Azan Subuh bergema syahdu. Memecah kesunyian pagi. Menyentak lena penghuni Kolej Kediaman Ungku Omar. Zati bangun dengan sedikit terperanjat. Dia beristighfar beberapa kali. Baru dia teringat semalam dia lupa untuk mengunci jam menerusi telefon bimbitnya. Kesan tertidur dalam keadaan terlalu letih dan mengantuk. Sesal pun ada, tidak menjaga adab tidur dengan sempurna. Tewas pada nafsu mata hingga tidak punya kekuatan langsung berteman Al-Mulk. Qiamullail yang di hajatkan juga terlepas.
Zati bergegas ke bilik air. Hemat diri dengan pantas dan segera menyarungkan kain telekungnya. Sempat lagi untuk dia berjemaah di surau kolej kerana jarak rumahnya dan surau hanya beberapa langkah sahaja. Setibanya Zati di surau, Bilal baru selesai mengalunkan Iqamat. Perlahan-lahan dia melangkah masuk ke ruang solat muslimah. Menarik nafas dan menghembuskannya perlahan. Menenangkan diri yang terkocoh-kocoh sebentar tadi. Kalau semalam masih ada dua saf muslimah, hari ini tinggal satu saf sahaja. Itupun hanya ada 5 orang pelajar. Sempat Zati membilang sebelum dia mengangkat takbir berniat Solat Subuh dua rakaat bersama imam.
Semasa tabir yang memisahkan jemaah muslimah dan muslimin di buka, Zati melihat Ustaz Abdul Rahman, pensyarah dari Fakulti Kemanusiaan sudah bersedia memberikan kuliah Subuh. Zati sempat mengerling jadual kuliah yang di tampal di papan kenyataan surau berhampiran tempat duduknya. Dia sedikit kehairanan kerana mengikut jadual tugasan kuliah Subuh hari Ahad begini adalah rutin Ustaz Hanafi. Sedang dia asyik bermonolog kehairanan, suara garau Ahmad Syahmi, Timbalan Pengerusi Biro Kerohanian memulakan majlis. Dia menjelaskan kepada jemaah yang hadir, Ustaz Hanafi berkeuzuran hari ini dan tidak dapat menyampaikan kuliah Subuh. Tempat beliau di ganti dengan Ustaz Abdul Rahman yang sepatutnya bertugas pada hari Sabtu. Kelihatan semua jemaah mengangguk-angguk, terjawab persoalan yang bermain di minda.
Kuliah Subuh hari itu bertukar daripada membincangkan isu Akidah kepada Sirah. Pengkhususan Ustaz Abdul Rahman. Kelihatan buku Fiqh Sirah karangan Ustaz Muhammad Sa’id Ramadan Al-Buty bahagian kedua di atas meja kecil dihadapannya. Ustaz Abdul Rahman mengupas berkenaan Peperangan Uhud. Zati khusyuk mencatat nota penting ibrah daripada peperangan yang berlaku pada 7 Syawal ini.
Menanti waktu untuk bermesyuarat seperti yang dimaklumkan oleh Hadi semalam, Zati bersarapan seorang diri di rumah. Hanya menjamah 2 keping roti bersalut mentega kacang dan secawan Radix panas. Teman sebilik dan serumahnya pula tiada. Mereka tinggal berenam di rumah itu. Mereka bertuah kerana terpilih duduk di Kolej Kediaman Ungku Omar yang merupakan kolej kediaman yang baru di buka. Walaupun jaraknya sedikit jauh berbanding kolej kediaman yang lama, tetapi dengan sistem perkhidmatan bas yang baik, perjalanan ke kampus utama tidak menjadi masalah. Cuma kena bijak mengatur masa agar tidak terkocoh-kocoh kerana terpaksa beratur panjang dengan penghuni kolej yang lain.
Sarah teman sebiliknya dari hari Jumaat lagi tidur di rumah rakan sekelasnya di Taman Universiti. Katanya mahu menyelesaikan tugasan kumpulan untuk subjek Psikologi Pendidikan. Empat orang teman serumahnya yang lain balik kampung bercuti. Dua daripadanya menetap di Shah Alam dan Banting dan dua orang lagi dari Gopeng dan Parit Buntar. Teman-teman serumahnya ini memang kerap balik kampung pada hujung minggu. Setiap kali kembali pasti membawa pelbagai juadah dan hidangan dari kampung. Kalau musim buah, berlonggok-longgok rambutan dan manggis di atas meja makan mereka. Jika musim buah durian, semerbak rumah dengan bau durian.
Zati pula selalu diraikan. Apatah lagi semua teman serumah Zati menganggapnya sebagai kakak. Zati juga sangat selesa dengan mereka semua. Pokok pangkalnya, mereka berenam hidup dalam keadaan yang harmoni. Tidak seperti rungutan kawan-kawan Zati yang mempunyai teman serumah pelbagai ragam. Ada yang tidak solat, pasang lagu kuat-kuat ataupun kerap bersepah dari mengemas rumah. Zati siap menamakan rumah mereka dengan nama Sakinah. Dia mahu rumah mereka penuh dengan ketenangan. Dia juga sering berpesan dengan teman serumahnya jika ada rasa tidak puas hati, jangan di simpan dalam hati. Bawa berbincang secara aman dan jangan sesekali mengata di belakang. Itu bukan menyelesaikan masalah malah hanya akan merumitkan keadaan. Mereka semua yang merupakan pelajar tahun satu akur dengan nasihat Zati. Pernah suatu hari teman sebilik Zati, Sarah berkecil hati dengan Azimah rakan serumah mereka.
“Kenapa Sarah macam tak ceria je hari ni?” Zati bertanya tanda mengambil berat akan teman sebiliknya itu. Sarah anak gadis kelahiran Muar, Johor itu sememangnya seorang yang ceria. Senyuman sering terukir di bibirnya. Mulutnya juga lincah berceloteh. Berkongsi apa jua pengalaman dengan Zati. Tidak kira samada kisahnya bersama teman sekuliah atau memori lamanya semasa di alam persekolahan dahulu.
“Tak adalah kak Zati..” Sarah cuba mengelak untuk berterus terang.
“Laa..tak payah lah nak berahsia. Akak ni kan kaunselor awak, macam tak biasa pulak.” Zati memujuk Sarah meluah isi hati.
“Sebenarnya, Sarah kecik hati dengan Azimah. Semalam, kalau ikut jadual bertugas membersihkan rumah, turn dia bersihkan toilet dan beranda. Tapi dia tak buat. Lepas tu, masa Sarah nak sidai kain kat beranda, Sarah tergelincir..tak perasan kat situ ada air. Hujan kan semalam. Kalau Azimah buat tugas dia, lap lantai tu, tak adalah jadi macam ni.” Sarah mengadu dengan muka cemberut sambil memegang kakinya yang ada kesan lebam.
“Ooh...itu yang kaki awak lebam ni. Siannya adik akak ni. Jap ye, akak ambil minyak.” Zati bersimpati sambil bangun mendapatkan minyak gamat berhampiran dengan laptopnya yang tidak terpasang.
“Awak sapu minyak dulu, akak nak jumpa Azimah kejap.” Zati menyerahkan minyak gamat buatan langkawi itu kepada Sarah.
“Kak..tak payahlah, tak naklah masam muka pula dengan dia.” Sarah memberikan pandangan kurang setuju dengan tindakan Zati.
“Tak apa..pandai lah akak nak cakap macam mana. Awak sapu minyak dulu ye.” Zati mententeramkan perasaan Sarah yang kerisauan. Sambil senyum manis, Zati bergerak ke bilik Azimah. Kebetulan Azimah seorang sahaja di biliknya. Fatihah, teman sebilik Azimah berada di perpustakaan
“Leh akak masuk?” Zati mengetuk pintu sambil meminta izin untuk bertemu Azimah.
“Kak Zati..masuklah.” Azimah yang sedang khusyuk melayari internet mempelawa Zati masuk.
“Sibuk ke? Akak nak tanya sikit ni.”
“Eh, tak lah..tengah baca paper online je ni. Apa dia kak?” Azimah ingin tahu.
“Semalam patutnya Azimah kan bertugas membersihkan toilet dan beranda. Azimah ada buat tak?” Zati berterus terang maksud kedatangannya.
“Alamak kak..saya lupa sangat. Semalam kalut banyak kelas ganti. Seharian saya duk kat kampus.” Azimah menjawab pertanyaan Zati jujur.
“Azimah kena minta maaf dengan Sarah. Semalam kan hujan..jadi beranda tu licin. Sarah pegi sidai kain..dia tak perasan lantai licin. Dia tergelincir. Lebam sikit kaki dia.” Zati menjelaskan keadaan sebenar kepada Azimah.
“Ya Allah kak, saya betul-betul minta maaf.” Azimah kaget mendengar penjelasan Zati.
“Dah lah..jom jumpa Sarah, terangkan keadaan sebenar dan minta maaf dengan dia.”
Zati memerhatikan sahaja gelagat Sarah dan Azimah yang bermaafan. Tenang hatinya melihat Sarah berjiwa lembut dengan sahabat sendiri. Senang juga dengan sikap Azimah yang tidak ego. Walau hal ini kecil sahaja, tetapi mampu memberikan implikasi negatif. Pastinya tidak manis duduk serumah dalam keadaan masing-masing menyimpan perasaan marah di dalam hati.
Zati tersedar dari lamunannya saat terdengar telefon bimbitnya berbunyi. Mesej daripada Nabilah dibacanya.
Meeting nanti pegi sama ye..saya tunggu kat bawah.
Astaghfirullah..Zati beristighfar sendirian. Khusyuk dia mengelamun. Ada sejam lagi sebelum mesyuarat bermula. Pantas dia menghidupkan laptopnya. Menyudahkan minit mesyuarat yang lepas. Perlu mencetaknya dan memperbanyakannya untuk rujukan ahli mesyuarat. Zati sudah biasa dengan kerja-kerja sebegini. Tahun lepas dia diamanahkan sebagai timbalan setiausaha. Tahun ini naik pangkat kepada setiausaha kerana setiausaha yang lama, Farah Liyana menjalankan sesi praktikum di SMK Khir Johari. Lagipun Zati senang dengan tugas sebagai setiausaha, kurang bercakap hanya perlu banyak mencatat.
Seperti yang dijanjikan, Nabilah telah menantinya. Mereka berjalan beriringan ke bilik mesyuarat yang terletak bersebelahan pejabat pengurusan kolej. Setibanya mereka di sana, AJK yang lain sudah sedia menunggu. Masa ada 5 minit lagi sebelum pukul 9. Hadi sahaja yang belum kelihatan.
“Hadi..semua dah sampai.” Kedengaran suara Ahmad Syahmi menghubungi Hadi.
Tidak sampai seminit, Hadi kelihatan di muka pintu. Mengambil tempat duduknya, membuka buku catatan dan memulakan mesyuarat. Zati pula mengedarkan minit mesyuarat yang lepas beserta agenda mesyuarat mereka hari ini. Setelah selesai pengesahan minit mesyuarat dan hal-hal berbangkit, Hadi meminta ahli jawatankuasa merujuk kepada agenda utama mereka hari ini iaitu Program Apreseasi Kesenian Islam. Hadi mengedarkan kertas kerja program yang dia sendiri menjadi pengarahnya.
“Sila lihat kertas kerja yang saya edarkan. Baca objektif dan kenal pasti posisi masing-masing dalam jawatankuasa pelaksana program.” Hadi memberikan arahan.
Semua khusyuk membaca sambil tersenyum kerana jawatan yang diberikan sesuai dengan kecenderungan diri. Ada juga yang berwajah keruh. Agaknya merasakan tidak sesuai berada di posisi tersebut.
“Objektif utama program ini adalah untuk mengetengahkan budaya dan hiburan Islam yang mampu dijadikan alternatif kepada masyarakat khususnya warga KUO mahupun UPSI umumnya.” Hadi memulakan perbincangan.
“Andai ada yang mempersoalkan..apa signifikan program bercorak hiburan ini diketengahkan oleh Biro Kerohanian sedang sewajarnya kita lebih menumpukan kepada program bercorak keagamaan dan pendidikan. Bagaimana kita nak jelaskan?” Hafiz selaku ketua unit Pendidikan meminta pandangan.
“Ini kelainan yang mahu kita tonjolkan dalam program ini. Program bercorak hiburan tetapi berinformasi. Kita bukan sahaja berhibur tetapi mengajar cara berhibur yang berpendidikan. Misalnya, antara yang akan kita persembahkan adalah teater, sajak dan pentomen serta dikir barat. Kita akan bekerjasama dengan Fakulti Seni dan Muzik untuk setiap persembahan ini. Namun kita akan menetapkan syarat persembahan. Misalnya tema keislaman dan para peserta perlu patuh pada adab dan tatasusila pergaulan. Percampuran antara lelaki dan perempuan tidak dibenarkan. Penutupan aurat yang sempurna juga perlu dipatuhi. Kita memberi kebebasan kepada mereka untuk berkarya. Cuma perlu patuh pada garis panduan kita sahaja yang saya kira tidak akan mencacatkan pun gaya persembahan mereka.” Hadi menjawab persoalan Hafiz.
“Program kemuncaknya adalah pada sebelah malam. Kita akan mengundang penyanyi nasyid tanahair untuk membuat persembahan. Ini untuk menarik audiens lebih ramai.” Ahmad Syahmi menjelaskan lagi perjalanan program.
“Adakah kita akan mengenakan bayaran untuk tiket persembahan ni?” Maryam ahli jawatankuasa Unit Penerbitan pula meminta penjelasan.
“Iya..dalam kadar yang sangat berpatutan. Tiga ringgit sahaja seorang. Duit ini pun untuk kita dermakan kepada seorang sahabat baru kita. Ada seorang penghuni kolej ni yang baru memeluk Islam. Ahli keluarganya tidak mahu menerimanya dalam keadaan muslim. Duit pengajiannya dihentikan dan pelajar ini tidak mempunyai sebarang biasiswa mahupun pinjaman. Memang ditanggung sepenuhnya oleh keluarganya sebelum ini.” Hadi membuat penjelasan pada soalan Maryam.
“Sebaiknya kita membantu saudara baru kita ini dengan merujuknya kepada Pusat Islam Universiti.” Nabilah pula mencelah.
“Sudah saya bawakan kepada Ustaz Khairun, Penasihat Pusat Islam. Sekarang ini usaha memohon bantuan zakat daripada Pusat Zakat Negeri melalui Pusat Islam Universiti sudah dilakukan. Saya akan follow-up perkara ini lagi.” Aiman selaku ketua Unit Kebajikan membuat penjelasan lanjut.
“Berbalik kepada program kita, ada sesiapa yang mahu bertanya tentang bidang tugas?” Hadi selaku pengerusi mesyuarat kembali membawa mesyuarat kepada agenda utama mereka.
“Saya diletakan sebagai AJK jemputan dan sambutan. Saya harap saya dapat dibekalkan senarai perasmi dan VIP yang akan hadir pada majlis ini.” Aiman sekali lagi bersuara.
“InsyaAllah senarai tetamu akan dikeluarkan oleh setiausaha untuk rujukan AJK yang berkaitan.” Hadi menjawab soalan Aiman sambil matanya melirik ke arah Zati yang sedang khusyuk mencatat. Semua mata juga tertumpu kepada Zati. Hanya Zati yang tidak perasan ramai mata memandangnya, hinggalah Nabilah yang duduk di sebelahnya menyiku lengan Zati lembut barulah dia mendongakkan mukanya dan sedikit kehairanan melihat semua tertumpu padanya.
“Err...InsyaAllah senarai akan saya taip dan edarkan.” Zati menjawab dengan sedikit gagap. Semua ahli mesyuarat tersenyum melihat gelagat spontan Zati. Wajah Zati pula mula merona.
“Siapa artis yang akan kita undang nanti?” Hafiz pula bertanya.
“Masih lagi dalam perbincangan. Kita sudah membuat senarai pendek beberapa artis nasyid terkenal tanah air, dan saya akan membuat perbincangan khusus dengan Pengetua kolej terlebih dahulu untuk meminta pandangan beliau. Memandangkan kita memerlukan belanja yang agak besar maka sewajarnya kita dahulukan beliau dalam membuat keputusan. Jangan risau, saya mempunyai beberapa kenalan yang menjadi PA kepada kumpulan nasyid yang telah kita senarai pendekan. Jadi tidak menjadi masalah besar untuk kita menempah mana-mana artis ini dalam masa terdekat.” Hadi menjelaskan.
“Apa strategi kita untuk mempromosikan program ini. Memandangkan kos perbelanjaan yang besar, agak merugikan jika program ini kurang mendapat sambutan.” Syafiq ketua Unit Sukan dan Rekreasi yang sedari tadi mendiamkan diri pula bersuara.
“Kita akan pelbagaikan medium hebahan program. Tidak hanya tertumpu di kolej kita sahaja. Tetapi juga jemputan kepada Kolej Aminudin Baki dan juga Kolej Za’ba. Di sekitar kampus juga kita akan letakan banner program dan edaran pamplet seminggu sebelum program. Kita harapkan AJK promosi akan mampu bergerak pantas dan efisyen agar maklumat program dapat tersebar luas.” Ahmad Syahmi selaku timbalan pengarah program menjawab persoalan Syafiq.
“Ada apa-apa lagi yang mahu di bangkitkan?” Sekali lagi Hadi bersuara. Semua ahli mesyuarat senyap tanda jelas dengan program yang bakal dilaksanakan. Baiklah mesyuarat seterusnya akan di adakan pada waktu yang sama seperti hari ini pada minggu hadapan. Saya harap semua ahli jawatankuasa sudah mula bergerak berdasarkan bidang tugas masing-masing. Sebarang masalah boleh merujuk terus kepada saya, Ahmad Syahmi selaku timbalan pengarah dan muslimat boleh merujuk terus kepada Zati selaku setiausaha program. Walaupun program ini akan dilaksanakan dalam masa sebulan lagi, semua gerak kerja perlu dilakukan bermula daripada sekarang. Kita mahu mengelakkan sebarang kemungkinan masalah yang akan timbul kesan kerja yang kelam kabut.” Hadi mengakhiri mesyuarat dengan pesanan yang perlu diingati oleh semua ahli jawatankuasa.
Baru sahaja selesai menutup mesyuarat dengan bacaan tasbih kaffarah dan surah Al-Asr, telefon bimbit Zati berbunyi. Mesej daripada Dinah segera Zati baca.
Jom lunch sama. Anti tunggu je kat KUO. Nanti ana datang.
Ringkas bunyi mesej Dinah.
Nak datang ke? ada ke bas? karang kebulur ana nak tunggu anti lagi.
Zati membalas kehairanan sambil memerlinya. Rasa geram kesan menantinya sejam semalam masih bersisa rupanya.
Perli erk..tunggu je..dah nak sampai ni.
Dinah membalas lagi. Zati masih kehairanan, tetapi tidak lagi membalas mesej Dinah. Kembali mengejar Maryam dan Nabilah yang sedikit ke hadapan.
“Zati, jom ke kafetaria..lunch sekali.” Maryam menyapa saat melihat Zati menghampirinya dan Nabilah.
“Tak apalah, saya dah janji dengan Dinah, dia on the way ke sini. Selamat menjamu selera.” Zati menolak perlawaan mereka lembut. Berterus terang tentang kedatangan Dinah. Lagipun mereka memang mengenali Dinah kerana pernah sekelas semasa mengambil subjek TITAS semester dua tempoh hari.
“Ooh ye ke..okey..sampaikan salam dengan Dinah erk. Lama tak jumpa dia.” Nabilah pula menyapa.
“InsyaAllah..saya naik dulu..Assalamualaikum.” Zati menamatkan perbualan.
“Waalaikumussalam..” Maryam dan Nabilah menjawab serentak.
No comments:
Post a Comment