Salam Palestine
Baru beberapa hari lepas, di ruang ini, aku melontarkan rasa resah jiwa dek kekeringan dari siraman dakwah dan tarbiyyah. Alhamdulillah..minggu ini, Allah hilangkan resah jiwa itu. Usrah berjaya dihadiri dengan sebaiknya. Kemudiaan pula mendapat jemputan diskusi bersama adik-adik HEPI PERPPIS. Bermuzakarah dan melontar pandangan buat mereka agar persatuan lebih maju dan proaktif.
Mendengar luahan mereka pada masalah yang terpaksa mereka pikul dan tanggung, sedikit tamparan buat diri yang sering sahaja berada di zon selesa dalam jalan dakwah ini. Melihat wajah bersemangat namun ada riak keletihan di wajah mereka, terkenang zaman aku di posisi seperti mereka. Penuh dengan halangan dan sekatan. Halangan keluarga yang tidak memahami syariat, sekatan kewangan, beban akademik dan pelbagai lagi. Namun, dalam usia yang begitu muda, semua itu mampu dihadam sebagai mehnah dan tribulasi dalam laluan perjuangan yang harus ditempuh dengan sabar dan tenang.
Namun, berfikir sedalamnya, mengapa semakin meningkat usia, semakin banyak pengalaman yang ditempuh, semakin banyak ujian yang sudah berjaya diatasi, semakin jauh komitmen dan rasa tanggungjawab pada amanah perjuangan? Adakah kerana sudah terlalu kepenatan? Adakah sudah hilang rasa kemanisan dalam berjuang?
Soalan-soalan yang sering berlegar namun tidak punya jawapan konkrit. Yang ada hanya sebuah ketakutan dan kebimbangan. Takut, bimbang dan risau, apalah agaknya nasib diri esok dan mendatang.
Jumaat baru-baru ini, kebetulan juga, tugasku mengisi slot usrah di white bridge. Seperti kebiasaannya, sebelum usrah bermula, aku dengan rotan di genggaman akan pusing sekitar kelas untuk "menghalau" pelajar-pelajar lelaki pergi solat Jumaat. Sangat runtun jiwa, tatkala melihat, gelagat pelajar-pelajar lelaki ini yang sengaja tidak mahu pergi solat. Hingga ada yang sanggup menyorok di dalam kelas, melekat di dinding persis cicak man agar boleh bolos dari pandangan ku. Aku yang sememangnya menyaksikan tingkah nakal pelajar ini, segera menuju ketempatnya. Dengan wajah yang ketakutan apatah lagi melihat rotan nipis ditanganku, aku memintanya membaca Al-Fatihah. Terketar-ketar dia membacanya. Saja aku mahu mendera mentalnya. Mahu mendera fizikal, biasanya orang seperti ini sudah lali dengan libasan rotan dari guru disiplin. Dengan sedikit peringatan maut untuknya, aku berharap, dia tidak mengulanginya lagi pada minggu hadapan.
Situasi yang berlaku ini, sekali lagi menyedarkan aku, bahawa tugas dakwah masih sangat perlu digiatkan dengan bersungguh dan penuh komitmen. Justeru, aku merayu buat semua teman seperjuangan, terutamanya yang bergelar cikgu, berusahalah kita supaya tidak sekadar menjadi guru yang hanya mengajar untuk menghabiskan silibus semata. Atau hanya untuk memastikan pelajar kita mendapat sebanyak A yang boleh.
Ada yang lebih penting dari itu. Mendidik dan membimbing mereka mengenal hakikat penciptaan mereka ke alam fana ini. Menyedarkan mereka akan akhirnya sebuah kehidupan yang sementara ini. Ini yang terlebih penting. Kalau bukan kita yang mulakan, siapa lagi?
Ya Allah..terus kuatkan kami di jalan ini. Amin Ya Rabb
3 comments:
i like... ;)
utk menghabiskan silibus mmg mudah... tp utk menjadikan anak2 didik ini beradab, berakhlak dn beramal dgn cara hidup Islam amatla sukar... hya kesabaran & kecekalan sahaja mampu mengjadikan ianya kenyataan...
I like ja (",)
Alhamdulillah... idea yg baik... moga suatu hri nnt ianya terlaksana di bawah bimbingan Cikgu Amira... InsyaAllah..
Mulakan dengan Bismillah... lama2 Akan mncapai tahap Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar !!!(",)
Post a Comment