak cergas, minda tidak cerdas. Pergerakan menjadi lambat, otak menjadi lembab. Beriringan dengan cuaca yang tidak menentu. Langit jarang cerah sepanjang hari. Mentari sering dibayangi awan gelap pekat.

Apa lagi pilihan yang ada. Melainkan duduk setia di rumah. Mencongak masa, menanti waktu semua kembali pulih. Rasa jiwa kembali berbunga indah. Akan sampai waktunya, cuma memerlukan kesabaran yang tinggi. Itu pesan seorang teman, saat aku tidak mampu menahan beban jiwa ini berseorangan.

Sedang bersabar..berusaha untuk tenang...mari, kita nikmati secawan teh panas.



Monday, January 3, 2011

Kongsi Rasa

Salam Palestine

Hari pertama persekolahan untuk sesi 2011. Kelam kabut tidak terkata. Kesihatan pula tidak mengizinkan. Bersin dan batuk bersilih ganti. Alhamdulillah, demam sudah semakin kebah. Kepala sudah tidak pening. Gagahkan juga ke sekolah. Tidak mahu ada yang tertangguh saat semua baru bermula.

Ahad lepas, Allah beri berikan rezeki masa dan kekuatan hadir Kuliah Amal Islami. Kuliah rutin hujung minggu anjuran Unit Amal Kawasan Tawau. Walau anggota Unit Amal dan brigednya yang prihatin pada kebajikan, tidak kelihatan sangat di medan ilmu itu. Pasti punya urusan yang lebih aula. Syukur Alhamdulillah, tautan hati pada majlis-majlis ilmu masih utuh. Menghadiri majlis ilmu ibarat satu suntikan motivasi melalui jalan perjuangan yang penuh ranjau ini.

Itu yang aku perolehi Ahad lepas. Kebetulan pengkuliahnya "Murabbi Realiti" ku. yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu. Insan yang mendidik jiwaku seawal usia ku 14 tahun lagi. Butir nasihatnya pasti saja meninggalkan kesan yang mendalam dijiwaku. Aku tahu rasa ini aku kongsi bersama ramai teman-temanku yang lain.

Tertunduk tajam aku merenung karpet usang, tempat kami setia bersimpuh.

"Benarkah kita telah melaksanakan dakwah kepada masyarakat?" Kalau kita seorang guru, pagi dengan rutin mengajar, petang kita buat apa? Dakwah kita bersifat berkala, hujung minggu atau cuti umum." Tegas nada Cikgu.

Tiada silapnya kalimat sinis itu. Aku terutamanya masih sangat tenang damai berehat-berehat di zon selesa. Gagal menjadi pendakwah sepenuh masa. Pagi dengan gelaran cikgu, petang dan malam memenuhi tuntutan keluarga. Hujung minggu, paling lama dalam setengah hari, berusrah atau bermesyuarat atau berprogram. Gagal menjadikan apa jua lapangan kerja sebagai medan dakwah.Di sekolah, adakalanya hanya sibuk mengajar mengejar silibus. Di rumah tidak menunjukan qudwah hasanah, dakwah yang paling ampuh dan berkesan.

Tidak sewajarnya untuk hanya terus lemas dalam emosi rasa bersalah. Langkah 2011 baru bermula. Moga rasa sedar ini mukaddimah yang baik untuk meniti hari mendatang. Tidak dinafikan, semakin tinggi azam dan kesungguhan yang dipasakkan, semakin mudah jatuh ke bawah dan tergelincir dalam mainan rasa jiwa. Ketepikan semua yang cuba menghalang, fokus pada matlamat dan bekerja dengan berperancangan, yakin bahawa usaha yang baik berteman redha serta rahmatNya, InsyaAllah, optimislah, kalau bukan kejayaan yang digenggam, pasti akan mampu menguntum sebuah senyuman manis..dengan nafas lega..hati akan berdetik

"aku masih meneruskan hayat yang ada atas usaha agama benar ini..terus pilih dan pimpin aku, dia dan mereka Ya Allah.."


Thursday, December 23, 2010

Jangan berpaling lagi

Salam Palestine

Berbaki dalam 8 hari untuk kembali bertugas. Meneruskan langkah di tahun ke 5 bergelar pendidik. Seakan baru semalam melapor diri. Dengan tudung labuh dan mini jubah coklat, aku yang tanpa persediaan mental terus diminta melapor diri kerana agak lewat surat tiba ditangan ku. Dengan imej "ustazah" itu, pasti sahaja ramai yang kelihatan segan dan teragak-agak menegurku. Ditambah lagi dengan sikapku yang kurang ramah dan hanya pandai tersenyum apabila disapa. Seperti yang dijangka, ramai yang memanggilku dengan gelaran Ustazah. Sering aku membetulkan fakta, "saya Ustazah Sains".

Empat tahun bukan tempoh yang singkat sebenarnya. Namun, untuk aku merasakan kepuasan dalam melangsaikan amanahku selaku pendidik berjiwa murabbi, aku masih sangat tidak layak untuk tersenyum. Jujur, tempoh ini aku lebih banyak belajar memahami persekitaran dan beban amanahku sahaja.

Tidak dinafikan, cabaran mendepani remaja hari ini bukan boleh dipandang mudah. Menggunakan pengalaman semasa berada di alam seperti mereka semata sebagai senjata ibarat pedang tumpul berdepan dengan senjata canggih.

Pengalaman semata tidak memadai. Remaja hari ini ibarat menyedut racun-racun berbisa setiap saat. Berteman baik dengan teknologi yang memusnah iman dan minda mereka. Proses kematangan berfikir beracuankan fikrah yang murni tidak dijana apatah lagi mahu melahirkan amal-amal Islami. Jauh sekali. Doktrin-doktrin musuh Islam sedang diserap sedalamnya. Berhala-berhala moden menjadi sembahan. Ibu bapa gagal berperanan menjadi pencorak kain yang suci bersih. Lebih menyedihkan, ibu, bapa dan anak sama-sama derhaka.

Kerja perlu lebih kuat. Minda perlu berfikir lebih ligat. Masa jangan sekadar milik diri dan keluarga semata. Kalau bukan kita siapa lagi. Hidayah punya rasa sedar akan tugas dakwah pada ummah ini satu anugerah. Hanya insan terpilih sahaja yang memilikinya. Kita gagal manfaatkan sebaiknya, bersedialah untuk digantikan. Digantikan dengan yang lebih baik!

Setahun ini, tidak dinafikan, aku banyak menurut rasa jiwa. Turut hanyut dengan "perang senyap dan rehat" yang dilancarkan teman-teman seperjuangan. Lebih banyak berfikir, berteori dan bersolusi, bagaimana mahu mereka melangkah seiring bersama. Namun akur, segalanya dibawah takluk dan kekuasaanNya. Hati-hati ini dibawah pemeliharaanNya. Hanya Dia yang menentukan semuanya. Belajar dari pengalaman mereka yang mungkin sedang tersilap. Bukti sayang dan kasihnya Dia pada diri. Tiba masanya, membiarkan mereka menurut suara hati mereka. Mereka punya alasan untuk diberikan di hadapan Sang Pencipta, atas segala tindakan yang telah diputuskan.

Tugas ku, tugas kalian, kita teruskan langkah kita. Kita tidak punya alasan untuk rehat. Kerja dakwah banyak menanti. Bahkan melebihi masa yang ada. Terus melakar sejarah..kita da'ie, kita murabbi!

Saturday, December 18, 2010

Resah

Salam Paletine

Sungguh, kekerapan menulis benar-benar tidak memberangsangkan. Sukar rupanya mahu menjadi penulis tegar. Sering punya idea dan buah minda untuk dikongsi bersama. Menulis bukan sekadar mencatat sesuatu. Menulis perlu lahir dari rasa jiwa kalau mahu ianya turut dirasai pembaca. Melakukan ini bukan mudah.

Sedar tidak sedar, cuti panjang sudah semakin berakhir. Pantasnya masa meninggalkan kita. Saat diterjah monolog diri, memuhasabah apa yang telah dilakukan semalam, kelat juga muka dibuatnya. Masa tida dioptimumkan dengan sebaiknya. Kerap culas pada diri. Melepaskan tuntutan gigih menuntut ilmu dengan merasa cukup hadir ke Kuliah Dhuha, Isnin-Khamis yang hanya sejam setengah. Menyedapkan hati terlibat dengan perjuangan dengan hadir mesyuarat dan program-program anjuran jemaah. Itupun ada juga yangbolos dan gagal hadir. Aduh, bermain-mainnya dengan kehidupan. Walhal sedar, yakin dan percaya setiap detik yang dititi di jambatan waktu dunia ini akan dinilai dan dihitung penuh teliti oleh neraca akhirat. Menentukan destinasi akhir manusia, syurga atau neraka.

Sukarnya mahu sentiasa memastikan momentum sedar hakikat penciptaan ke alam dunia fana ini sentiasa malar. Memerlukan hati yang hidup. Hati yang mampu menjadi penjaga diri. Memberi amaran pada diri andai langkahnya tempang. Menyentak naluri andai fikirnya songsang.

Benarlah, hidup ini perjuangan yang hanya akan bertemu noktah saat roh keluar meninggalkan jasad. Perjuangan yang ada kalanya iman menang dan adakalanya terbabas jua menurut runtunan nafsu. Apalagi daya upaya yang ada. Melainkan terus berpaut pada ihsan dan rahmatNya, pemilik dan penguasa alam buana ini. Mengharap dan mendamba, agar terus ditetapkan pada jalan keimanan dan berpaksi pada kebenaran. Ilmu setinggi gunung, harta seluas lautan bukan jaminan kekal berada pada kebahagiaan. Samada bahagia dunia sementara atau bahagia abadi di syurga hakiki. Semuanya mengharap pada rahmatNya. Berpaut dan berharaplah pada DIA yang maha menentukan segalanya.



Pelangi Indah

  P agi ini seperti kelmarin. Hujan gerimis membasahi bumi. Mentari seakan malu keluar menyinar alam. Kabus tebal masih kelihatan di puncak ...